MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.
Showing posts with label Ramadhan Al-Mubarak. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan Al-Mubarak. Show all posts

Monday, August 30, 2010

DI MALAM-MALAM AKHIR INI



Di malam-malam akhir ini
Angin kantuk menyapu jasad
Nafsu dan hawa tekunnya merayu
Tidurlah
Malam masih panjang

Di malam-malam akhir ini
Bangunlah wahai segala abid
Rungkai belenggu malasmu
Rebut kurnia dalam kurnia
Al-Qadar dalam Ramadhan
Khoirun min alfi shahr

Di malam-malam akhir ini
Pada sepertiga akhirnya yang merambat
Seorang umat sayugia berteleku
Mendamba titis-titis rahmat-Nya
Di hujung denai hidup yang gersang

Di malam-malam akhir ini
Meresaplah damai
Di setiap bilahan hati
Dan sejahteralah satu malamnya
Hingga terbit fajar

Akhi, 19 Ramadhan 1431
Mansoura, Mesir

Sunday, August 22, 2010

Antara Amalan Utama Di 10 Akhir Ramadhan


Assalamualaikum wrt.

Tuan-tuan yang dikasihi,

Nabi s.a.w dan para sahabat Baginda s.a.w amat mengambil berat terhadap amalan-amalan yang hendak dilakukan di sepuluh akhir Ramadhan. Insan-insan mulia ini amat bersungguh-sungguh untuk melakukan ketaatan di hari-hari yang penuh rahmat itu. Mereka khusyuk beribadah, solat malam, berzikir, beristighfar dan yang seumpamanya.

Dalam entri kali ini, marilah kita sama-sama telusuri apakah dia antara amalan-amalan paling utama yang amat dititikberatkan oleh golongan yang mula-mula menerima kebenaran Islam ini.

Bahkan marilah juga kita jadikannya sebagai qudwah dan ikutan kita, mudah-mudahan kita umat akhir zaman yang lemah ini juga digolongkan oleh Allah bersama mereka kelak. Amin.

1-Menghidupkan Malam

Telah disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Aisyah r.anha bahawasanya
Nabi s.a.w, apabila masuk 10 malam terakhir Ramadhan, maka Baginda s.a.w akan menghidupkan malamnya dengan solat, berzikir dan seumpamanya, mengejutkan ahli keluarga Baginda, dan mengetatkan ikatan kainnya (sebagai kiasan bahawa Baginda tidak menyetubuhi isteri-isteri Baginda pada malam-malam tersebut).

Tidak syak lagi, bahawa menghidupkan malam di dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi di sepuluh malam terakhirnya adalah merupakan amalan yang sangat besar nilainya disisi Allah. Maka sudah sepatutnyalah kita sebagai hamba Allah yang sering berdosa, dan amat mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya, bersungguh-sungguh untuk beribadah pada malam-malam tersebut.

2- Mengejutkan ahli keluarga yang lain untuk sama-sama beribadah

Antara tauladan yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi s.a.w di sepuluh akhir Ramadhan adalah mengejutkan ahli keluarga Baginda untuk sama-sama melakukan ibadah malam.

Tujuannya adalah supaya kita sama-sama dapat merebut kelebihan dan kurnia Allah yang sangat meluas di malam tersebut. Janganlah kita sahaja yang kuat beribadah, sedangkan ahli keluarga yang lain kita biarkan lena dalam ulitan mimpi sambil berdengkur.

3- Tidak menggauli isteri

Di dalam hadis yang disebutkan tadi, ada dinyatakan bahawa Baginda Nabi s.a.w mengetatkan ikatan kainnya sebagai kiasan untuk tidak menggauli isteri-isteri Baginda.

Ini membayangkan kepada kita umatnya betapa ibadah di malam-malam mulia ini memerlukan pemusatan fikiran dan tumpuan yang mendalam, demi mencapai matlamat pengabdian diri kepada Allah.

Sepuluh akhir Ramadhan ini adalah fasa waktu yang Allah khususkan untuk kita para hamba-Nya supaya kita melipatgandakan kesungguhan untuk mencari cinta dan keampunan-Nya.

Bukanlah pula ia menjadi dalil kepada pengharaman bersetubuh oleh suami isteri dalam tempoh tersebut. Bahkan ia adalah galakan dan method yang diajar oleh Rasulullah untuk kita jadikan panduan di dalam memenuhi kehendak 10 akhir Ramadhan.

4- Beriktikaf di masjid

InsyaAllah entri khusus mengenai iktikaf akan disiapkan sedikit masa lagi.

Wallahu a’lam.

Saturday, August 21, 2010

Adab-Adab Berpuasa (2)

Sambungan daripada Adab-Adab Berpuasa 1

5. Menyegerakan mandi junub


Ini adalah supaya orang yang berpuasa itu berada dalam keadaan bersih suci dari awal waktu dia berpuasa. Maknanya, keadaan dia berjunub itu tidak pun menafikan puasanya, Cuma adalah lebih afdhal kalau dia menghilangkan junub tadi sebelum Subuh.

Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi s.a.w pernah berpagi-pagi dalam keadaan berjunub kerana berjimak, bukan mimpi. Kemudian Baginda mandi dan berpuasa.

Begitu juga dimustahabkan kepada perempuan untuk mandi kerana suci daripada haid dan nifas, sebelum terbit fajar. Ini adalah apabila sempurna suci dan darah itu telah berhenti sebelumnya.

6.Meninggalkan berbekam


Meninggalkan hijamah (1) dan fashd (2) [kedua-duanya boleh diterjemahkan dengan berbekam] dan seumpamanya. Ini adalah kerana berbekam boleh menyebabkan orang yang berpuasa menjadi lemah.

Kita juga perlu mengelak daripada merasa makanan dan mengunyahnya. Bimbang kalau-kalau termasuk ke dalam rongga. Makanan yang masuk ke dalam rongga akan membatalkan puasa.

7. Membaca doa


Membaca doa (seperti tertera) ketika berbuka. Terjemahannya,

“Ya Allah hanya kerana-Mu aku berpuasa, dan dengan rezeki-Mu aku berbuka. Telah hilanglah dahaga, basahlah urat-urat dan tetaplah pahala, insyaAllah).”

8.Memberi makan untuk berbuka


Memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa. Sekiranya tidak mampu untuk memberi makan berbuka puasa, memadai juga walaupun hanya dengan memberikan sebiji tamar dan seteguk air.

Rasulullah s.a.w bersabda,

“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, nescaya dia akan mendapat ganjaran pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi sedikit pun daripada pahalanya”. Riwayat Imam Tarmizi.

9. Memperbanyakkan sedekah


Memperbanyakkan sedekah, membaca al-Quran dan bertadarus. Juga beriktikaf di masjid, lebih-lebih lagi pada malam sepuluh akhir Ramadhan.

Daripada Anas r.a beliau berkata, Rasulullah s.a.w ditanya, “Apakah sedekah yang paling afdal?” Baginda s.a.w menjawab, “Sedekah yang dilakukan di bulan Ramadhan.” Riwayat Imam Tarmizi.

Dan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawasanya Jibril a.s sering berjumpa dengan Nabi s.a.w pada setiap tahun di bulan Ramadhan . Baginda s.a.w membacakan al-Quran kepada Jibril a.s.

_____________________________
(1) Hijamah – menyedut darah menggunakan ‘mihjam’ (alat berbekam) – almu’jam alwashit ms 164

(2)
Fashod – mengeluarkan sedikit daripada darah di urat dengan tujuan perubatan – almu’jam alwashit ms 715


* Diterjemah daripada kitab al-fiqh al-manhaji, Darul Qalam Damsyik ms 348-349

Sunday, August 15, 2010

Adab-Adab Berpuasa (1)

1. Menyegerakan Berbuka Puasa



Makna menyegerakan berbuka puasa adalah melakukannya sebaik sahaja selepas matahari terbenam. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Hadrat Sahl bin Sa’ad r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Sentiasalah manusia (orang-orang yang berpuasa) itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Sebaik-baiknya adalah berbuka puasa dengan rutob (kurma lembab@basah), atau tamar (kurma kering). Kalau kedua-duanya tiada, maka boleh juga dengan air.

Imam Tarmizi dan Imam Abu Dawud meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w, sebelum Baginda menunaikan solat, sering berbuka puasa dengan beberapa biji rutob. Kalau tiada, Baginda berbuka dengan beberapa biji tamar. Kalau tiada juga, maka Baginda akan menghirup sedikit air. Sesungguhnya ia adalah suci.


2- Bersahur


Kalimah ‘sahur’ (dengan membaris ataskan huruf sin) adalah bermaksud makanan yang dimakan pada waktu ‘sahar’ (akhir malam).

Jika dibaca dengan ‘suhur’ pula (dengan membarisdepankan sin) membawa maksud perbuatan makan di waktu sahur itu sendiri.

Dalil mustahabnya amalan sahur ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawasanya Nabi s.a.w bersabda,

“Bersahurlah, sesungguhnya di dalam makanan sahur itu ada keberkatan.”

Hikmah bersahur adalah untuk menguatkan diri menjalani perintah berpuasa.




Al-Hakim meriwayatkan dalam Al-Mustadrak bahawa Nabi s.a.w bersabda,

“ ‘Mintalah bantuan’ melalui makanan sahurmu untuk menjalani ibadah puasa di waktu siang.”

Waktu sahur itu masuk setelah separuh malam. Kelebihan sahur boleh diperolehi tidak kiralah baik yang dimakannya itu banyak, sikit, ataupun walau hanya dengan meminum air.

Ibnu Hibban meriwayatkan dalam sohihnya bahawa Nabi s.a.w bersabda,

“Bersahurlah walaupun hanya dengan seteguk air.”

3- Mengakhirkan waktu bersahur



Maknanya adalah berhenti daripada makan dan minum hampir-hampir sebelum terbit fajar. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Nabi s.a.w,

“Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur.”

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Hadrat Anas bin Malik r.a bahawasanya Nabi s.a.w dan Hadrat Zaid bin Thabit telah bersahur. Tatkala mereka selesai daripada bersahur, Nabi s.a.w telah berdiri dan menunaikan solat. Kami bertanya kepada Anas, berapa lamakah masa antara mereka (Nabi s.a.w dan Anas) selesai bersahur dan bersolat? Jawab Anas, “Sekadar lamanya seseorang membaca 50 ayat.”


4- Meninggalkan Kata-kata Yang Kotor dan Keji



Misalnya mencela, berdusta, mengumpat, menghasut dan seumpanya. Begitu juga kita mesti memelihara diri kita daripada kehendak syahwat seperti memandang kepada perempuan bukan mahram, dengar lagu (yang sia-sia) dan seumpamanya.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w,

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata yang dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak kesah kepadanya walaupun dia meninggalkan makan dan minum.”

* catatan saya- maknanya walaupun seseorang itu berpuasa, tapi masih lagi dia berdusta dan berbohong, maka sia-sia sahajalah dia menahan lapar dan dahaga. Allah tak ambil peduli pun mengenai puasanya. Wallahu a’lam.

Ketahuilah bahawasanya mencela, berdusta, mengumpat, memfitnah dan yang seumpamanya adalah perkara-perkara yang sememangnya diharamkan. Cuma apabila dinisbahkan kepada orang yang berpuasa, lebih-lebih lagilah ianya merupakan perkara dosa, yang akan menghapuskan pahala orang yang berpuasa tersebut. Sekalipun puasanya tetap sah, dan hukum wajib ketasnya telah terlaksana. Oleh kerana itulah, perkara ini jugak dikira sebagai salah satu adab dalam berpuasa.

Sumber - Al-Fiqh Al Manhaji Jilid 1 ms 346 Darul Qalam Damsyik

Thursday, August 5, 2010

TAWARAN TERHEBAT SEPANJANG BULAN RAMADHAN!!! JANGAN LEPASKAN PELUANG!!

sila klik digambar untuk besarkan
sumber gambar www.iluvislam.com

Jangan lepaskan peluang keemasan ini tuan-tuan :)

Thursday, July 29, 2010

Nur Ramadhan - Memberi Makan Sebagai Salah Satu Cabang Ihsan

Pengertian Ihsan (Ringkas)

Ihsan adalah ruh kepada iman dan tanda kesempurnaannya. Ihsan ertinya merasakan bahawa Allah sentiasa bersama kita, memerhatikan tiap tingkah laku kita, mengetahui apa sahaja perbuatan kita baik dalam keadaan terang-terangan mahupun dalam sunyi dan penuh rahsia. Ihsan ini hadir dalam jiwa yang menyintai Allah dan takut pada-Nya. Juga dalam diri yang sentiasa mengharapkan redha Allah dan kurniaan-Nya, serta gerun akan azab perbuatan buruknya disisi Allah.

Oleh kerana itulah, seorang yang memiliki sifat ihsan, dia akan sentiasa berlumba-lumba untuk memelihara semua amalan wajibnya dan menggandakan amalan sunatnya. Dia akan menjauhkan diri daripada yang makruh, kerana ia dibenci Allah. Jika yang makruh sebolehnya dijauhi, maka yang terang-terang haram apatah lagi. Seorang yang muhsin (bersifat ihsan) adalah dia yang sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan dan berkejar-kejaran mendamba redha Allah.

Ihsan juga membawa maksud berbuat baik kepada yang lain. Dari segi lughah arab, ihsan adalah kata akar daripada fe’el (kata kerja) ahsana. Ketika ini ia dipanggil kata kerja yang muta’addi (transitif), iaitu perlu kepada pihak atau perkara ketiga. Misalnya dalam bahasa arab kita kata AHSANA ZAIDUN, kemudian kita berhenti setakat itu sahaja. Terjemahnya adalah Zaid berbuat baik. Persoalannya, berbuat baik kepada siapa? Jadi ayatnya tergantung. Oleh itu, bila kita berbicara mengenai berbuat ihsan atau berbuat baik, mesti ia akan melibatkan pihak ketiga yang menerima kebaikan daripada yang membuat kebaikan itu tadi.


Pembahagian Ihsan

Ihsan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu ihsan kepada diri sendiri dan ihsan kepada makhluk Allah yang lain baik manusia ataupun haiwan.

Ihsan kepada diri sendiri adalah dengan membawanya untuk mentaati perintah Allah, semampu mungkin berusaha untuk menjauhkan diri daripada melakukan maksiat, baik maksiat batin (hati) ataupun maksiat zahir.

Ihsan kepada makhluk Allah pula adalah dengan berlemah lembut dan kasih sayang kepada mereka.

Daripada Muaz r.a, Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya,

يَا مُعَاذُ ، أَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا ، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

“Wahai Muaz, susulilah kejahatan dengan kebaikan, maka kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut. Dan berakhlaklah kepada orang lain dengan akhlak yang baik.” Hadis riwayat imam Ahmad.


Memberi Makan Sebagai Salah Satu Cabang Ihsan

Tuan-tuan yang dikasihi,

Memberi makan kepada yang memerlukan juga adalah salah satu bentuk perbuatan ihsan. Bahkan ia mempunyai nilai yang sangat tinggi disisi Allah. Didalam surah Al-Mujadalah, Allah s.w.t telah menjadikan perbuatan memberi makan kepada orang miskin sebagai ganti kepada hukuman membebaskan hamba dan berpuasa dua bulan berturut-turut dalam masalah zihar.

Firman Allah,

ومَن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan barangsiapa yang tidak mampu (untuk membebaskan hamba dan berpuasa dua bulan berturut-turut, maka wajib atasnya) untuk memberi makan kepada 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang-orang yang kafir ada siksaan yang sangat pedih” Surah Al-mujadalah ayat 4

Allah juga menjadikan perbuatan memberi makan kepada orang miskin, atau memberi pakaian kepada mereka sebagai salah satu pilihan kaffarah sumpah (aiman) selain daripada membebaskan hamba.

Firman Allah,

لاَ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُواْ أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarah sumpah itu adalah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa yang tidak sanggup melakukan demikian, maka kaffarahnya adalah puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarah sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikian Allah menerangkan kepadamu hokum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).” Surah Al-Maidah ayat 89

Daripada Abdullah bin Amr bin Al-As’ r.anhuma bahawasanya seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, (amalan) Islam manakah yang terbaik? Jawab Rasulullah s.a.w,


تطعم الطعام ، وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف
“Kamu memberi makan, dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tak kenal” Muttafaqun Alaih


Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda

اعبدوا الرحمن ، وأطعموا الطعام ، وأفشوا السلام ، تدخلوا الجنة بسلام
“Sembahlah Allah yang Maha Pemurah, berilah makan, dan sebarkanlah salam. Nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahteraRiwayat Imam Tarmizi dan katanya hadis ini hasan lagi sahih.

Contoh Terbaik Oleh Rasulullah s.a.w Di Bulan Ramadhan

Baginda Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita umatnya mengenai berbuat baik dan murah hati, lebih-lebih lagi bila hadirnya Ramadhan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Ibnu Abbas r.anhuma berkata,

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أجود الناس وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه ‏ ‏جبريل ‏ ‏وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن فلرسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أجود بالخير من الريح ‏ ‏المرسلة ‏


“Adalah Nabi s.a.w seorang yang sangat pemurah. Baginda akan lebih-lebih lagi pemurah apabila berada dalam bulan Ramadhan ketika Jibril bertemu dengannya. Jibril sering bertemu dengan Rasulullah s.a.w pada setiap malam Ramadhan, lalu keduanya saling bertadarus al-Quran. Maka benar-benarlah Baginda s.a.w itu lebih pemurah daripada angin yang bertiup.”

Berkata Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah,

Yang dimaksudkan dengan Ajwadu annas adalah Baginda merupakan manusia yang paling murah hati. Murah hati adalah satu kemuliaan. Ia adalah sebahagian daripada sifat-sifat yang mahmudah. Kata-kata ‘Baginda lebih pemurah daripada angin yang bertiup’ adalah kiasan kepada segeranya Baginda untuk membuat kebaikan. Lebih cepat daripada angin yang bertiup. Dalam matan hadis, digunakan perkataan ‘al-mursilah’. Ia menggambarkan berterusannya bayu kemurahan yang dibawa oleh Rasulullah dan ia dapat dirasai oleh siapa sahaja yang mengenainya. –Fathul Bari

Berkata Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah,

Adalah kemurahan hati Rasulullah s.a.w merangkumi semua disiplinnya, daripada mencurahkan ilmu dan memberikan harta, mengorbankan diri Baginda s.a.w sendiri di jalan Allah demi untuk menegakkan syiar agama dan agar umat mendapat hidayah. Baginda s.a.w juga sentiasa berusaha untuk memberi manfaat kepada manusia lain dengan apa jua cara. Dengan memberi makan kepada yang lapar, memberi nasihat kepada mereka yang tidak tahu, menunaikan hajat mereka yang memerlukannya, dan berkongsi bebanan dengan mereka. – Lathoiful Maarif.



Dalam sebuah hadis Baginda s.a.w bersabda

من فَطَر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئاً

“Barangsiapa yang memberi makan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka dia akan beroleh pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tidak kurang walau sedikitpun. Sohih riwayat Imam Tarmizi.

Antara Adat dan Ibadat

Khususnya di bulan Ramadhan, kita dapat melihat satu amalan yang sangat baik, yang menjadi kebiasaan masyarakat kita. Iaitu amalan bertukar-tukar juadah berbuka. Ia adalah adat yang pada saya menepati kehendak ihsan sesama manusia. Ia bukan sekadar adat, bahkan jika betul niat kita melakukan amalan tersebut ia akan dikira ibadah.

Bilakah ia hanya dianggap adat? Bila kita memberi juadah kepada orang lain, namun orang tersebut tidak pula membalas juadah kita, baik pada hari yang sama atau hari berikutnya. Ataupun dia hanya memulangkan semula bekas kosong kepada kita, lalu kita pun rasa kecil hati dan marah. Macam-macam prasangka buruk pun datang. Jiran aku ni kedekut. Bakhil. Tahi hidung masin, bak kata P Ramlee.

Apabila jadi begini, maka sia-sialah amalan kita. Sedangkan kita dituntut untuk ikhlas dalam setiap amalan, tanpa mengharap sebarang ganjaran dan balasan daripada makhluk.

Mungkin hati kecil kita sering tertanya-tanya mengenai amalan-amalan yang nak kita perbanyakkan dalam bulan Ramadhan yang mulia nanti. Memberi makan adalah salah satu daripadanya. Nah, Baginda s.a.w sendiri telah menjadi contoh tauladan yang amat baik untuk kita ikuti. Marilah kita sama-sama meniru keindahan budi pekerti Baginda s.a.w. Semoga saya dan tuan-tuan menjadi hamba Allah yang cemerlang di madrasah Ramadhan nanti. Amiiiiin Ya Rabbb..