MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Saturday, December 3, 2011

DAN TITIK HITAM ITU ADALAH KITA..



Tuan2 yg dikasihi. Ketika kita menunaikan solat jemaah bersama2 di surau atau di masjid, rendahkanlah diri kita, dan hadirkanlah perasaan yang kita ni tidak ada apa2. Anggaplah kita berada di satu tempat yang terang benderang dengan cahaya, hanya ada satu titik hitam sahaja yang jelas kelihatan, DAN TITIK HITAM ITU ADALAH KITA YANG PENUH DOSA ini.

Anggaplah solat kita ini adalah yang terakhir, sedang kita amat mengharapkan rahmat Allah untuk mengampuni semua dosa kita sebelum kita kembali kepadaNya.

" Walaupun dalam jemaah tu ada orang Bangla yang kerjanya memungut sampah??" Ya, walaupun ada orang Bangla yang kerjanya memungut sampah sama2 berjemaah dengan kita... Dia jauh lebih baik dari kita yang banyak dosa ini...

Friday, December 2, 2011

MUHASABAH - 'MEMELUK' AYAT-AYAT CINTA ALLAH ...



Tuan2 yang dikasihi. Cuba kita sama-sama ruangkan sedikit masa sekiranya kita tak sibuk. Kita ambil wuduk, bentang sejadah, duduk tahiyat awal dan peluk Al-Quran kita. Peluk erat2. Pejamkan mata. Ya, tuan2 sedang memegang selembar kitab yang padanya ada beribu ayat2 cinta yang Allah khaskan untuk kita dalam 114 'surat-Nya'.

Tuan2, sambil tuan2 peluk Al-Quran tu, tuan2 bayang dan kenangkan kembali, berapa banyakkah sebenarnya perintah Allah yang kita abaikan. Lebih malang lagi, berapa lama pula kita tidak membuka lembaran itu dan membacanya. Layakkah kita mengaku mencintai Allah, sedangkan untuk mengamal, bahkan membaca Al-Quran sendiri pun kita cuai.

Tuan2, dengan nada penuh keinsafan, sambil memeluk Al-Quran, sambil memejam mata, sebutlah nama kekasih Agung kita.. ALLAH... ALLAH.. ALLAH... Sebutlah sehingga timbul kembali rasa cinta kepadaNya itu. Dan bila perasaan cinta itu timbul kembali, marilah sama2 kita berusaha pula untuk memeliharanya......

Semoga kita yang lemah dan hina ini dipilih juga oleh Allah untuk menyertai saf para kekasihNya...

Sunday, November 27, 2011

ANTARA HALANGAN TERBESAR DALAM PENGHIJRAHAN DIRI

Tuan2 yg dikasihi. Dalam kita menghijrahkan diri kita kepada keadaan yang lebih baik dan diredhai Allah, tentu ada awaridh (عوارض ) ataupun halangan2 yang besar yang mengganggu perjalanan kita. Antara halangan besar itu adalah kawan kita sendiri.

Jika baik (soleh) kawan kita, insyaAllah lambat laun kita juga akan terkena tempias kesolehannya. Jika buruk akhlak kawan kita, bimbang2 lambat laun kita juga akan terkena tempiasnya.

Jadi salahkah kita berkawan dengan semua orang? Jawapannya tak salah. Silakan berkawan dengan mereka yang soleh, dan ambil faedah sebanyak-banyaknya daripada kesolehannya. Silakan juga berkawan dengan mereka yang kurang/tidak soleh, dan berusahalah sungguh2 untuk ajak dia jadi soleh.

SALAM MAAL HIJRAH 1433H

Friday, November 25, 2011

KITA TAK ADA HAK



Tuan2 yg dikasihi. Terkadang ada satu kesalahan besar yang dilakukan oleh saudara kita, lalu kita menjadi sangat kecewa dan marah, lalu kita berkata, "Orang macam kau ni jangan harap la nak masuk syurga Allah. Memang calon ahli neraka la kau ni..!"...

Tuan2, kita TAK ADA HAK untuk tutup pintu-pintu taubat yang Allah bukakan seluas-luasnya kepada para hambaNya.

Mungkin amalan seorang manusia itu... sangat baik, sehingga jaraknya dengan syurga sejengkal saja lagi. Tapi tiba2 Allah takdirkan diakhir hayatnya, dia mati dalam keadaan buat derhaka kepada Allah, lalu Allah masukkannya dalam neraka.

Mungkin juga amalan seseorang itu sangat buruk, sehingga jaraknya dengan neraka hanya sejengkal saja lagi. Tapi tiba2 takdir Allah diakhir hayatnya, dia mati dalam keadaan buat baik dan sempat bertaubat kepada Allah, lalu Allah masukkannya ke dalam syurga-Nya.

Tuan2, teruskan usaha kita menyeru kepada kebaikan, dan bersangka baiklah terhadap mad'u kita... :)

Friday, August 5, 2011

Subhanallahi Wabihamdihi... Subhanallahil 'Azhim

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda,

" Dua kalimah yang ringan pada lidah, berat pada timbangan, lagi dikasihi oleh Allah, Subhanallahi Wabihamdihi.. Subhanallahil 'Azhim " Muttafaqun Alaih.

Assalamualaikum wrt..

Tuan-tuan yang dikasihi,

Marilah kita sama-sama basahkan lidah kita dengan zikir Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil 'azhim sepertimana yang tertera pada gambar di atas.

