MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Blog Archive

Thursday, December 27, 2012

Pemergian Almarhum Ustaz Rosni bin Ali Yang Sangat Dirasai

Saya baru dapat berita mengenai pemergian Almarhum Ustaz Rosni, salah seorang pegawai yang sangat rapat dengan pelajar di Mesir. 

Saya terkejut, dan hiba. Ajalnya sudah tiba. Almarhum adalah antara individu yang sangat memberi impak positif kepada saya sepanjang keberadaan di Mesir dua tiga tahun lepas. 

Saya rasa saya perlu berkongsi disini...

Saya pernah diuji dengan masalah kewangan di Mesir. Maklumlah, saya bukan pelajar Al-Azhar, jadi tiada zakat atau bantuan khas untuk saya. Masa tu saya ambil keputusan untuk berjumpa dengan Ustaz Rosni, atas cadangan beberapa orang kenalan. Tujuan saya adalah untuk meminta nasihat.

Saya bercadang pada ketika itu, untuk memulakan perniagaan burger di Mansurah. Modal? Tiada. Semangat? Berkobar-kobar. 

Ustaz Rosni menyambut saya dengan wajah penuh ceria. Kami berkongsi pandangan. Banyak pengalaman yang beliau kongsikan. 

Apa yang paling membuatkan hati saya berasa sangat sayu, adalah apabila beliau terpaksa memberitahu saya yang beliau sendiri sedang diuji oleh Allah dengan kewangan yang terhad. Ditunjukkan bekas makanannya, yang hanya ada nasi dan telur goreng. Itulah makanan hariannya di pejabat. Tiada lauk lain. Dengan penuh senyuman, beliau memberi kata2 semangat yang sangat positif. 

Setelah selesai berurusan, saya minta izin untuk kembali ke Mansurah dengan hati yang sangat gembira. Gembira kerana dipertemukan dengan insan semulia Ustaz Rosni. Sehingga saya pernah terfikir bahawa beliau adalah kekasih Allah yang Allah temukan dengan insan sekerdil saya. 

Selang beberapa langkah, beliau memanggil saya dan mengeluarkan 50 junaih (matawang Mesir) yang nilainya lebih kurang RM25 duit kita. Saya menolak. Tidak sampai hati membebankan beliau. Namun beliau sangat berharap saya mengambilnya dan jadikan modal berniaga. Saya amat menghargai pemberian beliau.

Dengan 50 junaih itu, saya memulakan perniagaan. Sehinggalah ia berkembang dan akhirnya saya bertukar kepada bisnes Nasi Lemak Akhi di Mansurah dengan hasil yang lumayan, alhamdulillah. BERKAT 50 JUNAIH sumbangan Ustaz Rosni... 

Sehingga saat saya menulis status ini, masih terbayang senyuman yang tak lekang. Ya, saya sebak. Siapa yang mengenalinya,insyaAllah akan terasa sangat kehilangan... 

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Almarhum Ustaz Rosni... ALFATIHAH.....

Saturday, September 22, 2012

Nasi Lemak Akhi Kini Di Taman Setia Indah, JB

Alhamdulillah. Syukur pada Allah atas segala nikmat dan kurnia. Jualan nasi lemak pada hari keempat habis seawal jam 8 pagi. Cuma hari ini berniaga lewat sikit kerana ada kuliah Subuh di surau.

 Hari pertama berniaga Rabu lalu, saya mulakan dengan 3 kg beras. Khamis 4 kg. Semalam 5 kg dan pagi tadi 6 kg. InsyaAllah esok nak try 8 kg. Kerusi lipat yang saya bawa untuk duduk sekali-sekala, hanya menjadi aksesori tambahan kerana langsung tak berkesempatan untuknya.

 Tujuan saya ceritakan disini adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan sahabat-sahabat FB saya yang selama ini amat banyak memberi semangat dan sokongan atas apa yang saya usahakan. Tidak terlintas pun dihati untuk berasa bangga atas apa yang saya perolehi. Saya sangat senang berkongsi cerita dengan tuan-tuan, kalau di sana ada manfaat yang boleh diambil.

 Tuan-tuan yang saya kasihi..

 Setiap kita mungkin telah, sedang atau akan melalui fasa-fasa susah dan sempit dalam kehidupan. Tapi kita juga kena perhatikan, apakah kayu ukur susah dan sempit itu? Kerana pengalaman dan peristiwa-peristiwa sekeliling kita banyak yang mengisahkan betapa insan-insan berada juga ramai yang berasa sempit dan susah. Sedangkan zahirnya, mata manusiawi kita melihat rumah mereka yang tersergam, kenderaan yang mewah adalah gambaran kesenangan mereka.

 Bagi orang yang beriman, (semoga Allah berikan saya kekuatan untuk bersungguh-sungguh berusaha jadi orang beriman) susah dan senang pada mereka sama sahaja. Kalau susah, mereka sabar dan itu adalah yang terbaik baginya. Kalau senang, dia bersyukur dan itulah yang terlebih baik baginya.

 Cuma kita kena selalu ingat, bahawa kita sebagai manusia seringkali tertewas bila dimurahkan rezeki oleh Allah. Ingatlah, rezeki sekelumit yang diberi oleh Allah itu adalah ujian. Semoga saya dan tuan-tuan lulus dengan cemerlang dalam ujian ini :)

Tuesday, September 18, 2012

Agenda Filem Menghina Rasulullah s.a.w



Tuan-tuan yang dikasihi..

Kalau difikirkan, saya rasa tentu pengarah filem yang menghina Rasulullah s.a.w itu sudah tahu impak yang akan berlaku. Melukis karikatur Rasulullah s.a.w sahaja pun sudah menimbulkan kemarahan umat Islam, apatah lagi bila diadakan watak 'Rasulullah' dalam filem tersebut.

Tapi kenapa diteruskan juga pembikinan dan penayangannya? Kerana saya rasa ia adalah salah satu agenda besar mereka untuk mendatangkan provokasi terhadap sensitiviti umat Islam, seteruskan membangkitkan rasa marah yang meluap-luap.

Ketika kemarahan yang meluap-luap inilah, iblis dan syaitan turut memainkan peranan mereka. Maka mereka yang marahnya bukan berasaskan rasa cinta dan kasih yang sejati kepada Islam dan Rasulullah, akan melampau dalam meluahkan perasaan mereka.

Akhirnya timbul kembali isu terrorisme, bila ada antara penunjuk perasaan yang bertindak ganas. Sedangkan Islam adalah agama akhlak. Dalam marah pun, ada akhlaknya. Ya, kita sangat marah kerana Islam dan Rasulullah dihina, tapi di sana masih ada akhlak yang sangat wajib kita jaga.

Apapun, saya juga sangat yakin bahawa jika tindakan menyiarkan filem tersebut adalah bertujuan untuk mengundang kemarahan umat Islam, ia sebenarnya adalah tindakan yang bodoh dan memakan diri sendiri. Orang Barat bukannya bodoh. Ramai antara mereka yang boleh berfikir dengan baik dan matang. Mereka boleh menilai. Mereka akan bangkit mengkaji, adakah benar Nabi Muhammad s.a.w itu seperti yang digambarkan dalam filem tersebut. Dan, mereka akan dapat jawapannya nanti... Jawapan yang akhirnya, mungkin membuka mata dan hati mereka atas kebenaran Islam...

