MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Wednesday, December 30, 2009

Nahu : Perbezaan Zu Asmak Sittah Dan Zu Bani Toiyah



Assalamualaikum wrt


Saya dapat soalan melalui chatbox,


ingin tahu : salam ustaz..cmne nk beza zu asma' sittah dan zu isim mausul??


Jawapan saya :


ذو adalah salah satu daripada al-asmaa as-sittah yang dirafa3kan dengan wau, dinasab dengan alif dan dijarkan dengan ya.


Namun, disyaratkan pada 'zu' untuk beramal sebagai salah satu al-asmaa as-sittah supaya ia memberi makna صاحب (yang empunya @ memiliki ) Misalnya


جاءني ذو مال = Telah datang padaku seorang yang memiliki harta.


Dalam matan Alfiyyah Ibnu Malik,

من ذاك ذو إن صحبةً أبانا

"Dari asmaa sittah itu adalah 'zu'. Sekiranya ia memberi makna sohbah maka nyatalah ia (sebagai asmaa sittah)


"Disyaratkan demikian untuk membezakan dengan 'zu' yang digunakan oleh Bani To-iyah. Pada mereka zu tidak memberi makna sohbah @ sohib. Bahkan ia memberi makna الذى dan beramal sebagai isim mausul.



Perbezaan Dari Segi I3rab


Dari segi i3rab, zu Bani To-iyah ini juga tidak sama dengan zu asmaa sittah. Zu Bani To-iyah ini adalah mabni. Oleh kerana itu, ia tetap dibaca dengan 'zu' baik dalam keadaan rafa3, nasab atau jar.


Misalnya
جاءني ذو قام رأيت ذو قام مررت بذو قام

Cara membezakan keduanya


Kalau kedua-duanya datang dalam i3rab rafa3, mungkin akan berlaku kekeliruan kerana keduanya rafa3 dengan wau. Namun kita boleh bezakan dengan siyaqul kalam. Kita boleh faham bila kita cuba memahami atau menterjemah jumlah yang ada padanya 'zu'.


Misalnya contoh tadi جاءني ذو قام .


Kita terjemah dengan makna sohib maka akan jadi - Telah datang padaku orang yang memiliki berdiri. Sangat tidak sesuai.


Cuba terjemah pula dengan makna allazi - Telah datang padaku orang yang berdiri. Sesuai.


Adapun dalam keadaan nasab dan jar, maka perbezaan keduanya adalah jelas. Wallahu a'lam bissowab.

Rujukan - Syarah Ibnu Aqil Dar at-Tolai3 Madinah Nasr Qaherah juzuk 1 m/s 24


Entri ini pernah dimuatkan dalam blog terdahulu

Nahu : Cara Mengi'rab Jumlah


Assalamualaikum wrt

Rasulullah s.a.w bersabda,

إنما الأعمال بالنيات

Pada entri kali ini, saya yang dhaif lagi hina cuba untuk menerangkan kepada antum cara membaca jumlah atau kalam dalam bahasa Arab mengikut kaedah yang betul. Bukan betul mengikut takrifan saya, bahkan betul mengikut kaedah yang telah ditunjukkan oleh ulama nahu.

Dalam membaca kitab Arab, kita harus mengetahui :

1) Jenis setiap kalimah (sama ada isim, fe'el atau huruf)

2) Mu'rab atau mabni.

3) Kalau ianya mu'rab, apakah pula keadaannya (sama ada rafa', nasab, jar, atau jazam) dan kenapa dii'rab begitu

4) Hubungan antara setiap kalimah dengan kalimah sebelum atau selepasnya (jika ada)


Penerangan

1) Jenis setiap kalimah

Lihat hadis di atas, di sana ada beberapa kalimah.

إن = huruf
ما = huruf
الأعمال = isim
ب = huruf
النيات = isim

Bagaimanakah kita tahu kalimah ini isim dan kalimah itu pula huruf atau fe'el? Untuk mengetahuinya kita mesti tahu alamat-alamatnya. Dan untuk mengetahui alamat-alamatnya, silakan rujuk mana-mana kitab nahu. Untuk pelajar kuliah lughah khususnya, saya galakkan antum rujuk kitab Audoh al-Masalik oleh Imam Ibnu Hisham rahimahullah atau kitab-kitab seumpamanya.

2) Mu'rab atau mabni

Dalam hadis di atas, ada 4 kalimah yang tegolong dalam jenis huruf. Kesemuanya adalah mabni. Kaedah nahu yang harus diingat , 'Semua huruf adalah mabni'.