Sungguh mudah sekali. Sambil berjalan, sambil memasak, sambil memandu, sambil bekerja dan apa sahaja perbuatan kita, kita boleh menyebutnya. Tak disyaratkan untuk sentiasa memegang tasbih. Sama-samalah kita menjadikannya sebagai 'pemanis' bibir kita.

Tuan-tuan yang dikasihi..

Zikir ini amat ringan pada lidah, namun amat berat timbangannya di Mizan dan amat dikasihi pula oleh Allah. Semoga saya dan tuan-tuan dikurniakan kemanisan untuk memuji dan memuja Allah swt.. Amin.

Thursday, August 4, 2011

Apakah Yang Dinamakan Sebagai Al-Kalam Dalam Bahasa Arab ?


Dalam Ilmu Nahu (Grammar) bhasa Arab, KALAM boleh ditakrifkan sebagai satu LAFAZ yang TERSUSUN lagi MEMBERI FAEDAH DALAM BAHASA ARAB. Dalam erti kata yang lain, KALAM adalah sebuat ayat yang sempurna.

Apakah yang dimaksudkan dengan lafaz?Bila kita sebut lafaz, maka ia mestilah satu perkataan yang dapat didengari sifat bunyinya. Misalnya kita sebut lafaz Zaid, maka disana kita dapat dengar adanya sifat huruf zai, ya, dan dal.

Berbeza pula dengan bahasa isyarat yang digunakan oleh golongan cacat penglihatan atau cacat pendengaran. Tiada lafaz yang dilahirkan. Hanya isyarat tangan yang tiada suara dan sifat huruf2nya. Jadi ia bukanlah dinamakan sebagai kalam dalam ilmu nahu.

Dalam takrifan di atas juga, ada disebutkan bahawa syarat untuk melayakkan satu2 susunan lafaz itu menjadi Al-Kalam, adalah dia mesti TERSUSUN. Tersusun yang bagaimana? Maksud saya, tersusun daripada sekurang-kurangnya 2 kalimah.

Misalnya, saya berkata kepada anda perkataan "Ahmad", dan saya terus diam. Ya, Ahmad memang satu lafaz yang merujuk kepada seseorang yang bernama Ahmad, tapi adakah anda boleh faham, apakah yang saya nak sampaikan sebenarnya? Tentu tidak, bukan. Jadi, kalimah yang lain mesti disusun atau didatangkan selepasnya supaya sempurna menjadi Al-Kalam (ayat).

Lalu kita datangkan kalimah qo-imun (berdiri) sebagai contoh. Ayatnya akan jadi Ahmad qo-imun, (Ahmad berdiri). Nah, bukankah sekarang ianya tersusun daripada 2 kalimah. Berdasarkan contoh mudah ini, anda boleh datangkan sendiri pelbagai contoh lain untuk latihan :)

Kemudian syarat ketiga seperti dalam takrifan di atas , ia mestilah MEMBERI FAEDAH. Maknanya, walaupun kita menjumpai 2 atau lebih kalimah yang tersusun, tapi maknanya masih belum boleh difahami dengan jelas, maka ia belum layak dinamakan sebagai KALAM.

Misalnya kita kata, "Man shoma Ramadhan.." (Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan..) kemudian kita berhenti setakat ini sahaja, sudah tentu orang yang mendengar akan tertunggu-tunggu apakah kesudahan ayatnya. Dalam keadaan begini, ianya tidak memberi faedah melainkan bila disambung dengan susunan kalimah lain yang menyempurnakan kalimah2 tadi.

Disyaratkan juga bahawa ia mesti DALAM BAHASA ARAB. Maknanya, kalau ayat itu dinyatakan dalam bahasa lain, maka ia tidaklah dikira Al-Kalam dalam Ilmu Nahu. Ilmu Nahu hanya khusus dalam bahasa Arab, dan inilah yang menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa paling indah dan sistematik dalam bidang linguistik.

Dengan ini tamat perbahasan ringkas mengenai pengenalan Al-Kalam (ayat) dalam Ilmu Nahu, dan sebarang persoalan boleh diajukan dalam komen di bawah. InsyaAllah saya cuba membantu sekadar mampu. Kalau lewat reply harap x kecil hati ye J

Thursday, July 7, 2011

Selamat Hari Lahir Umar...




Pulang daripada menunaikan solat Subuh di Surau Al-Hidayah sebentar tadi, saya bergegas menuju 'laptop' saya dengan harapan agar ada gambar terbaru Umar yang di'upload' oleh isteri saya di Mesir. Alhamdulillah, ia bukanlah harapan yang sia-sia.

Terpampang di album facebook isteri saya gambar Umar Abdullah yang comel, berjubah hitam dan berkopiah. Lama juga saya menatap gambarnya. Rasa gembira, rindu, sayu, semuanya hadir mewarnai hati saya. Ya, ayah mana yang tidak merindui anak kecilnya yang berjauhan. Ah, ternyata saya tak mampu mengelak dari gugurnya manik-manik jernih dari mata saya. Kegembiraan.

Selamat Hari Lahir Umar...

Pada hari ini (7 Julai 2011) genaplah usia Umar setahun. Dan telah setahun jugalah berlalunya saat-saat penuh debar penantian sebuah kelahiran yang disudahi dengan senyum penuh kesyukuran. Lahirnya seorang putera yang amat diharapkan untuk menjadi sinar kepada Islam. Yang amat diharapkan untuk menjalani kehidupan di dunia yang fana ini sebagai seorang mujahid yang tak pernah gentar untuk mengorbankan segalanya demi agama Allah yang tercinta ini.

