MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Saturday, September 25, 2010

Bahana Cinta Tidak Ikut Syariat - "Tetap Sayang Pembunuh Anak!"


Seorang 'ibu', Siti Nurhanim Aziz benar-benar mengejutkan seluruh rakyat Malaysia dengan pengakuannya yang masih mencintai kekasihnya Mohd Fazli Azri berumur 28 tahun walaupun kekasihnya ini adalah pembunuh kepada anaknya Syafiah Humaira, 3 tahun. Sukar untuk diklasifikasikan jenis ibu yang seperti ini.

Rasa cinta dan tidak pernah marah kepada pembunuh hatta dalam situasi yang seperti ini adalah sesuatu yang amat menyalahi fitrah manusiawi. Bukan sahaja manusia, bahkan haiwan yang tak berakal itu juga marah bila anaknya diganggu, apatah lagi dibunuh.


Kronologi Pembunuhan - sumber : myberita.com

‘Jangan pulaukan kami sekeluarga’ – (08-04-10)
KUALA KUBU BHARU: “Tolonglah jangan pulaukan kami sekeluarga,” rayu ibu Mohd Fazli Azri Jamil, yang menghadapi tuduhan membunuh adik Syafiah Humaira Sahari, mangsa yang didera sehingga mati, bulan lalu. Norhaziah Yusof, 52, dengan berlinangan air mata, meluahkan rasa kesal kerana mereka sekeluarga turut dipersalahkan dan dipulaukan penduduk kampung atas kejadian yang berlaku terhadap Syafiah, 3. “Tolonglah, anak saya (tertuduh) belum lagi disabitkan bersalah oleh mahkamah atas tuduhan membunuh Syafiah, jadi jangan jatuhkan hukuman kepadanya dan kami sekeluarga.

“Saya seorang ibu, saya yang mengandung, melahirkannya (tertuduh) dan saya lebih mengenali siapa sebenarnya anak saya. Dia baru dituduh di mahkamah, perbicaraan belum bermula dan kita sendiri masih belum tahu siapakah sebenarnya menyebabkan kematian Syafiah,” katanya. – Berita Harian

Pemandu teksi mengaku tidak bersalah tuduhan bunuh Humaira – (23-04-10)
SHAH ALAM: Pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini terhadap tuduhan membunuh anak teman wanitanya, Syafiah Humaira Sahari, 3, Februari lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Syafiah Humaira dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu selepas mengalami pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen. Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh, 27 Februari lalu.

Perbicaraan kes bunuh Syafiah Humaira bermula – (08-06-10)
SHAH ALAM: Perbicaraan kes pembunuhan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, bermula hari ini.

Ibu kanak-kanak malang itu, Siti Norhanim Aziz, 25, menjadi saksi kedua pendakwaan, memberi keterangan terhadap pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil, 28. Mohd Fazli sebelum ini mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh Syafiah Humaira di padang bola di sebuah kawasan perumahan kos rendah di Ulu Yam Lama, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 25 Februari lalu. Siti Norhanim memberitahu mahkamah beliau berkahwin dengan suaminya, Sahari Usul, seorang anggota polis yang kini ditahan di reman di Penjara Sungai Buloh, membabitkan satu kes bunuh.

Pelajar lihat tertuduh pijak perut kanak-kanak – (08-06-10)
SHAH ALAM: Saksi pendakwaan keenam kes pembunuhan kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau melihat tertuduh memijak perut seorang kanak-kanak

Pelajar tingkatan enam, Ahmad Fikrihalis Zakaria, memberi tahu mahkamah, beliau melihat tertuduh yang juga pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil, 28, menendang bahu kiri kanak-kanak itu sehingga mangsa terpelanting ke belakang. Katanya, ketika beliau sedang menghentikan motosikal yang dinaikinya, tertuduh yang dikenalinya sebagai Mat, berkata kepadanya: “Pernah nampak tak budak kena terajang?” Mohd Fazli dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh Syafiah Humaira di padang bola di sebuah kawasan perumahan kos rendah di Ulu Yam Lama, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 25 Februari lalu.

Pagi tadi, ibu kanak-kanak malang itu, Siti Norhanim Aziz, 25, yang juga saksi kedua pendakwaan, memberi keterangan.

‘Abang Mat pijak, tendang Umairah’ – (10-06-10)
SHAH ALAM: Tiga pelajar yang menjadi saksi kes bunuh kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Umairah Sahari, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mereka nampak tertuduh, Mohd Fazri Azri Jamil, 28, memijak, menendang dan menyeret serta menutup pintu teksinya sehingga terkena kanak-kanak itu. Ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor itu masing-masing berkata, mereka melihat kejadian itu berlaku di padang kawasan perumahan kos rendah Ulu Yam Lama, Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu. Saksi ketujuh pendakwaan, Muhammad Faleeq Hakimi Zazali, 16, berkata pada hari kejadian, beliau singgah di padang berkenaan untuk menonton permainan bola sepak.

Katanya, ketika berada di situ, beliau terlihat seorang budak perempuan tercampak selepas tertuduh menendang bola yang dipegang kanak-kanak itu.

Selepas tercampak, katanya, tertuduh yang dikenalinya sebagai Abang Mat, menyuruh kanak-kanak itu bangun tetapi mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan tertuduh menyeretnya dan mencampaknya keluar dari padang itu.

“Kemudian Abang Mat tarik tangan budak itu suruh bangun. Budak itu jatuh semula. Abang Mat suruh budak itu duduk dan budak itu duduk sebelum Abang Mat sepak (tendang) bahunya.
“Saya nampak Abang Mat memijak perut mangsa selepas menyepak bahunya,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes terhadap Mohd Fazli Azri yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh Syafiah Humaira di padang bola kawasan perumahan kos rendah di Ulu Yam Lama, Batang Kali, Hulu Selangor, 25 Februari lalu.

Nenek nampak kesan cucuh api rokok di lutut cucu – (11-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, kesan calar dan kesan seperti dicucuh dengan api rokok pada badan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, mula ditemui neneknya sejak awal tahun ini, iaitu setiap kali selepas cucunya pulang dari rumah tertuduh kes itu.

Darah profil DNA mangsa tak sepadan – (12-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu kesan darah pada sarung bantal, baju T berwarna putih, baju kanak-kanak dan kasut bola sebelah kiri yang didakwa digunakan untuk memijak kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari tidak sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) kanak-kanak itu.

Mangsa sudah mati ketika diperiksa – (12-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari sudah meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Neminder Singh oleh seorang lelaki yang mendakwa kanak-kanak itu terjatuh daripada motosikal. Saksi ke-17 pendakwaan, Dr Neminder Singh, 35, berkata kanak-kanak itu diterimanya dalam keadaan tidak bergerak, tiada sebarang tindak balas dan tidak sedarkan diri. “Saya memeriksa nadinya tetapi tiada. Anak mata pesakit tidak bertindak balas. Jantung pesakit juga tidak berdegup,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Zureen Elina Mohd Dom.

‘Syafiah menyorok bila nampak Mat’ – (17-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu sikap kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari mula berubah menjadi pendiam berbanding sikap biasanya yang periang, selepas kanak-kanak itu tinggal di rumah tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil, selama dua minggu, sebelum cuti Tahun Baru Cina tahun ini. Datuk mangsa, saksi ke-29, Aziz Sahar, 51, ketika memberi keterangan terhadap pemandu teksi, Mohd Fazli Azri, 28, berkata Syafiah Humaira kelihatan takut dan kadang kala ingin menyorok di belakang beliau setiap kali ternampak tertuduh yang dipanggil ‘Mat’ itu. “Saya tidak berapa kenal Mat secara peribadi tetapi dia ada datang ke rumah untuk mengambil dan menghantar anak saya pulang kerja dengan teksi. Mat juga ada datang tiga atau empat kali mengambil anak saya dan Syafiah (Humaira) pergi ke rumahnya.

Nasib tertuduh kes bunuh Syafiah Humaira ditentukan 22 September – (07-09-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 22 September ini bagi memutuskan sama ada Mohd Fazli Azri Jamil, pemandu teksi yang didakwa membunuh anak teman wanitanya pada Februari lalu, akan dibebaskan atau dihukum mati.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan hari ini. Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 Jun lepas, mahkamah telah mendengar keterangan daripada 33 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan. Mohd Fazli, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira Sahari, tiga tahun, di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali pada 6.30 petang 25 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli dihukum gantung selepas didapati bersalah bunuh Syafiah Humaira – (22-09-10)
SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun pada Februari lalu.

Semoga kes ini menjadi pengajaran kepada mereka diluar sana..

KEMASIKINI ! 23 September

Astagfirullahalazim…! ada juga manusia berhati begini. Mungkin ini yang dinamakan cinta sejati, tapi berpada-padalah. Kekasih kepada pemandu teksi tersebut menyebut -

“Saya tidak pernah marahkan dia (Mohd Fazli), sebab dia terlampau sayangkan anak saya, maka saya amat menyayanginya”

Malah, sebelum sempat Mohd Fazli digari semula, beliau dilihat mencium pipi Siti Nurhanim..


Bahana Cinta Yang Tidak Didasari Syariat

Keluar bersama tanpa ikatan pernikahan yang sah, duduk bersama dalam satu rumah, dan seumpamanya adalah perangkap yang dipasang oleh iblis laknatullah untuk menjerat anak Adam supaya terjerumus ke lembah dosa dan noda.

Apabila kegelapan dosa telah memenuhi segenap ruang hati, maka hilanglah cahaya dan matilah hati tersebut. Hati adalah ibarat raja kepada seluruh anggota badan. Dialah yang memberi arahan kepada tangan, kaki, bibir, dan anggota lain. Kalau baik sang raja, maka baiklah yang keluar daripada anggota badannya. Kalau buruk, buruklah yang keluar.

Membelasah anak kecil yang tidak tahu apa-apa, diterajang begitu sekali adalah tanda kepada matinya hati pelaku tersebut dan berjayanya tipudaya syaitan.

Membiarkan anak sendiri ditendang depan mata, dipijak atas perut tanpa rasa marah kepada pelaku perbuatan zalim tersebut juga adalah antara tanda hati yang mati. Hati yang sudah tidak mampu lagi untuk bangkit walau seinci mengatakan bahawa perbuatan ini adalah salah.

Semua gara-gara cinta yang bertuhankan nafsu. Diri menjadi ibarat kuda dan pemacunya adalah nafsu. Pandangan nafsu selalu sahaja melulu. Nafsu berbisik, 'kekasihmu itu lah cinta sejatimu, pelindungmu, heromu' sedangkan sebenarnya dialah racunmu, perosak imanmu, bahkan pembunuh anakmu!!

Jangan Bertasbihkan Cinta

Saya teringat sebuah artikel yang ditulis oleh Dr Pahrol Mohd Juoi mengenai cinta. Ia adalah sebuah artikel yang sangat menarik dan membuka hati. Antara lain beliau mengingatkan kita bahawa cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan dan ‘lesen’ seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.

Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.

Apabila seseorang mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari ini terutamanya di kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.

Semoga Allah bagi hidayah kepada kita semua, dan membuka pintu hidayah-Nya kepada Siti Nurhanim khususnya supaya sempat bertaubat dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Amin.

1 comment:

  1. masyaAllah..xtahu nk kOmen mcm mn..hati ini terasa panasssss je!

    ReplyDelete