MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Wednesday, December 30, 2009

Akhlak : Sebarkanlah Salam



Situasi 1

Ahmad sedang menuruni tangga di kampus. Sedang menuruni tangga, berselisih pula dengan Ali. Hanya mereka berdua, tiada pelajar lain. Namun masing-masing hanya berlalu dan tidak ambil endah satu sama lain dengan alasan masing-masing bukanlah kawan rapat.

Situasi 2

Rosli sedang dalam perjalanan ke pasar. Ketika melalui satu lorong yang tidak ramai orang, berselisih pula dengan Pakcik Karim. Umurnya lebih kurang ayah Rosli. Mereka berselisih dan tiada orang lain yang lalu berhampiran mereka. Rosli hanya meneruskan perjalanan, tanpa memberi salam atau menegur pakcik tersebut dengan alasan tidak mengenalinya.



Assalamualaikum wrt..

Saudara-saudara yang dikasihi,

Sesungguhnya memberi salam itu adalah sunnah yang dilakukan sejak zaman nabi Adam a.s lagi sehinggalah hari kiamat. Ia juga adalah ucapan hormat ahli-ahli syurga sesama mereka. Firman Allah bermaksud :


" ....Dan ucapan penghormatan mereka (ahli syurga) di dalamnya adalah 'salam'.... " Surah Yunus ayat 10


Memberi salam adalah sunnah para nabi dan kebiasaan orang-orang yang bertaqwa. Namun alangkah sedihnya pada hari ini, kita kaum muslimin sudah tidak lagi mengendahkan soal memberi salam. Lalu kita dapat lihat, ramai antara kita yang lalu bersebelahan antara satu sama lain dan memang pada masa itu tidak menjadi masalah untuk memberi dan menjawab salam, namun masing-masing berat untuk memulakannya. Bahkan mungkin barangkali tiada niat langsung untuk itu. Salam hanya diberi pada sesiapa yang dikenali. Terkadang kita berasa hairan dengan saudara kita yang tidak dikenali mengucapkan salam kepada kita. Lalu kita bertanya ”Awak ni kenal saya ke?”



Saudara-saudara yang dikasihi.


Apa yang kita lakukan pada hari ini sebenarnya bersalahan dengan perintah Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itulah hati-hati kita sering berjauhan dan mudah berkasar antara satu sama lain. Nabi s.a.w bersabda

Kamu semua tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan tidak pula sempurna imanmu sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain. Mahukah daku tunjukkan pada kamu semua satu perkara yang apabila kamu melakukannya kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu HR Muslim


Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi s.a.w menjawab:

"Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (HR al-Bukhari dan Muslim)


Hadis di atas menjadi dalil betapa Rasulullah s.a.w amat menggalakkan umatnya untuk memberi salam antara satu sama lain. Bukan kepada yang dikenali sahaja, bahkan kepada semua umat Islam.


Ibnu Umar r.anhuma pernah pergi ke pasar. Dia berkata ”Aku ke pasar hanya untuk memberi salam kepada siapa sahaja yang aku jumpa”



Saudara-saudara seagamaku yang dikasihi.


Mengucapkan salam itu adalah tanda kerendahan hati dan kasih sayang seorang muslim kepada saudaranya. Mudah memberi salam melambangkan kebersihan hatinya daripada sifat hasad, dengki, benci-membenci, besar diri serta takabbur. Memberi dan menjawab salam itu sendiri adalah diantara hak sesama muslim. Ia adalah antara asbab untuk terhasilnya kebaikan dan masuk ke syurga Allah. Dengan menyebarkan salam, secara tidak langsung kita juga menghidupkan sunnah Nabi s.a.w.


Sabda Rasulullah s.a.w

”5 perkara yang diwajibkan ke atas seorang Muslim terhadap saudaranya. Menjawab salam, menjawab doa orang yang bersin, memenuhi undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazahHR Muslim



Wajib hukumnya kita menjawab salam apabila diberi,


Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.anhu, Rasulullah s.a.w bersabda:


"Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!"


Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."

Rasulullah menjawab,

"Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).



Imam Nawawi Rahimahullah berkata, " Ketahuilah bahawa memberi salam itu hukumnya sunat dan hukum menjawabnya adalah wajib. Sekiranya yang mahu memberi salam itu adalah satu kumpulan daripada orang Islam, maka hukum memberi salam adalah sunnah kifayah kepada mereka. Sekiranya salah seorang sahaja yang memberi salam, terhasil pahala sunat untuk semua yang lain. Sekiranya yang diberi salam pula hanya seorang, maka wajib keatasnya menjawab salam. Sekiranya ramai, maka memadalah jika salah seorang sahaja yang menjawab salam tersebut dan dengan itu terangkatlah kewajipan ke atas yang lain.”




Saudara-saudara yang dikasihi.


Marilah kita sebarkan salam. Sebarkan akhlak karimah umat Islam. Marilah kita semai kembali benih kasih sayang antara kita. Yakinlah dengan sabdaan junjungan kita Rasulullah s.a.w. Dengan kasih sayang yang wujud, kita akan mudah bersatu. Dan dengan bersatu, kita akan digeruni oleh musuh-musuh agama kita. Mudah-mudahan Allah menggolongkan kita dalam salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan melainkan naunganNya. Amin Amin Amin.

Wassalamualaikum wrt.


1 comment: