MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Sunday, February 14, 2010

Rehlah Sinai : Hari Pertama

9 Februari 2010 (Selasa)

Bertolak dari Mansurah pada jam 1 pagi. Alhamdulillah, walaupun agak penat kerana baru pulang dari jaulah Iskandariah jam 10.30 malam namun semangat dan keinginan saya ke Sinai yang membuak-buak sedikit sebanyak memadam keletihan. Setelah setengah jam perjalanan, saya menutup muka dengan tuala kecil dan ....... zzzzz :)

Semenanjung Sinai




peta semenanjung Sinai


Semenanjung Sinai Menerusi Pandangan Satelit

Ia adalah sebuah semenanjung berbentuk segitiga dan diapit oleh Teluk Suez dan Teluk Aqabah. Untuk ke sana, kami melewati Terowong Ahmad Hamdi yang menyambung antara Tanah Besar Semenanjung Mesir di sebelah Barat dan Sinai di sebelah Timur. Ia terletak benar-benar di bawah paras Terusan Suez.

Di Dalam Terowong Ahmad Hamdi

Uyun Musa

Terletak di tengah-tengah perjalanan antara Terusan Suez dan Gunung Sinai @ Thursina. Mengikut sejarah, terdapat 12 telaga mata air disini. Sekarang tinggal 8 sahaja. 12 mata air merujuk kepada pengikut Nabi Musa a.s yang terbahagi kepada 12 kaum.

Antara telaga yang masih didapati





Kubu Peninggalan Israel

Kubu ini adalah peninggalan tentera Israel yang tewas ditangan Mesir dalam peperangan tiga penjuru satu ketika dahulu. Melihat beberapa jentera perang yang hancur dibedil, saya teringat ranjau-ranjau yang dipasang oleh tentera Mujahidin di Cechnya yang menghancurkan kenderaan-kenderaan tentera Russia.

Israel tewas di Mesir, dan saya sebagai seorang Muslim sudah tentu turut berkongsi rasa bangga dan syukur atas kemenangan ini. Namun ini bukanlah titik akhir usaha mereka untuk terus memusuhi Islam dan Muslimin. Perancangan mereka sehingga kini amat licik. Mereka kalah dengan peperangan artileri, mereka gunakan pula perang saraf. Ingatlah, mereka tidak akan senang hati dengan kita selagi kita tidak ikut cara hidup dan agama mereka. Oleh itu umat Islam terutamanya kita golongan syabab perlu sentiasa membuat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Boleh klik disini untuk melihat video sekitar peperangan tersebut.

Antara senjata peninggalan tentera Israel





Antara Peralatan Israel Yang Musnah




Kubu dan Benteng




Hammam Fir'aun

Terletak di persisiran Teluk Suez, lebih kurang 125 km daripada Terowong Ahmad Hamdi. Merupakan tempat mandian Firaun di musim panas. Terdapat sebuah lubang yang ditebuk di kaki sebuah bukit di tepi pantai. Kedalaman lubang ini adalah sekitar 25 meter. Ada udara panas yang keluar daripada lubang tersebut. Udara itu digunakan oleh Firaun untuk tujuan perubatan. Ditepi pantai pula terdapat mata air yang panas. Menurut sumber yang saya percayai, suhu maksimum air itu boleh mencapai 75 darjah Celcius. Jika direndam telur ayam, kemungkinan boleh masak. Ada juga salah seorang peserta yang cuba-cuba menyentuh air itu, mungkin untuk menguji tahap kepanasannya. Sudahnya menggelupur juga tangannya. :)


Hammam Firaun

Lembu Samiri


Apabila Nabi Musa a.s terlambat pulang bermunajat kepada Allah, Bani Israel mula meragui kenabian dan agama yang dibawa oleh Baginda. Salah seorang dari pemimpin mereka yang bernama Samiri, telah menghimpunkan emas, perak dan barang perhiasan lalu membentuk seekor anak lembu dan membawa patung tersebut ke hadapan Nabi Harun a.s. Namun Nabi Harun a.s menegur mereka dan meminta mereka kembali kepada Allah. Malangnya mereka lebih terkesan dengan Samiri yang meminta mereka supaya menyembah dan menyembelih korban kepada Tuhan baru mereka. Sekembalinya Nabi Musa a.s daripada bermunajat, Baginda membawa bersamanya kitab Taurat sebagai ajaran dan panduan kepada Bani Israil. Namun, Nabi Musa kecewa setelah Baginda mendapati kaumnya mensyirikkan Allah dengan menyembah patung berhala yang dibuat oleh Samiri.

Gambaran patung lembu tersebut dikatakan pancaran daripada patung emas yang dibuat oleh Samiri (seorang Bani Israil dari suku as-Samirah). Lalu pancaran tersebut terkena ke bukit dan membentuk ukiran seekor lembu. Ukiran ini dapat dilihat dengan jelas kira-kira 20 meter dari tempat tersebut. Ada pendapat yang menyatakan ia bukan hasil pancaran dari patung emas tersebut tapi cuma kesan luluhawa yang membentuk seperti lembu, wAllahua'lam. Ia terletak berhampiran Makam Nabi Harun dan Mata Air 12. Sila rujuk surah Toha ayat 83 sehingga 91.



Wadi Arba'in

Wadi Arba'in (lembah 40) berhampiran dengan pokok-pokok ribuan tahun yang menyaksikan pertemuan Nabi Musa a.s dengan anak Nabi Syuaib a.s. Ia juga merupakan tempat Nabi Musa a.s dan 40 orang nabi-nabi mengadakan perjumpaan dan persidangan pada zaman dahulu.

12 Mata Air Nabi Musa a.s

Dalam surah al-Baqarah ayat 60 ada diceritakan mengenai air mata ini. Pada saya, mata air ini adalah tanda dan dalil kepada rahmahnya Allah. Allah Maha Rahim kepada semua hamba-Nya. Sekalipun Bani Israel amat terkenal dengan kedegilan mereka, namun Allah tetap memberi nikmat kepada mereka. Bahkan mereka memperoleh rezeki tanpa perlu bersusah payah. Pun begitu, amat sedikit dikalangan mereka yang bersyukur atas nikmat yang diberikan.

Hari Pertama Yang Menggembirakan

Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. Terima kasih Allah memberi hamba-Mu ini peluang untuk menjejakkan kaki yang hina dan penuh dosa ini di tanah yang pernah dijejaki oleh para rasul-Mu.

Kisah Nabi Musa a.s adalah kisah nabi yang terbanyak diceritakan dalam al-Quran. Baginda adalah salah seorang Ulul Azmi yang lima. Berada di Sinai bermakna kita harus menyiapkan diri untuk menghayati sirah seorang insan yang hebat. Insan yang pernah berbicara secara langsung dengan Allah. Kita harus menghayati roh dakwah yang ditinggalkan oleh Baginda a.s, lalu kita jadikan ia sebagai azimat dan pemangkin bagi kita para pelajar agama khususnya untuk berjuang menyebarkan syiar Islam.

Malam itu sekitar jam 7.30, kami tiba dan berehat di Kem Fox di kaki Gunung Tursina. Keinginan yang kuat untuk ke puncak Sinai, tempat munajatnya Baginda Musa a.s bagai menjadi penebat yang ampuh untuk menghalang tiupan bayu dingin yang menyengat. Ruang masa yang ada saya gunakan untuk melepaskan lelah dan menunggu jam 12.30 malam untuk ke puncak....


No comments:

Post a Comment