MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.
Showing posts with label Ilmu Nahu. Show all posts
Showing posts with label Ilmu Nahu. Show all posts

Thursday, August 4, 2011

Apakah Yang Dinamakan Sebagai Al-Kalam Dalam Bahasa Arab ?


Dalam Ilmu Nahu (Grammar) bhasa Arab, KALAM boleh ditakrifkan sebagai satu LAFAZ yang TERSUSUN lagi MEMBERI FAEDAH DALAM BAHASA ARAB. Dalam erti kata yang lain, KALAM adalah sebuat ayat yang sempurna.

Apakah yang dimaksudkan dengan lafaz?Bila kita sebut lafaz, maka ia mestilah satu perkataan yang dapat didengari sifat bunyinya. Misalnya kita sebut lafaz Zaid, maka disana kita dapat dengar adanya sifat huruf zai, ya, dan dal.

Berbeza pula dengan bahasa isyarat yang digunakan oleh golongan cacat penglihatan atau cacat pendengaran. Tiada lafaz yang dilahirkan. Hanya isyarat tangan yang tiada suara dan sifat huruf2nya. Jadi ia bukanlah dinamakan sebagai kalam dalam ilmu nahu.

Dalam takrifan di atas juga, ada disebutkan bahawa syarat untuk melayakkan satu2 susunan lafaz itu menjadi Al-Kalam, adalah dia mesti TERSUSUN. Tersusun yang bagaimana? Maksud saya, tersusun daripada sekurang-kurangnya 2 kalimah.

Misalnya, saya berkata kepada anda perkataan "Ahmad", dan saya terus diam. Ya, Ahmad memang satu lafaz yang merujuk kepada seseorang yang bernama Ahmad, tapi adakah anda boleh faham, apakah yang saya nak sampaikan sebenarnya? Tentu tidak, bukan. Jadi, kalimah yang lain mesti disusun atau didatangkan selepasnya supaya sempurna menjadi Al-Kalam (ayat).

Lalu kita datangkan kalimah qo-imun (berdiri) sebagai contoh. Ayatnya akan jadi Ahmad qo-imun, (Ahmad berdiri). Nah, bukankah sekarang ianya tersusun daripada 2 kalimah. Berdasarkan contoh mudah ini, anda boleh datangkan sendiri pelbagai contoh lain untuk latihan :)

Kemudian syarat ketiga seperti dalam takrifan di atas , ia mestilah MEMBERI FAEDAH. Maknanya, walaupun kita menjumpai 2 atau lebih kalimah yang tersusun, tapi maknanya masih belum boleh difahami dengan jelas, maka ia belum layak dinamakan sebagai KALAM.

Misalnya kita kata, "Man shoma Ramadhan.." (Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan..) kemudian kita berhenti setakat ini sahaja, sudah tentu orang yang mendengar akan tertunggu-tunggu apakah kesudahan ayatnya. Dalam keadaan begini, ianya tidak memberi faedah melainkan bila disambung dengan susunan kalimah lain yang menyempurnakan kalimah2 tadi.

Disyaratkan juga bahawa ia mesti DALAM BAHASA ARAB. Maknanya, kalau ayat itu dinyatakan dalam bahasa lain, maka ia tidaklah dikira Al-Kalam dalam Ilmu Nahu. Ilmu Nahu hanya khusus dalam bahasa Arab, dan inilah yang menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa paling indah dan sistematik dalam bidang linguistik.

Dengan ini tamat perbahasan ringkas mengenai pengenalan Al-Kalam (ayat) dalam Ilmu Nahu, dan sebarang persoalan boleh diajukan dalam komen di bawah. InsyaAllah saya cuba membantu sekadar mampu. Kalau lewat reply harap x kecil hati ye J

Sunday, March 20, 2011

Nahu (Terjemahan Nahu Wadih) - Mengenali Jumlah Mufidah

[Untuk Peringkat Ibtida-i ]




Mengenali Jumlah Mufidah

Apabila kita perhatikan kepada tarkib (susunan kalimah) pada nombor yang pertama, kita dapati ianya tersusun daripada dua kalimah, yang pertama [al-bustanu], dan yang kedua [jamilun].

Sekiranya kita melihat kepada perkataan pertama sahaja iaitu [ al-bustanu] maka kita tidak dapat memahami melainkan hanya satu makna yang tidak cukup untuk digunakan tujuan perbualan. Begitu juga keadaannya sekiranya kita hanya menggunakan kalimah kedua iaitu [jamilun].

Namun, apabila sahaja kita menghimpunkan kedua-dua kalimah tersebut seperti yang dapat kita lihat dalam contoh jumlah (ayat) yang pertama, iaitu [ al-bustanu jamilun, Kebun itu cantik] maka kita dapat memahami makna dan faedahnya secara sempurna, iaitu menyifatkan kebun tersebut dengan sifat cantik.

Oleh kerana itulah susunan sebegini dinamakan Jumlah Mufidah, iaitu ayat memang memberi faedah (boleh difahami). Setiap satu antara dua kalimah itu dikira sebagai satu juzuk daripada jumlah tadi. Demikianlah juga yang boleh kita katakan terhadap contoh-contoh jumlah lain yang telah diberikan.

Dengan penjelasan ini, kita dapati bahawa menggunakan satu kalimah sahaja tidak memadai untuk tujuan perbualan. Ia mesti tersusun daripada sekurang-kurangnya dua kalimah ataupun lebih, sehinggalah orang lain yang kita tujukan kata-kata kita kepadanya boleh memahami ayat kita dengan sempurna.

Adapun kalimah-kalimah seperti قم , اجلس , تكلم walaupun pada zahirnya dilihat seperti hanya satu kalimah yang boleh difahami, namun pada hakikatnya ia bukanlah satu kalimah sahaja.Sebenarnya ia terdiri daripada dua kalimah, yang salah satunya dilafazkan iaitu [qum – berdirilah] manakala kalimah yang lagi satu tidak dilafazkan iaitu [anta – kamu]. Ia boleh difahami oleh si pendengar itu sendiri walaupun tidak dilafazkan.

Tuesday, September 21, 2010

Nahu - Isim Tafdhil: Takrif dan Syarat Membuatnya

Assalamualaikum wrt. Ini adalah respon kepada soalan 'cahayamalam' mengenai isim tafdhil dan sifat musyabahah. Entri kali ni saya jawab mengenai Isim tafdhil dulu. InsyaAllah akan datang mengenai Sifat Musyabahah.


