MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Blog Archive

Friday, January 1, 2010

Suka Duka Kehidupan : Setelah 3 Purnama

بسم الله الرحمن الرحيم


Diam tak diam sudah hampir 3 bulan saya menjejakkan kaki di bumi Mesir ini. Saya masih lagi berusaha untuk mengenali dan memahami hikmah yang Allah siratkan di dalam penciptaan hamba-hambaNya di bumi ini yang berbeza dengan masyarakat kita di tanah air. Pasti ada iktibar yang Allah ingin zahirkan kepada saya dan kita semua untuk menjadi pedoman dan panduan, atau barangkali juga boleh dijadikan sempadan.

Firman Allah

يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا

“ Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal." Surah al-Hujurat ayat 13

Namun alhamdulillah, sekadar untuk tempoh yang masih muda disini, saya berasa cukup gembira dan bersyukur kerana dapat juga menjejakkan kaki ke tanah yang satu masa dulu pernah menjadi saksi kepada segala jerih payah dan pahit maung yang dihadapi oleh para rasul dan anbiyak alaihimussolatuwassalam. Gembira kerana diberi peluang oleh Allah untuk mengambil iktibar dan 'ibrah daripada perjuangan para rasul, dengan harapan semoga ianya menjadi motivasi dan pemangkin kepada saya untuk terus tabah dan thabat dalam berdakwah.



Masalah Bahasa

Firman Allah,

ومن آياته خلق السماوات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم إن في ذلك لآيات للعالمين

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” Surah ar-Rum ayat 22

Sebulan pertama di Mansurah, agak sukar rasanya untuk saya bermuamalah dengan masyarakat disini yang majoritinya bertutur dalam lahjah Mesir. Saya terpaksa fotostat 5 buah buku belajar lahjah Mesir yang sebahagian besarnya dipinjamkan oleh Ustaz Al-Amin Daud yang juga salah seorang moderator agama Iluvislam.com. Kemudian kenalan baru di Abud, Kaherah Ustaz Hafiz Saifuddin pula menghadiahkan buku ‘Dialek Arab Mesir, Panduan Dan Praktikal’. Kepada antum berdua, saya ucapkan syukran awi atas bantuan antum. :)

Alhamdulillah, dengan memperbanyakkan ulang-alik ke suq (pasar) untuk membeli barang dengan niat belajar lahjah Mesir, sekarang saya sudah mula selesa dan senang bermuamalah dengan mereka. Pada saya ini adalah salah satu nikmat yang harus saya kongsi bersama, bukan untuk meninggi diri, wal’iyazu billah. Firman Allah,

و أما بنعمة ربك فحدث

“ Dan adapun dengan nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya" Surah adh-Dhuha ayat 11

Saya masih teringat pada hari kedua saya di sini, saya memberanikan diri untuk berseorangan menaiki teksi pulang ke rumah. Ketika itu saya baru usai kelas tafaqquh bersama Al-Fadhil Ustaz Saiful Azlam di rumahnya. Saya menghadiri pengajian itu dengan ditemani Ustaz Fathi Montalib selepas sama-sama menunaikan solat Maghrib di salah sebuah masjid, dan sebelumnya menyertai kelas tafaqquh kitab tauhid al-Aqaid ad-Durriyyah bersama al-Fadhil Ustaz Al-Amin Daud. Dipendekkan cerita, saya pulang awal malam itu kerana zaujah tidak berapa sihat. Mula-mula saya rasa yakin yang saya dah camkan jalan tadi. Namun oleh kerana lorong terlalu banyak, akhirnya saya pun ’tersesat’ sampai lah ke Aswaq Yasin. Pada masa itu saya dan zaujah menumpang sementara di salah sebuah rumah berdekatan markaz pelajar Malaysia.

Zaujah yang sudah setahun berpengalaman di sini pun memberikan direktori yang detail bagaimana untuk berbual lahjah Mesir dengan pemandu. Malangnya, teksi yang saya tahan itu pemandunya muda. Lebih kurang sebaya saya. (Saya kan muda lagi, hehe). Kawannya turut ada. Habis saya digelakkan oleh mereka semahunya kerana tidak faham kata-kata mereka dan saya pula hanya mampu bertutur dalam fushah. Saya hanya bersabar. Marah? Sebagai manusia biasa, memang timbul juga rasa marah. Namun saya segera padamkan perasaan itu apabila terkenangkan hadis Baginda s.a.w,

ما انتقم رسول الله لنفسه إلا أن تنتهك حرمة الله فينتقم لله تعالى

Tiadalah Rasulullah s.a.w membalas (perbuatan jahat) yang dilakukan kepadanya melainkan sekiranya dilanggar (dicabar) kehormatan (hak-hak) Allah , maka Baginda s.a.w akan membalas balik kerana Allah. HR Imam Bukhari

Ya, saya tidak perlu marah. Saya positifkan fikiran saya dengan menganggap itu adalah gurauan mereka. Bila terkenang semula peristiwa itu sambil menaip sekarang, tersenyum dibuatnya. Mujur zaujah tak perasan. :)

Khutbah Jumaat Yang Memberi Kesan

Khutbah di sini AMAT JAUH bezanya dengan kebanyakan khutbah di masjid-masjid seluruh tanah air. Tambah pula, masjid-masjid kita terikat dengan teks khutbah yang disediakan oleh organisasi berkaitan. Saya sendiri ketika menjadi imam di salah sebuah masjid di Johor Bahru terkadang terpaksa mengubah teks khutbah yang diberi. Bukan isi kandungannya tak bagus. Bagus sahaja, cukup rukunnya. Cuma pada saya, sidang penulis khutbah harus benar-benar dan bersungguh menanam niat dan cita-cita mudah-mudahan makmum yang mendengar mendapat kesan, dan kekuatan iman dijana semula sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu. Kalau yang bersungguh, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan.

Adapun khutbah disini, kebanyakannya disampaikan oleh imam yang bukan sahaja khatib, bahkan alim, hafaz al-Quran, hadis, dan menguasai disiplin ilmu yang lain. Saya jadi terkilan kerana tidak dapat menyalin khutbah yang disampaikan sepertimana yang biasa saya lakukan untuk pengajian lain. Mahu rasanya duduk di saf solat dan menyalin satu persatu poin yang diberi, namun segan sekali rasanya. Manakan tidak, setakat ini belum ada saya jumpa sesiapa yang menyalin khutbah(mungkin ada, tapi khutbah itu barangkali dirakam dahulu). Terlalu ralat rasanya. Alhamdulillah kini Allah mudahkan urusan memiliki sebuah mp3 dan bolehlah saya menyalin semula khutbah insyaAllah.

Insaf Ketika Bersama Syeikh Dr Ali Ali Luqam Hafizahullah

Beliau adalah Rais Qism Lughah di Kuliyyah Banat. Keindahan balaghah dan ketepatan penggunaan sighahnya dalam berbicara membuat saya teruja untuk dikurniakan nikmat berbahasa Arab sepertinya. Kefasihannya berbahasa Melayu, dengan penggunaan tatabahasa yang tepat membuatkan saya insaf. Usia yang agak berumur bukan sebab untuk kita tidak belajar. Beliau pernah ke Brunei dan Indonesia, dan selepas setahun beliau pula yang dijadikan rujukan untuk bertanya soalan-soalan dalam bahasa Melayu. Tepat!!! Peluang duduk disebelahnya ketika dijemput menjadi pengerusi majlis dalam program bersama syeikh hari Ahad lepas, (hari ini Khamis 31/12/09) adalah sesuatu yang tidak saya sangkakan. Kalau ikut kelayakan, nescaya saya terkebawah berbanding ramai lagi pelajar al-Azhar yang lain terutama pelajar lughah, namun saya merasakan bahawa ini adalah satu kurniaan rezeki daripada Allah yang tidak harus saya persiakan.

Teringin Berguru Dengan as-Syeikh al-Murabbi al-Muhaddis Dr Yusri Sayyid al-Jabr al-Hasani hafizahullah

Syeikh Yusri Hafizahullah

Saya mengenali lalu mengasihi Syeikh Yusri sebelum saya menjejakkan kaki ke Mesir. Saya mengenali beliau melalui blog Ustaz Nazrul Nasir. Tambahan pula ketika itu Majlis Bacaan Hadis Kutub Sittah sedang diwar-warkan. Namun mungkin kerana dosa-dosa saya, hajat saya tidak kesampaian. Agak panjang untuk diulas semula disini. Memada rasanya jika merujuk kembali entri ’Kutub Sittah Oh Kutub Sittah’ di blog lama saya.

Saya mengasihi beliau kerana beliau mengasihi Rasulullah s.a.w. Lebih daripada itu, beliau me’rekrut’ ramai lagi umat Muhammad s.a.w untuk menjadi para pencinta dan pembela Baginda dan sunnahnya. Cumanya masih berbaki beberapa urusan di Mansurah yang agak membataskan pergerakan saya ke Kaherah. Semoga Allah mudahkan urusan saya untuk menuntut ilmu. Amin.

Ramai lagi sebenarnya para ulama yang bertebaran di bumi barakah ini. Sekarang tinggal saya sahaja yang harus memotivasi diri sendiri untuk mengutip mutiara ilmu disini. Menuntut ilmu bukanlah dengan kesenangan dan tiada mujahadah. Untuk ilmu, kita mesti mujahadah. Semoga Allah memberi taufiq kepada saya untuk menelusuri jalan yang pernah ditelusuri oleh ulama-ulama amilin terdahulu. Amin Amin Amin.

No comments:

Post a Comment