MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Tuesday, September 18, 2012

Agenda Filem Menghina Rasulullah s.a.w



Tuan-tuan yang dikasihi..

Kalau difikirkan, saya rasa tentu pengarah filem yang menghina Rasulullah s.a.w itu sudah tahu impak yang akan berlaku. Melukis karikatur Rasulullah s.a.w sahaja pun sudah menimbulkan kemarahan umat Islam, apatah lagi bila diadakan watak 'Rasulullah' dalam filem tersebut.

Tapi kenapa diteruskan juga pembikinan dan penayangannya? Kerana saya rasa ia adalah salah satu agenda besar mereka untuk mendatangkan provokasi terhadap sensitiviti umat Islam, seteruskan membangkitkan rasa marah yang meluap-luap.

Ketika kemarahan yang meluap-luap inilah, iblis dan syaitan turut memainkan peranan mereka. Maka mereka yang marahnya bukan berasaskan rasa cinta dan kasih yang sejati kepada Islam dan Rasulullah, akan melampau dalam meluahkan perasaan mereka.

Akhirnya timbul kembali isu terrorisme, bila ada antara penunjuk perasaan yang bertindak ganas. Sedangkan Islam adalah agama akhlak. Dalam marah pun, ada akhlaknya. Ya, kita sangat marah kerana Islam dan Rasulullah dihina, tapi di sana masih ada akhlak yang sangat wajib kita jaga.

Apapun, saya juga sangat yakin bahawa jika tindakan menyiarkan filem tersebut adalah bertujuan untuk mengundang kemarahan umat Islam, ia sebenarnya adalah tindakan yang bodoh dan memakan diri sendiri. Orang Barat bukannya bodoh. Ramai antara mereka yang boleh berfikir dengan baik dan matang. Mereka boleh menilai. Mereka akan bangkit mengkaji, adakah benar Nabi Muhammad s.a.w itu seperti yang digambarkan dalam filem tersebut. Dan, mereka akan dapat jawapannya nanti... Jawapan yang akhirnya, mungkin membuka mata dan hati mereka atas kebenaran Islam...

Sebagaiman 11 September 2001 menjadi punca ramai yang masuk Islam, begitu juga dengan penyiaran filem ini....

Semoga Allah hadirkan rasa kasih dan sayang kita umat Islam kepada Baginda s.a.w, sehingga apa sahaja akan sanggup kita korbankan untuk Baginda...

Friday, October 1, 2010

PULANGKAN WANG SUMBANGAN KERANA HASIL JUDI??

Sumber : Artikel Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :

هذا سحت فتصدق به

Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

  • Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.

  • Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

  • Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini

  • Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

  • Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

  • Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

Sekian

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

30 Sept 2010

Tuesday, June 15, 2010

Kenyataan Media - PAS Haramkan Semua Bentuk Perjudian


KENYATAAN MEDIA

PAS HARAMKAN SEMUA BENTUK PERJUDIAN, MAHATHIR
DAN UMNO JANGAN PREJUDIS PADA CINA

Oleh : Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan komentar Tun Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh Kerajaan Umno-BN. Tuduhan beliau bahawa PAS hanya mengharamkan judi bola sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik seperti apa yang beliau fikirkan. PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi dinegara ini dan bukan melibatkan perjudian bola sahaja.

PAS jauh berbeza dengan Umno. Umno telah perintah negara selama 12 penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi. Selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi. Di Kedah usaha menghapuskan judi berjalan secara berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan. Kita serius untuk menghapuskan judi dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat.

Rakyat juga tahu, bahawa lesen perniagaan judi diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, bukan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya diperolehi oleh tokey judi semasa zaman pemerintahan BN.

Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi dinegara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil judi. Beliau mungkin berfikir, Jika beliau tidak menyokong dasar Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam Kerajaan akan mengutuk beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu membangunkan industri judi dalam negara ini.


PAS juga amat kesal kerana beliau masih bersikap prejudis kepada masyarakat Cina dinegara ini yang dalam pemikiran beliau dianggap sebagai kaum yang suka berjudi. Beliau hadir dan berucap dalam perhimpunan ‘Melayu Bangkit’ di Kuala Terengganu semalam dan mencipta prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi, dan ucapan beliau ini adalah satu penghinaan.


Tabiat judi ini adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka. Dan Kerajaan mengambil kesempatan dari golongan yang tidak berilmu ini dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut untuk hasil perjudian.


Sewajarnya Kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat, memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat sama macam memerangi gejala dadah.

Bila judi diharamkan maka rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib diberikan kepada penganjur aktiviti judi. Rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi ini dan mengajak mereka bersama-sama memerangi judi.


Kerajaan harus menjadi Kerajaan yang membantu membina rakyat dan masyarakat ke arah yang lebih positif dan proaktif, bukannya menjadi kerajaan yang meruntuhkan akhlak rakyat.Jika kerajaan BN dikekalkan, maka sampai bila pun masyarakat dinegara ini akan terus dipersendakan dengan dasar-dasar yang tidak progreasif dan hilang sifat holistiknya.

Sumber : http://pas.org.my/

Wednesday, January 6, 2010

Isu Semasa : Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Bil. Muzakarah : Kali Ke-82

Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008
Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites, Alor Star, Kedah

1) Ulasan/Hujah

Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverend Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.

Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.

Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.

Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.

Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

2) Keputusan

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber : http://bahrusshofa.blogspot.com/2010/01/isu-kalimah-allah.html

Isu Semasa : Pandangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman


Larangan Kristian Guna Nama Allah : Ulasan Ringkas Oleh

Ustaz Haji Zaharuddin Abd Rahman

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal".

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini

SUDUT HUKUM

Berikut di atas tadi adalah petikan berita Malaysiakini bertarikh 31 Disember 2009.

Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu.

TETAPI ..

Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.


Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk UK dan Vatican City di Itali TIDAK MENGGUNAKAN kalimah Allah untuk God, malah negera-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini. Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah diskrip menggunakan kalimah Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya.

Cuma kita sedar kumpulan ini hanya memperjuangkan penggunaan kalimah ini di negara-negara majoriti umat Islam seperti Mesir, Indonesia, beberapa negara arab dan kini Malaysia. Tahukah anda apa sebabnya berlaku demikian?. Fikirkan... diharap kita semua sedar strategi di sebaliknya.



Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap agar rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN Berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

15 Muharram 1431 H

01 Januari 2010



Last update: 04-01-2010 17:22

Sumber : http://www.zaharuddin.net/bahasa-articles/larangan-kristian-guna-nama-allah-ulasan-ringkas.html