MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.
Showing posts with label Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Fiqh. Show all posts

Friday, October 1, 2010

Rindu Yang Terubat - Koleksi Fatwa Syeikh Atiyyah Saqr rahimahullah

Hampir dua bulan setengah rasanya saya memendam rindu untuk mendengar audio soal jawab agama oleh Al-Allamah Fadhilatus Syeikh Atiyyah Saqr rahimahullah. Beliau adalah salah seorang ulama Mesir yang amat dihormati dan diakui keilmuannya. Koleksi soal jawab dan fatwa beliau yang berada dalam simpanan 'external hardisk' saya, hilang bersama dengan beberapa barang berharga yang lain ketika rumah saya dipecah masuk tanggal 13 Julai lepas.

Pada saya, hilang kamera, duit, telefon bimbit dan laptop, bukanlah perkara yang perlu diratapi. Ia adalah ujian Allah. Namun hilang fail-fail penting berkenaan pengajian, koleksi kuliah daripada para ulama, serta himpunan terjemahan dan artikel tulisan sendiri adalah perkara yang pada saya amat menyedihkan. Lebih-lebih lagi himpunan soal-jawab oleh Fadhilatus Syeikh Atiyyah rohimahullah yang sering saya tekuni, dan berazam untuk menterjemahkannya demi manfaat umum.

Jawapan beliau terhadap soalan yang diajukan kepadanya adalah sangat kemas, disiplin dan berwibawa. Di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus adalah antara tokoh ilmuwan yang mengkagumi Syeikh Atiyyah Saqr, dan sering menyandarkan rujukan jawapannya kepada ulama besar ini.

Riwayat Hidup Syeikh Atiyyah Saqr

Sumber : blog ainulyaqin

Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr. Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.

Beliau mula menghafaz al-Quran ketika berumur 9 tahun dan beliau mula meminati dan mempelajari bidang fiqh ketika berusia 10 tahun. Beliau memulakan pengajian secara formal di sebuah sekolah rendah yang terdapat di kampung beliau, Behna Bai. Minat beliau pada ilmu tidak pernah berkurang. Ini dibuktikan apabila beliau melanjutkan pengajiannya ke Sekolah Tinggi Agama di Zaqaziq (Maahad Zaqaziq al-`Ali al-Dini) pada tahun 1928. Beliau mendapat Shahadah Aliyah (Sijil Tinggi) pada tahun 1941 dalam bidang Usuluddin pengkhususan bidang dakwah.

Sudah menjadi resam bagi seorang ulama pendakwah yang tidak akan berhenti rehat walaupun sedetik, sebaik menamatkan pengajian, beliau terus berkhidmat di Kementerian Waqaf (agama) Mesir sebagai imam, khatib dan tenaga pengajar di Masjid Abdul Karim Ahmadi yang terletak di Bab al-Sya’riyyah di Qaherah pada 16 Ogos 1943. Kemudian pada bulan Februari 1944, beliau ditugaskan ke Masjid Al-Arba’in Al-Bahri (sekarang dengan nama masjid Ammar bin Yasir) di Giza.

Kerja-kerja dakwah yang beliau laksanakan tidak terhenti setakat itu sahaja malahan beliau juga turut menjadi wakil bagi al-Azhar pada tahun 1945 untuk menjadi penceramah di beberapa tempat di bumi Kinanah ini. Antaranya di Tahta Jarjawiyah, Suez , Raksu Al-Gharbiyyah dan juga Qaherah.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.


Walaupun sibuk dengan tugas yang diamanahkan ini, amanah ini tidak menghalang beliau untuk bertanding di dalam pilihanraya dan menjadi ahli Dewan Rakyat pada 1984. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Kerajaan Mesir pada tahun 1989. Kepercayaan masyarakat tidak pernah luntur terhadap kebolehan Syeikh Atiyyah Saqr. Sekali lagi beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Jabatan Sunnah dan Sirah bagi Majlis Tertinggi Agama Islam yang terletak di bawah seliaan Kementerian Keagamaan Mesir pada tahun 1991.

Khidmat al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqr juga bukan hanya semata-mata tertumpu di Mesir sahaja bahkan masyarakat luar juga tidak mahu ketinggalan untuk menumpang keberkatan ilmu yang Allah swt kurniakan kepada beliau. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Keagamaan Negara Kuwait pada 1972 selama tujuh tahun. Beliau juga turut pernah mengadakan lawatan rasmi dan tidak rasmi di dalam menyampaikan misi dakwah. Antara negara yang pernah beliau kunjungi ialah Iran dan Indonesia (1971), Libya (1972), Bahrain (1976), Algeria(1977), Senegal, Negeria, Amerika Syarikat, Pakistan, Bangladesh, Iraq, Paris, London, Malaysia, Brunei, Singapura dan Negara Soviet.

Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca.

Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.


Rindu Yang Terubat

Pagi ini terlintas di hati saya untuk cuba mencari audio soal jawab yang sama di Google. Sebelum ini saya pernah membuat carian, tapi tak berhasil. Namun saya rasa saya perlu terus mencuba, mana tahu ada rezeki.

Alhamdulillah, akhirnya saya bertemu juga dengan fail-fail koleksi soal jawab oleh Syeikh Atiyyah Saqr. Rupanya ia 'terselit' di dalam laman web yang saya sering kunjungi sebenarnya untuk download bacaan al-Quran, iaitu Islamway.com. Lucu juga bila dikenang kerana boleh dikatakan tiap minggu, sekurang-kurangnya sekali saya akan membuka laman web ini dan download bacaan Al-Quran. :)



Kepada tuan-tuan yang ingin download koleksi soal jawab Syeikh Atiyyah Saqr, bolehlah download disini. Semoga kita sama peroleh manfaat daripadanya. Amin. :)

Saturday, August 21, 2010

Adab-Adab Berpuasa (2)

Sambungan daripada Adab-Adab Berpuasa 1

5. Menyegerakan mandi junub


Ini adalah supaya orang yang berpuasa itu berada dalam keadaan bersih suci dari awal waktu dia berpuasa. Maknanya, keadaan dia berjunub itu tidak pun menafikan puasanya, Cuma adalah lebih afdhal kalau dia menghilangkan junub tadi sebelum Subuh.

Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi s.a.w pernah berpagi-pagi dalam keadaan berjunub kerana berjimak, bukan mimpi. Kemudian Baginda mandi dan berpuasa.

Begitu juga dimustahabkan kepada perempuan untuk mandi kerana suci daripada haid dan nifas, sebelum terbit fajar. Ini adalah apabila sempurna suci dan darah itu telah berhenti sebelumnya.

6.Meninggalkan berbekam


Meninggalkan hijamah (1) dan fashd (2) [kedua-duanya boleh diterjemahkan dengan berbekam] dan seumpamanya. Ini adalah kerana berbekam boleh menyebabkan orang yang berpuasa menjadi lemah.

Kita juga perlu mengelak daripada merasa makanan dan mengunyahnya. Bimbang kalau-kalau termasuk ke dalam rongga. Makanan yang masuk ke dalam rongga akan membatalkan puasa.

7. Membaca doa


Membaca doa (seperti tertera) ketika berbuka. Terjemahannya,

“Ya Allah hanya kerana-Mu aku berpuasa, dan dengan rezeki-Mu aku berbuka. Telah hilanglah dahaga, basahlah urat-urat dan tetaplah pahala, insyaAllah).”

8.Memberi makan untuk berbuka


Memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa. Sekiranya tidak mampu untuk memberi makan berbuka puasa, memadai juga walaupun hanya dengan memberikan sebiji tamar dan seteguk air.

Rasulullah s.a.w bersabda,

“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, nescaya dia akan mendapat ganjaran pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi sedikit pun daripada pahalanya”. Riwayat Imam Tarmizi.

9. Memperbanyakkan sedekah


Memperbanyakkan sedekah, membaca al-Quran dan bertadarus. Juga beriktikaf di masjid, lebih-lebih lagi pada malam sepuluh akhir Ramadhan.

Daripada Anas r.a beliau berkata, Rasulullah s.a.w ditanya, “Apakah sedekah yang paling afdal?” Baginda s.a.w menjawab, “Sedekah yang dilakukan di bulan Ramadhan.” Riwayat Imam Tarmizi.

Dan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawasanya Jibril a.s sering berjumpa dengan Nabi s.a.w pada setiap tahun di bulan Ramadhan . Baginda s.a.w membacakan al-Quran kepada Jibril a.s.

_____________________________
(1) Hijamah – menyedut darah menggunakan ‘mihjam’ (alat berbekam) – almu’jam alwashit ms 164

(2)
Fashod – mengeluarkan sedikit daripada darah di urat dengan tujuan perubatan – almu’jam alwashit ms 715


* Diterjemah daripada kitab al-fiqh al-manhaji, Darul Qalam Damsyik ms 348-349

Sunday, August 15, 2010

Adab-Adab Berpuasa (1)

1. Menyegerakan Berbuka Puasa



Makna menyegerakan berbuka puasa adalah melakukannya sebaik sahaja selepas matahari terbenam. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Hadrat Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Sentiasalah manusia (orang-orang yang berpuasa) itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Sebaik-baiknya adalah berbuka puasa dengan rutob (kurma lembab@basah), atau tamar (kurma kering). Kalau kedua-duanya tiada, maka boleh juga dengan air.

Imam Tarmizi dan Imam Abu Dawud meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w, sebelum Baginda menunaikan solat, sering berbuka puasa dengan beberapa biji rutob. Kalau tiada, Baginda berbuka dengan beberapa biji tamar. Kalau tiada juga, maka Baginda akan menghirup sedikit air. Sesungguhnya ia adalah suci.


2- Bersahur


Kalimah ‘sahur’ (dengan membaris ataskan huruf sin) adalah bermaksud makanan yang dimakan pada waktu ‘sahar’ (akhir malam).

Jika dibaca dengan ‘suhur’ pula (dengan membarisdepankan sin) membawa maksud perbuatan makan di waktu sahur itu sendiri.

Dalil mustahabnya amalan sahur ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawasanya Nabi s.a.w bersabda,

“Bersahurlah, sesungguhnya di dalam makanan sahur itu ada keberkatan.”

Hikmah bersahur adalah untuk menguatkan diri menjalani perintah berpuasa.




Al-Hakim meriwayatkan dalam Al-Mustadrak bahawa Nabi s.a.w bersabda,

“ ‘Mintalah bantuan’ melalui makanan sahurmu untuk menjalani ibadah puasa di waktu siang.”

Waktu sahur itu masuk setelah separuh malam. Kelebihan sahur boleh diperolehi tidak kiralah baik yang dimakannya itu banyak, sikit, ataupun walau hanya dengan meminum air.

Ibnu Hibban meriwayatkan dalam sohihnya bahawa Nabi s.a.w bersabda,

“Bersahurlah walaupun hanya dengan seteguk air.”

3- Mengakhirkan waktu bersahur



Maknanya adalah berhenti daripada makan dan minum hampir-hampir sebelum terbit fajar. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Nabi s.a.w,

“Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur.”

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Hadrat Anas bin Malik r.a bahawasanya Nabi s.a.w dan Hadrat Zaid bin Thabit telah bersahur. Tatkala mereka selesai daripada bersahur, Nabi s.a.w telah berdiri dan menunaikan solat. Kami bertanya kepada Anas, berapa lamakah masa antara mereka (Nabi s.a.w dan Anas) selesai bersahur dan bersolat? Jawab Anas, “Sekadar lamanya seseorang membaca 50 ayat.”


4- Meninggalkan Kata-kata Yang Kotor dan Keji



Misalnya mencela, berdusta, mengumpat, menghasut dan seumpanya. Begitu juga kita mesti memelihara diri kita daripada kehendak syahwat seperti memandang kepada perempuan bukan mahram, dengar lagu (yang sia-sia) dan seumpamanya.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w,

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak kesah kepadanya walaupun dia meninggalkan makan dan minum.”

* catatan saya- maknanya walaupun seseorang itu berpuasa, tapi masih lagi dia berdusta dan berbohong, maka sia-sia sahajalah dia menahan lapar dan dahaga. Allah tak ambil peduli pun mengenai puasanya. Wallahu a’lam.

Ketahuilah bahawasanya mencela, berdusta, mengumpat, memfitnah dan yang seumpamanya adalah perkara-perkara yang sememangnya diharamkan. Cuma apabila dinisbahkan kepada orang yang berpuasa, lebih-lebih lagilah ianya merupakan perkara dosa, yang akan menghapuskan pahala orang yang berpuasa tersebut. Sekalipun puasanya tetap sah, dan hukum wajib ketasnya telah terlaksana. Oleh kerana itulah, perkara ini jugak dikira sebagai salah satu adab dalam berpuasa.

Sumber - Al-Fiqh Al Manhaji Jilid 1 ms 346 Darul Qalam Damsyik

Friday, August 6, 2010

Fiqh- Hukum Berkaitan Ucapan Salam


Pengenalan

Salam ialah mengucap السلام عليكم.

Dalil firman Allah تعالى :

ياأيها الذين آمنوا لا تدخلوا بيوتا غير بيوتكم حتى تستأنسوا وتسلموا على أهلها ذلكم خير لكم لعلكم تذكرون

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Surah an-Nur : 27

فإذا دخلتم بيوتا فسلموا على أنفسكم تحية من عند الله مباركة طيبة كذلك يبين الله لكم الآيات لعلكم تعقلون
Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya. Surah an-Nur : 61

Hadis Nabi صلى الله عليه السلم

عن ابن عمر رضي الله عنهم أن رجلا سأل رسول الله صلى الله عليه السلم اى الاسلام خير؟ قال تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف

Diriwayatkan dari Ibnu Umar رضي الله عنهم bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه السلم “ apakah islam yang baik?” bersabda Rasulullah صلى الله عليه السلم “memberi makan akan makanan dan memberi salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang kamu tidak kenal.



Rukun salam:

1. Orang yang memberi salam.
2. Orang yang diberi salam kepadanya
3. Lafaz yang digunakan bagi memberi salam dan menjawabnya.

Syarat orang yang memberi salam

Islam dan mumayyiz.

Ertinya apabila memberi salam oleh seorang islam sekalipun kanak-kanak yang mumayyiz wajib menjawab salam.

Syarat orang yang menerima salam:

Islam, mumayyiz dan baligh.

Ertinya harus memberi salam kepada kanak-kanak mumayyiz.

Dan wajib orang yang baligh menjawab salam kanak-kanak mumayyiz.

Syarat bagi ucapan salam

1. Mestilah berlafaz pada memberi salam dan menjawabnya.

2. Mengeluarkan suara serta memperdengarkan salam ketika memberi salam dan menjawabnya.

3. Hendaklah berhubung antara memberi salam dan menjawabnya.

Ucapan memberi salam

1. Ucapan memberi salam yang afdhal ialah السلام عيكم ورحمة الله وبركاته . dengan lafaz ramai (kamu) dalam bahasa arab (كم) sekalipun orang yang diberi salam seorang sahaja.

2. السلام عليكم (kesejahteraan itu di atas kamu)

3. السلام عليك (kesejahteraan itu di atas engkau)

4. سلام عليك (sejahtera di atas engkau)

Ucapan menjawab salam

1. Ucapan menjawab salam yang afdhal وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته dengan lafaz ramai, sekalipun orang yang memberi salam hanya seorang.

2. وعليكم السلام

وعليك السلام3

عليكم السلام4

السلام عليكم5 ini sama dengan lafaz memberi salam

6. سلام عليكم


Hukum memberi salam dan menjawabnya.

Hukum asal memberi salam adalah sunat dan menjawabnya adalah wajib.


Bahagian orang yang memberi salam dan yang menjawabnya, serta hukum memberi dan menjawab salam antara mereka itu.

Ucapan salam antara dua lelaki

1. memberi salam ialah sunat aini sekiranya orang yang memberi salam seorang dan menjawabnya adalah fardu ain sekiranya yang diberi salam seorang.

2. memberi salam ialah sunat aini sekiranya orang yang memberi salam seorang dan menjawabnya adalah fardu kifayah sekiranya orang yang diberi salam lebih dari satu orang.

3. memberi salam ialah sunat kifayah sekiranya yang memberi salam lebih dari seorang, menjawabnya adalah fardu ain sekiranya yang menerima salam seorang.

Ucapan salam antara dua orang perempuan

Hukumnya sama seperti salam antara dua orang lelaki.

Ucapan salam antara lelaki dan perempuan

1. Sekiranya yang memberi salam atau menjawab salam itu isteri, hambanya atau orang yang haram berkahwin dengannya hukumnya sama seperti salam antara lelaki sesama lelaki.

2. Makruh atas lelaki memberi salam terhadap perempuan muda yang boleh dikahwini sedangkan perempuan itu haram menjawabnya.

3. Haram perempuan muda yang boleh dikahwini memberisalam, sementara lelaki yang diberi salam makruh menjawabnya.

4. Harus seorang lelaki memberi salam kepada sekumpulan perempuan dan wajib diatas salah seorang dari mereka itu menjawabnya sekiranya tidak timbul fitnah.

5. Sunat sekumpulan perempuan memulakan salam dan wajib atas lelaki menjawabnya jika tidak timbul fitnah.

6. apabila sekumpulan lelaki memberi salam terhadap seorang perempuan wajib dia menjawab sekiranya tidak takut fitnah, begitu juga sebaliknya.

7. harus sekumpulan lelaki memberi salam terhadap sekumpulam wanita dan wajib mereka itu menjawabnya jika tidak takut fitnah begitu juga sebaliknya.

Ucapan salam antara kanak-kanak dan orang dewasa
1. Pendapat yang sahih menyatakan bahawa sunat kanak-kanak memberi salam terhadap orang dewasa manakala mereka itu wajib menjawabnya

2. Harus bagi orang dewasa memberi salam kepada kanak-kanak dan sunat mereka itu menjawabnya.

Ucapan salam antara orang yang mendengar dan orang yang pekak

1. Apabila hendak memberi salam kepada orang yang pekak hendaklah seorang itu menghimpunkan antara berlafas dan memberi isyarat maka wajib orang yang pekak itu menjawabnya.

2. Sekiranya orangyang pekak memberi salam wajib lah seorang itu menjawab dengan menghimpunkan berlafas dan isyarat.

Ucapan salam antara orang yang boleh bertutur dengan orang yang bisu

1. Sekiranya orang yang boleh bertutur memberi salam kepada orang yang bisu dan membuat isyarat orang yang bisu pada menjawab salam nescaya gugur fardu dari orang yang bisu.

2. Apabila orang yang bisu memberi salam dengan isyarat kepada orang yang boleh bertutur maka wajib diatas orang yang boleh bertutur menjawabnya.

Memberi salam atau menjawab salam orang fasik, orang yang buat bida’h dan orang yang melakukan dosa yang besar.

Tidak disunatkan memberi salam kepada mereka dan begitu juga tidak wajib menjawab salam mereka itu bahkan seeloknya jangan memberi salam dan menjawab salam mereka itu.

Salam antara muslim dan kafir.

Haram memberi salam kepada orang kafir dan harus menjawabnya dengan lafas وعليكم sahaja, jika ada yang memberi salam kafir zimmi.

Harus menulis surat yang dihantar kepada orang kafir dengan lafasوسلام على من اتبع الهدى pada awal tulisan.

Memberi salam kepada orang islam yang bercampur gaul dengan orang kafir

Disunatkan memberi salam kepada mereka dengan kasad memberi salam kepada orang islam.

Mengirim salam kepada mereka yang tiada bersama kita

Disunatkan mengirim salam kepada orang yang tidak bersama kita samaada dengan menghantar surat atau mengirim salam melalui orang lain dan wajib orang yang itu menyampaikannya.

Wajb orangyang menerima salam yang dikirimkan menjawabnya dengan bersegera sekiranya salam yang dikirim mencukupi syarat, kecuali pada surat, tidak disyaratkan berlafas.

Waktu-waktu yang tidak disunatkan memberi salam, dan tidak wajib menjawabnya, iaitu pada ketika:

1. sedang kadaq hajat (buang air besar atau kecil)
2. sedang jimak.
3. sedang istinja.
4. sedang minum.
5. sedang makan.
6. sedang tidur.
7. sedang mengantuk.
8. sedang sujud.
9. sedang sembahyang.

10. azan.

11. ikamat.

12. di dalam bilik air.

Dan lain-lain yakni pada tiap-tiap orang yang sedang sibuk dengan urusannya yang tidak layak memberi salam kepadanya atau orang yang sedang beribadat.

Adab memberi salam

Hendaklah yang memulakan memberi salam:

Kanak-kanak kepada orang dewasa.

Orang sedikit terhadap orang yang banyak.

Orang yang datang terhadap orang yang duduk

Orang yang berkenderaan terhadap orang yang berjalan kaki. والله اعلم



Sumber artikel : www.al-bakriah.com

Friday, January 8, 2010

Gambarajah Kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie

klik untuk besarkan



Assalamualaikum wrt

Di atas adalah gambarajah silsilah kitab-kitab mazhab Imam Syafie rahimahullah yang dijadikan bahan rujukan untuk pengajian dan pengeluaran fatwa semenjak terasasnya mazhab Syafie hinggalah sekarang.

Syukran jazilan kepada penyumbang gambarajah ini iaitu sahabat saya, Ustaz Yasir Sabil. Semoga Allah membalas usaha murni antum ya akhi dengan keredhaan-Nya. Semoga usaha antum bermanfaat kepada umat. Amin.