Sebagaiman 11 September 2001 menjadi punca ramai yang masuk Islam, begitu juga dengan penyiaran filem ini....

Semoga Allah hadirkan rasa kasih dan sayang kita umat Islam kepada Baginda s.a.w, sehingga apa sahaja akan sanggup kita korbankan untuk Baginda...

Saturday, September 15, 2012

Seekor Anjing Gila Berkurap- Sebuah Tamsilan



Tuan-tuan yang dikasihi..

Satu tamsilan.. Di hadapan tuan-tuan ada seekor anjing gila yang dah berkurap. Berdekatannya pula ada sebuah unggun api api yang besar dan sangat panas. Anjing itu pula berlari ke arah api tersebut, dan kelihatan seperti mahu masuk ke dalamnya.

Apa perasaan tuan-tuan ketika itu? Ya, jika tuan-tuan seorang mukmin, yang tentunya ada sifat rahmah, tak akan sanggup biarkan anjing gila yang berkurap itu masuk ke dalam api. Ya, anjing gila lagi berkurap.

Nah, bagaimana pula dengan ahli keluarga kita? Ada antara mereka yang 'berlari-lari' menuju ke api neraka Allah kerana memandang enteng dengannya, sedangkan kita saban hari, saban waktu mengetahuinya. Soalannya, apakah terlintas di hati kita untuk berusaha selamatkan mereka. Mereka ahli keluarga kita. Sanggupkah kita biarkan mereka terjerumus ke dalam neraka Allah?

Tuan-tuan yang amat saya kasihi...

Sebagaimana kita sayangkan diri kita, tak mahu dicelup walau sesaat ke dalam neraka Allah, begitu jugalah sepatutnya perasaan kita kepada orang lain, khususnya keluarga kita.

Saya dan tuan-tuan mesti bertindak dari sekarang. Wawasan kita nun jauh disana, di negeri yang kita semua akan tinggal selamanya. Kalau bahagia, bahagia selamanya. Kalau celaka.... Allah... Nau'zu billah... :(

Friday, September 14, 2012

Tarbiyyah Yang Amat Berharga

Assalamualaikum wrt..

Semasa belajar di Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling dahulu, ada beberapa peristiwa yang sangat memberi bekas dalam hidup saya, dan sukar untuk saya lupakan. Ia adalah proses tarbiyyah secara tidak formal, namun penuh hikmah.

Antara peristiwa yang berlaku adalah mengenai seorang pakcik tua warga Indonesia, yang selalu berkhidmat sekitar masjid dan madrasah. Selalu sahaja kelihatan kelibatnya mencuci longkang dan tandas masid. Wajahnya sekali pandang, tiada apa yang istimewa. Pakaiannya pun tidaklah kemas, putih bersih. Biasa-biasa saja.

Namun kalau diteliti betul-betul, boleh jadi beliau adalah seorang yang sangat istimewa. Bahkan mungkin sangat hampir dengan Allah. Doanya mungkin sangat mustajab. Saya selalu mengamati beliau.

Sampailah pada satu hari, saya dan rakan-rakan yang lain berjalan ke kelas usai solat Asar sambil sibuk mengulang hafalan Matan Alfiyyah Ibnu Malik, tiba-tiba salah seorang daripada rakan saya terlupa sambungan matan tersebut. Apa yang mengejutkan, pakcik Indonesia tadi dengan lancar menyambung matan tersebut. Rupa-rupanya bila diselidik beliau adalah seorang yang alim. Namun sanggup berkhidmat di madrasah dan masjid atas alasan nak memuliakan para penuntut ilmu.

Allah... peristiwa itu benar-benar memberi pelajaran dan pengajaran kepada saya. Semoga Allah jadikan kita semua yang berada dalam jalan tolibul ilmi agar dikurniakan sifat tawadhuk dan merendah diri..

Tuesday, September 11, 2012

For The Rest Of My Life.....




-Status kali ini khas untuk yang menggemari muzik-

Tuan-tuan para peminat seni suara yang dikasihi...

Tuan-tuan pasti kenal dengan Maher Zain, kan? Saya mula mengenali beliau dalam bulan Februari 2010, di Mesir. Itupun isteri saya yang kenalkan.

Ketika itu saya sedang sibuk menulis, tiba-tiba isteri saya tegur saya, "Abang, cuba dengar lagu ni.."

Lalu dia tunjukkan saya video klip lagu For The Rest of My Life. Saya ni jenis tak berapa minat dengar lagu-lagu Inggeris, kecuali beberapa buah lagu yang hit daripada Michael Jackson (mudah-mudahan dia mati dalam islam) yang memberi motivasi.

Bila dengar, saya jadi terpesona dengan lirik, lagu dan suaranya. Sangat menyentuh jiwa seorang suami. Ceh ceh ceh.. :) Tapi, sungguh. Memang tersentuh..

Saya mula meminati insan bernama Maher Zain ni. Bila dengar semua lagu-lagu beliau, saya yakin beliau memang bersungguh-sungguh untuk berdakwah melalui nasyid. Dan bersungguh-sungguh pula mencipta lagu yang terbaik susunan muziknya. Jarang-jarang ada penyanyi yang berani memuatkan semua lagu-lagu terbaik dan hit dalam satu album. Kalau ada pun, hanya album kompilasi.

Semasa di Mesir, ketika dalam perjalanan tiap minggu dari Mansurah ke Kaherah, lagu-lagu Maher Zain inilah yang menjadi halwa telinga selain bacaan Syeikh Fahd Al-Kandari atau Syeikh Masyari. Ia membuatkan permusafiran saya jadi tidak bosan dan mengantuk.. :)

Saya masih ingat juga ketika berniaga Nasi Lemak Akhi di Mansurah, ada seorang pelajar perubatan lelaki yang rajin berbual dengan saya. Saya tanya, kenal tak Maher Zain. Dia tak kenal. Lalu saya dengarkan salah sebuah lagunya. Terus dia terpesona dan terkesan dengan lirik lagu tersebut. Saya pun dah lupa lagu yang mana.

Kesimpulannya, saya ajak mereka yang minat seni suara, dengar dulu semua lagu-lagu Maher Zain dan hayati. InsyaAllah ia akan memberi kesan kepada jiwa. Tak banyak, sikit.

Tak payahlah kita dengar lagu-lagu yang liriknya entah apa-apa, muziknya caca merba, bahkan bimbang merosakkan jiwa.

Monday, September 10, 2012

Mengucapkan Salam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wrt..

Dari Hadrat Abu Hurairah radiyallahu anhu, dari Rasulullah sollallahu alaihi wasallam, sabda Baginda :

" Apabila seseorang kamu bertemu dengan saudaranya sesama Muslim maka hendaklah dia mengucapkan salam kepadanya. Sekiranya terpisah antara keduanya oleh pokok atau dinding atau batu, kemudian mereka bertemu semula, maka berikanlah salam semula sekali lagi." Riwayat Abu Daud.

Tuan-tuan yang dika
sihi.. lihatlah betapa Rasulullah sollallahu alaihi wasallam amat mengambil berat perihal memberi salam. Masakan tidak, sedangkan memberi salam itu adalah amalan yang menimbulkan rasa kasih antara kita.

Namun apa yang menyedihkan adalah saya dan kita semua kadang-kadang sering berasa berat untuk memberi salam kepada orang lain. Ada pun, yang kita kenal sahaja.

Lebih sedih, berselisih sesama sendiri di pintu pagar masjid, walaupun ketika itu hanya berdua sahaja disitu, kadang-kadang masih berat hati nak bagi salam...

Tuan-tuan, mari sebarkan salam. Ia amalan Rasulullah. Allah sangat cinta dan kasih kepada tuan-tuan yang rajin beri salam.. :)

Sunday, September 9, 2012

Perjalanan Terindah Yang Hakikatnya Sementara






Tuan-tuan yang dikasihi...

Dalam perjalanan pulang kita ke kampung, atau pengembaraan kita ke satu-satu destinasi, saya percaya tentu mata kita sekali-sekala akan terpesona dengan keindahan alam yang kita lihat sepanjang perjalanan.

Langit yang membiru, gunung-ganang yang menghijau, sawah yang luas terbentang, rumah-rumah kampung tepi jalan, pekan-pekan lama yang kita lalui, dan pelbagai lagi. Semuanya menggamit seribu satu perasaan yang indah dan manis.

Kita akan mengenangnya, dan ia mungkin menjadi pengubat penat lelah kita yang jauh berjalan...

NAMUN, semua yang kita lihat tadi, semua keindahan tadi hanya berlaku sementara kita masih di dunia. Sangat sementara. Kerana kehidupan kita yang sebenarnya bukan disini tuan-tuan. Keindahan dunia, harus kita nikmati, kerana ia memang bukti kehebatan Allah. Namun di sana ada alam akhirat yang nikmatnya jauh lebih seronok, memukau dan sangat mendamaikan. Tak mampu untuk digambarkan. Tak mampu untuk difikirkan dek akal manusia..

Allah akan sediakan nikmat-nikmat istimewa ini kepada saya dan tuan-tuan. Bahkan memang dah tersedia. Cuma Allah sekarang sedang menguji kita semua, adakah kita sabar atau tidak dengan ujian-Nya....

Tuan-tuan.. dunia ini penjara kita.... penjara kita... penjara kita....

Monday, September 3, 2012

Muhasabah - Kolam Hati dan 7 Salirannya




Tuan-tuan yang dikasihi..

Ada sebuah kolam. Bersih, jernih airnya. Kolam itu pula ada 7 saliran air yang datang kepadanya. Apa pandangan tuan-tuan, jika hanya ada satu sahaja antara 7 saliran air itu membawa air lumpur. Ya, tetap akan mengeruhkan kolam tadi, walaupun 6 saliran yang lain membawa air jernih.

Begitulah yang diibaratkan dengan hati kita. Ia ibarat sebuah kolam yang bersih suci. Ada 7 saliran yang masuk padanya :

1)mata
2)telinga
3)lidah
4)perut
5)faraj
6)dua tangan
7)dua kaki

Maka jika salah satu anggota tadi buat maksiat, ia akan mengeruhkan hati kita. Bahkan bimbang-bimbang akan menggelapkan hati hingga hati kita penuh dengan zulumat (kegelapan) dan butalah mata hati kita..

Sama-samalah kita merayu pada Allah agar tetapkan iman kita. Kita semua umat akhir zaman, sangat mudah terpedaya. Namun, Allah Maha Penyayang. Maha Menerima taubat. Besar mana pun dosa-dosa kita, banyak mana pun salah kita pada Allah, tetap Allah akan ampunkan kalau SAYA dan tuan-tuan bersungguh kembali pada-Nya...

Tuan-tuan.. marilah bertaubat, selagi masih diberi peluang.. :_(

Thursday, August 23, 2012

Terjemahan Tafsir Surah Yaasin daripada Kitab Sofwah At-Tafasir (001)



Assalamualaikum wrt.. Saya dalam usaha menterjemah sedikit demi sedikit tafsir Surah Yaasin daripada kita tafsir Sofwah Attafasir. Mohon doa tuan-tuan agar dipermudahkan urusan.

Penterjemah : Al-Faqir ila 'Afwi Rabbihi Ibnu Mu'alla Al-Miftahi



Intisari Surah Yaasin

* Surah Yaasin adalah surah Makkiyah. Ia merangkumi tiga tajuk perbincangan asas iaitu : keimanan dengan hari kebangkitan, kisah penduduk sebuah kampung, serta dalil dan bukti terhadap keesaan Allah Tuhan sekalian alam.

* Surah ini dimulakan dengan lafaz qasam (sumpah) dengan Al-Quran diatas kebenaran wahyu Al-Quran. Dan benarnya risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Kemudian ia menceritakan perihal orang-orang kafir Quraisy yang berterusan berada dalam keadaan tipudaya dan kesesatan. Dan mereka juga mendustakan Penghulu Para Rasul, iaitu Nabi Muhammad bin Abdullah. Lantaran itu, layaklah mereka menerima azab dan balasan Allah.

* Kemudian diceritakan pula kisah penduduk sebuah kampung bernama 'Antokiyah' yang mendustakan para rasul Allah, supaya manusia beringat perihal akibat yang bakal diterima daripada pendustaan terhadap wahyu Allah dan risalah yang disampaikan. Peringatan ini diberikan dengan cara penjelasan Al-Quran menggunakan kisah-kisah sebagai nasihat dan iktibar kepada kita semua.

* Disebutkan juga peranan seorang pendakwah yang beriman, iaitu Habib An-Najjar yang menasihati kaumnya. Lalu mereka membunuhnya dan Allah memasukkannya ke dalam syurga. Allah tidak memberi tangguh kepada para pendosa itu. Bahkan Allah mengazab mereka dengan sebuah bunyi pekikan yang membinasa dan menghancurkan mereka.

* Surah ini juga menceritakan perihal dalil-dalil qudrat dan keesaan Allah yang boleh kita lihat dalam ciptaan Allah yang menakjubkan ini. Bermula dengan bumi tandus yang dihidupkan pada tumbuh-tumbuhan. Kemudian perihal pertemuan malam dan siang, Allah hilangkan siang daripadanya. Tiba-tiba manusia berada dalam kegelapan. Kemudian perihal matahari yang terpancar hal keadaan ia beredar mengikut orbitnya dan tidak berlanggar satu sama lain. Kemudian perihal bulan yang beredar pada tempatnya. Juga perihal bahtera yang penuh sarat menanggung zuriat keturunan manusia terdahulu. Ini semua adalah dalil yang jelas pada menunjukkan kekuasaan Allah Jalla wa 'Ala.

* Juga menceritakan perihal hari kiamat dan keadaannya. Mengenai hari kebangkitan yang padanya manusia akan dibangkitkan daripada kubur. Mengenai ahli syurga dan ahli neraka. Perbezaan antara orang-orang beriman dan orang-orang yang berdosa pada hari pembalasan tersebut dimana mereka yang bahagia berada dalam taman-taman yang penuh nikmat, sedangkan mereka yang mendapat kecelakaan akan terperosok ke dalam neraka.

* Surah ini disudahi dengan topik utama, iaitu perihal Hari Kebangkitan dan Pembalasan. Surah ini menyebut juga dalil dan bukti terhadap berlakunya peristiwa ini.

Saturday, August 18, 2012

GURU ROTAN ANAK

Tuan2 yang dikasihi...

Kalau guru-guru di sekolah rotan anak kita, janganlah terus 'serang' guru tersebut. Tentu ada sebab. Jangan ingat anak kita baik sentiasa.

Masa saya kecil dulu, mak saya sentiasa pesan. Kalau cikgu rotan kat sekolah, balik jangan nak mengadu. Nanti kena tambah lagi....

Cuma cikgu-cikgu pun kalau nak rotan, biarlah dengan niat 'takdib' (memberi pengajaran). Bukan kerana mengikut nafsu ammarah.

JANGAN PANDANG RENDAH

Tuan-tuan yang dikasihi..

Janganlah kita pandang rendah pada siapa pun. Tak mustahil seseorang yang pada zahirnya kelihatan pakaiannya compang-camping, badannya kurus kering, yang menyebabkan tiada orang nak hampir dengan dia, rupa-rupanya adalah seorang yang sangat dicintai Allah, dan dia juga sangat cintakan Allah.

Sedangkan kita ini, nampak zahirnya kemas, segak, bergaya, nampak warak, tapi rupa-rupanya masih jauh dari cinta Allah dalam hati...

Mengumpat

Tuan2 yang dikasihi..

Alhamdulillah, kita semua sedar bahawa zina itu antara dosa besar, meninggi suara terhadap kedua ibubapa adalah antara dosa besar, dan banyak lagi dosa besar yang lain.

CUMA, kita sering terlupa bahawa MENGUMPAT juga adalah DOSA BESAR. Tapi perbuatan mengumpat, mencela inilah yang sering menjadi 'madu' yang bagai disuap-suap ke dalam mulut kita semua ketika berbual dengan kawan-kawan, HATTA di masjid.

Tuan-tuan yang amat saya kasihi... Marilah pelihara lidah kita. Amat bahaya bila lidah kita tergelincir. Semoga Allah beri hidayah dan taufiq pada saya sendiri dulu untuk berusaha memelihara lidah ini...

Baju Kebaya?

Tuan2 yang dikasihi..

Mungkin ramai yang menganggap baju kebaya tu sebagai lambang jatidiri melayu. Tapi yang pastinya, ia bukan pakaian patuh syariat. Jadi, tambah-tambah nak raya ni, tolong ambil berat soal pakaian isteri, anak2 perempuan dan saudara mara perempuan kita ye..

UNTUK SAHABAT-SAHABAT BUJANGKU..

Sahabat2 yang masih bujang..

Kalau ada dengar mana-mana muslimah yang sangat baik menjaga ibu, ayah atau neneknya yang dah uzur, yang uruskan hal berak kencing mereka, makan minum mereka, ambillah mereka jadi isteri. Itu antara tanda baiknya iman dan agamanya. InsyaAllah, dia akan sama2 pula dengan penuh ikhlas membantu kita memelihara kedua orang tua kita bila dah tua nanti.

Friday, August 17, 2012

SALAM IDULFITRI - APAKAH MAKNA IDULFITRI?




Tuan2 yang dikasihi..

Apakah makna Idulfitri?

Ia digabungkan dari dua kalimah, iaitu
عيد dan الفطر.

Adapun عيد , maknanya adalah hari kebesaran, dimana ramai manusia berhimpun pada hari tersebut untuk menyambut satu-satu perayaan. Ia boleh juga diterjemah dengan 'kembali' kerana asal ambilan kalimah itu adalah daripada عاد يعود yang bermaksud kembali.

Kalau ada para pelajar lughah arabiyyah yang bertanya, 'Kenapa jamaknya jadi أعياد bukan أعواد?' . Jawapannya adalah kerana berlaku badal ataupun penggantian huruf daripada wau kepada ya. Dan dari segi sorof, ia adalah badal lazim.

Adapun الفطر, maknanya adalah berbuka. Boleh juga diertikan dengan makna fitrah.

Kalimah Aidilfitri yang biasa kita gunakan sebenarnya kurang tepat dari segi sebutan Arabnya. Namun ia bukanlah isu besar yang mesti kita bahaskan sangat.

Cuma apa yang penting adalah ketulusan hati kita dalam melafazkan ucapan itu yang sebenarnya adalah satu DOA.

Bila kita ucap Salam Idulfitri, maknanya kita seolah-olah mengucapkan Selamat Kembali Kepada Fitrah wahai saudaraku. Dan iniliah terjemahan Idulfitri yang paling saya suka.. :)

Rujukan - Lisanul Arab , Al-Mu'jam Al-Wasith

Thursday, June 21, 2012

Musnad dan Musnad Ilaih dalam Nahu

Atas permintaan, insyaAllah saya akan kongsikan sedikit sekadar yang saya tahu berkenaan ilmu nahu. Ia hanya perkongsian yang sangat kecil, namun saya berharap ianya memberi manfaat kepada yang berkehendak..

Muzakarah Nahu (1)

Apakah itu musnad dan musnad ilaih?

- Bila kita sebut musnad dan musnad ilaih, secara kebiasaannya ia tidak akan lari daripada perbincangan jumlah khabariah, baik ia jumlah ismiyyah khabariyyah atau jumlah fi'liyyah khabariyyah. Secara mudahnya, musnad ilaih dari segi terjemahan adalah satu benda yang disandarkan padanya satu-satu perkara. Manakala musnad adalah perkara yang disandar.

Apa kena mengena jumlah khabariyyah dengan musnad dan musnad ilaih? Ya, untuk membuat jumlah ismiyyah khabariyyah misalnya, kita sudah tentu memerlukan mubtadak (subjek) dan khabar (predikat). Contohnya jumlah Zaidun Qa-imun (zaid berdiri). Zaid adalah mubtadak manakala qa-imun adalah khabarnya. Dalam jumlah ismiyyah khabariyyah, mubtadak adalah musnad ilaih dan khabar adalah musnad.

Cuba kita perhatikan, Zaid adalah musnad ilaih kerana perbuatan berdiri (qo-imun) itu disandarkan kepadanya. Qa-imun adalah musnad kerana dialah perkara yang disandarkan kepada Zaid. Maknanya kalau tiada Zaid, tak tahu kepada siapa kita nak sandarkan perbuatan berdiri tadi.