Isim Tafdhil

Takrif : Ia adalah isim yang musytaq (diterbitkan) daripada fe'el. Ia datang atas wazan أَفْعَلُ . Ia menunjukkan kepada dua benda yang sama dari segi sifat tertentu, namun salah satu antara dua benda itu lebih sifatnya daripada yang satu lagi.

Misalnya :

أَكْرَمُ – Lebih mulia

أَجْمَلُ – Lebih cantik

Allah berfirman :

إذ قالوا ليوسف وأخوه أحب إلى أبينا منا

"Ketika mereka (adik beradik Nabi Yusuf) berkata, benar-benar Yusuf dan adiknya itu lebih dikasihi oleh ayah kita (Nabi Ya'qub) daripada kita." Surah Yusuf ayat 8.

Syarat membuat Isim Tafdhil

1. Fe'el asalnya mestilah fe'el thulathi seperti كرم , فضل bukan ruba'i, khumasi atau sudasi.

2. Fe'el asalnya mestilah fe'el yang tam (sempurna) dan bukan naqis (kurang). Oleh itu af'al naqisah iaitu كان dan akhawatnya tak boleh dijadikan isim tafdhil.

3. Fe'el itu mestilah musbit (tiada huruf nafi). Sekiranya didahului dengan huruf nafi, maka tidak boleh dijadikan isim tafdhil. Misalnya ما سمع atau لا يسمع .

4. Fe'el itu mestilah fe'el ma'lum @ ma'ruf dan bukan majhul seperti سُمِعَatau يُسْمَعُ .

5. Fe'el itu boleh ditasrif secara sempurna. Maknanya bukan fe'el yang jamid. Misal fe'el jamid adalah عسى , نِعْمَ , بِئْسَ .

6. Fe'el itu boleh menerima makna tafawut. Tafawut bermaksud boleh dibanding. Misalnya kalimah أحسن – lebih baik. Sifat baik kan boleh dibandingkan. Yang tak boleh dibanding adalah seperti أمْوَتُ – lebih mati. Mana ada mati boleh dibanding-banding, ada yang lebih mati ada yang kurang mati.

Kalau dah cukup syarat, maka boleh lah terus dibentuk isim tafdhil daripada fe'el tersebut atas wazan أَفْعَلُ .

Apa yang dibuat kalau tak cukup syarat?

Kalau tak menepati syarat yang dinyatakan, maka isim tafdhil tak boleh dibuat secara terus atau mubasyarah. Kalau nak juga memberi makna tafdhil, caranya adalah begini,

i- Sebutkan masdar bagi fe'el tadi

ii- Masukkan kalimah isim tafdhil yang sesuai dengannya

Misalnya kalimah اسْتَغْفَرَ . Ia adalah fe'el sudasi (6 huruf). Sedangkan syarat pertama fe'el itu mestilah thulathi. Jadi macamana kita nak beri makna tafdhil pada kalimah ni. Contohnya kita nak kata, Muhammad lebih banyak beristighfar daripada Zaid. Jawapannya begini,

-Kita datangkan masdar bagi استغفر , iaitu استِغْفَار atas wazan استفعال .

- Kemudian datangkan pula kalimah tafdhil yang bersesuaian. Misalnya أكثر .

Maka ia akan jadi محمد أكثرُ استغفارا من زيدٍ .

Inilah serba ringkas penerangan mengenai isim tafdhil sekadar yang mampu saya berikan. Wallahu a'lam.

Thursday, September 2, 2010

Nahu : Tanwin dan Pembahagiannya




Tanwin adalah salah satu alamat Isim. Apakah dia tanwin? Apakah pula bahagiannya?

Tanwin pada asalnya adalah nun mati tambahan yang datang di akhir satu-satu isim dalam bentuk lafaz sahaja. Ianya tidak ditulis.

Tanwin ada 4 bahagian :

Tanwin Tamkin– Ia adalah tanwin yang datang dihujung isim-isim yang mu'rab. Misalnya رجلٌ, رجلاً, رجلٍ

Tanwin Tankir – Ia masuk pada isim-isim yang mabni seperti kalimah سبويه . Kalimah ini menunjukkan seseorang yang bernama Sibawaih. Seperti yang kita maklum, terdapat seorang ulama nahu yang terkenal bernama Sibawaih. Namun bila dimasukkan tanwin, misalnya سبويهٍ maka pada ketika ini maknanya akan menjadi, 'siapa-siapa sahaja yang bernama Sibawaih'.

Tanwin Muqabalah – Muqabalah maknanya perbandingan. Ia digunakan untuk membandingkan tanwin pada jamak muannas seperti مسلماتٌ dengan nun pada jamak muzakkar salim seperti مسلمون .

Tanwin 'Iwadh – Iwadh maknanya ganti. Yang digantikan itu sama ada asalnya adalah berbentuk jumlah (ayat), seperti
و أنتم حينئذٍ تنظرون . Yang dimaksudkan dengan حينئذ itu adalah
إذ بلغتْ الوحُ الحلقومَ . Kesemua perkataan dalam jumlah itu digantikan dengan tanwin.

Ia juga boleh jadi ganti kepada isim yang mufrad. Misalnya
كلٌّ قائمٌ بعمله . Semua insan akan bangkit di padang mahsyar bersama amalannya. Mana kalimah insan pada ayat tadi? Tidak ada pasal ia telah diganti dengan tanwin pada perkataan kullun.











Nahu : Isim dan Alamatnya



Apakah Isim dan apakah alamat atau tanda-tanda mengenalinya?

Isim adalah kalimah yang dirinya sendiri menunjukkan sesuatu perkara atau benda. Baik perkara itu bersifat mahsus (boleh dirasai oleh pancaindera) seperti جبلٌ (bukit), كُرْسِيٌّ (kerusi),

ataupun perkara itu bersifat ghoir mahsus (tak boleh dirasai) seperti عِلْمٌ dan صَبْرٌ . a

Antara alamat Isim adalah :

1- Menerima i’rab jar (majrur) misalnya,

في المَنْزِلِ - Kalimah almanzil adalah isim kerana ia menerima I’rab jar, iaitu setelah kemasukan harf jar.

