MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Saturday, February 5, 2011

Catatan Akhir Sebelum Pulang Ke Malaysia Untuk Sementara

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wrt...

Ketika saya menaip sekarang ini,masih ada 8 jam lagi masa yang berbaki sebelum saya sekeluarga dan seluruh pelajar Malaysia di Mansurah, Mesir ini bertolak ke Iskandariah untuk meneruskan perjalanan ke Jeddah Mesir. Kami bertolak jam 4 pagi, 5/2/2011 insyaAllah.


Kalau sebelum ini saya hanya menunaikan solat Isyak di masjid yang berhampiran dengan rumah, tapi sebentar tadi saya gagahkan juga untuk menunaikan Isyak di Masjid Huda Ar-Rahman, Utubis Jadid untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Syeikh Hussin Al-Asyari, salah seorang guru kepada pelajar Malaysia disini. Sekali-sekala perasan juga ada mata yang melirik tajam memerhati saya sepanjang perjalanan saya ke masjid tersebut. Walaupun jaraknya dengan rumah saya tidak jauh, hanya lebih kurang 200 meter, tapi oleh kerana perintah berkurung bermula dari jam 6 malam sedikit sebanyak hadir juga rasa tak sedap hati walaupun tak pernah dijemput. Pelbagai kalam nasihat yang diberikan oleh Syeikh Hussin, dan ia menjadi bekalan berharga buat saya sepanjang berada di Malaysia untuk tempoh beberapa bulan nanti.

Mesir dan Rakyatnya

Bila bercakap mengenai rakyat Mesir, setiap warga Malaysia disini saya percaya mempunyai pelbagai pandangan dan tanggapan. Pandangan yang abstrak. Pandangan yang sekiranya diukur dengan neraca yang betul, insyaAllah ia akan menjadi pandangan yang persis kepada kebenaran.

Secara peribadi, dan setelah menilai dari pelbagai sudut dalam tempoh yang pada saya hampir matang, apa yang boleh saya simpulkan adalah Mesir mempunyai rakyat yang bersikap 'sentiasa hendak menang' dan 'pantang dicabar'. Saya dapat melihatnya dalam pergaulan saya dengan pelbagai golongan disini. Cuma yang membezakan mereka adalah sejauh mana mereka meletakkan sikap ini pada situasi dan adab yang sesuai.

Sikap yang tidak sesuai misalnya ketika di jalanraya. Kalau bertembung dua buah kenderaan di satu lorong kecil, jarang sekali kita lihat untuk salah sebuah kereta berundur dulu. Biasanya akan berlakulah siri berbalas-balas hon, ditambah pula dengan secamca makian, barulah ada yang beralah. Bukan semua, tapi majoriti.

Namun, sikap yang sama apabila diletakkan ditempat dan situasi yang betul, maka sepertimana yang dapat kita lihat berlakunya revolusi mendadak rakyat Mesir menentang pemerintahan Husni Mubarak. Maka bergegarlah mimbar-mimbar Jumaat dengan kata-kata semangat oleh para khatib yang berkhutbah tanpa teks, yang meniup semangat juang rakyat Mesir untuk bangkit demi memastikan Islam 'menang' di Mesir dan hati-hati rakyatnya. Semakin ramai yang terkorban dan cedera, semakin ramai yang bangkit mengisi kekosongan.

Nikmat Yang Dirindui

Antara nikmat paling besar yang Allah kurniakan di Mesir ini adalah nikmat memberi salam. Berilah salam kepada siapa sahaja, insyaAllah mereka akan menjawabnya walaupun mereka tidak mengenali kita. Kalau nampak ada golongan anak-anak muda yang duduk-duduk ditepi jalan dan kita bimbang diganggu, cara mengatasinya adalah hanya perlu memberi salam. Salam kita akan dijawab dan kita tidak akan diganggu (insyaAllah).

Khutbah Jumaat disini juga adalah salah satu nikmat yang pada saya amat dirindui dan dikenang sepanjang berada di Malaysia nanti. Bukan mahu membezakan, tapi saya mahu supaya khutbah-khutbah kita dinilai semula. Untuk pengetahuan, khutbah di Mesir kebanyakannya sangat memyentuh rohani. Ia bukan khutbah tangkap muat. Bahkan khatib-khatib disini benar-benar berkhutbah, dengan suara dan nada yang tegas. Sukar untuk melihat jemaah yang tidur ketika khutbah.

Disini juga ada beberapa saluran khas yang berbentuk Islamik di televisyen dan radio. Sepanjang saya berpagi-pagi berniaga nasi lemak ke Tir'ah, boleh dikatakan lebih kurang 90% pemandu teksi memilih siaran Iza-atul Quran minal Qahirah untuk menjadi halwa telinga. Saya pernah berbual dengan salah seorang peniaga di salah sebuah kedai runcit berhadapan Kompleks Sukan Universiti Mansurah (Istad Gama'ah) dan saya katakan orang Mesir suka dengar Al-Quran. Dia mengakui kata-kata saya namun dengan sedikit tambahan "tapi orang Mesir masih kena belajar akhlak Al-Quran". Saya hanya tersenyum kerana ada benarnya. Apapun, kita kena lihat nilai diri kita sendiri dulu sebelum menilai orang lain.

Opah dan Atok Yang Sangat Merindui Umar Abdullah

Semuanya perancangan Allah. Mungkin dek kerana rasa rindu yang menggugah jiwa mak dan abah saya di tanah air kepada cucu sulong mereka yang belum pernah dilihat depan mata, maka Allah tunaikan juga hajat mereka. Saya sendiri dapat merasakan betapa meraka tertunggu-tunggu untuk mendukung Umar. Gembira benar nada suara mereka ketika saya menghubungi mereka semalam dan menyatakan kepulangan kami bersama Umar. Kata adik saya, mak dah siap buatkan mainan khas untuk Umar di laman rumah. Jangan asyik main sudahlah ye Umar. :)

Rindu rasanya untuk bersalaman dan mengucup kedua tangan mereka. Tangan yang pernah digunakan untuk merotan saya sewaktu kecil dahulu, yang 'manisnya' saya rasai sekarang.

Saya rasa setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan. Assalamualaikum wrt..

1 comment:

  1. Semoga ALLAH SWT merahmati anda dan umat Islam..amin..setiap yang berlaku ada hikmah yang terselit..segalanya telah diatur oleh-NYA..wallahu'alam..wassalam..

    ReplyDelete