Adapun kalimah الأعمال dan النيات , keduanya adalah mu'rab dalam jenis isim jamak mukassar munsorif dan jamak muannas salim.


3) Kalau ia mu'rab, apa pula keadaan i'rabnya dan kenapa?

Pada kalimah الأعمال i'rabnya adalah rafa'. Kenapa ia dii'rab rafa'? Kerana huruf إن yang tugas atau amalannya adalah menasabkan isim dan merafa'kan khabarnya tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa kerana masuknya huruf ما الكافة padanya.

Sebagai pencerahan, cuba kita lihat ayat ini, (tanpa ما )

إن الأعمالَ بالنيات

Lafaz الأعمال dinasabkan kerana ia jadi isim إن. Kemudian bila dimasukkan ما الكافية , secara automatik amalan إن terhenti dan pada ketika ini الأعمال menjadi rafa' kerana ia adalah mubtada.

Kalimah النيات pula i'rabnya adalah jar kerana masuk padanya huruf jar.


4) Hubungan antara setiap kalimah dengan kalimah yang sebelum atau selepasnya (jika ada)

Dalam hadis di atas, oleh kerana kalimat dalam jumlah atau ayatnya agak sedikit, maka saya rasa lebih sesuai kalau saya gunakan jumlah yang lain.

Kita ambil ayat basmalah misalnya

بسم الله الرحمن الرحيم

Hubungan antara :
i) الباء dan اسم = huruf jar dan majrurnya
ii) اسم dengan lafaz الله = mudhof dan mudhof ilaih
iii) Lafaz الله dengan الرحمن = mausuf dan sifat awal
iv) Lafaz الله dan الرحيم = mausuf dan sifat kedua

Apabila kita perhatikan kepada 4 hubungan di atas, kita akan dapati bahawa tidak semua kalimah itu mempunyai hubungan dengan kalimah yang betul-betul selepas atau sesudahnya.

Kalimah الرحيم misalnya, tiada hubungan dengan kalimah الرحمن namun ada hubungan dengan kalimah jalalah selang sebelumnya.

Kalau ditanya: Kenapa perlu mengetahui hubungan antara kalimah?

Maka saya katakan, mengetahui hubungan antara kalimah adalah sangat penting untuk memelihara daripada salah faham terhadap maksud sebenar yang ingin disampaikan. Oleh kerana perkara ini sangat pentinglah para ulama nahu dalam sesetengah bab telah mengkhususkan perbahasan mengenai wajib, harus atau tertegahnya taqdim dan ta'khir dalam sesetengah hukum i'rab.

Misalnya pada ayat

انما يخشى اللهَ من عباده العلمآءُ

" Hanyasanya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-hamba-Nya adalah para ulama" Surah Fathir ayat 28

Kalaulah kita sekadar mengetahui selepas fe'el adalah fa'il kemudian baru maf'ul, nescaya makna ayat ini akan jadi sebaliknya. Dalam ayat ini, lafaz jalalah adalah maf'ul dan fa'ilnya nun jauh di hujung ayat iaitu kalimah العلماء . Oleh kerana itu, mengetahui hubungan antara kalimah amat penting untuk memelihara kita daripada tersalah makna.

Sebenarnya bukan 4 perkara ini sahaja yang harus kita ketahui di dalam mengi'rab jumlah, bahkan ada beberapa perkara lain yang tidak kurang pentingnya. Namun 4 perkara tadi adalah yang asas dan terpenting untuk kita ketahui.

Sama-samalah kita pelihara dan semak semula niat kita dalam belajar ilmu-ilmu Islam terutama ilmu alat sepeti Nahu ini. Kita belajar Nahu bukan untuk bermegah dan berbangga. Bahkan ia adalah kunci untuk kita membuka pintu gedung khazanah ilmu yang ada dalam al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab muktabar yang lain. Wallahu a'lam.



Entri ini pernah dimuatkan dalam blog terdahulu

Akhlak : Sebarkanlah Salam



Situasi 1

Ahmad sedang menuruni tangga di kampus. Sedang menuruni tangga, berselisih pula dengan Ali. Hanya mereka berdua, tiada pelajar lain. Namun masing-masing hanya berlalu dan tidak ambil endah satu sama lain dengan alasan masing-masing bukanlah kawan rapat.

Situasi 2

Rosli sedang dalam perjalanan ke pasar. Ketika melalui satu lorong yang tidak ramai orang, berselisih pula dengan Pakcik Karim. Umurnya lebih kurang ayah Rosli. Mereka berselisih dan tiada orang lain yang lalu berhampiran mereka. Rosli hanya meneruskan perjalanan, tanpa memberi salam atau menegur pakcik tersebut dengan alasan tidak mengenalinya.



