MENGENAI SAYA

My Photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Blog Archive

Tuesday, January 12, 2010

Kisah Para Sahabat : Hadrat Bilal r.a. Gelap Kulitnya Murni Imannya


بسم الله الرحمن الرحيم

Orang-orang musyrikin Quraisy di permulaan Islam amat memusuhi siapa sahaja yang memeluk Islam dan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w. Mereka mula bertindak melakukan kezaliman terhadap kaum Muslimin. Mereka menangkap dan menyeksa kaum Muslimin dengan cara pukulan, membiarkan kelaparan dan dahaga di bawah terik mentari yang bersangatan. Kaum muslimin yang lemah diperlakukan seperti binatang. Namun ada juga antara mereka yang terselamat daripada menjadi ’habuan’ kaum musyrikin Quraisy.

Antara yang paling dahsyat menerima siksaan adalah Hadrat Bilal bin Rabah r.a. Nama ibunya adalah Hamamah. Beliau adalah seorang yang benar dan tulus keislamannya dan suci murni pula hatinya. Umayyah bin Khalaf adalah tuan kepada Hadrat Bilal r.a sebelum dimerdekakan oleh Saidina Abu Bakar r.a. Dia membawa Hadrat Bilal r.a ke kawasan yang berbatu kerikil, dan ketika itu adalah waktu tengahari. Pada waktu itu, batu-batu kerikil adalah amat panas. Hadrat Bilal r.a dibaringkan di atasnya.

Tidak puas dengan siksaan yang begitu, Umayyah menyuruh pula supaya diangkat seketul batu besar dan diletakkan di atas dada Hadrat Bilal r.a. Kemudian dia berkata, ”Demi Allah, kau akan berterusan begini sehinggalah engkau mati, atau engkau kufur kepada Muhammad dan menyembah Latta dan Uzza”

Namun dalam keadaan yang amat terseksa itu, Bilal r.a masih mampu menyebut, ”Ahad, Ahad (Yang Esa, Yang Esa)” [1]

Sehinggalah pada satu hari Saidina Abu Bakar as-Siddiq melalui kawasan itu dan terlihat Hadrat Bilal r.a disiksa, beliau berkata kepada Umayyah, "Apakah engkau tak takut kepada azab Allah kerana menyiksa orang miskin ini? Sampai bila engkau mahu menyiksanya?”

Jawab Umayyah, "Engkaulah yang dah rosakkan dia, jadi engkaulah yang patut selamatkan dia dari apa yang engkau nampak!”

Kata Saidina Abu Bakar r.a, "Baiklah. Aku ada seorang hamba yang lebih gelap kulitnya dan lebih kuat. Dia dari kaum musyrikin sepertimu. Mahukah aku berikan dia kepadamu dan digantikan dengan yang ini (Hadrat Bilal r.a)?”

Umayyah bersetuju dan Saidina Abu Bakar r.a pun memberikan hambanya kepada Umayyah dan mengambil Hadrat Bilal r.a lantas beliau terus memerdekakannya. [2]



[1] Isnadnya Sohih. Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibban, dan al-Hakim


[2] Sohih. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari


Rujukan - Kitab as-Sirah an-Nabawiyyah oleh Imam Ibnu Hisyam

1 comment:

  1. Salam juang buat suami tercinta. Semoga terus thabat dan teguh dalam perjuanganmu kerana agama. Terima kasih tak terhingga di atas segala pengorbananmu dalam kita menempuh mehnah-Nya..Semoga Allah menempatkanmu dikalangan insan terpilih disyurga sana..amin

    ReplyDelete