MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Sunday, August 15, 2010

Adab-Adab Berpuasa (1)

1. Menyegerakan Berbuka Puasa



Makna menyegerakan berbuka puasa adalah melakukannya sebaik sahaja selepas matahari terbenam. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Hadrat Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Sentiasalah manusia (orang-orang yang berpuasa) itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Sebaik-baiknya adalah berbuka puasa dengan rutob (kurma lembab@basah), atau tamar (kurma kering). Kalau kedua-duanya tiada, maka boleh juga dengan air.

Imam Tarmizi dan Imam Abu Dawud meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w, sebelum Baginda menunaikan solat, sering berbuka puasa dengan beberapa biji rutob. Kalau tiada, Baginda berbuka dengan beberapa biji tamar. Kalau tiada juga, maka Baginda akan menghirup sedikit air. Sesungguhnya ia adalah suci.


2- Bersahur


Kalimah ‘sahur’ (dengan membaris ataskan huruf sin) adalah bermaksud makanan yang dimakan pada waktu ‘sahar’ (akhir malam).

Jika dibaca dengan ‘suhur’ pula (dengan membarisdepankan sin) membawa maksud perbuatan makan di waktu sahur itu sendiri.

Dalil mustahabnya amalan sahur ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawasanya Nabi s.a.w bersabda,

“Bersahurlah, sesungguhnya di dalam makanan sahur itu ada keberkatan.”

Hikmah bersahur adalah untuk menguatkan diri menjalani perintah berpuasa.




Al-Hakim meriwayatkan dalam Al-Mustadrak bahawa Nabi s.a.w bersabda,

“ ‘Mintalah bantuan’ melalui makanan sahurmu untuk menjalani ibadah puasa di waktu siang.”

Waktu sahur itu masuk setelah separuh malam. Kelebihan sahur boleh diperolehi tidak kiralah baik yang dimakannya itu banyak, sikit, ataupun walau hanya dengan meminum air.

Ibnu Hibban meriwayatkan dalam sohihnya bahawa Nabi s.a.w bersabda,

“Bersahurlah walaupun hanya dengan seteguk air.”

3- Mengakhirkan waktu bersahur



Maknanya adalah berhenti daripada makan dan minum hampir-hampir sebelum terbit fajar. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Nabi s.a.w,

“Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur.”

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Hadrat Anas bin Malik r.a bahawasanya Nabi s.a.w dan Hadrat Zaid bin Thabit telah bersahur. Tatkala mereka selesai daripada bersahur, Nabi s.a.w telah berdiri dan menunaikan solat. Kami bertanya kepada Anas, berapa lamakah masa antara mereka (Nabi s.a.w dan Anas) selesai bersahur dan bersolat? Jawab Anas, “Sekadar lamanya seseorang membaca 50 ayat.”


4- Meninggalkan Kata-kata Yang Kotor dan Keji



Misalnya mencela, berdusta, mengumpat, menghasut dan seumpanya. Begitu juga kita mesti memelihara diri kita daripada kehendak syahwat seperti memandang kepada perempuan bukan mahram, dengar lagu (yang sia-sia) dan seumpamanya.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w,

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak kesah kepadanya walaupun dia meninggalkan makan dan minum.”

* catatan saya- maknanya walaupun seseorang itu berpuasa, tapi masih lagi dia berdusta dan berbohong, maka sia-sia sahajalah dia menahan lapar dan dahaga. Allah tak ambil peduli pun mengenai puasanya. Wallahu a’lam.

Ketahuilah bahawasanya mencela, berdusta, mengumpat, memfitnah dan yang seumpamanya adalah perkara-perkara yang sememangnya diharamkan. Cuma apabila dinisbahkan kepada orang yang berpuasa, lebih-lebih lagilah ianya merupakan perkara dosa, yang akan menghapuskan pahala orang yang berpuasa tersebut. Sekalipun puasanya tetap sah, dan hukum wajib ketasnya telah terlaksana. Oleh kerana itulah, perkara ini jugak dikira sebagai salah satu adab dalam berpuasa.

Sumber - Al-Fiqh Al Manhaji Jilid 1 ms 346 Darul Qalam Damsyik

No comments:

Post a Comment