2- Menerima tanwin. Misalnya, محمدٌ , محمداً , محمدٍ

3- Masuk huruf nidak (seruan). Misalnya يا رجل . Kalimah rajul adalah isim kerana menerima huruf nidak sebelumnya.

4- Kalimah itu dimulakan dengan ال seperti الكتاب , القرآن .

5- Musnad ilaih. Satu-satu kalimah akan menjadi musnad ilaih ketika ia datang sebagai mubtadak dalam jumlah ismiah atau fa’il dalam jumlah fi’liah . Sesuatu perkhabaran atau perbuatan akan disandarkan kepadanya.

Misal mubtadak – محمدٌ قائمٌ = Muhammad berdiri. Perbuatan berdiri itu disandarkan kepada Muhammad.

Misal fa’il – قام محمدٌ = Muhammad telah berdiri. Juga perbuatan berdiri disandarkan kepada Muhammad.


Wednesday, May 19, 2010

Audohul Masalik : Menghazaf Dhomir Yang Menjadi A'id Pada Isim Mausul m/s 149 (Khas Untuk Lughah Tahun 1 Banin)



Assalamualaikum wrt.


Pertama sekali ana nak minta maaf kepada sahabat-sahabat lughah tahun1 Al-Azhar Mansurah kerana minggu lepas tak dapat bagi tumpuan sepenuhnya pada antum kerana masa yang sama zaujah ana juga menghadapi imtihan qiraat. :) Baiklah, disini ana tunaikan janji ana untuk ganti pengajian dengan membuat penerangan secara bertulis. Kalau ada yang kurang faham, harap dapat bertanya ya. :)


Fasal - Menghazafkan dhomir yang menjadi A’id


Menghazafkan A’id Yang Marfu’


Harus menghazafkan العائد (A’id) yang marfu’ bila A’id itu menjadi mubtadak, dan khabarnya pula adalah berbentuk mufrad.


Maka tidak boleh dihazafkan A’id pada contoh جاء اللذان قاما atau ضُربا kerana A’id pada kedua-dua misal tadi bukanlah mubtadak. Ia adalah fa’il.


Tidak juga pada contoh جاء الذي هو يقوم atau هو في الدار kerana khabarnya bukan mufrad.


Maka bila dihazafkan dhomir pada misal ini, tiada benda yang boleh jadi dalil bahawa di sana ada berlakunya hazaf. Ini kerana baki kalimah yang ada selepas dihazafkan dhomir tadi masih mampu menjadi silah yang sempurna.


Cuba kita lihat. جاء الذي هو يقوم . Cuba kita hazafkan dhomir هو . Yang tinggal adalah يقوم . Ia adalah fe’el mudhori’ yang lengkap dengan fa’ilnya iaitu dhomir huwa mustatir di dalamnya, yang mana dhomir itu sendiri sesuai untuk jadi A’id kepada الذي .


Berbeza dengan khabar yang mufrad. Misalnya, { أيهم أشد } surah Maryam :69 dan

{ و هو الذي في السماء إله } surah az-Zukhruf : 84. Taqdirnya adalah هو إله في السماء iaitu dengan dhomir yang menjadi mubtadak.


Tidak banyak didapati penghazafan dhomir pada jumlah yang menjadi silah kepada selain أي melainkan apabila jumlah silah itu adalah jumlah yang panjang.


Menghazafkan A’id Yang Mansub


Harus menghazafkan A’id yang mansub sekiranya ia adalah dhomir yang muttasil. Dan amil yang menasabkannya pula mestilah fe’el ataupun wasaf yang tidak disilahkan dengan alif lam.


Misalnya { يعلم ما تسرّون و ما تعلنون } dan juga syair. Sila rujuk kitab. Kalau antum (pelajar lughah tahun 1) tak faham syahidnya, harap dapat bertanya.


Bersalahan pula dengan contoh-contoh dibawah ini. Tidak boleh dihazafkan A’idnya.


جاء الذي إياه أكرمت - kerana dhomir mansub itu adalah munfasil

جاء الذي إنه فاصل – kerana amil yang menasabkannya adalah huruf Inna, bukan fe’el.

كأنه أسد - kerana yang menasabkan dhomir itu adalah كأنّ

أنا الضاربه – kerana silahnya adalah alif lam.


p/s- Sila rujuk syarah kepada syair yang syaz dalam kitab antum.


Faedah – Menghazafkan A’id yang mansub kepada fe’el lebih banyak didapati berbanding A’id yang mansub kepada wasof.


Menghazaf A’id Yang Majrur


Harus menghazafkan A’id yag majrur kerana idofah, jika mudhofnya adalah wasof yang tidak memberi makna madhi.


Misalnya { فاقض ما أنت قاضٍ } . Lihat pada perkataan قاض . Ia adalah mudhof, dan sifat yang ada pada perkataan itu tidak memberi makna madhi. Asalnya adalah قاضيه .


Bersalahan pula dengan,


جاء الذي قام أبوه – kerana قام itu sendiri terang-terang adalah fe’el madhi

أنا أمس ضاربه - kerana adanya perkataan amsi yang menunjukkan perbuatan itu dah berlaku di zaman madhi.


Adapun baki perbahasan, iaitu mengenai baki 3 syair dalam bab mausul ini, sila rujuk kitab antum. Lihatlah kepada syahid bagi setiap syair. Terutama syahid bagi syair yang pertama, kerana dua syair yang terakihr adalah contoh kepada syair yang syaz.


Akhir kata, ana mengucapkan selamat menduduki imtihan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Al-Azhar, khususnya antum, ustaz-ustaz kuliah lughah tahun 1 mansurah, juga kepada ustazah-ustazah kuliah syariah tahun 1 dan 2 Al-Azhar Mansurah. Mudah-mudahan ilmu yang dimuzakarahkan, tidak basi setakat imtihan sahaja. Carilah ilmu sebanyak mungkin di bumi para nabi yang penuh barakah ini. Ingatlah, saudara-saudara kita di Malaysia amat dahagakan tunjuk ajar daripada antum.

Ma’an najah. Wassalamualaikum wrt.

Thursday, April 8, 2010

Perbahasan ringkas kalimah اللهم

Assalamualaikum.

Ini adalah respon kepada soalan salah seorang ustaz lughah tahun 1 Mansurah yang bertanyakan mengenai kalimah اللهم .


Dari segi makna

Imam al-Hafiz Jalaluddin as-Suyuti rahimahullah menyebut dalam kitabnya al-Itqan,

" Makna yang masyhur bagi kalimah اللهم adalah يا الله . Dihazafkan يا an-nida, dan diganti dengan ميم musyaddadah di akhirnya."

Abu Roja al-Utoridi rohimahullah berkata,

" Huruf ميم pada kalimah ini menghimpun 70 daripada nama-nama Allah."

Berkata pula Ibnu Zofar rahimahullah,

" Dikatakan bahawasanya ia adalah الاسم الأعظم . Beliau mendatangkan dalil dengan berkata bahawasanya kalimah 'الله ' menunjukkan kepada makna zat, sedangkan ميم pula menunjukkan makna 99 sifat Allah. Oleh kerana itulah berkata Imam Hasan Al-Basri rahimahullah, bahawa kalimah اللهم itu sendiri merangkumi semua doa. "

Berkata an-Nadhr bin Syamil rahimahullah,

" Barangsiapa yang berkata اللهم maka sesungguhnya dia telah berdoa kepada Allah dengan menyebut kesemua nama-Nya."


Dari Segi I'rab

Ia adalah munada mufrad. Seperti yang disebut di atas tadi, asalnya adalah يا الله . Lafaz jalalah adalah makrifah (bahkan ia adalah a'raful ma'arif). Oleh kerana lafaz jalalah adalah makrifah, maka ia akan menjadi mabni mengikut bagaimana ia dirafa'kan. Lafaz Allah dirafa'kan dengan dhommah, maka di sini di baca dengan اللهُ (Allahu).

Adapun huruf nida iaitu يا maka ia dihazafkan dan diganti dengan ميم musyaddadah.

Di dalam bahasa Arab, kita boleh i'rabkan seperti ini:

اللهم = منادى مفرد علم مضموم محذوف أداة الندا معوض عنها بالميم المشددة آخرا

Wallahu a'lam



Rujukan

1- al-Itqan fi Ulumil Quran oleh Imam Suyuti rahimahullah
2- I'rab al-Quranil Karim oleh Ustaz Doktor Muhammad Toyyib Ibrahim
3- al-Mu'jam al-Mufahras li alfazil Quranil Karim
4- Audohul masalik oleh Imam Ibnu Hisyam al-Misri rahimahullah

Tuesday, January 26, 2010

Nahu : Isim-isim yang beramal seperti amalan fe’elnya

Soalan di chatbox


ust..nti blh x terangkn ckit b'kaitn isim2 yg beramal seperti amaln fi'il?ana msh krg jelas lg la bab 2.


Jawapan ringkas saya (sekadar mampu),

بسم الله الرحمن الرحيم

Terkadang ada isim yang boleh beramal seperti fe’elnya beramal. Maka di sana kita akan menemui isim yang mempunyai fa’il atau na’ib fa’il dan maf’ul. Maknanya, bukan feel sahaja yang boleh ada ketiga-tiga perkara tersebut. Isim juga boleh. Namun tidak semua. Saya merujuk kitab Syarah Ibni ‘Aqil oleh Imam Ibnu ‘Aqil al-‘Aqili al-Hamdi rahimahullah (wafat 769H) dan sekadar yang saya temui, beliau menyebutkan 3 isim yang boleh beramal seperti amalan fe’elnya. Mungkin tuan-tuan yang lebih teliti akan menemui lebih daripada itu. Wallahu a’lam.

1. Isim Masdar

Ia boleh beramal dengan amalan fe’el namun dengan 2 syarat.

i) Ia digunakan sebagai ganti kepada makna fe’el. Maknanya kita sebut lafaz masdar,namun yang kita muradkan adalah makna fe’el. Misalnya

ضرباً زيداً

Dorban adalah masdar, namun pada ketika ini ia memberi makna fe’el amar, iaitu idrib. Biasanya penggunaan masdar untuk memberi makna amar ini adalah untuk merendah diri dalam memberi perintah atau suruhan.

Kalau kita suruh seseorang duduk dengan berkata ‘ijlis’, maka ia adalah fe’el amar biasa. Namun bila kita kata ‘julusan’, dengan bentuk masdar, maka suruhan itu akan menjadi penuh sopan dan rendah hati. Seolah-kita kita kata ‘silakan duduk..’

Macamana kita nak i’rab jumlah di atas?

Dorban = masdar, dalamnya ada dhomir anta sebagai fa’ilnya
Zaidan = Maf’ul bihi

ii) Ada أن + fe’el atau ما + fe’el yang muqaddar pada masdar

Bila masdar disebutkan, dan yang dikehendaki adalah makna madhi atau istiqbal, maka sebenarnya ada ان dan fe’el yang muqaddar padanya. Misalnya,

عجبتُ من ضربك زيدا أمس @ غدا

Taqdirnya adalah,

عجبتُ من أن ضربتَ زيدا أمس @ أن تضرب زيداً غدا

Kalau yang dikehendaki adalah makna hal (sekarang), maka ditaqdirkan ما dan fe’el. Misalnya,

عجبتُ من ضربك زيداً الآن

Taqdirnya adalah,

عجبتُ مما (مِن + ما) تضرب زيدا الآن


2. Isim Fa’il

Isim fa’il ini tidak lari daripada dua keadaan, iaitu masuk alif lam atau tidak. Maka kalau masuk alif lam, ia beramal secara mutlak (tanpa syarat).

Kalau isim fa’il itu berbentuk nakirah boleh beramal dengan amalan fe’elnya dengan syarat ia mesti memberi makna hal atau istiqbal

Maknanya, kalau ia memberi makna madhi seperti contoh dibawah,

هذا ضاربٌ زيداً أمس

Maka ia tidak beramal, bahkan pada ketika ini dhorib wajib menjadi mudhof kepada Zaid. Ia akan jadi seperti ini,

هذا ضاربُ زيدٍ أمس

Isim fa’il bergantung kepada salah satu daripada beberapa keadaan ini untuk beramal

i) Ia berada selepas istifham. Misalnya

أ ضاربٌ زيدٌ عمرواً؟

ii) Selepas huruf nidak. Misalnya

يا طالعاً جبلاً

iii) Selepas nafi. Misalnya

ما ضاربٌ زيدٌ عمرواً

iv) Ia sendiri menjadi sifat. Misalnya

مررتُ برجلٍ ضاربٍ زيداً

v) Atau hal. Misalnya

جاء زيدٌ راكباً فرساً

3. Isim maf'ul


Perbahasannya hampir sama dengan isim fa’il. Saya minta maaf kerana tidak menghuraikannya disini kerana saya rasa ustaz yang bertanya akan lebih jelas sekiranya merujuk terus kepada kitab Syarah Ibn Aqil bab I’mal al-Masdar sampai bab I’mal Ismi Fa’il.



Wallahu a’lam. :)

Nahu : Sifat Boleh Datang Dalam Bentuk Jumlah Khabariyyah

Jumlah juga boleh jadi sifat sepertimana dia boleh menjadi khabar atau hal. Namun dalam keadaan ini, ia harus ditakwil sebagai nakirah. Oleh kerana itulah, mausuf kepada jumlah yang menjadi sifat mestilah berbentuk nakirah.

Contoh jumlah yang jadi sifat :

جاء رجلٌ لباسُه جميلٌ

Telah datang seorang lelaki yang pakaiannya cantik

Cuba kita perhatikan,

i) Kalimah rajulun adalah nakirah
ii) Libasuhu jamilun adalah jumlah (dalam bentuk ismiyah khabariyyah).
iii) Berdasarkan pemerhatian saya yang dhaif ini, saya menambah syarat yang ketiga iaitu mesti ada dhomir yang kembali kepada mausuf, baik berbentuk zahir atau muqaddar. Dalam contoh diatas ia adalah zohir.

Kemudian, kita takwilkan jumlah diatas sebagai nakirah, maka ia akan menjadi sifat kepada rajul.

Berbeza pula dengan jumlah di bawah ini,

جاء الرجلُ لباسُه جميلٌ

Kalimah ar-rojul bukan nakirah kerana ia dimasuki alif lam. Jadi jumlah selepasnya tidak boleh menjadi sifat kepadanya. Bahkan dalam keadaan ini, kita boleh meng’irab jumlah itu sebagai hal kepada ar-rojul. Ini kerana jumlah yang datang selepas isim makrifah biasanya boleh di’irab sebagai hal dan isim itu dijadikan zul hal atau sohibul hal.

Jumlah tolabiyyah tidak boleh jadi sifat

Di atas saya ada mengatakan bahawa jumlah khobariyyah boleh jadi sifat. Saya mengaitkan perkataan khobariyyah kerana jumlah boleh juga datang dalam bentuk tolabiyyah, seperti,

جاء رجلٌ اضْرِبْه

Idrib adalah fe’el amar dan fe’el amar memberi makna tolab (permintaan). Maka ia tidak boleh menjadi sifat kepada isim nakirah sebelumnya.


Wallahu a'lam

Tuesday, January 19, 2010

Nahu : Sifat Wajib Ikut I'rab Mausufnya dan Ma'rifah atau Nakirah.


Sifat Wajib Ikut I’rab Mausufnya

Sifat wajib mengikut mausufnya dari segi i’rab. Maknanya, kalau mausufnya beri’rab marfu’, maka sifat juga mesti marfu’. Begitu juga halnya kalau mausuf itu dalam keadaan mansub atau majrur.

Kenapa tidak disebutkan i’rab majzum sekali?

Kerana mausuf tidak datang dalam i’rab majzum. Mausuf mesti berbentuk isim. Ini adalah satu kaedah nahwiyyah yang mesti kita ingat. Oleh kerana ia mesti isim, maka ia tidak datang dalam i’rab majzum.

Kita lihat contoh daripada al-Quran,

اشتروا بأيات الله ثمناً قليلاً
Mereka (orang-orang Musyrik) menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit.. surah at-Taubah ayat 9

Kalimah ثمنا adalah maf’ul bihi kepada fe’el didepannya. Kaedah nahwiyyah = semua maf’ul adalah mansub kecuali maf’ul lam yusamma fa’iluh (naib fa’il), maka i’rabnya adalah marfu’.

Dalam masa yang sama, ia adalah mausuf kepada قليلا . قليلا dalam ayat itu adalah sifat kepadanya. Oleh kerana ia adalah sifat kepada ثمنا yang mansub, maka ia pun secara automatik akan mengikut i’rab mausufnya. Pasal itu lah juga ia dinamakan tabi’, atau yang mengikut.

Begitulah juga kiasnya untuk i’rab mansub dan majrur.



Sifat Wajib Ikut Mausuf Dari Segi Ma’rifah atau Nakirah

Kalau mausuf itu ma’rifah, maka sifatnya juga ma’rifah. Begitu juga halnya dengan nakirah. Kalau mausuf nakirah, sifat juga mesti nakirah.

Contoh kedua-duanya ma’rifah,

جاء زيدٌ الكريمُ

Zaidun adalah fa’il kepada fe’el sebelumnya. I’rabnya marfu’. Masa yang sama dia adalah mausuf kepada al-karimu.

Apa yang kita nak lihat?

Lihat pada kalimah Zaid. Ia adalah ’alam atau dalam istilah Bahasa Melayu dipanggil nama khas. Bila dia ’alam, maka automatik dia adalah ma’rifah.

Lihat pula kalimah al-karimu. Dia juga ma’rifah. Cuma dia bukan nama khas, bahkan kita mengenalinya sebagai isim yang ma’rifah dengan masuknya alif dan lam.

Kalau kita kata,

جاء زيدٌ كريمٌ boleh tak kita katakan karimun itu sifat kepada Zaidun?

Tidak boleh. Kerana ia bukan ma’rifah.



Kalau bukan sifat, kenapa pula dibaca dengan i’rab marfu’?

Dalam situasi jumlah yang begini, kita boleh andaikan bahawa karimun adalah khobar kepada mubtadak yang mahzuf atau muqaddar. Seolah-olah kita kata,

جاء زيد هو كريم

Apa yang pasti, karimun bukan sifat kepada Zaidun.

Begitu juga kiasannya dengan jumlah yang kedua-duanya adalah nakirah. Wallahu a’lam. :)

Sunday, January 17, 2010

Nahu : Bab Tawabi' - Sifat (Bhgn 1 -Takrif dan Tujuan Didatangkan)

Assalamualaikum wrt

Saya mendapat soalan daripada sahabat saya di chatbox yang meminta supaya diterangkan mengenai tabi' dan matbu' serta contoh-contohnya. Sebagai respon, InsyaAllah saya cuba menerangkan sekadar mampu.

Saya akan menerangkan secara bersiri, mengikut turutan pembahagian jenis tawabi', insyaAllah.


Takrif Tabi'

1. Dari segi bahasa – ikut, mengikut

2. Dari segi istilah nahu

Imam Ibnu ‘Aqil rahimahullah di dalam kitabnya Syarhu Ibni Aqil menakrifkan tabi’ sebagai isim yang berkongsi i’rab isim sebelumnya secara mutlak.

Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid hafizahullah pula, di dalam kitabnya ‘Uddatu as-Saliki Ila Tahqiq Audohi al-Masalik (Syarah Kepada Audoh Masalik oleh Imam Ibnu Hisham rahimahullah) memberi takrifan yang lebih kurang sama dengan Imam Ibnu ‘Aqil rahimahullah.

Adapun Imam Nuruddin as-Sanhuri rahimahullah (wafat 889 H) di dalam kitabnya Syarhu al-Ajurrumiyyah fi Ilmi al-Arabiyyah pula menukilkan takrifan Imam Ibnu Hajib (di dalam Syarh al-Kafiah) dengan berkata ‘Tabi’ adalah setiap kalimah yang kedua yang mengikut i’rab kalimah sebelumnya daripada satu wajah.

Sekadar pengetahuan saya yang amat sedikit ini, saya lebih cenderung kepada takrifan Imam Ibnu Hajib rahimahullah kerana terkadang sifat atau na’at yang juga salah satu daripada tawabi’ yang lima datang dalam bentuk fe’el, dan bukan isim. Misalnya

جاء رجل رأيته أمس

Dalam ayat ini, jumlah fe’liyyah khobariyyah iaitu رأيته adalah sifat kepada kalimah رجل yang nakirah. Terjemahnya “Telah datang seorang lelaki yang aku melihatnya semalam”

Wallahu a’lam.


Pembahagian Tawabi’

Tawabi’ (kalimah jamak kepada tabi’) ada 5 bahagian (mengikut Imam Ibnu ‘Aqil rahimahullah) :

i) Na’at @ Sifat
ii) Taukid
iii) Atof Bayan
iv) Atof Nasaq
v) Badal


Sifat @ Na’at (Lepas ini saya lebih selesa menggunakan sifat kerana ia lebih masyhur digunakan di nusantara berbanding na’at)

Sifat adalah setiap tabi’ yang datang untuk menyempurnakan matbu’nya dengan menerangkan,

1) salah satu daripada sifat-sifat matbu’ itu.

Misalnya ,

مررتُ برجلٍ كريمٍ

Aku berjalan bersebelahan seorang yang mulia. Mulia itu adalah sifat kepada lelaki tadi. Lelaki itu adalah matbu’ (yang diikut i’rabnya) dan dalam keadaan ini ia dinamakan mausuf atau man’ut (yang disifatkan). . Karimun adalah tabi’, dan ia dinamakan sebagai sifat atau na’at.

2) sifat-sifat yang berkaitan dengan matbu’

Misalnya,

رأيتُ رجلاً كريماً أبوه
Aku melihat seorang lelaki yang ayahnya mulia (boleh juga diterjemah pemurah)

Sifat karim atau mulia itu bukan sifat lelaki tadi. Bahkan ia adalah sifat kepada ayahnya. Kenapa dibaca kariman dengan i’rab mansub? Kerana ia adalah sifat kepada rajulan. Dalam jumlah ini, rajulan i’rabnya mansub kerana ia menjadi maf’ul bihi kepada fe’el roaitu. Seperti yang dikatakan tadi, sifat adalah tabi’ dan tabi’ mesti mengikut i’rab matbu’nya. Oleh kerana itulah dibaca dengan kariman. :)

Antara Tujuan Didatangkan Sifat

1) Untuk memberi makna takhsis (pengkhususan)

Misalnya,

جاء زيد الخيّاط
Telah datang oleh Zaid yang mahir menjahit


2) Memberi makna madah (pujian)

Misalnya firman Allah,

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


3) Memberi makna zam (celaan)

Misalnya firman Allah

فاستعذ بالله من الشيطان الرجيم
Maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam


4) Memberi makna tarahhum (kasihan)

Misalnya

مررتُ بزيد المسكين
Aku berjalan bersebelahan Zaid yang miskin (dengan nada kasihan)


5) Memberi makna ta’kid (Menguatkan makna ayat)

Misalnya firman Allah

فإذا نفخ في الصور نفخةٌ واحدةٌ
Maka apabila ditiup sangkakala dengan tiupan yang sekali (sahaja). Surah al-Haqqah ayat 13.

Wallahu a’lam.

Saturday, January 2, 2010

Nahu : Kana dan Akhawatnya 3 : Datang Dengan Makna 'Tam'


Kana dan akhawatnya kadang-kadang datang juga dalam makna ’tam’ atau sempurna. Bila ia dalam keadaan ’tam’ , maka isim marfu’ selepasnya bukan lagi dipanggil isimnya, bahkan ia menjadi fa’il.

Misalnya firman Allah

و إن كان ذو عسرة – Surah al-Baqarah ayat 280

I’rabnya,

و – huruf athof

إن – huruf syarat

كان – fe’el madhi tam mabni alal fath fi mahalli jazam kerana ia adalah syarat

ذو – marfu’ kerana ia adalah fa’il. Alamat rafa’nya adalah huruf wau kerana ia adalah salah satu al-asmaa as-sittah. (Sila rujuk disini untuk sedikit perbahasan mengenai ذو ) Dalam masa yang yang sama ia adalah mudhof kepada kalimah selepasnya.

عسرة – Majrur kerana ia adalah mudhof ilaih. Alamatnya kasrah zahirah.

Maknanya samalah juga kalau kita kata و إن حصل ذو عسرة .


Begitu juga dengan firman Allah,

فسبحان الله حين تمسون و حين تصبحون – Surah ar-Rum ayat 17

Kalimah تمسون dan تصبحون , kedua-duanya adalah datangnya daripada أمسى dan أصبح . Dalam ayat ini, keduanya adalah fe’el mudhori’ yang tam. Oleh kerana itu ia memada dengan fa’ilnya sahaja iaitu huruf wau jamak.

Nahu : Kana dan Akhawatnya 2 : Pembahagian Dari Segi Tashrif


Ada 3 bahagian,


1) Tidak boleh ditashrif sama sekali.

Ia adalah ليس (sepakat ulama), dan دام disisi Imam al-Farra’ dan kebanyakan ulama nahu mutaakhir.

Oleh kerana itu ia tidak datang dalam sighah mudhori', amar, isim fa'il dan masdar.



2) Boleh ditashrif namun terbatas

Ia adalah زال dan akhawatnya. Ia tidak datang dalam sighah amar dan masdar.



3) Boleh ditashrif secara sempurna


Iaitu baki af’al naqisah yang lain.


Misalnya fe'el كان ,

Ia datang juga dalam sighah mudhori' - يكون
Atau sighah masdar - كون
Atau sighah isim fa'il - كائن
Atau sighah amar - كن


Wallahu a'lam

Friday, January 1, 2010

Nahu : Kana dan Akhawatnya 1 : Amalan dan Pembahagian Fe'el



Amalannya

Kana dan akhawatnya merafa'kan mubtadak dan dinamakan isimnya, (isim kana), dan menashabkan khabar (dinamakan khabar kana).

Misalnya jumlah @ ayat,

زيد قائم

Zaid = mubtadak
Qa-imun = khabar

Bila dimasukkan Kana padanya akan jadi

كان زيد قائما

Pada ketika ini Zaid masih lagi marfu' tapi bukan sebagai mubtadak. Ia adalah Isim Kana. Manakala qa-imun yang beri'rab rafa' berubah kepada qa-iman dengan i'rab nashab dan dinamakan Khabar Kana.

Pembahagiannya

Kana dan Akhawatnya ada 3 bahagian,

1) Yang beramal secara mutlak, yakni tidak diletakkan sebarang syarat untuk membolehkannya beramal. Ia ada 8 fe'el iaitu,

كان , أمسى , أصبح , أضحى , ظل , بات , صار , ليس


2) Yang beramal dengan syarat di dahului oleh nafi atau nahi. Ia ada 4 iaitu,

زال , برح , فتئ , انفكّ


Misal selepas nafi,

ما زال زيد قائما


Daripada al-Quran,

و لا يزالون مختلفين - Surah Hud : 118

I'rabnya,

لا - La Nafiah

يزالون - Fe'el mudhori' naqis, marfu' dengan isbat nun. Wau adalah isimnya.BUKAN FA'IL

مختلفين - Khabar fe'el naqis, nashab dengan ya.


Misal selepas nahi,

لا تزل ذاكرَ الموت

I'rabnya,

لا - La Nahiyah, mabni kerana ia adalah huruf.

تزل - Fe'el mudhori' naqis, i'rabnya jazam kerana masuk padanya huruf la nahiyah dan alamt jazamnya adalah sukun di akhirnya. Isimnya adalah dhomir yang mustatir (tersembunyi) padanya secara wajib iaitu 'anta'.

ذاكر - I'rabnya nashab kerana ia adalah khabar kepada fe'el naqis. Alamat nashabnya adalah fathah zahirah (yang nampak di akhirnya). Dia juga adalah mudhof kepada kalimah selepasnya.

الموت - Majrur kerana ia adalah mudhof ilaih kepada 'zakir' dan alamat jarnya adalah kasrah zahirah.

Peringatan - Fe'el زال yang dimaksudkan adalah yang mudhori'nya atas wazan yazaalu, bukan yaziilu kerana yaziilu adalah fe'el yang tam (sempurna) dan bukan naqis. Bukan juga atas wazan yazuulu. Slia rujuk mu'jam untuk melihat perbezaan makna antara ketiga-tiga fe'el tadi. :)

3) Yang Beramal Dengan Syarat Didahului Oleh ما Masdariyah Zhorfiyyah

Fe'elnya hanya satu, iaitu دام . Misalnya firman Allah,

ما دمتُ حيّا Surah Maryam : 31

I'rabnya,

ما - Ma Masdariyyah Zhorfiyyah

دمت- Fe'el madhi naqis, mabni 'alas sukun. تُ adalah isimnya.

حيّا - Nashab kerana ia adalah khabar fe'el naqis. Alamatnya fathah zahirah.

Dinamakan ما ini sebagai Masdariyyah kerana ia mengandungi makna masdar. Dinamakan Zhorfiyyah pula kerana ia adalah ganti kepada makna zorof zaman, iaitu 'muddah' atau tempoh.

ما دمت حيا = مدة دوامي حيا

Wallahu a'lam

Wednesday, December 30, 2009

Nahu : Perbezaan Zu Asmak Sittah Dan Zu Bani Toiyah



Assalamualaikum wrt


Saya dapat soalan melalui chatbox,


ingin tahu : salam ustaz..cmne nk beza zu asma' sittah dan zu isim mausul??


Jawapan saya :


ذو adalah salah satu daripada al-asmaa as-sittah yang dirafa3kan dengan wau, dinasab dengan alif dan dijarkan dengan ya.


Namun, disyaratkan pada 'zu' untuk beramal sebagai salah satu al-asmaa as-sittah supaya ia memberi makna صاحب (yang empunya @ memiliki ) Misalnya


جاءني ذو مال = Telah datang padaku seorang yang memiliki harta.


Dalam matan Alfiyyah Ibnu Malik,

من ذاك ذو إن صحبةً أبانا

"Dari asmaa sittah itu adalah 'zu'. Sekiranya ia memberi makna sohbah maka nyatalah ia (sebagai asmaa sittah)


"Disyaratkan demikian untuk membezakan dengan 'zu' yang digunakan oleh Bani To-iyah. Pada mereka zu tidak memberi makna sohbah @ sohib. Bahkan ia memberi makna الذى dan beramal sebagai isim mausul.



Perbezaan Dari Segi I3rab


Dari segi i3rab, zu Bani To-iyah ini juga tidak sama dengan zu asmaa sittah. Zu Bani To-iyah ini adalah mabni. Oleh kerana itu, ia tetap dibaca dengan 'zu' baik dalam keadaan rafa3, nasab atau jar.


Misalnya
جاءني ذو قام رأيت ذو قام مررت بذو قام

Cara membezakan keduanya


Kalau kedua-duanya datang dalam i3rab rafa3, mungkin akan berlaku kekeliruan kerana keduanya rafa3 dengan wau. Namun kita boleh bezakan dengan siyaqul kalam. Kita boleh faham bila kita cuba memahami atau menterjemah jumlah yang ada padanya 'zu'.


Misalnya contoh tadi جاءني ذو قام .


