MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Blog Archive

Wednesday, January 6, 2010

Muhasabah :Qiyamullail- Baca al-Quran dan Solat Tahajjud


Kita digalakkan untuk banyak membaca al-Quran terutama pada waktu malam. Apatah lagi ketika solat tahajud. Firman Allah,

ليسوا سواء من أهل الكتاب أمة قائمة يتلون آيات الله آناء الليل وهم يسجدون* يؤمنون بالله واليوم الآخر ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويسارعون في الخيرات وأولئك من الصالحين


"Mereka (orang-orang Ahli Kitab) itu tidak sama; di antara ahli kitab itu ada golongan yang berlaku lurus (yang tegar dalam jalan yang benar) – iaitu golongan Ahli Kitab yang memeluk Islam- , mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di waktu malam hari, dan mereka juga bersujud (menyembah Allah). # Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebaikan; mereka itu termasuk golongan orang-orang yang soleh ” Surah Ali Imran ayat 113 dan 114

Imam Ibnu Kathir rahimahullah menafsirkan ayat و هم يسجدون dengan katanya,

أي : يقومون الليل ، ويكثرون التهجد ، ويتلون القرآن في صلواتهم

Yakni : Mereka menghidupkan malam, memperbanyakkan tahajjud dan membaca al-Quran di dalam solat mereka.


Dalam sebuah hadis lain Baginda s.a.w bersabda mengenai orang yang tidur sepanjang malam sehingga Subuh,

ذاك رجل بال الشيطان في أذنيه

Dia telah dikencingi oleh syaitan pada kedua telinganya. Muttafaqun ’Alaih


Daripada Hadrat Sahl bin Sa’ad r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

شرف المؤمن قيام الليل

Kemuliaan orang mukmin itu adalah pada qiyamullail. Riwayat Imam Tabrani

Hadis-hadis mengenai perkara ini banyak didapati.



Kenapakah digalakkan pada waktu malam? Kerana pada waktu malam, suasananya hening dan hati kita lebih mudah untuk khusyuk. Pada waktu ini, kita jauh dari kesibukan, jauh dari perkara yang melalaikan, terpelihara dari menunjuk-nunjuk, dan apa jua perkara yang membatalkan penerimaan amalan kita disisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w,

إن في الليلة لساعة لا يوافقها رجل مسلم يسأل الله خيرا من أمر الدنيا و الآخرة إلا أعطاه إياه. و ذلك كل ليلة

Sesungguhnya dalam satu malam, benar-benar terdapat satu ketika yang tiadalah seorang muslim itu meminta kepada Allah baik kebaikan duniawi atau ukhrawi, melainkan Allah akan memberikannya. Itu berlaku pada tiap-tiap malam. HR Imam Muslim


Seseorang yang mendirikan qiyamullail dengan solat dan membaca al-Quran, tetap akan mendapat kelebihannya disisi Allah tidak kira sama ada amalannya pada malam itu sedikit atau banyak. Lebih banyak amalannya, lebih banyaklah kelebihannya. Namun tidak digalakkan bahkan makruh hukumnya berterusan beribadah sepanjang malam.

Daripada Hadrat Anas r.a, bahawasanya beberapa sahabat Rasulullah s.a.w bertanya kepada isteri Rasulullah s.a.w mengenai amalan Baginda di waktu sunyi. Maka (selepas mengetahui amalan Rasulullah s.a.w) berkata salah seorang antara mereka, ”Aku tidak akan berkahwin. Berkata yang lain, ”Aku tidak mahu makan daging (makanan yang sedap-sedap)”. Berkata yang lain, ”Aku tidak mahu tidur atas hamparan”.

Baginda lalu memuji-muji Allah seraya bersabda,


ما بال أقوام قالوا كذا و كذا ؟ لكني أصلي و أنام و أصوم و أفطر و أتزوج النساء. فمن رغب عن سنتي فليس مني

Apakah halnya dengan beberapa orang yang berkata begitu dan begini. Aku sendiri bersolat malam namun aku juga tidur. Aku berpuasa namun aku juga berbuka. Dan aku mengahwini perempuan. Barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku, maka bukanlah dari golonganku. HR Imam Muslim


Marilah kita sama-sama menyemai rasa cinta kepada Allah dengan menghampirkan diri kepada-Nya. Marilah bermanja dengan Allah. Mengadu dengan Allah. Allah suka mendengar rayuan kita hamba-Nya. Saya dan antum, kita semua amat berhajat kepada cinta agung ini. Kita mesti berusaha mencari cinta-Nya. Siapalah kita di dunia ini kalau Allah tidak menyukai kita. Tanda Allah sayangkan kita, Allah akan selalu beri hidayah dan taufiq kepada kita untuk berduaan dengan-Nya. Semoga Allah pilih kita dikalangan hamba-Nya yang dicintai dan dikasihi. Amin.Amin.Amin..


Rujukan

1) al-Minhaj Syarah Sohih Muslim oleh Imam Nawawi
2) at-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran oleh Imam Nawawi
3) al-Mu'jam al-Wasit oleh Imam Ibnu Hisham
4) Tafsir Ibnu Kathir

No comments:

Post a Comment