Baiklah, kita lihat contoh lain. رسول الله قدوتنا (Rasulullah adalah ikutan kita). Lafaz Rasulullah adalah musnad ilaih (dalam jumlah ismiyyah dinamakan mubtadak) dan qudwatuna adalah musnad (dalam jumlah ismiyyah dinamakan khabar).

Tuesday, May 22, 2012

Siri Tafsir Ringkas Surah Yasin - Ayat 1-3

Ayat pertama : يس hanya Allah yang mengetahui maknanya.

Tafsir ayat ke 2 


Tuan-tuan yang dikasihi..


Di awal-awal surah Yasin, Allah telah bersumpah dengan Al-Quran dalam firmanNya,

والقرءان الحكيم
"Demi Al-Quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh." - ayat 2. ( sumber terjemahan - Tafsir Pimpinan Ar-Rahman).

Al-hakim maknanya al-muhkam, iaitu yang telah tetap lafaz-lafaznya, maknanya dan tiada sebarang kekurangan atau kecacatan padanya. Setiap susunan kalimahnya adalah mukjizat. Sempurna pensyariatan dan segala hukumnya. Di dalamnya terkandung nilai-nilai balaghah yang sangat tinggi.

Tuan-tuan, itulah Al-Quran, kitab yang Muhkam. Dan Allah telah bersumpah dengan Al-Quran, sebuah kitab yang sangat hebat.

Dalam ilmu lughah, bila ada penggunaan qasam (sumpah) dalam satu-satu ayat, maka apa yang hendak disebutkan selepasnya adalah merupakan satu perkara besar dan penting.

Apakah perkara besar itu. Ya, Allah nak beritahu kepada kita semua, bahawa Baginda Muhammad sollallahu alaihi wasallam benar-benar seorang Rasul yang diutuskan olehNya. Melalui kalimah sumpah menggunakan Al-Quran yang sangat sempurna isi kandungannya ini, yang tiada siapa mampu untuk meniru walaupun satu ayat daripadanya, Allah nak beritahu kita bahawa pengutusan Baginda sollallahu alaihi wasallam adalah suatu perkara yang sangat besar.


Tafsir ayat ke 3


Allah berfirman :

إنك لمن المرسلين

" Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada rasul-rasul yang diutus" - ayat 3

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam benar-benar seorang Rasul yang diutus untuk menjadi asbab hidayah kepada seluruh umat manusia. 

Ibnu Abbas r.a berkata - bahawa orang-orang kafir Quraisy telah mendakwa " Kamu bukan rasul yang diutus wahai Muhammad. Allah tidak mengutusmu untuk kami." 

Maka Allah bersumpah dengan Al-Quran yang penuh hikmah dan tetap hukum hakamnya bahawa Hadrat Muhammad sollallahu alaihi wasallam sememangnya salah seorang daripada rasul-rasul Allah.

Sunday, April 15, 2012

Status FB : Muslimah, Pulang Dari Tanah Suci..

Khusus untuk para muslimah yang saya hormati,

Alhamdulillah, tentu ramai antara puan-puan, cik-cik, makcik-makcik, adik-adik (izinkan saya gunakan ganti nama 'kalian' lepas ni ye) yang telah selamat ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji atau umrah. Tahniah dan semoga Allah kurniakan ibadah haji atau umrah yang mabrur kepada kalian.

Namun apa yang menyedihkan, ada segolongan antara kalian yang bila ditanya mengenai adakah dia akan berubah selepas pulang, lalu dijawab bahawa dia tidak mahu hipokrit dan mahu kekal dengan keadaannya sekarang. Katanya belum sampai seru. Sedangkan Allah dan Rasul sudah lama menyeru kita untuk segera kembali ke jalan kebenaran.

Para muslimah yang saya hormati sekalian,

Sekiranya kalian adalah salah seorang daripada golongan tadi, yakinlah bahawa sesungguhnya kalian telah ditipu oleh musuh utama kalian; iaitu syaitan.

Kembalilah kepada jalan ketaatan semula. Mungkin ada 'sahabat' yang akan tinggalkan kalian. Namun yakinlah, Allah sama sekali tak akan biarkan hambaNya yang berusaha kembali kepadaNya dalam keadaan dukacita....

Wednesday, April 11, 2012

Hari Kebangkitan Yang Sering Kita Lupakan

Tuan-tuan yang dikasihi..

Tanpa atau dengan kita sedari, kita memang sering sahaja lupa dan lalai dalam mengingati hari dimana kita bakal dibangkitkan kelak. Kita terlalu mementingkan hal-hal dunia sehingga sering sahaja mengabaikan perintah Allah. Lebih malang lagi, ada antara kita yang sanggup tinggalkan solat, sanggup terima rasuah, sanggup dedahkan aurat, demi mencari keuntungan dunia yang pada hakikatnya tidak lebih daripada nilai sebelah sayap nyamuk.

Salahkah mencari rezeki? Salahkah menjadi kaya? Tidak salah, tuan-tuan. Silakan jadi kaya. Silakan jadi hartawan. Bahkan memang dituntut supaya adanya hartawan mukmin yang akan menginfakkan hartanya ke jalan Allah.

Cuma yang salahnya adalah apabila harta yang kita usahakan menyebabkan kita lalai, ingkar bahkan sombong untuk tunduk patuh kepada Allah.

Tuan-tuan, marilah kita sama-sama renungkan firman Allah :

"(lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan Yang demikian) rasalah azab Yang kekal Dengan sebab apa Yang kamu telah kerjakan". Surah as-Sajdah ayat 14.

Semoga kita semua sentiasa sedar, insaf dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mencari redha Allah.

Tuesday, April 10, 2012

Status FB : Anak-anak Kita dan Adiwira

Tuan-tuan yang dikasihi..

Pada hari ini, ramai dikalangan anak-anak kita yang terkesan dengan watak-watak adiwira ciptaan Barat dan Jepun. Dalam usia yang sepatutnya mereka diberikan input-input positif, secara diam-diam rupanya pemikiran mereka dijajah dengan 'kuasa' tahyul ini.

Mereka suka dan kagum dengan watak-watak gagah yang kononnya mampu mengalahkan semua musuh. Sedangkan di sana ada seorang wira dunia yang paling gagah, yang bukan sahaja boleh mengalahkan musuh, bahkan mengubah musuh yang jahat menjadi baik. Bahkan sangat baik. Dan wira itu adalah Baginda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.

Maka sayugialah kita bersungguh-sungguh menanam rasa kagum dan ingin mengikut jejak langkah Baginda ke dalam fikiran anak-anak kita.

Monday, April 9, 2012

4 Permasalahan Orang Muda

Tuan-tuan yang dikasihi,

Dr Aidh Al-Qarni (pengarang kitab La Tahzan) di dalam kitabnya bertajuk Al-Misk wa Al-Anbar fi Khutob Al-Minbar berkata bahawa sesungguhnya kemusykilan dan permasalahan yang berlaku dikalangan muda mudi pada hari ini boleh disimpulkan dalam EMPAT perkara :

1) Tidak ambil peduli perihal solat fardhu secara berjemaah,
2) Sering bersama rakan-rakan yang tidak soleh,
3) Banyak mensia-siakan waktu,
4) Tidak ambil kisah mengenai ILMU SYARAK dan tidak bersungguh-sungguh pula mempelajarinya.