Assalamualaikum wrt..

Saudara-saudara yang dikasihi,

Sesungguhnya memberi salam itu adalah sunnah yang dilakukan sejak zaman nabi Adam a.s lagi sehinggalah hari kiamat. Ia juga adalah ucapan hormat ahli-ahli syurga sesama mereka. Firman Allah bermaksud :


" ....Dan ucapan penghormatan mereka (ahli syurga) di dalamnya adalah 'salam'.... " Surah Yunus ayat 10


Memberi salam adalah sunnah para nabi dan kebiasaan orang-orang yang bertaqwa. Namun alangkah sedihnya pada hari ini, kita kaum muslimin sudah tidak lagi mengendahkan soal memberi salam. Lalu kita dapat lihat, ramai antara kita yang lalu bersebelahan antara satu sama lain dan memang pada masa itu tidak menjadi masalah untuk memberi dan menjawab salam, namun masing-masing berat untuk memulakannya. Bahkan mungkin barangkali tiada niat langsung untuk itu. Salam hanya diberi pada sesiapa yang dikenali. Terkadang kita berasa hairan dengan saudara kita yang tidak dikenali mengucapkan salam kepada kita. Lalu kita bertanya ”Awak ni kenal saya ke?”



Saudara-saudara yang dikasihi.


Apa yang kita lakukan pada hari ini sebenarnya bersalahan dengan perintah Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itulah hati-hati kita sering berjauhan dan mudah berkasar antara satu sama lain. Nabi s.a.w bersabda

Kamu semua tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan tidak pula sempurna imanmu sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain. Mahukah daku tunjukkan pada kamu semua satu perkara yang apabila kamu melakukannya kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu HR Muslim


Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi s.a.w menjawab:

"Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (HR al-Bukhari dan Muslim)


Hadis di atas menjadi dalil betapa Rasulullah s.a.w amat menggalakkan umatnya untuk memberi salam antara satu sama lain. Bukan kepada yang dikenali sahaja, bahkan kepada semua umat Islam.


Ibnu Umar r.anhuma pernah pergi ke pasar. Dia berkata ”Aku ke pasar hanya untuk memberi salam kepada siapa sahaja yang aku jumpa”



Saudara-saudara seagamaku yang dikasihi.


Mengucapkan salam itu adalah tanda kerendahan hati dan kasih sayang seorang muslim kepada saudaranya. Mudah memberi salam melambangkan kebersihan hatinya daripada sifat hasad, dengki, benci-membenci, besar diri serta takabbur. Memberi dan menjawab salam itu sendiri adalah diantara hak sesama muslim. Ia adalah antara asbab untuk terhasilnya kebaikan dan masuk ke syurga Allah. Dengan menyebarkan salam, secara tidak langsung kita juga menghidupkan sunnah Nabi s.a.w.


Sabda Rasulullah s.a.w

”5 perkara yang diwajibkan ke atas seorang Muslim terhadap saudaranya. Menjawab salam, menjawab doa orang yang bersin, memenuhi undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazahHR Muslim



Wajib hukumnya kita menjawab salam apabila diberi,


Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.anhu, Rasulullah s.a.w bersabda:


"Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!"


Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."

Rasulullah menjawab,

"Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).



Imam Nawawi Rahimahullah berkata, " Ketahuilah bahawa memberi salam itu hukumnya sunat dan hukum menjawabnya adalah wajib. Sekiranya yang mahu memberi salam itu adalah satu kumpulan daripada orang Islam, maka hukum memberi salam adalah sunnah kifayah kepada mereka. Sekiranya salah seorang sahaja yang memberi salam, terhasil pahala sunat untuk semua yang lain. Sekiranya yang diberi salam pula hanya seorang, maka wajib keatasnya menjawab salam. Sekiranya ramai, maka memadalah jika salah seorang sahaja yang menjawab salam tersebut dan dengan itu terangkatlah kewajipan ke atas yang lain.”




Saudara-saudara yang dikasihi.


Marilah kita sebarkan salam. Sebarkan akhlak karimah umat Islam. Marilah kita semai kembali benih kasih sayang antara kita. Yakinlah dengan sabdaan junjungan kita Rasulullah s.a.w. Dengan kasih sayang yang wujud, kita akan mudah bersatu. Dan dengan bersatu, kita akan digeruni oleh musuh-musuh agama kita. Mudah-mudahan Allah menggolongkan kita dalam salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan melainkan naunganNya. Amin Amin Amin.

Wassalamualaikum wrt.


Muhasabah : Ikhlas


بسم الله الرحمن الرحيم

Tujuan utama kita belajar dan mengajar al-Quran adalah untuk mendapat redha Allah swt. Firman Allah,

و ما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء و يقيموا الصلاة و يؤتوا الزكوة و ذلك الدين القيمة

" Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan/memurnikan ketaatan kepada-Nya secara hanif (lurus), dan dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan itulah agama yang teguh
" Surah al-Bayyinah ayat 5

Dalam sebuah hadis yang masyhur sebagai salah satu daripada usul Islam, Rasulullah saw bersabda,

" Hanyasanya setiap amalan itu adalah dengan niat. Dan hanyasanya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan " Muttafaqun Alaih

Berkata Imam Abu al-Qasim al-Qusyairi rahimahullah (1) ,

"Ikhlas itu adalah memurnikan ketaatan dengan niat yang betul. Melalui ketaatannya, dia ingin sekali menjadi hampir kepada Allah dan tiada tujuan yang lain. Bukan kerana menunjuk-nunjuk kebaikannya kepada orang lain atau mendapat kedudukan yang terpuji disisi mereka. Bukan juga supaya dipuji atau apa jua yang semakna dengannya. Tujuannya hanya satu, menghampirkan diri kepada Allah."

Berkata Hadrat Huzaifah alMar'asyi rahimahullah (2),

" Ikhlas itu adalah sama sahaja perbuatan seorang hamba Allah itu baik ketika terang-terangan atau tersembunyi ".

Berkata Hadrat Zunnun al-Misri rahimahullah(3),

" Tiga perkara yang merupakan sebahagian daripada tanda keikhlasan:
i) Sama saja pujian atau celaan baginya
ii) Tidak mengingati amalan-amalan baiknya
iii) Mengharapkan balasan untuk amal baiknya di akhirat (bukan di dunia)

Berkata Hadrat Fudhail bin 'Iyadh rahimahullah,

" Meninggalkan amal kerana kerana manusia itulah sebenarnya riak. Dan beramal kerana manusia pula adalah syirik. Ikhlas tu adalah Allah memeliharamu daripada keduanya."

Berkata Hadrat Sahl at-Tustari rahimahullah (4),

" Orang-orang yang bijaksana telah merenung kepada erti keikhlasan. Maka mereka tidak mendapatinya melainkan ini. Iaitu setiap pergerakan atau diamnya (amalan) mereka baik secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan semuanya hanya kerana Allah, tiada yang lain. Bukan kerana hawa nafsu dan bukan juga kerana dunia. "


(1) Wafat 465 H
(2)Beliau adalah Huzaifah bin Qatadah, anak murid kepada Hadrat Sufyan ath-Thauri rahimahullah.
(3)Beliau adalah Zunnun al-Ikhmimi al-Misri. Wafat 245 H
(4) Beliau adalah Sahl bin Abdullah bin Yunus at-Tustari. Beliau bertemu dengan Hadrat Zunnun di Makkah. Wafat pada 283 H.

Rujukan,

Kitab at-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran oleh Imam an-Nawawi rahimahullah


Entri ini pernah dimuatkan dalam blog terdahulu

Muhasabah : Alangkah Kerdilnya Kita






















Assalamualaikum wrt.

Saudara-saudara yang dikasihi,

Lihatlah gambar-gambar di atas satu persatu. Kemudian sama-samalah kita renungkan. Kita ini tidak lain hanyalah makhluk Allah yang sangat kerdil. Sangat sangat kerdil. Tiada sebab untuk kita berasa angkuh, sombong, bongkak, meninggi diri dan apa sahaja sifat mazmumah yang seumpamanya.


Bumi yang amat besar pada pandangan mata kasar kita, hakikatnya teramat kecil. Bandingkan pula nisbah besar jasad kita berbanding bumi.

Kita sering lihat semut yang kecil, namun begitu gagah membawa makanan yang berkali ganda lebih besar daripadanya. Tidak sedikitpun timbul rasa takut kepada sang semut yang gagah tadi. Kenapa? Kerana kita mempunyai jasad yang beribu kali ganda lebih besar berbanding semut. Tapi bila sang semut menggigit kita, habis sampai penyek semut tadi kita kerjakan. Begitu gah sekali. Seolah-olah kita mahu buktikan pada semut, bahawa kita jauh lebih kuat daripadanya.


Saudara-saudara yang dikasihi,

Cuba kita andaikan, ada sebuah kawasan lapang seluas Malaysia, dan kita pula berdiri seorang diri di mana-mana tempat daripadanya. Bandingkan nisbah kita kepada kawasan lapang itu. Ah, begitu kecil sekali. Jauh lebih kecil berbanding sebiji guli yang berada di atas sebuah padang bola.


Baru dibandingkan dengan kawasan lapang seluas Malaysia, ternyata kita memang teramat kecil. Belum lagi dibandingkan dengan Asia Tenggara, kemudian dengan benua Asia, dan seterusnya.


Paparan gambar di atas hanya sekadar perbandingan bumi dan beberapa bintang yang terdekat dengan bumi. Masih ada berjuta lagi bintang di langit sana yang tidak kita tahu bagaimana besarnya.


Saya bukanlah ahli astronomi yang mahir mengenai perbahasan tentang cakerawala. Saya adalah seorang hamba kepada Sang Pencipta seperti kalian semua, yang diseru oleh-Nya untuk sama-sama memikir dan merenung hakikat penciptaan.


Terjemahan firman Allah,

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, benar-benar mempunyai tanda-tanda (kebesaran Allah) kepada orang-orang yang bijaksana" surah Ali Imran ayat 190.

Rasulullah s.a.w menangis tatkala ayat ini diturunkan kepada Baginda. Kemudian Baginda bersabda " Kecelakaanlah kepada siapa yang membacanya (ayat ini hingga akhir surah) namun tidak pula memikirkannya".


Saudara-saudaraku yang dikasihi,


Nah, Allah sendiri minta kita berfikir mengenai penciptaan alam ini. Tapi akal dan fikiran yang dikurniakan kepada kita, yang membezakan kita dengan makhluk lain ini, sering kita salah gunakan kepada perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah.


Allah Maha Penyayang. Tidak terhitung banyaknya kita menyalahgunakan nikmat akal fikiran yang Allah berikan, namun Allah masih sabar. Allah Maha Penyabar. Bukan seperti halnya kita dengan sang semut tadi. Baru sekali kena gigit, terus 'murka' dan memberi balasan berbentuk 'tunai'.

Marilah kita sama-sama renung dan fikirkan.

Mudah-mudahan video ini juga dapat membantu kita menghayati betapa hebat dan agungnya Sang Pencipta, dan seterusnya mendatangkan rasa insaf dalam diri kita. Amin.

p/s - Entri ini pernah dimuatkan dalam blog yang dulu.

Tuesday, December 29, 2009

Ulum al-Quran - Pendirian Imam as-Syaukani Mengenai Ilmu Munasabat


Saya mendapat soalan di chatbox,

Salam.akhi leh tak terangkan semula u.quran m/s 12 - 13


Respon terhadap soalan ustazah kuliah Usuluddin tahun 2 mengenai perbahasan awal di dalam Madah Ulum al-Quran, iaitu Ilmu Munasabat.

Para ulama tafsir ada yang bersetuju dengan kewujudan ilmu munasabat dan ada juga yang menegahnya.

Penegahan Adalah Bukan Secara Mutlak

Ulama yang menegah ilmu munasabat ini, mereka tidak menegahnya secara mutlak. Mereka menegah adanya hubungan atau munasabah di antara ayat-ayat yang diturunkan dalam maudhu’ yang berbeza atau tujuan yang berlainan.

Dengan ini, mafhum yang boleh kita fahami adalah ulama yang menegah ilmu munasabat ini mengharuskan jka berlakunya munasabah pada ayat-ayat yang berkisar satu maudhu’ atau perkara yang sama.


Muallif kitab, as-Syeikh Dr Rifai Abid hafizahullah (beliau seperti majoriti para mufassirin bersetuju dengan ilmu munasabat) memberi pencerahan seperti berikut,

” Dan untuk menerangkan dengan دليل تطبيقي akan benarnya pendapat kami, (marilah) kita membaca tulisan Imam as-Syaukani rahimahullah (di dalam kitab tafsirnya iaitu Fathu al-Qadir). Beliau adalah antara ulama tafsir yang paling kuat menentang ilmu munasabat. Beliau berpendapat bahawa ulama yang menyertakan ilmu munasabat di dalam tafsiran mereka telah membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Sedangkan dalam masa yang sama kita dapat melihat beliau banyak sekali menghubungkait atau memunasabahkan antara ayat-ayat atau surah-surah dalam lingkungan maudhu’ yang sama.

Berdasarkan perkara ini, sekali lagi dapatlah kita ketahui bahawa kalam beliau (Imam as-Syaukani) mengenai tegahan bukanlah secara total. Beliau hanya menegah jika dihubungkaitkan ayat-ayat yang bukan dalam satu maudhu’ yang sama.”

Contoh Tafsiran Imam as-Syaukani rahimahullah Yang Terkandung Padanya Ilmu Munasabat

Beliau berkata dalam kitab tafsirnya mengenai firman Allah,

يا بني إسرائيل اذكروا نعمتي التي أنعمت عليكم و أوفوا بعهدي أوف بعهدكم و إياي فارهبون

“ Ketahuilah bahawa kebanyakan para mufassirin telah memdatangkan ilmu yang menyusahkan. Mereka terjun ke dalam lautan yang mereka sendiri tidak mampu berenang padanya. Mereka menghabiskan masa mereka pada satu disiplin ilmu yang tidak berfaedah. Bahkan mereka membahayakan diri mereka dengan kata-kata yang hanya mengikut pendapat mereka semata-mata yang juga sebenarnya ditegah berbuat demikian pada perkara-perkara yang berkaitan dengan kitab Allah.

Mereka ingin mendatangkan munasabah antara ayat-ayat al-Quran yang indah susunannya. Mereka mendatangkan beban yang menyebabkan sesetengah ulama tafsir berlepas diri daripadanya. (Seolah-olah) mereka menganggap mengangkat kalam bulaghak melebihi kalam Allah. Sehingga mereka membuat penulisan khusus untuk Ilmu Munasabat ini. Mereka menjadikannya sebagai tujuan paling utama dalam penulisan mereka seperti yang dilakukan oleh (imam) al-Buqa’i (rahimahullah) dan yang lebih dahulu daripadanya dalam tafsir-tafsir mereka.

Perkara ini benar-benar memeranjatkan ulama-ulama yang tahu (dengan tidak wajarnya ilmu ini). Ini adalah kerana al-Quran ini diturunkan secara berperingkat mengikut kejadian dan peristiwa yang membawa kepada penurunan ayatnya. (Hal ini berlaku) sejak turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w sehinggalah Baginda wafat.

Semua orang yang berakal (1) tidak meragui bahawa peristiwa-peristiwa yang membawa kepada turunnya mana-mana ayat al-Quran itu adalah berbeza mengikut iktibar masing-masing. Bahkan terkadang (turunnya ayat itu adalah untuk menerangkan) perkara yang tanaqud (berlawanan). Misalnya ayat yang mengharamkan satu perkara yang sebelumnya dihalalkan. Atau menghalalkan satu perkara yang sebelumnya diharamkan. Atau mengisbatkan satu perkara kepada seseorang atau ramai yang berbeza dengan apa yang diisbatkan kepada mereka sebelumnya.

Terkadang ayat itu berkenaan kaum Muslimin dan terkadang berkenaan kafirin. Terkadang mengenai kaum sebelumnya dan terkadang mengenai orang yang hadir. Terkadang mengenai ibadah dan terkadang mengenai muamalah. Terkadang mengenai targhib dan terkadang tarhib. Terkadang memberi peringatan (inzar) dan terkadang memberi perkhabaran gembira. Terkadang pada urusan dunia dan terkadang akhirat dan seterusnya..... Maka al-Quran ini diturunkan dengan berbeza-beza maudhu’ Oleh kerana itu bagaimana mungkin akal yang waras boleh menerima munasabah antara anggur dan ikan paus, air dengan api atau seumpanya." Tamat kalam Imam as-Syaukani.

Catatan saya – Kalau kita rujuk kepada tulisan asal dalam bahasa Arab, kita dapat melihat keindahan uslub bahasa yang digunakan oleh Imam as-Syaukani. Perkataan yang saya terjemah dengan ’terkadang’ di atas datang dalam bahasa Arabnya dengan pelbagai wajah. Iaitu تارة , حينا , وقتا , آونة , طورا , dan مرة .

Panjang kalam Imam as-Syaukani mengenai maudhu’ di atas. Kemudian beliau mengakhirinya dengan kata-kata beliau,

” Hanyasanya saya menyebut perbahasan ini di sini kerana kalamnya berpindah kepada Bani Israil setelah sebelumnya mengenai Abu al-Basyar iaitu Baginda Adam a.s. Kalau ada yang bertanya bagaimana boleh kita munasabahkan ayat ini dengan ayat sebelumnya (perihal Nabi Adam a.s)? Saya (Imam as-Syaukani) jawab, ”La kaifa” (Tidak timbul soal ‘bagaimana’)”

Catatan saya – Dalam muka surat 14-15 muallif hafizahullah ada mendatangkan sebahagian wajah munasabah yang disebutkan oleh Imam as-Syaukani sendiri di dalam tafsirnya (Boleh rujuk kitab).

Wallahu a’lam.



(1) Makna 'aqil seperti dalam kitab adalah – كل عاقل أي فضلا عن عالم

Monday, December 28, 2009

Suka Duka Kehidupan : Bertemu Sahabat Lama

Assalamualaikum wrt

Alhamdulillah, selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Huda ar-Rahman di Utubis Jadid pada hari Khamis lepas, Allah menemukan saya dengan sahabat yang telah lama tidak saya temui, iaitu Akhi Mohd Nasarudin bin Mohajir al-Hafiz yang juga Penasihat 1 Dewan Perwakilan Mahasiswa Maqaz Shubra. Terbalas kerinduan terhadap beliau sejak beliau menamatkan pengajian di MARSAH 3 tahun lepas. Beliau bersama para kepimpinan pelajar Shoubra hadir ke Mansurah untuk menziarahi ikhwah kuliah Qiraat yang telah bernikah dan tinggal di sini.

Program malam itu diisi dengan sedikit tasyji’ oleh Syeikh Hussien hafizahullah dan selepas Isyak mereka ke Istad Jamiah untuk mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan DPM Mansurah. Kalau lah tidak kerana pelawaan Ustaz Zahimi yang juga salah seorang exco DPM, mungkin segan juga rasanya saya memandai-mandai untuk hadir sama ke Istad. Peluang yang ada saya gunakan sepenuhnya untuk mencuri sedikit ruang waktu bertukar-tukar cerita dengan sahabat saya itu. Itupun kalau kami sama-sama berehat sekejap daripada ’beraksi’ di padang . Saya tak pandai pun main bola :) .

Dalam perjalanan pulang ke Dirasat, saya duduk di sebelah Ustaz Ahmad Huzaifah Fauzi yang juga Exco Dakwah DPM Maqaz. Alhamdulillah, bergaul dengan para huffaz ini banyak memberi manfaat rohani kepada saya yang dhaif .

Khusus buat Akhi Nasaruddin, ana doakan enta sentiasa thabat dan teguh dalam perjuangan. Semoga cepat-cepat dikurniakan zaujah solehah yang akan menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Amin Amin Amin. :)

Bersama Ustaz Nasaruddin

Bersama Ustaz Huzaifah

Indahnya Ukhuwwah Yang Terjalin Kerana Allah

Semoga Allah pertemukan kita semua lagi di masa akan datang, insyaAllah.. :)

Sunday, December 27, 2009

Iklan : Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan Bersama Dr Ali Ali Ali Luqam

Kitab Kuliah Bahasa Arab Oleh Dr Ali Ali Ali Luqam



Assalamualaikum wrt

Saya mendapat offline mesej daripada sahabat saya Ustaz Daud as-Sikki sebaik sahaja saya buka YM. Mesejnya berbunyi,

"TEKNIK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN BERSAMA DR ALI ALI ALI LUQAM" hari: isnin tarikh: 28 dec 2009 masa: 3 petang tempat: DPJA *semua siswa/wi dijemput hadir.. sebarkan :: only@mansoura p/s : iklan telah disebarkan..pastikan bet kalian mendapat kalian.. "

Pada saya, ini adalah peluang terbaik untuk melihat dan mendengar kuliah Dr Ali dengan lebih dekat. Sebelum ini saya hanya muzakarahkan kitab nahu yang dikarang oleh Dr Ali kepada akhawat kuliah Syariah Tahun 2, dan sekarang saya tidak mahu terlepas peluang untuk berjumpa dengan beliau sendiri.

Kepada semua pelajar kuliah di Mansurah, saya amat menggalakkan antum menghadiri majlis ini. Bukan sekadar untuk mengetahui teknik menjawab soalan sahaja, bahkan lebih besar dari itu adalah keberkatan majlis ilmu itu sendiri. Tidak kira sama ada beliau memang mengajar antum di kuliah atau tidak. Lagipun saya dapat tahu beliau fasih berbahasa Melayu. InsyaAllah banyak manfaat yang akan kita peroleh dengan menghadirkan diri.

Semoga Allah mengurniakan kepada saya dan kita semua kemanisan menuntut ilmu dan menyampaikannya pula kepada saudara-saudara kita yang lain. Amin.