Tidak perlu rasanya untuk menceritakan bagaimana sayunya melihat keadaan isteri saya untuk melahirkan Umar. Cukuplah pelbagai cerita, kisah dan peristiwa yang berlaku kepada semua sang ibu yang melahirkan menjadi kias kepada apa yang dirasai olehnya. Apa yang mampu saya lakukan hanya memanjatkan setulus doa kehadratNya, memohon agar dimudahkan urusan kami.

Detik-Detik Kelahiran

Jam 10.20 malam, 7 Julai 2010. Saya masih menunggu dengan penuh debar diluar bilik pembedahan. Isteri saya terpaksa dibedah kerana berlaku sedikit masalah yang tak dapat dielak. Saya akur dengan pandangan Doktorah Majdah yang jauh lebih berpengalaman, walaupun jauh disudut hati amat berat rasanya untuk membiarkan kelahiran ini berlaku dengan cara pembedahan.

Terima kasih sebanyak-banyaknya kepada beberapa pasangan yang setia menemani saya menunggu sehingga selesai. Kepada Ustaz Tuan Azman, Ustaz Iznan Syahmi, Ustaz Abdul Hakim, Ustaz Rasyidi dan semua zaujah kalian, terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan atas kesudian kalian memberi semangat dan panduan kepada kami berdua. Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas kebaikan kalian dengan selayaknya.

Jam 10.40 malam, 7 Julai 2010. Kali pertama saya mendengar jeritan tangis Umar yang sayup-sayup kedengaran dari bilik pembedahan yang terkunci rapat. Saya terkedu. Ustaz Tuan Azman dan Ustaz Rasyidi bingkas memeluk saya, mengucapkan tahniah. Saya masih terkedu. Namun sedikit demi sedikit bibir saya mula mengukir senyuman. Senyuman paling indah. Senyuman yang disulam dengan rasa penuh kesyukuran.

Allah, Dialah Cinta Hati Kita

"Allahu Akbar... Allahu Akbar.." Kalimah-kalimah agong ini menjadi kalimah pertama yang didengarkan ke telinga Umar. Umar diam. Kelopak matanya yang masih melekat itu bergerak sedikit, seolah memberi tumpuan terhadap apa yang didengarnya. Ya, Umar.. Dialah Allah. Dia Maha Pengasih. Dia amat kasihkan Umar. Ayah harap Umar tak akan sia-siakan kasih yang Allah berikan kepada Umar ye nak. Balaslah cinta dan kasih Allah dengan sepenuh hatimu nanti.

InsyaAllah 18 haribulan ini isteri saya dan Umar akan pulang ke tanah air. Mudah-mudahan Allah mudahkan urusan pulang kalian dan kita akan bersama kembali, insyaAllah.... SANAH HELWAH YA HABIBI UMAR :)

Saturday, June 18, 2011

Sebelum Kematian Tiba

Assalamualaikum wrt

Tuan-tuan yang dikasihi. Bagaimanalah keadaan kita ketika nyawa kita diambil nanti ya.

Bayangkan kalau tiba2 kita berdepan dengan detik-detik kematian kita, yang selama ini kita sangkakan masih jauh lagi. kita pasti akan menyesal atas segala kesalahan kita.

Kita akan menyesal, kenapa aku lambat qada solat2 aku dulu.

Kenapa aku lambat qada puasa wajib aku dulu...

kenapa aku tak bayar hutang-hutang aku dulu...

Tapi pada masa itu, penyesalan dah tak berguna lagi..

Maka amat-amatlah bijak dan beruntung bagi mereka yang sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya..

Mudah-mudahan kita kembali kepada Allah dalam redha-Nya. Hanya redha Allah yang kita semua harapkan.

Tuesday, May 31, 2011

Ujian Allah, Kuatkan Jiwa Kita Menghadapinya


Assalamualaikum wrt..

Segala puji hanya layak buat Allah, selawat serta salam buat junjungan besar Baginda Muhammad sollallahu alaihi wasallam (s.a.w) serta ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Tuan-tuan yang amat saya kasihi,

Hidup kita di dunia ini penuh dengan ujian. Saya pasti, kita semua mungkin pernah diuji dengan ujian yang sangat berat, sehingga menyebabkan kita jatuh terduduk dan termenung. Mungkin ujian itu berbentuk kehilangan insan tersayang, kehilangan harta yang paling berharga, atau sebagainya.

Pada masa itu, jiwa kita mungkin boleh menjadi lemah dan longlai, sekiranya tiada benteng ampuh yang menjadi perisai daripada kekecewaan. Orang sekarang kata, 'jiwa kacau'. Ada manusia yang terlalu lemah jiwanya, akhirnya berasa sangat tertekan dan kesudahannya berlakulah pelbagai peristiwa yang sangat tidak kita ingini, seperti bunuh diri. Semoga Allah memelihara kita daripada menjadi lemah sebegini.

Tuan-tuan yang dikasihi,

Persoalannya, kenapakah jiwa manusia boleh menjadi selemah ini bila ditimpa ujian dan musibah? Apakah sebenarnya benteng ampuh yang mampu menghalang jiwa mereka daripada terjatuh ke lembah kelemahan.

Jawapannya ada dalam sabda kekasih kita, Baginda Muhammad s.a.w :

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له . رواه مسلم


"Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya. HR Muslim.

Ya, jiwa manusia, jiwa kita, akan menjadi lemah apabila tiada benteng iman yang memelihara kita daripadanya. Seorang yang betul iman dan yakinnya kepada Allah, maka dia akan sangat insaf dan akur dengan apa sahaja ujian dan cubaan yang Allah timpakan kepadanya. Padanya, semua itu adalah kehendak Allah keatasnya dan pasti ada seribu hikmah yang tersirat disebaliknya.

Saya mengenali sepasang suami isteri, yang pernah diuji oleh Allah dengan kehilangan harta benda. Baki yang ada ditangan hanya beberapa ringgit sahaja. Namun si isteri dengan penuh rasa tenang dan yakin, meminta suaminya agar sedikit baki yang ada pada mereka itu disedekahkan kepada sesiapa sahaja yang layak.

Kata si isteri "Allah sedang menguji kita bang. Yakinlah dengan janji Allah, di balik kesusahan pasti ada kesenangan." Suaminya menerima baik cadangan isterinya dan melakukan seperti apa yang dipinta. Akhirnya hari itu juga Allah balas sepuluh kali ganda daripada apa yang mereka sedekahkan. Allahu akbar!


Tuan-tuan yang dikasihi...

Jangan lemah bila kita diuji. Segala ujian yang Allah berikan, sebenarnya bukanlah ujian yang kita tak mampu menghadapinya. Allah Maha Mengetahui tahap kemampuan kita, dan Dia hanya memberikan ujian yang memang sebenarnya mampu untuk kita hadapi. Pokok pangkalnya adalah iman kita. Sejauh mana keyakinan kepada Allah tertunjang ampuh ke dalam hati kita, sejauh itulah tebalnya benteng pertahanan jiwa kita.

Yakinlah tuan-tuan, bahawa Allah amat amat kasihkan kita. Allah berikan kita ujian dan musibah di dunia ini adalah sebagai kaffarah (penebus) kepada dosa-dosa kita di dunia ini. Maka beruntunglah mereka yang sabar, dan kerugianlah kepada mereka yang bertambah lemah jiwanya apabila diuji....

Semoga Allah pelihara kita daripada jiwa yang lemah...




Sunday, May 22, 2011

Marilah Menjadi Hamba Allah


Tuan-tuan yang dikasihi. Naluri insani, memang suka untuk berada di kedudukan yg tinggi. Sukakan pujian, dipandang hebat, disanjung, popular, disebut2 namanya. Tapi, ALLAH sangat suka kepada hambaNya yang tekan segala kehendak nalurinya ini, lalu bersifat dengan sifat merendah diri, tawadhok, ikhlas..

Oleh itu, marilah sama-sama merasakan bahawa kita ini adalah HAMBA ALLAH, yang tak ada apa-apa, lemah, kerdil.. Apa sahaja kelebihan yang ada, semuanya datang dari ALLAH.. makin kita bersyukur, makin Allah tambah nikmat dan kelebihan tadi...


Monday, May 2, 2011

Jadual Kuliah Al-Faqir Untuk Bulan Mei 2011

Assalamualaikum. Berikut adalah jadual pengajian al-faqir sepanjang bulan Mei 2011. Sebarang perubahan jadual akan diberitahu kemudian insyaAllah.

Setiap Isnin - Kuliah Maghrib - Fiqh Syafie (Kitab Anwar Al-Masalik) , Surau At-Taqwa Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang


Setiap Jumaat - Kuliah Sebelum Solat Jumaat - Sirah Rasulillah s.a.w - Masjid Jamek Kampung Felda Sungai Buaya.

Setiap Jumaat - Kuliah Maghrib - Tafsir Al-Quran - (Kitab Sofwah At-Tafasir) - Surau At-Taqwa Bandar Baru Sungai Buaya.

Setiap Sabtu (minggu pertama dan ketiga) - Kuliah Maghrib - Umum - Surau At-Taqwa Bndar Baru Sungai Buaya.

Wednesday, March 30, 2011

Nahu (Terjemahan Nahu Wadih) - Juzuk-juzuk Dalam Jumlah






Juzuk jumlah


Kita telah mengetahui pada perbincangan yang lepas bahawa jumlah mufidah itu tersusun daripada juzuk-juzuk yang terdiri daripada beberapa kalimah. Sekarang, marilah sama-sama kita ketahui pembahagian kalimah pula.

Cuba kita perhatikan betul-betul terhadap jumlah-jumlah yang diberikan. Kita akan dapati bahawa kalimah Ibrahim , Ismail , al-fallah [para petani], adalah lafaz-lafaz yang digunapakai untuk manusia.

Perhatikan pula kalimah Al-hishon [kuda] , al-qittu [anak kucing], asy-syaah [kambing biri-biri] , ia adalah lafaz-lafaz yang digunapakai untuk beberapa jenis haiwan.

Kalimah al-Qamh [ gandum], al-ful [kacang] , al-sya'ir [barli] adalah lafaz-lafaz yang digunakan untuk menunjukkan beberapa jenis-jenis tanaman. Al-hujrah [bilik], al-safinah [kapal], al-maa' [air] pula adalah lafaz-lafaz yang menunjukkan beberapa jenis benda yang kaku. Kalimah al-nasihah [nasihat], al-nur [cahaya] dan al-safar [permusafiran] adalah lafaz yang menunjukkan pelbagai lagi makna yang lain. Oleh kerana itu, setiap kalimah ini dinamakan pula sebagai ISIM (kata nama). Begitulah juga dengan setiap kalimah yang kita gunakan untuk manusia, haiwan, tumbuhan, benda-benda jamid (kaku) atau apa sahaja.


Sekarang mari kita lihat semula kepada jumlah-jumlah tadi. Kita akan menjumpai setiap satu daripada kalimah rokiba [telah menunggang], yudaa'ibu [sedang bermain-main], ta'kulu [sedang makan] dan kesemuanya menunjukkan perbuatan yang dilakukan pada masa-masa tertentu. Lafaz 'rokiba' misalnya, ia menunjukkan kepada perbuatan menunggang yang telah dilakukan pada masa sebelumnya. Lafaz yuda'ibu pula menunjukkan perbuatan bermain-main atau bergurau pada masa sekarang atau akan datang. Begitulah seterusnya yang boleh kita hurai sendiri terhadap kalimah yang lain. Oleh kerana itulah dinamakan semua kalimah daripada jenis ini sebagai fe'el (kata kerja).

Dan apabila kita memerhatikan pula terhadap 3 jumlah yang terakhir, maka kita akan menjumpai kalimah في , على dan هل . Kalimah-kalimah ini sekiranya dituturkan begitu sahaja (tanpa memasukkan kalimah sokongan yang lain) maka maknanya tidak akan dapat kita fahami secara sempurna. Namun apabila ianya digunakan di dalam jumlah, maka barulah kita boleh memahami maknanya dengan sempurna. Ketiga-tiga kalimah yang diberikan dalam contoh jumlah tadi dinamakan sebagai Huruf. Demikian juga semua kalimah yang sama jenis dengannya.

Sunday, March 20, 2011

Nahu (Terjemahan Nahu Wadih) - Mengenali Jumlah Mufidah

[Untuk Peringkat Ibtida-i ]




Mengenali Jumlah Mufidah

Apabila kita perhatikan kepada tarkib (susunan kalimah) pada nombor yang pertama, kita dapati ianya tersusun daripada dua kalimah, yang pertama [al-bustanu], dan yang kedua [jamilun].

Sekiranya kita melihat kepada perkataan pertama sahaja iaitu [ al-bustanu] maka kita tidak dapat memahami melainkan hanya satu makna yang tidak cukup untuk digunakan tujuan perbualan. Begitu juga keadaannya sekiranya kita hanya menggunakan kalimah kedua iaitu [jamilun].

Namun, apabila sahaja kita menghimpunkan kedua-dua kalimah tersebut seperti yang dapat kita lihat dalam contoh jumlah (ayat) yang pertama, iaitu [ al-bustanu jamilun, Kebun itu cantik] maka kita dapat memahami makna dan faedahnya secara sempurna, iaitu menyifatkan kebun tersebut dengan sifat cantik.

Oleh kerana itulah susunan sebegini dinamakan Jumlah Mufidah, iaitu ayat memang memberi faedah (boleh difahami). Setiap satu antara dua kalimah itu dikira sebagai satu juzuk daripada jumlah tadi. Demikianlah juga yang boleh kita katakan terhadap contoh-contoh jumlah lain yang telah diberikan.

Dengan penjelasan ini, kita dapati bahawa menggunakan satu kalimah sahaja tidak memadai untuk tujuan perbualan. Ia mesti tersusun daripada sekurang-kurangnya dua kalimah ataupun lebih, sehinggalah orang lain yang kita tujukan kata-kata kita kepadanya boleh memahami ayat kita dengan sempurna.

Adapun kalimah-kalimah seperti قم , اجلس , تكلم walaupun pada zahirnya dilihat seperti hanya satu kalimah yang boleh difahami, namun pada hakikatnya ia bukanlah satu kalimah sahaja.Sebenarnya ia terdiri daripada dua kalimah, yang salah satunya dilafazkan iaitu [qum – berdirilah] manakala kalimah yang lagi satu tidak dilafazkan iaitu [anta – kamu]. Ia boleh difahami oleh si pendengar itu sendiri walaupun tidak dilafazkan.

Saturday, February 5, 2011

Catatan Akhir Sebelum Pulang Ke Malaysia Untuk Sementara

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wrt...

Ketika saya menaip sekarang ini,masih ada 8 jam lagi masa yang berbaki sebelum saya sekeluarga dan seluruh pelajar Malaysia di Mansurah, Mesir ini bertolak ke Iskandariah untuk meneruskan perjalanan ke Jeddah Mesir. Kami bertolak jam 4 pagi, 5/2/2011 insyaAllah.


Kalau sebelum ini saya hanya menunaikan solat Isyak di masjid yang berhampiran dengan rumah, tapi sebentar tadi saya gagahkan juga untuk menunaikan Isyak di Masjid Huda Ar-Rahman, Utubis Jadid untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Syeikh Hussin Al-Asyari, salah seorang guru kepada pelajar Malaysia disini. Sekali-sekala perasan juga ada mata yang melirik tajam memerhati saya sepanjang perjalanan saya ke masjid tersebut. Walaupun jaraknya dengan rumah saya tidak jauh, hanya lebih kurang 200 meter, tapi oleh kerana perintah berkurung bermula dari jam 6 malam sedikit sebanyak hadir juga rasa tak sedap hati walaupun tak pernah dijemput. Pelbagai kalam nasihat yang diberikan oleh Syeikh Hussin, dan ia menjadi bekalan berharga buat saya sepanjang berada di Malaysia untuk tempoh beberapa bulan nanti.

Mesir dan Rakyatnya

Bila bercakap mengenai rakyat Mesir, setiap warga Malaysia disini saya percaya mempunyai pelbagai pandangan dan tanggapan. Pandangan yang abstrak. Pandangan yang sekiranya diukur dengan neraca yang betul, insyaAllah ia akan menjadi pandangan yang persis kepada kebenaran.

Secara peribadi, dan setelah menilai dari pelbagai sudut dalam tempoh yang pada saya hampir matang, apa yang boleh saya simpulkan adalah Mesir mempunyai rakyat yang bersikap 'sentiasa hendak menang' dan 'pantang dicabar'. Saya dapat melihatnya dalam pergaulan saya dengan pelbagai golongan disini. Cuma yang membezakan mereka adalah sejauh mana mereka meletakkan sikap ini pada situasi dan adab yang sesuai.

Sikap yang tidak sesuai misalnya ketika di jalanraya. Kalau bertembung dua buah kenderaan di satu lorong kecil, jarang sekali kita lihat untuk salah sebuah kereta berundur dulu. Biasanya akan berlakulah siri berbalas-balas hon, ditambah pula dengan secamca makian, barulah ada yang beralah. Bukan semua, tapi majoriti.

Namun, sikap yang sama apabila diletakkan ditempat dan situasi yang betul, maka sepertimana yang dapat kita lihat berlakunya revolusi mendadak rakyat Mesir menentang pemerintahan Husni Mubarak. Maka bergegarlah mimbar-mimbar Jumaat dengan kata-kata semangat oleh para khatib yang berkhutbah tanpa teks, yang meniup semangat juang rakyat Mesir untuk bangkit demi memastikan Islam 'menang' di Mesir dan hati-hati rakyatnya. Semakin ramai yang terkorban dan cedera, semakin ramai yang bangkit mengisi kekosongan.

Nikmat Yang Dirindui

Antara nikmat paling besar yang Allah kurniakan di Mesir ini adalah nikmat memberi salam. Berilah salam kepada siapa sahaja, insyaAllah mereka akan menjawabnya walaupun mereka tidak mengenali kita. Kalau nampak ada golongan anak-anak muda yang duduk-duduk ditepi jalan dan kita bimbang diganggu, cara mengatasinya adalah hanya perlu memberi salam. Salam kita akan dijawab dan kita tidak akan diganggu (insyaAllah).

Khutbah Jumaat disini juga adalah salah satu nikmat yang pada saya amat dirindui dan dikenang sepanjang berada di Malaysia nanti. Bukan mahu membezakan, tapi saya mahu supaya khutbah-khutbah kita dinilai semula. Untuk pengetahuan, khutbah di Mesir kebanyakannya sangat memyentuh rohani. Ia bukan khutbah tangkap muat. Bahkan khatib-khatib disini benar-benar berkhutbah, dengan suara dan nada yang tegas. Sukar untuk melihat jemaah yang tidur ketika khutbah.

Disini juga ada beberapa saluran khas yang berbentuk Islamik di televisyen dan radio. Sepanjang saya berpagi-pagi berniaga nasi lemak ke Tir'ah, boleh dikatakan lebih kurang 90% pemandu teksi memilih siaran Iza-atul Quran minal Qahirah untuk menjadi halwa telinga. Saya pernah berbual dengan salah seorang peniaga di salah sebuah kedai runcit berhadapan Kompleks Sukan Universiti Mansurah (Istad Gama'ah) dan saya katakan orang Mesir suka dengar Al-Quran. Dia mengakui kata-kata saya namun dengan sedikit tambahan "tapi orang Mesir masih kena belajar akhlak Al-Quran". Saya hanya tersenyum kerana ada benarnya. Apapun, kita kena lihat nilai diri kita sendiri dulu sebelum menilai orang lain.

Opah dan Atok Yang Sangat Merindui Umar Abdullah

Semuanya perancangan Allah. Mungkin dek kerana rasa rindu yang menggugah jiwa mak dan abah saya di tanah air kepada cucu sulong mereka yang belum pernah dilihat depan mata, maka Allah tunaikan juga hajat mereka. Saya sendiri dapat merasakan betapa meraka tertunggu-tunggu untuk mendukung Umar. Gembira benar nada suara mereka ketika saya menghubungi mereka semalam dan menyatakan kepulangan kami bersama Umar. Kata adik saya, mak dah siap buatkan mainan khas untuk Umar di laman rumah. Jangan asyik main sudahlah ye Umar. :)

Rindu rasanya untuk bersalaman dan mengucup kedua tangan mereka. Tangan yang pernah digunakan untuk merotan saya sewaktu kecil dahulu, yang 'manisnya' saya rasai sekarang.

Saya rasa setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan. Assalamualaikum wrt..

Tuesday, January 11, 2011

Lauk-lauk Untuk Nasi Lemak Akhi

Dikemaskini pada 14/01/2011


Sebaiknya baca dulu entri terdahulu mengenai Nasi Lemak Akhi disini

Assalamualaikum wrt khusus buat para pelanggan Nasi Lemak Akhi yang dikasihi. Entri ini dibuat khusus untuk mempamerkan gambar-gambar lauk yang akan dijual bersama dengan Nasi Lemak Akhi.

1. Rendang Daging. Sepeket hanya LE 3.50. Lebih kurang 1/4 daripada sepinggan seperti yang ditunjukkan.




2. Rendang Ayam, Seketul LE 6.00



3. Sambal Tumis Udang, sepeket (lebih kurang 1/5 daripada gambar yang ditunjukkan) berharga LE 3.00.


Menu Tambahan

1. Mee Goreng. LE 5.00



Tuesday, January 4, 2011

Menyingkap Tirai Kebahagiaan




MENYINGKAP TIRAI KEBAHAGIAAN

Bila kita bertanyakan secara berasingan kepada sepuluh orang kenalan kita mengenai erti kebahagiaan, maka kita akan mendapatkan jawapan yang pelbagai. Kebarangkalian untuk kesemua mereka memberikan jawapan yang sama adalah tipis. Ini kerana definisi kebahagiaan adalah subjektif mengikut penilaian setiap individu. Persoalannya, adakah benar erti kebahagiaan yang kita sangka selama ini bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Islam?

Ada yang merasakan bahawa kebahagiaan itu terletak dalam kedudukan dan jawatan yang hebat di sisi manusia lalu dia bersungguh-sungguh mengejarnya. Misalnya Firaun, seorang yang mempunyai kedudukan dan jawatan tertinggi di Mesir satu ketika dahulu. Berulang-ulang kali Allah ceritakan perihal Firaun ini di dalam Al-Quran. Betapa dia seorang yang angkuh, sombong, ego dan bongkak dengan kuasa dan kedudukan yang dimilikinya sehingga menjadi seorang yang sangat ingkar kepada ajaran Nabi Musa a.s. Akhirnya dia mati dalam keadaan hina ditelan Laut Merah. Bahkan Allah kekalkan jasadnya hingga hari ini sebagai pengajaran kepada kita semua. Ternyata kedudukan yang tinggi tidak menjamin kebahagiaan seorang manusia bila tidak disertakan dengan iman.

Ada yang menyangka bahawa kebahagiaan itu adalah pada harta yang melimpah ruah, lalu dia berusaha siang malam untuk mengumpul harta sehingga menjadi mewah. Allah mengisahkan perihal Qarun, si kaya yang memiliki khazanah harta yang sangat banyak sehingga anak-anak kunci gedungnya sahaja terpaksa dibawa oleh satu kumpulan pekerjanya yang gagah. Namun malang sekali, kemewahannya itu hanya membawanya semakin jauh daripada Allah. Dia menjadi salah seorang penentang terhebat kepada dakwah Nabi Musa a.s selain Firaun. Akhirnya Allah membenam Qarun dan mahligainya ke dalam bumi sebagai balasan kepada perbuatannya. Ternyata kemewahan yang melimpah ruah tidak menjamin kebahagiaan seseorang apabila tidak disertakan dengan iman.

Tidak kurang pula yang menganggap kebahagiaan itu terletak pada raut wajah yang cantik, lalu dia sanggup membelanjakan sebanyak mungkin hartanya melakukan pembedahan plastik demi mencantikkan wajah. Ya, kebiasaannya wajah memang menjadi cantik setelah pembedahan. Namun untuk tempoh berapa lama? Berapa banyak pula pantang larang yang mesti dijaga supaya kulit muka tidak rosak? Adakah siapa-siapa yang boleh menjamin bahawa wajahnya akan kekal cantik sampai ke hari tua?

Ramai juga yang mengira bahawa kebahagiaan itu terletak di dalam kemasyhuran. Mereka sanggup melakukan apa sahaja yang boleh menjadikan mereka masyhur, walaupun terkadang terpaksa melakukan perkara yang menggadai nyawa mereka sendiri bahkan terkadang sanggup meninggalkan solat bila bertembung waktunya. Mereka mendambakan kemasyhuran, pujian dan sanjungan disisi manusia sedangkan dalam masa yang sama mengundang murka Allah. Bahagiakah mereka sebenarnya?

Dikalangan remaja khususnya, ada yang menyangka kebahagiaan itu terletak dalam rasa cinta dan kasih tidak terhingga kepada pasangannya walaupun masih belum diikat dengan ikatan yang sah. Mereka berasa amat bahagia dapat berpegangan tangan, jalan berpelukan dan 'bersiar-siar' di taman pada waktu malam berduaan. Sehingga dek kerana melayan rasa cinta itu tadi kehormatan pun terkorban. Maruah tercalar. Pasangan yang tadinya begitu hebat menyusun bait-bait indah madah cinta, kini mula mengatur langkah untuk menjauhkan diri. Lalu hati menjadi hancur dan akal hilang pertimbangan. Rasa sesal mula menyinggah. Akhirnya berlakulah 'drama bersiri' pembuangan anak, bunuh diri dan macam-macam lagi yang entah bila akan menemui episod terakhir.

Begitulah realiti yang terjadi dalam kehidupan kita. Banyak perkara yang kita sangka ianya membahagiakan dan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk memperolehinya, rupanya tanpa kita sedar ia sebenarnya adalah punca kebinasaan.

DI MANAKAH KEBAHAGIAAN HAKIKI?

Kebahagiaan itu sebenarnya terletak dalam sejauh mana kecintaan kita sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t. Rasa cinta ini tidak akan hadir melainkan dengan iman. Kemanisan iman pula tidak akan diperolehi melainkan apabila kita bersungguh-sungguh berusaha meningkatkan dan memeliharanya.

Seorang hamba Allah yang benar-benar beriman kepada Allah akan sentiasa redha dan pasrah dengan apa jua ketentuan Allah kepada dirinya. Dia tahu bahawa segalanya datang dari Allah. Kesenangan dan kesusahan itu dari Allah. Buruk dan baik juga dari Allah. Begitu juga dengan kebahagiaan, ia juga datangnya dari Allah. Setiap apa yang berlaku kepadanya, dia akan sandarkan kepada Allah dan dengan itu dia akan sentiasa berasa tenang dan bahagia dalam apa jua keadaan. Kalau diberi nikmat, dia bersyukur. Kalau diuji dengan musibah, dia bersabar.

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Ajaibnya orang beriman; semua urusannya baik-baik belaka. Sekiranya dia dikurniakan nikmat, dia bersyukur dan itulah yang terlebih baik baginya. Sekiranya ditimpa ujian, dia bersabar dan itu adalah terlebih baik baginya. Hal seperti ini tidak akan berlaku melainkan hanya kepada orang yang beriman." HR Muslim.

Ya, kebahagiaan hakiki adalah anugerah yang Allah khususkan untuk orang yang beriman. Mereka tetap bahagia walaupun kehidupan mereka sentiasa diliputi dengan perkara yang pada pandangan insan lain sebagai kesengsaraan. Mereka faham bahawa kemewahan, pangkat, darjat, kedudukan, kecantikan dan apa sahaja yang seumpamanya hanya nikmat yang bersifat sementara dan tidak berkekalan. Ia bukanlah syarat kebahagiaan. Syarat bahagia adalah iman. Semewah mana pun kita, setinggi mana pun darjat kita, seindah mana pun rupa paras kita, semuanya tidak akan dapat menjamin kebahagiaan selagi kita tidak sertakan dengan iman.

BAGAIMANA UNTUK BAHAGIA?

Ada banyak cara yang diajar oleh Islam untuk kita memperoleh kebahagiaan. Antaranya adalah dengan menahan kemarahan kita selagi perkara itu bukanlah perkara yang meremehkan soal agama. Jangan mudah marah kerana marah itu adalah kunci kepada kejahatan. Syaitan amat suka dengan orang yang sedang marah. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya segera berwuduk ketika sedang marah, kerana kemarahan itu adalah 'api' yang dinyalakan oleh syaitan dan ia akan segera padam bila kita berwuduk. Bila rasa marah itu hilang, kita pasti akan berasa tenang, bahagia dan tidak tertekan.

Kebahagiaan juga akan datang bila kita sentiasa bersyukur dan redha dengan apa jua yang Allah rezekikan kepada kita. Rezeki segantang kita bersyukur, rezeki secupak pun kita bersyukur. Lihatlah mereka yang lebih bawah daripada kita dalam hal keduniaan ini. Pasti kita akan mendapati mereka yang jauh lebih susah dan sedikit pendapatannya daripada kita. Bukan hendak mengatakan tidak perlu berusaha mencari rezeki dan hanya berserah sahaja kepada Allah. Tidak. Ini bukan konsep yang betul. Bahkan kita hendaklah berusaha semampu yang boleh, namun urusan rezeki kita serahkanlah kepada Allah. Seperti yang dikatakan tadi, kalau banyak kita bersyukur, kalau sedikit pun kita bersyukur.

Ikhlas dalam beramal juga adalah kunci kebahagiaan. Amalan yang ikhlas hanya kerana Allah akan membuat kita langsung tidak mengharapkan sebarang pujian daripada manusia. Bila kita melakukan amalan yang bukan kerana Allah, maka kita tidak akan berasa puas hati selagi amalan itu tidak diketahui oleh orang yang kita sasarkan. Kita akan berasa tidak bahagia bila bakal mertua tidak melihat kesolehan kita menunaikan solat dengan penuh 'khusyuk'. Kita juga akan berasa tidak bahagia kalau orang ramai tidak melihat cek besar yang kita sumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Sedangkan apalah yang ada pada pujian manusia yang sangat bersifat sementara. Oleh itu ikhlaskanlah niat kita dalam beramal. Beramallah dengan penuh rasa cinta kepada Allah, bukan cinta kepada pujian orang ramai. InsyaAllah kita pasti akan berasa bahagia.

SIFAT MAZMUMAH MENGHILANGKAN BAHAGIA

Kebahagiaan yang hakiki tidak dapat dirasai oleh seorang yang melazimi perbuatan mazmumah, iaitu perbuatan yang dicela oleh agama. Iman adalah cahaya yang membawa kebahagiaan manakala perbuatan mazmumah hanya mengundang kegelapan. Hati yang tiada cahaya iman sebenarnya tidak bahagia walaupun pada zahirnya dilihat bahagia.

Sesungguhnya sifat marah, dendam, hasad dengki, bakhil, tamak, mudah marah, ego, riak, cinta dunia dan pelbagai lagi penyakit hati adalah sifat mazmumah yang sangat perlu kita hindari jika kita ingin mengecap nikmat bahagia. Yakinlah, semakin banyak sifat mazmumah ada dalam diri kita sebanyak itulah juga kita akan jauh daripada kebahagiaan.

Oleh itu marilah kita semua sama-sama kembali kepada Allah. Carilah kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang pernah dikecapi oleh para kekasih Allah. Marilah kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan Hadis. Marilah kita luangkan masa untuk menghayati ajaran Rasulullah s.a.w. InsyaAllah melaluinya kita akan beroleh kebahagiaan.