MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Wednesday, September 15, 2010

UMAR MULA MENUTURKAN 'ALLAH,ALLAH'



Sekarang jam 1 pagi di bumi Mesir ini. Suasana sekitar kediaman saya di Syari' Zahari, berdekatan Masakin Mina di Mansurah ini semakin sunyi. Sayup-sayup kedengaran juga jiran selang tiga buah rumah barangkali yang masih memainkan radionya. Suhu tengah malam yang sedikit dingin ini seharusnya telah berjaya memujuk mata saya untuk melabuhkan kelopaknya.

Namun ada seperkara yang berlaku sebentar tadi, yang menyebabkan saya menjadi begitu gembira, ceria, dan amat bersyukur.

Saya bagai tak percaya apa yang saya dengar sendiri daripada bibir anak saya, Umar Abdullah yang baru berusia 68 hari. Bukan saya sahaja, bahkan isteri saya turut mendengar perkara yang sama. Ya, anak kami telah mula menyebut kalimah agung, kalimah jalalah, الله sebentar tadi berulang kali.

Pertama kali mendengar, saya menganggap ia sekadar ngomelan biasa seorang bayi seusia Umar. Ngomelan kosong yang bunyinya persis kalimah agung itu. Pun begitu, jauh di lubuk hati saya amat mengharapkan agar ia adalah benar-benar kalimah الله kerana saya yakin dengan sabdaan Baginda s.a.w,

افتحوا على صبيانكم أول كلمة بلا اله الا الله
"Bukalah kalimah mula-mula yang dibicarakan bayi-bayi kamu itu dengan لا اله الا الله " HR Al-Hakim daripada Ibn Abbas r.anhuma

Ya, pasti boleh, insyaAllah. Setiap bayi pasti boleh diajar untuk memulakan bicaranya dengan kalimah yang sangat suci ini. Ia adalah sabdaan Baginda, dan petah bicaranya bukan diluncur bersandar nafsu. Memang sejak hari pertama Umar hadir di alam dunia ini, kami bersilih ganti mendengarkan kalimah ini ditelinganya dengan harapan supaya ia menjadi kalimah pertama yang dilafazkan olehnya.


YA, IA ADALAH KALIMAH ALLAH

Setelah mendengar untuk kali yang pertama, saya dan isteri saling berpandangan. Wajah masing-masing tampak kehairanan. Mungkin hairan saya kelihatan lebih jelas, kalau kerut di dahi saya ini menjadi kayu ukurnya.

Kami terus melayan Umar yang telah mula inginkan perhatian. Umar sudah mula pandai tersengih bila diusik. Terkadang hadir juga tawa kecilnya. Yang paling membuatkannya 'gelihati' adalah ketika saya mencubit-cubit manja pipinya dan mengusik-ngusik hidungnya. 'Geram' rasanya melihat matanya yang sepet ketika tersengih.

Umar bersuara lagi. Kali ini kami benar-benar memasang telinga, mengamati betul-betul apa yang keluar daripada bibir comel Umar. ALLAH, ALLAH, ALLAH.... Kami mendengar kalimah ini berulang kali. Walaupun ia dilafazkan secara pelat sesuai dengan umurnya, namun kami amat yakin, itu adalah kalimah ALLAH.


AIR MATA KESYUKURAN

Tanpa sedar, mata saya mula berkaca. Saya tak pasti isteri saya perasan atau tidak, namun saya tidak fikir rasa gembira dan syukur saya ini dapat dibendung lagi.

Umar juga adalah hamba Allah. Dan Allah mahukan setiap hamba-Nya mengasihi-Nya melebihi apa pun di dunia ini. Saya mahu Umar kenal siapa kekasih nombor satunya. Saya mahu nama kekasihnya itu sentiasa membasahi bibirnya. Seawal usia ini? Ya, seawal usia ini.

Sehingga coretan ini ditulis, Umar telah pun tidur. Sesekali tersengih sendirian. Entah mimpi apalah agaknya yang datang dalam lenanya ya....

Ayah, 15 Sept 2010
1.56 pagi

2 comments:

  1. salam..
    alhamdullilah.. moga umar jadi daie.. comelnyer umar.. peluk cium utk umar yer..hehe.. tolong cubit pp skali.

    ReplyDelete
  2. w'salam. alhamdulillah. mudah2an dimakbulkan Allah. :)

    ReplyDelete