RYDRDB 2 : Umayyah bin Khalaf Menyakiti Rasulullah s.a.w


بسم الله الرحمن الرحيم

Umayyah bin Khalaf (1) apabila dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w maka dia akan mengumpat dan mencela Baginda. Maka Allah s.w.t menurunkan ayat,

ويل لكل همزة لمزة ...... إلى آخِر السورة

" Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela*Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya * Dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthomah* Dan tahukah kamu apa Huthomah itu? * (iaitu) api neraka yang dinyalakan * yang (membakar) sampai ke hati * Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka * (sedang mereka) diikat pada tiang-tiang yang panjang. "
Surah al-Humazah ayat 1-9

Berkata Imam Ibnu Hisham rahimahullah,

" Humazah adalah seseorang yang mencela seseorang yang lain secara terang-terangan, memalukannya memandang rendah kepadanya.

Lumazah pula adalah mengaibkan dan menyakiti orang lain secara diam-diam " (2)

Berkata Imam Ibnu Kathir rahimahullah,

"Hammaz atau Humazah adalah menyakitkan seseorang melalui perkataan, manakala Lammaz atau Lumazah adalah menyakitkan seseorang melalui perbuatan."

Berkata Hadrat Qatadah rahimahullah,

"Humazah adalah mencela dengan lidah manakala Lumazah adalah mencela dengan isyarat mata (seperti mengerling untuk merendahkan seseorang)."

_


_______________


(1) Dia adalah Umayyah bin Khalaf bin Wahab bin Huzafah, antara yang paling dahsyat penentangannya terhadap Rasulullah s.a.w.



(2) Dalam as-Sirah an-Nabawiyyah

RYDRDB (1) - Ummu Jamil Si Pembawa Kayu Api


بسم الله الرحمن الرحيم

Ummu Jamil adalah isteri kepada Abu Lahab yang digelar Hammalah al-Hatob atau pembawa kayu api.

Ketika dia mendengar mengenai surah al-Masad yang diturunkan mengenainya dan suaminya, dia pun pergi mencari Rasulullah s.a.w. Pada ketika itu Baginda sedang duduk-duduk di masjid di sisi Kaabah dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersama Baginda. Di tangannya (Ummu Jamil) terdapat batu-batu kecil yang keras.

Tatkala dia sampai di depan Rasulullah s.a.w dan Hadrat Abu Bakar r.a, Allah menghilangkan pandangannya daripada melihat Rasulullah s.a.w. Dia hanya dapat melihat Abu Bakar r.a.

Ummu Jamil bertanya, " Hoi Abu Bakar, mana temanmu (Rasulullah)? Telah sampai ke pengetahuanku bahawa dia mencaciku. Demi Allah, kalau aku berjumpa dengan dia pasti aku akan baling mulut dia dengan batu ini. Demi Allah aku ni sememangnya seorang penyair! "

Kemudian dia bersyair,

مذمما عصينا و أمره أبينا و دينه قلينا


Kami mengingkari dia yang sangat tercela
Dan kami enggan mentaati suruhannya
Dan kami membenci agamanya

Kemudian dia berpaling dan beredar.

Maka Hadrat Abu Bakar r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w, " Wahai Rasulullah, tidakkah tuan nampak bahawa dia melihat tuan?"

Jawab Rasulullah s.a.w

ما رأتني, لقد أخذ الله ببصرها عني

" Dia tidak dapat melihatku. Sesungguhnya Allah telah menutup pandangannya terhadapku " (1)


Berkata Ibnu Ishaq rahimahullah, " Orang-orang Quraisy menamakan Rasulullah s.a.w dengan Muzammam (yang sangat dihina) dan mengejek Baginda dengan nama itu.

Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabat r.anhum,

ألا تعجبون لما يصرف الله عني من أذى قريش, يسبون و يهجون مذمما, و أنا محمد

"Tidakkah kalian berasa hairan bagaimana Allah memalingkanku daripada kesakitan yang datang dari kaum Quraisy? Mereka memaki dan menuduhku dengan Muzammam (yang sangat hina) sedangkan aku adalah Muhammad (yang terpuji). (2)



(1) HR Imam Abu Ya'la dalam Musnadnya. Imam Ibnu Kathir juga menyebutnya dalam tafsirnya.

(2) Sohih. HR Imam al-Bukhari dalam al-Manaqib.

Rujukan,

1) as-Sirah an-Nabawiyyah li Ibni Hisyam pada Bab 'Zikru Ma Laqiya Rasulullah s.a.w min Qaumihi min al-Aza.

2) al-Mu'jam al-Wasit

3) Kamus al-Munawwir

Muqaddimah : Ahlan wa Sahlan



Assalamualaikum wrt

Ahlan wa sahlan. :)

Blog yang baru ini ana bina kerana blog yang lama ada masalah pada kod-kod HTML. Apa pun selamat berkunjung ke Blog Akhi Ahmad Kamil yang baru ini.

Di bawah saya senaraikan semua entri di blog yang dulu: