MENGENAI SAYA

- Ahmad Kamil bin Muallah
- 1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.
Thursday, March 6, 2014
Mengadu Kepada Allah
Sentiasa terngiang-ngiang pesan para masyaikh madrasah supaya luahkan semua masalah pada Allah. Hati memang teringin nak bagitau orang yang kita ni dah kira macam sehelai sepinggang dah, tapi pujuk juga supaya banyakkan mengadu pada Allah.
Lepas Asar hari yang sama, ada seorang Arab yang solat jemaah di surau yang jemaah saya singgah. Lepas solat, saya saja ikhtilat dengan dia. Kami berbual dalam Bahasa Arab. Perbualan sekitar dakwah dan menceritakan kebesaran Allah.
Tiba-tiba dia ajak saya ke belakang surau. Dia mengeluarkan sejumlah wang yang banyak dan mencukupi sepanjang tempoh 40 hari saya di sana, bahkan banyak lagi belen ketika saya balik. Sedangkan sikit pun saya tak maklumkan keadaan saya ketika itu.
Apa yang saya nak kongsikan adalah, dalam apa jua keadaan, marilah kita sungguh-sungguh belajar untuk mengadu sungguh-sungguh kepada Allah. Allah Maha Memiliki segalanya. Allah tempat bergantung kita semua...
Thursday, July 7, 2011
Selamat Hari Lahir Umar...

Pulang daripada menunaikan solat Subuh di Surau Al-Hidayah sebentar tadi, saya bergegas menuju 'laptop' saya dengan harapan agar ada gambar terbaru Umar yang di'upload' oleh isteri saya di Mesir. Alhamdulillah, ia bukanlah harapan yang sia-sia.
Terpampang di album facebook isteri saya gambar Umar Abdullah yang comel, berjubah hitam dan berkopiah. Lama juga saya menatap gambarnya. Rasa gembira, rindu, sayu, semuanya hadir mewarnai hati saya. Ya, ayah mana yang tidak merindui anak kecilnya yang berjauhan. Ah, ternyata saya tak mampu mengelak dari gugurnya manik-manik jernih dari mata saya. Kegembiraan.
Selamat Hari Lahir Umar...
Pada hari ini (7 Julai 2011) genaplah usia Umar setahun. Dan telah setahun jugalah berlalunya saat-saat penuh debar penantian sebuah kelahiran yang disudahi dengan senyum penuh kesyukuran. Lahirnya seorang putera yang amat diharapkan untuk menjadi sinar kepada Islam. Yang amat diharapkan untuk menjalani kehidupan di dunia yang fana ini sebagai seorang mujahid yang tak pernah gentar untuk mengorbankan segalanya demi agama Allah yang tercinta ini.
Tidak perlu rasanya untuk menceritakan bagaimana sayunya melihat keadaan isteri saya untuk melahirkan Umar. Cukuplah pelbagai cerita, kisah dan peristiwa yang berlaku kepada semua sang ibu yang melahirkan menjadi kias kepada apa yang dirasai olehnya. Apa yang mampu saya lakukan hanya memanjatkan setulus doa kehadratNya, memohon agar dimudahkan urusan kami.
Detik-Detik Kelahiran
Jam 10.20 malam, 7 Julai 2010. Saya masih menunggu dengan penuh debar diluar bilik pembedahan. Isteri saya terpaksa dibedah kerana berlaku sedikit masalah yang tak dapat dielak. Saya akur dengan pandangan Doktorah Majdah yang jauh lebih berpengalaman, walaupun jauh disudut hati amat berat rasanya untuk membiarkan kelahiran ini berlaku dengan cara pembedahan.
Terima kasih sebanyak-banyaknya kepada beberapa pasangan yang setia menemani saya menunggu sehingga selesai. Kepada Ustaz Tuan Azman, Ustaz Iznan Syahmi, Ustaz Abdul Hakim, Ustaz Rasyidi dan semua zaujah kalian, terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan atas kesudian kalian memberi semangat dan panduan kepada kami berdua. Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas kebaikan kalian dengan selayaknya.
Jam 10.40 malam, 7 Julai 2010. Kali pertama saya mendengar jeritan tangis Umar yang sayup-sayup kedengaran dari bilik pembedahan yang terkunci rapat. Saya terkedu. Ustaz Tuan Azman dan Ustaz Rasyidi bingkas memeluk saya, mengucapkan tahniah. Saya masih terkedu. Namun sedikit demi sedikit bibir saya mula mengukir senyuman. Senyuman paling indah. Senyuman yang disulam dengan rasa penuh kesyukuran.
Allah, Dialah Cinta Hati Kita
"Allahu Akbar... Allahu Akbar.." Kalimah-kalimah agong ini menjadi kalimah pertama yang didengarkan ke telinga Umar. Umar diam. Kelopak matanya yang masih melekat itu bergerak sedikit, seolah memberi tumpuan terhadap apa yang didengarnya. Ya, Umar.. Dialah Allah. Dia Maha Pengasih. Dia amat kasihkan Umar. Ayah harap Umar tak akan sia-siakan kasih yang Allah berikan kepada Umar ye nak. Balaslah cinta dan kasih Allah dengan sepenuh hatimu nanti.
InsyaAllah 18 haribulan ini isteri saya dan Umar akan pulang ke tanah air. Mudah-mudahan Allah mudahkan urusan pulang kalian dan kita akan bersama kembali, insyaAllah.... SANAH HELWAH YA HABIBI UMAR :)
Saturday, February 5, 2011
Catatan Akhir Sebelum Pulang Ke Malaysia Untuk Sementara
Ketika saya menaip sekarang ini,masih ada 8 jam lagi masa yang berbaki sebelum saya sekeluarga dan seluruh pelajar Malaysia di Mansurah, Mesir ini bertolak ke Iskandariah untuk meneruskan perjalanan ke Jeddah Mesir. Kami bertolak jam 4 pagi, 5/2/2011 insyaAllah.
Kalau sebelum ini saya hanya menunaikan solat Isyak di masjid yang berhampiran dengan rumah, tapi sebentar tadi saya gagahkan juga untuk menunaikan Isyak di Masjid Huda Ar-Rahman, Utubis Jadid untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Syeikh Hussin Al-Asyari, salah seorang guru kepada pelajar Malaysia disini. Sekali-sekala perasan juga ada mata yang melirik tajam memerhati saya sepanjang perjalanan saya ke masjid tersebut. Walaupun jaraknya dengan rumah saya tidak jauh, hanya lebih kurang 200 meter, tapi oleh kerana perintah berkurung bermula dari jam 6 malam sedikit sebanyak hadir juga rasa tak sedap hati walaupun tak pernah dijemput. Pelbagai kalam nasihat yang diberikan oleh Syeikh Hussin, dan ia menjadi bekalan berharga buat saya sepanjang berada di Malaysia untuk tempoh beberapa bulan nanti.
Mesir dan Rakyatnya
Bila bercakap mengenai rakyat Mesir, setiap warga Malaysia disini saya percaya mempunyai pelbagai pandangan dan tanggapan. Pandangan yang abstrak. Pandangan yang sekiranya diukur dengan neraca yang betul, insyaAllah ia akan menjadi pandangan yang persis kepada kebenaran.
Secara peribadi, dan setelah menilai dari pelbagai sudut dalam tempoh yang pada saya hampir matang, apa yang boleh saya simpulkan adalah Mesir mempunyai rakyat yang bersikap 'sentiasa hendak menang' dan 'pantang dicabar'. Saya dapat melihatnya dalam pergaulan saya dengan pelbagai golongan disini. Cuma yang membezakan mereka adalah sejauh mana mereka meletakkan sikap ini pada situasi dan adab yang sesuai.
Sikap yang tidak sesuai misalnya ketika di jalanraya. Kalau bertembung dua buah kenderaan di satu lorong kecil, jarang sekali kita lihat untuk salah sebuah kereta berundur dulu. Biasanya akan berlakulah siri berbalas-balas hon, ditambah pula dengan secamca makian, barulah ada yang beralah. Bukan semua, tapi majoriti.
Namun, sikap yang sama apabila diletakkan ditempat dan situasi yang betul, maka sepertimana yang dapat kita lihat berlakunya revolusi mendadak rakyat Mesir menentang pemerintahan Husni Mubarak. Maka bergegarlah mimbar-mimbar Jumaat dengan kata-kata semangat oleh para khatib yang berkhutbah tanpa teks, yang meniup semangat juang rakyat Mesir untuk bangkit demi memastikan Islam 'menang' di Mesir dan hati-hati rakyatnya. Semakin ramai yang terkorban dan cedera, semakin ramai yang bangkit mengisi kekosongan.
Nikmat Yang Dirindui
Antara nikmat paling besar yang Allah kurniakan di Mesir ini adalah nikmat memberi salam. Berilah salam kepada siapa sahaja, insyaAllah mereka akan menjawabnya walaupun mereka tidak mengenali kita. Kalau nampak ada golongan anak-anak muda yang duduk-duduk ditepi jalan dan kita bimbang diganggu, cara mengatasinya adalah hanya perlu memberi salam. Salam kita akan dijawab dan kita tidak akan diganggu (insyaAllah).
Khutbah Jumaat disini juga adalah salah satu nikmat yang pada saya amat dirindui dan dikenang sepanjang berada di Malaysia nanti. Bukan mahu membezakan, tapi saya mahu supaya khutbah-khutbah kita dinilai semula. Untuk pengetahuan, khutbah di Mesir kebanyakannya sangat memyentuh rohani. Ia bukan khutbah tangkap muat. Bahkan khatib-khatib disini benar-benar berkhutbah, dengan suara dan nada yang tegas. Sukar untuk melihat jemaah yang tidur ketika khutbah.
Disini juga ada beberapa saluran khas yang berbentuk Islamik di televisyen dan radio. Sepanjang saya berpagi-pagi berniaga nasi lemak ke Tir'ah, boleh dikatakan lebih kurang 90% pemandu teksi memilih siaran Iza-atul Quran minal Qahirah untuk menjadi halwa telinga. Saya pernah berbual dengan salah seorang peniaga di salah sebuah kedai runcit berhadapan Kompleks Sukan Universiti Mansurah (Istad Gama'ah) dan saya katakan orang Mesir suka dengar Al-Quran. Dia mengakui kata-kata saya namun dengan sedikit tambahan "tapi orang Mesir masih kena belajar akhlak Al-Quran". Saya hanya tersenyum kerana ada benarnya. Apapun, kita kena lihat nilai diri kita sendiri dulu sebelum menilai orang lain.
Opah dan Atok Yang Sangat Merindui Umar Abdullah
Semuanya perancangan Allah. Mungkin dek kerana rasa rindu yang menggugah jiwa mak dan abah saya di tanah air kepada cucu sulong mereka yang belum pernah dilihat depan mata, maka Allah tunaikan juga hajat mereka. Saya sendiri dapat merasakan betapa meraka tertunggu-tunggu untuk mendukung Umar. Gembira benar nada suara mereka ketika saya menghubungi mereka semalam dan menyatakan kepulangan kami bersama Umar. Kata adik saya, mak dah siap buatkan mainan khas untuk Umar di laman rumah. Jangan asyik main sudahlah ye Umar. :)
Rindu rasanya untuk bersalaman dan mengucup kedua tangan mereka. Tangan yang pernah digunakan untuk merotan saya sewaktu kecil dahulu, yang 'manisnya' saya rasai sekarang.
Saya rasa setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan. Assalamualaikum wrt..
Friday, October 1, 2010
Rindu Yang Terubat - Koleksi Fatwa Syeikh Atiyyah Saqr rahimahullah
Pada saya, hilang kamera, duit, telefon bimbit dan laptop, bukanlah perkara yang perlu diratapi. Ia adalah ujian Allah. Namun hilang fail-fail penting berkenaan pengajian, koleksi kuliah daripada para ulama, serta himpunan terjemahan dan artikel tulisan sendiri adalah perkara yang pada saya amat menyedihkan. Lebih-lebih lagi himpunan soal-jawab oleh Fadhilatus Syeikh Atiyyah rohimahullah yang sering saya tekuni, dan berazam untuk menterjemahkannya demi manfaat umum.
Jawapan beliau terhadap soalan yang diajukan kepadanya adalah sangat kemas, disiplin dan berwibawa. Di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus adalah antara tokoh ilmuwan yang mengkagumi Syeikh Atiyyah Saqr, dan sering menyandarkan rujukan jawapannya kepada ulama besar ini.
Riwayat Hidup Syeikh Atiyyah Saqr
Sumber : blog ainulyaqin
Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr. Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.
Beliau mula menghafaz al-Quran ketika berumur 9 tahun dan beliau mula meminati dan mempelajari bidang fiqh ketika berusia 10 tahun. Beliau memulakan pengajian secara formal di sebuah sekolah rendah yang terdapat di kampung beliau, Behna Bai. Minat beliau pada ilmu tidak pernah berkurang. Ini dibuktikan apabila beliau melanjutkan pengajiannya ke Sekolah Tinggi Agama di Zaqaziq (Maahad Zaqaziq al-`Ali al-Dini) pada tahun 1928. Beliau mendapat Shahadah Aliyah (Sijil Tinggi) pada tahun 1941 dalam bidang Usuluddin pengkhususan bidang dakwah.
Sudah menjadi resam bagi seorang ulama pendakwah yang tidak akan berhenti rehat walaupun sedetik, sebaik menamatkan pengajian, beliau terus berkhidmat di Kementerian Waqaf (agama) Mesir sebagai imam, khatib dan tenaga pengajar di Masjid Abdul Karim Ahmadi yang terletak di Bab al-Sya’riyyah di Qaherah pada 16 Ogos 1943. Kemudian pada bulan Februari 1944, beliau ditugaskan ke Masjid Al-Arba’in Al-Bahri (sekarang dengan nama masjid Ammar bin Yasir) di Giza.
Kerja-kerja dakwah yang beliau laksanakan tidak terhenti setakat itu sahaja malahan beliau juga turut menjadi wakil bagi al-Azhar pada tahun 1945 untuk menjadi penceramah di beberapa tempat di bumi Kinanah ini. Antaranya di Tahta Jarjawiyah, Suez , Raksu Al-Gharbiyyah dan juga Qaherah.
Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.

Walaupun sibuk dengan tugas yang diamanahkan ini, amanah ini tidak menghalang beliau untuk bertanding di dalam pilihanraya dan menjadi ahli Dewan Rakyat pada 1984. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Kerajaan Mesir pada tahun 1989. Kepercayaan masyarakat tidak pernah luntur terhadap kebolehan Syeikh Atiyyah Saqr. Sekali lagi beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Jabatan Sunnah dan Sirah bagi Majlis Tertinggi Agama Islam yang terletak di bawah seliaan Kementerian Keagamaan Mesir pada tahun 1991.
Khidmat al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqr juga bukan hanya semata-mata tertumpu di Mesir sahaja bahkan masyarakat luar juga tidak mahu ketinggalan untuk menumpang keberkatan ilmu yang Allah swt kurniakan kepada beliau. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Keagamaan Negara Kuwait pada 1972 selama tujuh tahun. Beliau juga turut pernah mengadakan lawatan rasmi dan tidak rasmi di dalam menyampaikan misi dakwah. Antara negara yang pernah beliau kunjungi ialah Iran dan Indonesia (1971), Libya (1972), Bahrain (1976), Algeria(1977), Senegal, Negeria, Amerika Syarikat, Pakistan, Bangladesh, Iraq, Paris, London, Malaysia, Brunei, Singapura dan Negara Soviet.
Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca.
Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.
Pagi ini terlintas di hati saya untuk cuba mencari audio soal jawab yang sama di Google. Sebelum ini saya pernah membuat carian, tapi tak berhasil. Namun saya rasa saya perlu terus mencuba, mana tahu ada rezeki.
Alhamdulillah, akhirnya saya bertemu juga dengan fail-fail koleksi soal jawab oleh Syeikh Atiyyah Saqr. Rupanya ia 'terselit' di dalam laman web yang saya sering kunjungi sebenarnya untuk download bacaan al-Quran, iaitu Islamway.com. Lucu juga bila dikenang kerana boleh dikatakan tiap minggu, sekurang-kurangnya sekali saya akan membuka laman web ini dan download bacaan Al-Quran. :)

Kepada tuan-tuan yang ingin download koleksi soal jawab Syeikh Atiyyah Saqr, bolehlah download disini. Semoga kita sama peroleh manfaat daripadanya. Amin. :)
Wednesday, September 15, 2010
UMAR MULA MENUTURKAN 'ALLAH,ALLAH'
Sekarang jam 1 pagi di bumi Mesir ini. Suasana sekitar kediaman saya di Syari' Zahari, berdekatan Masakin Mina di Mansurah ini semakin sunyi. Sayup-sayup kedengaran juga jiran selang tiga buah rumah barangkali yang masih memainkan radionya. Suhu tengah malam yang sedikit dingin ini seharusnya telah berjaya memujuk mata saya untuk melabuhkan kelopaknya.
Namun ada seperkara yang berlaku sebentar tadi, yang menyebabkan saya menjadi begitu gembira, ceria, dan amat bersyukur.
Saya bagai tak percaya apa yang saya dengar sendiri daripada bibir anak saya, Umar Abdullah yang baru berusia 68 hari. Bukan saya sahaja, bahkan isteri saya turut mendengar perkara yang sama. Ya, anak kami telah mula menyebut kalimah agung, kalimah jalalah, الله sebentar tadi berulang kali.
Pertama kali mendengar, saya menganggap ia sekadar ngomelan biasa seorang bayi seusia Umar. Ngomelan kosong yang bunyinya persis kalimah agung itu. Pun begitu, jauh di lubuk hati saya amat mengharapkan agar ia adalah benar-benar kalimah الله kerana saya yakin dengan sabdaan Baginda s.a.w,
"Bukalah kalimah mula-mula yang dibicarakan bayi-bayi kamu itu dengan لا اله الا الله " HR Al-Hakim daripada Ibn Abbas r.anhuma
Ya, pasti boleh, insyaAllah. Setiap bayi pasti boleh diajar untuk memulakan bicaranya dengan kalimah yang sangat suci ini. Ia adalah sabdaan Baginda, dan petah bicaranya bukan diluncur bersandar nafsu. Memang sejak hari pertama Umar hadir di alam dunia ini, kami bersilih ganti mendengarkan kalimah ini ditelinganya dengan harapan supaya ia menjadi kalimah pertama yang dilafazkan olehnya.
YA, IA ADALAH KALIMAH ALLAH
Setelah mendengar untuk kali yang pertama, saya dan isteri saling berpandangan. Wajah masing-masing tampak kehairanan. Mungkin hairan saya kelihatan lebih jelas, kalau kerut di dahi saya ini menjadi kayu ukurnya.
Kami terus melayan Umar yang telah mula inginkan perhatian. Umar sudah mula pandai tersengih bila diusik. Terkadang hadir juga tawa kecilnya. Yang paling membuatkannya 'gelihati' adalah ketika saya mencubit-cubit manja pipinya dan mengusik-ngusik hidungnya. 'Geram' rasanya melihat matanya yang sepet ketika tersengih.
Umar bersuara lagi. Kali ini kami benar-benar memasang telinga, mengamati betul-betul apa yang keluar daripada bibir comel Umar. ALLAH, ALLAH, ALLAH.... Kami mendengar kalimah ini berulang kali. Walaupun ia dilafazkan secara pelat sesuai dengan umurnya, namun kami amat yakin, itu adalah kalimah ALLAH.
AIR MATA KESYUKURAN
Tanpa sedar, mata saya mula berkaca. Saya tak pasti isteri saya perasan atau tidak, namun saya tidak fikir rasa gembira dan syukur saya ini dapat dibendung lagi.
Umar juga adalah hamba Allah. Dan Allah mahukan setiap hamba-Nya mengasihi-Nya melebihi apa pun di dunia ini. Saya mahu Umar kenal siapa kekasih nombor satunya. Saya mahu nama kekasihnya itu sentiasa membasahi bibirnya. Seawal usia ini? Ya, seawal usia ini.
Sehingga coretan ini ditulis, Umar telah pun tidur. Sesekali tersengih sendirian. Entah mimpi apalah agaknya yang datang dalam lenanya ya....
Ayah, 15 Sept 2010
1.56 pagi
Friday, July 9, 2010
Puisi Untuk Umar Abdullah Ahmad Kamil
Umar Abdullah Ahmad Kamil
Umar anak ayah,
Tak mampu dihurai gembira,
Saat pertama mendengar esak tangismu,
Tak tertahan airmata ayah,
Syukur dan terharu.
Umar cinta hati ayah,
Sembilan purnama di dalam perut ibu,
Terlalu banyak pengorbanan ibumu wahai Umar,
Kelak,
Ayah harap Umar berbakti pada ibu ya sayang,
Lebihkan ibumu, lebihkan ibumu, lebihkan ibumu,
Kemudian baru ayah.
Umar buah hati ayah,
Nanti bersungguh ya sayang,
Bersungguh mendamba cinta Allah,
Bersungguh menjadi kekasih Rasulullah,
Bersungguh melazimi para kekasih Allah,
Bersungguh menyeru kepada Allah.
Umar sayangku,
Permata hati ayah ibu,
Tak jemu menatap wajahmu,
Suci bersih fitrah,
Airmata ayah gugur lagi,
Kesyukuran.
Ayah, 8/7/2010, sebelah Umar…
Saturday, February 13, 2010
Sekitar Jaulah Iskandariyah 8 Februari 2010
Lama juga rasanya saya tidak berkesempatan untuk menulis. Sepanjang semi pertama bulan ini, pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku. Daripada Ma'rad kitab Antarabangsa di Kaherah, Jaulah di Iskandaryah dan Rehlah ke Sinai. Alhamdulillah, saya telah dan sedang melewati fasa-fasa harum dalam hidup saya. Ia adalah kesempatan dan ruang yang dikurnia oleh Allah untuk saya merenung dan menghayati kisah insan-insan yang wujud lebih awal daripada saya. Kalaulah masa yang berlalu boleh dikembalikan semula, ingin sekali saya menyediakan sebuah tempayan besar, lalu saya kutip mutiara-mutiara sejarah dan saya jadikan ia sebagai guru majazi yang mengajar saya erti sebuah kehidupan.
Di bawah ini saya kongsikan gambar-gambar sepanjang jaulah di Iskandariyah pada 8 Februari lepas.
Dalam perjalanan
Kami bertolak dari Mansurah lebih kurang jam 7.30 pagi. Ada 4 buah van kesemuanya. Musyrif utama adalah Ustaz Amir Bukhari. Sampai di Iskandaryah lebih kurang jam 11 pagi.
Ia adalah sebuah monumen yang amat berharga. Ia juga adalah ikon utama di bandar ini. Kota ini adalah ibarat sebuah buku sejarah yang lembaran mukasuratnya adalah tiap ruang dan dindingnya. Mengadap Laut Mediterranean, ia benar-benar satu pemandangan yang mempesona.
Maqam Auliya'
Perpustakaan Iskandariyah
Antara perpustakaan terbesar dan termasyhur seantero dunia. Boleh baca lebih lanjut mengenai perpustakaan ini di sini
InsyaAllah dalam entri selepas ini, saya akan menulis mengenai Rehlah Tarbawiyyah di Sinai.
Saturday, January 9, 2010
SDK : Burger Akhi dan Secebis Kenangan
بسم الله الرحمن الرحيم
Burger adalah sesuatu yang istimewa dalam sejarah hidup saya. Ia adalah satu kenangan dan nostalgia yang terkadang bila teringat akan menyebabkan saya tersenyum, terkadang pula termenung. Kronologi hidup saya sejak 4 tahun yang lalu diwarnai oleh kelazatan mayonisnya, keenakan daging lepernya, kelembutan rotinya dan kesyukuran menikmati hasil untungnya.
Pada Disember 2006, saya berada di tahun pertama pengajian di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). Ayah saya baru pencen daripada pekerjaannya. Sebelum pencen, ayah hanya mahu saya memberi tumpuan kepada pengajian dan jangan fikir soal belanja. Dia ada memberi sedikit duit saku untuk belanja sebulan. Kalau ikutkan, memang segan sangat sebenarnya apabila seorang anak sulong yang berumur 23 tahun pada masa itu masih lagi diberi duit belanja. Saya sudah beberapa kali memberi cadangan untuk membeli sebuah motosikal (menggunakan sedikit duit simpanan untuk bayar duit muka), supaya dapat digunakan untuk mengajar di kelas-kelas tuisyen terutama al-Quran dan Bahasa Arab untuk mencari pendapatan sampingan, namun tidak berjaya. Setelah pencen, saya minta supaya ayah mengizinkan saya untuk mencari duit sendiri. Alhamdulillah abah dan mak mengizinkan.
Saya pun memulakan bisnes secara kecil-kecilan di kampus. Jual burger. Mula-mula jual 10 biji, alhamdulillah habis. Esoknya tambah lagi 5, alhamdulillah. Begitu lah hari demi hari sehinggalah sehari saya dapat jual 50 biji burger. Di mana saya goreng burger? Hehe di dalam bilik asrama, menggunakan periuk nasi.
Februari 2007. Alhamdulillah, perniagaan bertambah maju. Saya berhasil mendapatkan sebuah motosikal second hand jenama Nitro. Dengan adanya motosikal ini, saya tidak perlu lagi meminjam motor kawan-kawan untuk pergi membeli barang-barang berniaga. Syukran jazilan kepada Akhi Khidir, yang kini berada di tahun 2 kuliah qiraat di Syoubra kerana selalu meminjamkan motornya. Begitu juga dengan Akhi Hafis Ghazali. Semoga Allah merahmati kalian berdua.
Jualan semakin meningkat. Saya sudah mula membeli kuali leper yang biasa digunakan untuk menggoreng burger, dan mempunyai dapur tungku sendiri. Saya minta izin kepada warden asrama yang juga kawan baik saya, Ustaz Syafie Bachok dan alhamdulillah, beliau mengizinkan menggunakan rusng dapur rumahnya. Pada ketika itu beliau masih bujang. Setelah berdua, saya minta izin menggunakan stor kampus. Beliau mengizinkan juga. Dipendekkan cerita, sampai lah saya menamatkan pengajian, jualan di kampus pada setiap hari boleh dikatakan berterusan dalam 60 ke 80 biji. Pelajar yang menginap di kampus tidak ramai, sekitar 300 orang sahaja. Apapun, semuanya adalah nikmat daripada Allah untuk Dia menguji kita para hambaNya, adakah kita bersyukur atau tidak. Alhamdulillah.
Ogos 2007. Saya membeli motosikal baru jenama EX5 warna hitam menggantikan motosikal sebelumnya yang selalu bermasalah. Saya mula mengambil upah mengajar al-Quran dan Bahasa Arab sebagai pendapatan tambahan. Untuk menggoreng dan menjual burger, saya mengupah seorang sahabat yang menawarkan dirinya untuk 'bekerja' dengan saya.
Saya membuka 'cawangan' di salah sebuah gerai berhadapan Masjid Jamek Sultan Abu Bakar. Saya namakan burger saya sebagai 'Burger Akhi'. Syukran jazilan kepada Abang Lan, toke gerai tersebut yang meng'offer' untuk menjadi pengedar. Matlamat saya pada ketika itu adalah untuk mengumpul duit bagi melamar seorang muslimah (kini zaujah) yang saya tidak pernah menatap wajahnya kerana dia berpurdah, namun hati saya cenderung untuk menjadikannya permaisuri dan sayap kiri perjuangan saya sebagai daie. Alhamdulillah hajat saya tercapai.
Abang Lan, banyak jasanya pada saya.. :)
Sekarang, Januari 2010. Saya dan zaujah kini berada di Mansurah, Mesir. Yang belajar secara rasmi sebagai pelajar al-Azhar adalah zaujah saya, dalam bidang Takhassus Qiraat. Saya pula tidak dapat melanjutkan pengajian disini kerana MOU francais atau muadalah antara kolej-kolej pengajian Islam di Malaysia telah dibatalkan secara mengejut pada April 2008. Sijil STAM saya pula sudah menjangkau 4 tahun, lebih setahun daripada had penggunaannya untuk melayakkan saya menjadi pelajar al-Azhar. Tapi tak mengapalah, saya ke sini untuk menimba ilmu. Saya yakin semuanya adalah ujian-Nya, dan pasti ada hikmah yang tersirat sebaliknya.
Apa yang ingin saya sampaikan sebenarnya dalam entri ini adalah, Burger Akhi kini di Mansurah. Hihi. Harganya adalah LE2.50 lebih kurang duit kita rm1.50. Sama harganya seperti yang saya jual di Malaysia. Lapisan bawahnya adalah mayonis, kobis, tomato dan sos. Lapisan atasnya adalah timun dan sos juga. Manakala dagingnya digoreng dengan sedikit resipi rahsia :)
Setakat ni dah dijual di Maahad Qiraat dan salah sebuah kelas yang saya muzakarahkan kitab Nahu. Kepada sahabat-sahabat di Mansurah yang ingin membuat tempahan untuk sebarang program atau diskusi beramai-ramai, boleh contact saya di nombor 0145780942. Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dimudahkan oleh Allah dan rezeki yang datang melaluinya diberkati insyaAllah. Amin Amin Amin.
Friday, January 1, 2010
Suka Duka Kehidupan : Setelah 3 Purnama
Diam tak diam sudah hampir 3 bulan saya menjejakkan kaki di bumi Mesir ini. Saya masih lagi berusaha untuk mengenali dan memahami hikmah yang Allah siratkan di dalam penciptaan hamba-hambaNya di bumi ini yang berbeza dengan masyarakat kita di tanah air. Pasti ada iktibar yang Allah ingin zahirkan kepada saya dan kita semua untuk menjadi pedoman dan panduan, atau barangkali juga boleh dijadikan sempadan.
Firman Allah
يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا
“ Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal." Surah al-Hujurat ayat 13
Namun alhamdulillah, sekadar untuk tempoh yang masih muda disini, saya berasa cukup gembira dan bersyukur kerana dapat juga menjejakkan kaki ke tanah yang satu masa dulu pernah menjadi saksi kepada segala jerih payah dan pahit maung yang dihadapi oleh para rasul dan anbiyak alaihimussolatuwassalam. Gembira kerana diberi peluang oleh Allah untuk mengambil iktibar dan 'ibrah daripada perjuangan para rasul, dengan harapan semoga ianya menjadi motivasi dan pemangkin kepada saya untuk terus tabah dan thabat dalam berdakwah.
Masalah Bahasa
Firman Allah,
ومن آياته خلق السماوات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم إن في ذلك لآيات للعالمين
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir” Surah ar-Rum ayat 22
Sebulan pertama di Mansurah, agak sukar rasanya untuk saya bermuamalah dengan masyarakat disini yang majoritinya bertutur dalam lahjah Mesir. Saya terpaksa fotostat 5 buah buku belajar lahjah Mesir yang sebahagian besarnya dipinjamkan oleh Ustaz Al-Amin Daud yang juga salah seorang moderator agama Iluvislam.com. Kemudian kenalan baru di Abud, Kaherah Ustaz Hafiz Saifuddin pula menghadiahkan buku ‘Dialek Arab Mesir, Panduan Dan Praktikal’. Kepada antum berdua, saya ucapkan syukran awi atas bantuan antum. :)
Alhamdulillah, dengan memperbanyakkan ulang-alik ke suq (pasar) untuk membeli barang dengan niat belajar lahjah Mesir, sekarang saya sudah mula selesa dan senang bermuamalah dengan mereka. Pada saya ini adalah salah satu nikmat yang harus saya kongsi bersama, bukan untuk meninggi diri, wal’iyazu billah. Firman Allah,
و أما بنعمة ربك فحدث
“ Dan adapun dengan nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya" Surah adh-Dhuha ayat 11
Saya masih teringat pada hari kedua saya di sini, saya memberanikan diri untuk berseorangan menaiki teksi pulang ke rumah. Ketika itu saya baru usai kelas tafaqquh bersama Al-Fadhil Ustaz Saiful Azlam di rumahnya. Saya menghadiri pengajian itu dengan ditemani Ustaz Fathi Montalib selepas sama-sama menunaikan solat Maghrib di salah sebuah masjid, dan sebelumnya menyertai kelas tafaqquh kitab tauhid al-Aqaid ad-Durriyyah bersama al-Fadhil Ustaz Al-Amin Daud. Dipendekkan cerita, saya pulang awal malam itu kerana zaujah tidak berapa sihat. Mula-mula saya rasa yakin yang saya dah camkan jalan tadi. Namun oleh kerana lorong terlalu banyak, akhirnya saya pun ’tersesat’ sampai lah ke Aswaq Yasin. Pada masa itu saya dan zaujah menumpang sementara di salah sebuah rumah berdekatan markaz pelajar Malaysia.
Zaujah yang sudah setahun berpengalaman di sini pun memberikan direktori yang detail bagaimana untuk berbual lahjah Mesir dengan pemandu. Malangnya, teksi yang saya tahan itu pemandunya muda. Lebih kurang sebaya saya. (Saya kan muda lagi, hehe). Kawannya turut ada. Habis saya digelakkan oleh mereka semahunya kerana tidak faham kata-kata mereka dan saya pula hanya mampu bertutur dalam fushah. Saya hanya bersabar. Marah? Sebagai manusia biasa, memang timbul juga rasa marah. Namun saya segera padamkan perasaan itu apabila terkenangkan hadis Baginda s.a.w,
ما انتقم رسول الله لنفسه إلا أن تنتهك حرمة الله فينتقم لله تعالى
Tiadalah Rasulullah s.a.w membalas (perbuatan jahat) yang dilakukan kepadanya melainkan sekiranya dilanggar (dicabar) kehormatan (hak-hak) Allah , maka Baginda s.a.w akan membalas balik kerana Allah. HR Imam Bukhari
Ya, saya tidak perlu marah. Saya positifkan fikiran saya dengan menganggap itu adalah gurauan mereka. Bila terkenang semula peristiwa itu sambil menaip sekarang, tersenyum dibuatnya. Mujur zaujah tak perasan. :)
Khutbah Jumaat Yang Memberi Kesan
Khutbah di sini AMAT JAUH bezanya dengan kebanyakan khutbah di masjid-masjid seluruh tanah air. Tambah pula, masjid-masjid kita terikat dengan teks khutbah yang disediakan oleh organisasi berkaitan. Saya sendiri ketika menjadi imam di salah sebuah masjid di Johor Bahru terkadang terpaksa mengubah teks khutbah yang diberi. Bukan isi kandungannya tak bagus. Bagus sahaja, cukup rukunnya. Cuma pada saya, sidang penulis khutbah harus benar-benar dan bersungguh menanam niat dan cita-cita mudah-mudahan makmum yang mendengar mendapat kesan, dan kekuatan iman dijana semula sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu. Kalau yang bersungguh, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan.
Adapun khutbah disini, kebanyakannya disampaikan oleh imam yang bukan sahaja khatib, bahkan alim, hafaz al-Quran, hadis, dan menguasai disiplin ilmu yang lain. Saya jadi terkilan kerana tidak dapat menyalin khutbah yang disampaikan sepertimana yang biasa saya lakukan untuk pengajian lain. Mahu rasanya duduk di saf solat dan menyalin satu persatu poin yang diberi, namun segan sekali rasanya. Manakan tidak, setakat ini belum ada saya jumpa sesiapa yang menyalin khutbah(mungkin ada, tapi khutbah itu barangkali dirakam dahulu). Terlalu ralat rasanya. Alhamdulillah kini Allah mudahkan urusan memiliki sebuah mp3 dan bolehlah saya menyalin semula khutbah insyaAllah.
Insaf Ketika Bersama Syeikh Dr Ali Ali Luqam Hafizahullah

Beliau adalah Rais Qism Lughah di Kuliyyah Banat. Keindahan balaghah dan ketepatan penggunaan sighahnya dalam berbicara membuat saya teruja untuk dikurniakan nikmat berbahasa Arab sepertinya. Kefasihannya berbahasa Melayu, dengan penggunaan tatabahasa yang tepat membuatkan saya insaf. Usia yang agak berumur bukan sebab untuk kita tidak belajar. Beliau pernah ke Brunei dan Indonesia, dan selepas setahun beliau pula yang dijadikan rujukan untuk bertanya soalan-soalan dalam bahasa Melayu. Tepat!!! Peluang duduk disebelahnya ketika dijemput menjadi pengerusi majlis dalam program bersama syeikh hari Ahad lepas, (hari ini Khamis 31/12/09) adalah sesuatu yang tidak saya sangkakan. Kalau ikut kelayakan, nescaya saya terkebawah berbanding ramai lagi pelajar al-Azhar yang lain terutama pelajar lughah, namun saya merasakan bahawa ini adalah satu kurniaan rezeki daripada Allah yang tidak harus saya persiakan.
Teringin Berguru Dengan as-Syeikh al-Murabbi al-Muhaddis Dr Yusri Sayyid al-Jabr al-Hasani hafizahullah

Saya mengenali lalu mengasihi Syeikh Yusri sebelum saya menjejakkan kaki ke Mesir. Saya mengenali beliau melalui blog Ustaz Nazrul Nasir. Tambahan pula ketika itu Majlis Bacaan Hadis Kutub Sittah sedang diwar-warkan. Namun mungkin kerana dosa-dosa saya, hajat saya tidak kesampaian. Agak panjang untuk diulas semula disini. Memada rasanya jika merujuk kembali entri ’Kutub Sittah Oh Kutub Sittah’ di blog lama saya.
Saya mengasihi beliau kerana beliau mengasihi Rasulullah s.a.w. Lebih daripada itu, beliau me’rekrut’ ramai lagi umat Muhammad s.a.w untuk menjadi para pencinta dan pembela Baginda dan sunnahnya. Cumanya masih berbaki beberapa urusan di Mansurah yang agak membataskan pergerakan saya ke Kaherah. Semoga Allah mudahkan urusan saya untuk menuntut ilmu. Amin.
Ramai lagi sebenarnya para ulama yang bertebaran di bumi barakah ini. Sekarang tinggal saya sahaja yang harus memotivasi diri sendiri untuk mengutip mutiara ilmu disini. Menuntut ilmu bukanlah dengan kesenangan dan tiada mujahadah. Untuk ilmu, kita mesti mujahadah. Semoga Allah memberi taufiq kepada saya untuk menelusuri jalan yang pernah ditelusuri oleh ulama-ulama amilin terdahulu. Amin Amin Amin.
Monday, December 28, 2009
Suka Duka Kehidupan : Bertemu Sahabat Lama
Alhamdulillah, selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Huda ar-Rahman di Utubis Jadid pada hari Khamis lepas, Allah menemukan saya dengan sahabat yang telah lama tidak saya temui, iaitu Akhi Mohd Nasarudin bin Mohajir al-Hafiz yang juga Penasihat 1 Dewan Perwakilan Mahasiswa Maqaz Shubra. Terbalas kerinduan terhadap beliau sejak beliau menamatkan pengajian di MARSAH 3 tahun lepas. Beliau bersama para kepimpinan pelajar Shoubra hadir ke Mansurah untuk menziarahi ikhwah kuliah Qiraat yang telah bernikah dan tinggal di sini.
Program malam itu diisi dengan sedikit tasyji’ oleh Syeikh Hussien hafizahullah dan selepas Isyak mereka ke Istad Jamiah untuk mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan DPM Mansurah. Kalau lah tidak kerana pelawaan Ustaz Zahimi yang juga salah seorang exco DPM, mungkin segan juga rasanya saya memandai-mandai untuk hadir sama ke Istad. Peluang yang ada saya gunakan sepenuhnya untuk mencuri sedikit ruang waktu bertukar-tukar cerita dengan sahabat saya itu. Itupun kalau kami sama-sama berehat sekejap daripada ’beraksi’ di padang . Saya tak pandai pun main bola :) .
Dalam perjalanan pulang ke Dirasat, saya duduk di sebelah Ustaz Ahmad Huzaifah Fauzi yang juga Exco Dakwah DPM Maqaz. Alhamdulillah, bergaul dengan para huffaz ini banyak memberi manfaat rohani kepada saya yang dhaif .
Khusus buat Akhi Nasaruddin, ana doakan enta sentiasa thabat dan teguh dalam perjuangan. Semoga cepat-cepat dikurniakan zaujah solehah yang akan menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Amin Amin Amin. :)
Semoga Allah pertemukan kita semua lagi di masa akan datang, insyaAllah.. :)