Sekiranya kita tergolong dalam salah satu kategori ini, maka sayugialah kita segera memperbaiki diri kita...

Status FB : Buat Muslimah Berpurdah

Kepada para muslimah yang berpurdah, alhamdulillah dan tahniah kerana kalian kelihatan sangat bersungguh-sungguh memelihara diri kalian daripada pandangan ajnabi. (Yang tidak berpurdah juga sangat ramai yang sebenarnya bersungguh-sungguh memelihara diri).

NAMUN, jika kalian ambil gambar berpurdah yang cantik-cantik, dengan lirikan mata yang memikat, atau dengan gaya posing yang seakan-akan mahu orang lain tertanya-tanya akan keindahan rupa paras kalian, maka nasihat saya, buanglah gambar yang begitu ye.

Keindahan kalian bukan pada purdah semata-mata, namun pada sifat malu dan segan terhadap para ajnabi kalian. :)

Sunday, April 8, 2012

Semoga Tidak Terhalang Dari Nikmat Itu...

Tuan-tuan yang amat saya kasihi,

Melihat wajah para ulama yang amat mencintai Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sahaja sudah membuat hati jadi begitu tenang dan sebak, apatah lagi jika kita diberi nikmat melihat wajah Baginda sollallahu alaihi wasallam sendiri....

Ya Allah, ampunkanlah segala dosa kami. Janganlah dosa-dosa kami itu menyebabkan kami dimahrumkan daripada bersama Baginda kelak ya Allah... :_(

Wednesday, March 21, 2012

SAYA TERSENTAK DAN INSAF....

Tuan-tuan yang dikasihi.

Sebenarnya sebelum Isyak tadi ketika berada di masjid, salah seorang anak murid saya menghulurkan sejumlah wang yang banyak sebagai sumbangan untuk program dakwah yang akan saya adakan untuk para remaja di taman perumahan saya esok. Berseri-seri wajahnya ketika memberikan sumbangan tersebut.

Namun perasaan saya menjadi sangat tersentuh usai menjawab panggilan telefon daripada ibu kepada anak murid saya itu sebentar tadi.

" Assalamualaikum. Ustaz, akak ni, maknya Aiman. Boleh tak kaum ibu join program tu sekali?"

"Wa'alaikumussalam. Boleh je kak. Ajaklah yang lain-lain. Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak ye sudi bagi sumbangan untuk program esok."

" Sebenarnya, Aiman sendiri yang menyumbang, Ustaz. Dia keluarkan duit tabung dia RM100. Dia kata, besar ganjaran menyumbang di jalan Allah."

Ya, kata-kata inilah yang membuatkan saya tersentak dan insaf. Siapakah Aiman? Dia adalah seorang kanak-kanak yang baru berusia LAPAN TAHUN dan mahir membaca Al-Quran. Fikirannya matang, walaupun baru darjah dua. Sangat bercita-cita untuk menjadi seorang hafiz Al-Quran. Saya mohon doa dari tuan-tuan agar dikurniakan kekuatan hati dan iman kepada anak istimewa ini.

Thursday, March 15, 2012

OH ! BELAJAR MENGAJI ALQURAN....

Tuan-tuan yang dikasihi.

Saya percaya, ramai antara kita yang menghantar anak ke kelas mengaji al-Quran. Ada beberapa perkara yang sering berlaku, dan saya ingin berkongsi pandangan mengenainya.

1. Kita sering meletakkan matlamat supaya anak kita CEPAT KHATAM, walaupun terkadang bacaannya masih tidak memuaskan. Lalu kita berasa tidak selesa bila guru tidak melepaskan anak kita membaca muka surat seterusnya, dengan alasan muka surat yang dibaca sekarang masih belum baik bacaannya. Sedangkan matlamat yang sebenarnya adalah supaya anak kita pandai membaca dengan betul, dari sudut tajwid dan makhraj. Bila anak itu khatam, insyaAllah dia akan khatam dengan bacaan yang baik.

2. Terkadang ada anak-anak kita, atau mungkin kita sendiri yang salah faham mengenai konsep khatam al-Quran. Ada yang menyangka, khatam Al-Quran samalah ertinya dengan TAMAT atau SELESAI membaca, sehingga dah tak perlu lagi dibaca selalu. Ini adalah salah faham yang besar dan wajib diperbetul semula. Al-Quran adalah sumber rujukan utama kita sebagai manusia, dan kita sentiasa memerlukannya sebagai pedoman menongkah hidup.

3. Tidak kurang pula antara kita yang menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab mengajar al-Quran kepada para ustaz. Apa salahnya kalau kita sendiri turut sama semak apa yang dipelajari anak kita di kelas mengaji. Hmm, tapi saya tak pandai mengaji la ustaz. Tak apa. Minta anak kita ulang semula apa yang dia pelajari tadi pada kita. Secara tak langsung, dua-dua pihak dapat manfaat yang sama.

4. Kita tentu pernah khatam membaca al-Quran kan? Apa kata selepas ini kita khatamkan membaca al-Quran dengan menghayati terjemahannya sekali. Kalau yang ini pun dah khatam? Tak apa, ulang lagi. Dalam masa yang sama, hadirkan diri ke kuliah-kuliah tafsir di sekitar tuan-tuan.

Friday, March 9, 2012

Tutup Aurat Dengan Sempurna : Para Guru, Kalian Adalah Qudwah..




Tuan2 yg dikasihi.. Cuba perhatikan contoh situasi ini :

Seorang ustaz/ustazah sekolah menengah menasihati anak murid perempuannya untuk menutup aurat dengan sempurna. Anak murid ini berazam untuk menutup auratnya dengan sempurna.

Tapi bila tiba waktu kokurikulum, dia melihat 4 atau 5 orang guru yang asalnya menutup aurat dengan sempurna ketika dalam kelas, namun yang memakai tudung dan t shirt lengan pendek pula ketika beraktiviti.

Akibatnya, murid ini menjadi keliru dan sekiranya kefahamannya tentang aurat masih belum ampuh, mungkin dia akan mula mempertikai nasihat ustaz/ustazah tadi. Yelah, pada pendapatnya, takkanlah guru-guru sendiri tak tahu pasal aurat?

Oleh kerana itu, adalah sangat penting supaya para guru menunjukkan qudwah dan ikutan yang betul kepada anak murid. Saya tekan bab aurat ini, kerana masih ramai guru yang belum faham kepentingan menutup aurat dengan sempurna, YANG AKHIRNYA MENGAKIBATKAN para pelajar juga gagal memahami kepentingannya.

Harap para guru yang dikasihi tidak kecil hati ya. Tahniah kepada para guru yang bersungguh-sungguh menunjukkan teladan yang baik kepada para pelajar :)

Tuesday, February 28, 2012

Muslimah... Elakkan Dosa Jariah.. !!

Kaum muslimah yang saya hormati..

Ramai sahaja antara kalian yang upload gambar-gambar yang tidak menutup aurat dengan sempurna di internet. Persoalannya, bagaimanakah sekiranya kalian tiba-tiba diambil nyawa, sedangkan gambar-gambar tidak menutup aurat kalian masih lagi berada dalam album, dan orang lain yang bukan mahram boleh melihatnya.

Nah, tak pasal-pasal kalian mendapat dosa 'jariah', iaitu dosa yang sentiasa berjalan walaupun kalian dah tiada.

PAKAI BAJU KETAT pun masih dikira belum sempurna menutup aurat, walaupun kalian bertudung. Ada pula yang bangga bergambar dengan boyfriend yang sememangnya bukan mahram.

Kita kena ingat, nyawa kita ni bila-bila masa sahaja boleh diambil. Sementara masih ada kesempatan, deletelah gambar-gambar tu, atau setkan untuk dilihat oleh kawan-kawan atau saudara mara perempuan sahaja.. OK :)

Kenapa Disunatkan Membaca Basmalah?

Tuan2 yang dikasihi.. Kenapa dalam setiap amal kebaikan yang kita lakukan, kita disunatkan membaca lafaz basmalah (bismillahirrahmanirrahim, atau bismillah) ?

Kerana tidak dapat tidak, kita mesti menghargai dan menghormati setiap nikmat yang datangnya hanya dari Allah.

Ketika kita makan kita mulakan dengan bismillah, kerana kita sendiri tak mampu untuk mencipta beras. Kita juga tak mampu mencipta tanah. Kita juga tak mampu nak turunkan hujan. Semuanya dari Allah. Maka hormatilah nikmatNya dan mulakan dengan menyebut namaNya.

Ketika kita menaiki kenderaan mulakan dengan bsmillah. Kerana kita tak mampu untuk mencipta tangan untuk memandu, dan Allah kurniakan kita nikmat tangan. Kita tak mampu untuk mencipta kaki untuk tekan brek, dan Allah kurniakan kita kaki. Maka hormatilah nikmatNya dan mulakan dengan menyebut namaNya.

Tuan-tuan kiaskanlah dengan nikmat-nikmat yang lain ya...

p/s - sambil menaip, terngiang-ngiang lagu bismillah nyanyian voice of ummi. :)

Monday, February 13, 2012

KURSUS ASAS B.ARAB KOMUNIKASI - 04 - SENARAI 60 KALIMAH FE'EL MADHI DAN TERJEMAHANNYA

Senarai 60 Kalimah Fe'el Madhi Dan Terjemahannya




Rajah di atas menunjukkan senarai 60 contoh kalimah fe'el madhi yang boleh dijadikan asas untuk tuan-tuan berlatih untuk tasrifkannya.

Apabila fe'el itu berada dalam kumpulan فعل يفعَل maka ia menunjukkan huruf kedua akhir pada fe'el mudhori' itu berbaris atas. Begitulah dikiaskan untuk semua fe'el yang lain.

Untuk memudahkan tuan-tuan memahaminya, saya sertakan misalnya di bawah ini :

Cuba kita lihat contoh kalimah pada nombor 10. Kalimahnya ialah سقط yang bermaksud telah jatuh. Ya, ia berada dalam kumpulan yang huruf kedua akhir pada mudhori'nya berbaris depan (dhommah). Maka, secara automatik, fe'el mudhori' bagi سقط akan dibaca dengan يسقُط . Dengan contoh ini, cuba tuan-tuan sebut semula fe'el mudhori' untuk semua contoh yang saya berikan satu persatu. Semoga berjaya... :)

Wednesday, February 8, 2012

KURSUS ASAS B.ARAB KOMUNIKASI - 03- Fe'el Madhi Sepintas Lalu

Fe'el Madhi




Rajah di atas adalah contoh tasrif Fe'el Madhi, menggunakan kalimah فعل . Cuba kita lihat kotak pertama. Tiada sebarang tambahan huruf, kan? Dan kita lihat pula huruf akhir kalimah itu, iaitu huruf lam. Kita dapati ia berbaris atas. Ya, itulah yang akan berlaku pada setiap fe'el madhi. كتبَ (menulis), أكلَ (makan), اِسْتَغْفَرَ (meminta ampun) dan pelbagai lagi contoh fe'el madhi yang lain. Perhatikan huruf akhir setiap kalimah ini. Semuanya berbaris fathah (atas). Maknanya, semua fe'el madhi secara asasnya mesti diakhiri dengan baris atas, kecuali jika kita ingin menggunakannya untuk penggunaan makna lain, seperti yang saya berikan dalam contoh di atas.

Kita lihat, kotak pertama tidak dimasukkan sebarang huruf, dan ia adalah asas.

Kotak kedua, ada penambahan huruf alif. Huruf alif dalam tasrif biasanya akan menunjukkan makna dua orang. Jadi kalau perbuatan itu dilakukan oleh dua orang, kita tidak kata: علي و أحمد درسَ . Bahkan kita kata: علي و أحمد درسا .

Begitulah kita kiaskan untuk kotak-kotak yang lain.

Jangan hafal!! Cuma ingat kaedah sahaja. Jika tuan-tuan rasa wajib hafal, sedangkan tuan-tuan rasa agak berat untuk melakukannya, maka ia akan menyebabkan kita rasa bosan dan hilang semangat untuk belajar.

Baiklah. Mari kita sama-sama buat latihan ini. Kita buat terjemahan dari bahasa Melayu ke Bahasa Arab ya.






Berikut saya berikan beberapa contoh kalimah yang lain :

طَبَخَ – memasak
شَرَبَ – minum
سافَرَ – bermusafir
جَلَسَ – duduk

Saya berikan juga beberapa kata sendi asas :

إلى – ke
مِنْ – dari, daripada
فِيْ – di, dalam, pada

Juga beberapa isim istifham (kata soal) yang asas :

أَيْنَ- dimana, kemana
هل – adakah
كَيْفَ – bagaimana
لِماذا - kenapa

Dan beberapa kalimah lain yang memberi makna tempat:

البَيْت – rumah
المدرسة – sekolah
المُسْتَشْفَى – hospital
المَلْعَب – padang permainan

Berdasarkan beberapa contoh kalimah yang saya berikan ini, cuba tuan-tuan susun sendiri dan berikan saya contoh ayatnya melalui komen di bawah. Syukran jazilan :)

Tuesday, February 7, 2012

KURSUS ASAS B.ARAB KOMUNIKASI - 02 - KATA GANTI NAMA (DHOMIR)




Rajah di atas menunjukkan kalimah-kalimah yang digunakan untuk ganti nama diri. Dalam istilah bahasa Arab, ia dipanggil sebagai Dhomir.

Kalau kita membahasakan mengenai orang ketiga di dalam bahasa kita, maka kita biasanya akan menggunakan 'dia', 'beliau', 'mereka berdua' dan sebagainya. Untuk orang yang berhadapan dengan kita pula kita menggunakan 'kamu', 'awak', 'engkau' dan lain-lain. Begitu juga untuk mewakili diri sendiri, kita menggunakan ganti nama 'aku', 'saya', 'kami'.

Di dalam bahasa Arab, seperti yang saya nyatakan tadi ada beberapa kalimah yang digunakan sebagai ganti nama. Perubahan kalimah-kalimah ini bergantung kepada gaya dan tujuan penggunaannya.

Jika kita ingin berbicara mengenai seseorang yang tiada depan kita, maka kita akan menggunakan kalimah-kalimah seperti هو , هما , هم.

Misalnya : Dia Ahmad - هو أحمد
: Dia Fatimah - هي فاطمة
: Mereka berdua adalah Ahmad dan Ali - هما أحمد و علي

Dibawah saya sertakan semula rajah pada pembelajaran yang lepas untuk menjadi rujukan tuan-tuan bagi melihat terjemahan setiap kalimah dhomir yang saya berikan di atas.

KURSUS ASAS B.ARAB KOMUNIKASI - 01 - KOTAK TASRIF 14

Rajah 1.1 - Kotak Tashrif Diwarnakan Mengikut Perbezaan Penggunaan

Cuba kita perhatikan rajah diatas. Sebagaimana kita maklum, ada tiga perbezaan warna antara 14 kotak tersebut.

Dua baris yang awal diwarnakan dengan warna kelabu. 2 baris seterusnya dengan warna hijau manakala baris terbawah dengan warna biru.

Warna kelabu menunjukkan semua kalimah atau fe'elnya adalah untuk bercakap mengenai mereka yang tiada depan kita. Dalam erti kata lain, mereka adalah orang ketiga.

Warna hijau pula adalah kumpulan kalimah atau fe'el yang digunakan untuk bercakap dengan sesiapa yang berada di depan kita.

Warna biru pula adalah kumpulan kalimah atau fe'el yang digunakan oleh yang bercakap itu sendiri.

Untuk lebih jelas, cuba perhatikan makna-makna setiap kotak dalam rajah dibawah.




KURSUS ASAS B.ARAB KOMUNIKASI (MUQADDIMAH)

Assalamualaikum wrt.

Alhamdulillah Kursus Asas Bahasa Arab Komunikasi yang dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM negeri Johor dan saya menjadi penceramah jemputannya telah selesai menjalani sesi pertamanya pada 2 Februari lepas. Kursus ini terhad kepada 50 orang peserta sahaja dan alhamdulillah saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa pendaftaran peserta hampir penuh. Apa yang menggembirakan hati saya adalah kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pelajar universiti untuk berusaha bertutur dalam bahasa yang pernah dituturkan oleh kekasih kita Baginda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam (s.a.w).

Matlamat utama wujudnya kursus ini adalah untuk membantu para peserta menguasai asas perbualan Bahasa Arab, untuk menjadi salah satu bahasa pertuturan seharian. Apatah lagi sekiranya ada antara peserta yang ingin ke Tanah Suci, atau mana-mana negara arab yang lain. Atau juga mereka ingin melakukan anjakan paradigma atas diri masing-masing dengan mengadakan perbualan sesama mereka sendiri dalam Bahasa Arab. Mustahil? Tidak, jika ada kesungguhan dan tekad yang tinggi.

InsyaAllah, saya akan cuba menerangkan apa yang dipelajari disini secara berperingkat, dan saya harap para peserta khususnya dapat menjadikan apa yang saya kongsikan ini sebagai bahan rujukan. Apa-apa yang kurang difahami boleh ditanya semasa kursus dijalankan, atau terus melalui ruang komen di bawah. Semoga bermanfaat insyaAllah.



Sunday, February 5, 2012

Muhasabah - Tidak Sudikah Kita Membalas Cinta Suci Ini

Tuan2 yg dikasihi... amat luar biasa cinta Rasulullah sollallahu alaihi wasallam kepada kita umat Baginda..

Jasad Baginda pernah dilumuri darah sucinya ketika penduduk Thoif menolak dakwah Baginda, namun sedikit pun hati Baginda tidak sanggup untuk melihat malaikat menghancurkan mereka. Bahkan Baginda mengharapkan sinar hidayah daripada keturunan mereka. Tuan2, alangkah hebatnya cinta Baginda kepada kita...

Ketika Baginda hampir wafat, Baginda merasakan kesakitan yang amat sangat ketika hadrat Jibril a.s mencabut nyawa Baginda. Namun apabila dikatakan kepada Baginda bahawa ini adalah cara yang paling lembut pernah Jibril lakukan, maka Baginda sanggup supaya semua kesakitan mati umat ini dibebankan hanya kepada Baginda.... Tuan2, amat luar biasa cinta Baginda kepada kita......

MASIH TIDAK SUDIKAH KITA MEMBALAS CINTA YANG AMAT MURNI INI.... :_(

Tuesday, January 31, 2012

Sedikit Teguran Untuk Pakcik dan Makcik



Assalamualaikum wrt.

Pakcik-pakcik, makcik-makcik yang saya kasihi..

Kalau pakcik dan makcik ada anak dara (yang dah baligh walaupun baru berumur 10 tahun pun termasuk sekali) dan masih belum menutup aurat dengan sempurna, namun pakcik dan makcik tiada perasaan sedih, tiada rasa bersalah, tiada rasa perlu ditegur (dengan beralasan masih sekolah) maka minta maaf sangat-sangat,saya berani meletakkan beban kesalahan tu di bahu pakcik dan makcik.

Kita perlu tegur, dan terkadang garang bertempat juga termasuk dalam hikmah. Janganlah sehingga tidak timbul rasa tak suka melihat anak dara kita tak tutup aurat.

Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda yang mafhumnya, ibu bapalah yang mencorakkan bagaimana akidah anak-anak itu nanti. Apabila anak dara kita sendiri merasakan membuka aurat itu tak apa-apa (kononnya atas dasar kebebasan hak asasi manusia), lebih malang lagi bila mereka merasakan pakcik dan makcik seolah-olah mengiyakan pendapat mereka, maka ia akan menjadi racun yang sangat merbahaya.

Jadi, bagaimanakah solusinya?

1.Gunakan kuasa mutlak sebagai ibu bapa untuk bertegas dalam hal ni. Namun tegas bukan bermakna 'kasar', 'garang tak bertempat', naik kaki, tangan. Letaklah satu perkara pada tempatnya. Kalau tempat itu perlu diletakkan sifat tegas' letaklah. Jangan kita termasuk dalam golongan zalim, yang mana takrif zalim itu sendiri menurut Islam adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

2. Gunakan lidah untuk menegur, dengan penuh hikmah.

3. Paling kurang, benci..benci.. dan benci dalam hati terhadap perbuatan membuka aurat yang anak dara kita lakukan. Benci perbuatan ye, bukan orangnya.. :)

Saya minta maaf sangat-sangat ye pakcik dan makcik sekalian andai nada bahasa saya sedikit tegas.Saya harap ketegasan saya ini kena pada tempatnya. Semoga cinta kita semua terhadap Allah dan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sentiasa meningkat saban hari, insyaAllah :)