Kita terjemah dengan makna sohib maka akan jadi - Telah datang padaku orang yang memiliki berdiri. Sangat tidak sesuai.


Cuba terjemah pula dengan makna allazi - Telah datang padaku orang yang berdiri. Sesuai.


Adapun dalam keadaan nasab dan jar, maka perbezaan keduanya adalah jelas. Wallahu a'lam bissowab.

Rujukan - Syarah Ibnu Aqil Dar at-Tolai3 Madinah Nasr Qaherah juzuk 1 m/s 24


Entri ini pernah dimuatkan dalam blog terdahulu

Nahu : Cara Mengi'rab Jumlah


Assalamualaikum wrt

Rasulullah s.a.w bersabda,

إنما الأعمال بالنيات

Pada entri kali ini, saya yang dhaif lagi hina cuba untuk menerangkan kepada antum cara membaca jumlah atau kalam dalam bahasa Arab mengikut kaedah yang betul. Bukan betul mengikut takrifan saya, bahkan betul mengikut kaedah yang telah ditunjukkan oleh ulama nahu.

Dalam membaca kitab Arab, kita harus mengetahui :

1) Jenis setiap kalimah (sama ada isim, fe'el atau huruf)

2) Mu'rab atau mabni.

3) Kalau ianya mu'rab, apakah pula keadaannya (sama ada rafa', nasab, jar, atau jazam) dan kenapa dii'rab begitu

4) Hubungan antara setiap kalimah dengan kalimah sebelum atau selepasnya (jika ada)


Penerangan

1) Jenis setiap kalimah

Lihat hadis di atas, di sana ada beberapa kalimah.

إن = huruf
ما = huruf
الأعمال = isim
ب = huruf
النيات = isim

Bagaimanakah kita tahu kalimah ini isim dan kalimah itu pula huruf atau fe'el? Untuk mengetahuinya kita mesti tahu alamat-alamatnya. Dan untuk mengetahui alamat-alamatnya, silakan rujuk mana-mana kitab nahu. Untuk pelajar kuliah lughah khususnya, saya galakkan antum rujuk kitab Audoh al-Masalik oleh Imam Ibnu Hisham rahimahullah atau kitab-kitab seumpamanya.

2) Mu'rab atau mabni

Dalam hadis di atas, ada 4 kalimah yang tegolong dalam jenis huruf. Kesemuanya adalah mabni. Kaedah nahu yang harus diingat , 'Semua huruf adalah mabni'.

Adapun kalimah الأعمال dan النيات , keduanya adalah mu'rab dalam jenis isim jamak mukassar munsorif dan jamak muannas salim.


3) Kalau ia mu'rab, apa pula keadaan i'rabnya dan kenapa?

Pada kalimah الأعمال i'rabnya adalah rafa'. Kenapa ia dii'rab rafa'? Kerana huruf إن yang tugas atau amalannya adalah menasabkan isim dan merafa'kan khabarnya tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa kerana masuknya huruf ما الكافة padanya.

Sebagai pencerahan, cuba kita lihat ayat ini, (tanpa ما )

إن الأعمالَ بالنيات

Lafaz الأعمال dinasabkan kerana ia jadi isim إن. Kemudian bila dimasukkan ما الكافية , secara automatik amalan إن terhenti dan pada ketika ini الأعمال menjadi rafa' kerana ia adalah mubtada.

Kalimah النيات pula i'rabnya adalah jar kerana masuk padanya huruf jar.


4) Hubungan antara setiap kalimah dengan kalimah yang sebelum atau selepasnya (jika ada)

Dalam hadis di atas, oleh kerana kalimat dalam jumlah atau ayatnya agak sedikit, maka saya rasa lebih sesuai kalau saya gunakan jumlah yang lain.

Kita ambil ayat basmalah misalnya

بسم الله الرحمن الرحيم

Hubungan antara :
i) الباء dan اسم = huruf jar dan majrurnya
ii) اسم dengan lafaz الله = mudhof dan mudhof ilaih
iii) Lafaz الله dengan الرحمن = mausuf dan sifat awal
iv) Lafaz الله dan الرحيم = mausuf dan sifat kedua

Apabila kita perhatikan kepada 4 hubungan di atas, kita akan dapati bahawa tidak semua kalimah itu mempunyai hubungan dengan kalimah yang betul-betul selepas atau sesudahnya.

Kalimah الرحيم misalnya, tiada hubungan dengan kalimah الرحمن namun ada hubungan dengan kalimah jalalah selang sebelumnya.

Kalau ditanya: Kenapa perlu mengetahui hubungan antara kalimah?

Maka saya katakan, mengetahui hubungan antara kalimah adalah sangat penting untuk memelihara daripada salah faham terhadap maksud sebenar yang ingin disampaikan. Oleh kerana perkara ini sangat pentinglah para ulama nahu dalam sesetengah bab telah mengkhususkan perbahasan mengenai wajib, harus atau tertegahnya taqdim dan ta'khir dalam sesetengah hukum i'rab.

Misalnya pada ayat

انما يخشى اللهَ من عباده العلمآءُ

" Hanyasanya yang takut kepada Allah dikalangan hamba-hamba-Nya adalah para ulama" Surah Fathir ayat 28

Kalaulah kita sekadar mengetahui selepas fe'el adalah fa'il kemudian baru maf'ul, nescaya makna ayat ini akan jadi sebaliknya. Dalam ayat ini, lafaz jalalah adalah maf'ul dan fa'ilnya nun jauh di hujung ayat iaitu kalimah العلماء . Oleh kerana itu, mengetahui hubungan antara kalimah amat penting untuk memelihara kita daripada tersalah makna.

Sebenarnya bukan 4 perkara ini sahaja yang harus kita ketahui di dalam mengi'rab jumlah, bahkan ada beberapa perkara lain yang tidak kurang pentingnya. Namun 4 perkara tadi adalah yang asas dan terpenting untuk kita ketahui.

Sama-samalah kita pelihara dan semak semula niat kita dalam belajar ilmu-ilmu Islam terutama ilmu alat sepeti Nahu ini. Kita belajar Nahu bukan untuk bermegah dan berbangga. Bahkan ia adalah kunci untuk kita membuka pintu gedung khazanah ilmu yang ada dalam al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab muktabar yang lain. Wallahu a'lam.



Entri ini pernah dimuatkan dalam blog terdahulu