Oleh Yang Dikasihi guru saya Al-Fadhil Ustaz Umar Muhammad Noor Al-Indonisi ketika menuntut di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) yang juga salah seorang penulis di majalah Solusi.
Tulisan ini sebahagian dari artikel yg saya kirimkan ke majalash solusi isu 27 di kolum Akhir zaman. Sengaja saya muatkan di sini untuk bacaan teman-teman yang mungkin belum mendapati majalah tersebut.
Hari Raya di Syurga
Mungkin tidak ramai dari kita yang menyadari bahawa hari raya di dunia ini sebenarnya gambaran bagi hari raya yang akan kita raikan di syurga nanti. Setiap hari raya yang kita raikan di dunia, akan kita raikan kembali di syurga. Namun kegembiraan mereka pada hari itu jauh melebihi kegembiraan mereka pada hari ini.
Berkata AlHafiz Ibn Rajab Al-Hanbali dalam Lataif Al-Maarif : “Adapun hari raya kaum muslimin di syurga, maka ianya adalah hari-hari di mana mereka berziarah kepada tuhan mereka, lalu disambut dengan penghormatan yang besar. Allah bertajalli kepada mereka dan mereka memandang kepada-Nya. Maka tidak ada suatu pemberian yang lebih disukai ahli syurga daripada pemberian ini.”
Hari Jumaat dikenal di kalangan ahli syurga sebagai hari bonus (yaumul mazid). Sebab pada hari itu segala kenikmatan dan kebahagiaan yang mereka rasakan ditambahkan lagi oleh Allah Swt. Hari Jumaat adalah hari perjumpaan antara ahli Syurga dengan Pemilik Syurga yang sangat dikasihi: Allah Swt.
Bazaar Syurga
Perjumpaan itu dimulai dengan perhimpuan di Bazaar Syurga (suq al-jannah). Bazaar ini bukan untuk berjual beli, akan tetapi menjadi sebuah tempat bagi ahli syurga berjumpa satu sama lain. Setelah berkumpul, mereka lalu bersama-sama berkunjung (ziarah) ke tempat perjumpaan mereka dengan Allah Swt.
Bazaar ini adalah perwujudan solat Jumaat yang biasa kita lakukan di dunia. Apabila di dunia kita keluar dari rumah dengan elok dan bersih untuk melaksanakan solat Jumaat, maka ahli syurga keluar dari rumah mereka dengan pakaian dan kendaraan yang sangat mewa untuk menghadiri majelis perjumpaan dengan Allah Swt.
Dalam hadis Muslim dari Anas bin Malik, Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada sebuah bazaar (suuq) yang dikunjungi setiap Jumaat. Maka bertiup kepada mereka sebuah angin sejuk yang menyentuh wajah dan pakaian mereka dengan kesturi. Merekapun semakin bertambah tampan dan indah. Mereka lalu kembali ke isteri-isteri mereka yang menyembutnya dengan ucapan: “Kamu semakin tampan”. Mereka menjawab: “Kamu pun, demi Allah, semakin cantik dan indah.”
Jika dalam solat Jumaat kita hanya berjumpa dan bermunajat kepada Allah dengan hati kita, maka pada hari Jumaat di Syurga nanti kita melihat Allah dengan mata kita dan berbicara kepada-Nya dengan sangat akrab.
Dalam hadis panjang yang diriwayatkan Al-Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah Saw menjelaskan bahawa apabila ahli syurga memasuki bazaar itu, mereka ditempatkan dalam majelis sesuai dengan amalan masing-masing. Mereka duduk di atas kursi-kursi terbuat daripada emas, permata, berlian, perak dan lain-lain. Orang yang paling rendah darjatnya daripada mereka duduk di atas lantai pasir yang terbuat daripada kesturi.
Lalu diizinkan bagi mereka untuk menziarahi Allah. Tuhan mereka bertajalli, menampakkan zat-Nya kepada mereka, dan berbicara kepada mereka satu persatu.
Baginda bersabda: “Tidak ada seorangpun yang berada di dalam majlis tersebut melainkan diajak bicara oleh Allah Swt. Bahkan Allah Swt bertanya kepada salah seorang daripada mereka: “Wahai polan, ingatkah engkau hari ini dan ini?” Allah mengingatkannya sebahagian dosa-dosanya di dunia. Orang itu segera berkata: “Wahai tuhan, bukankah engkau telah mengampuni dosa itu?” Allah menjawab: “Ya. Karena keluasan maghfirah-Ku engkau berada di tempat ini.”
Majelis ini sangat agung. Setiap hamba yang mencintai tuhannya merasakan kegembiraan yang tak terkira setiap kali menghadiri perjumpaan ini. Mereka lalu kembali ke rumah masing-masing sambil membawa “pencerahan” di jasad dan hati mereka, lebih besar daripada yang pernah mereka rasakan setiap kali kembali daripada mendengar khutbah dan melakukan solat Jumaat di dunia.
Bersegera Hadir
Kenyataan ini patut meningkatkan motivasi yang mendorong kita bersegera untuk mendatangi solat Jumaat setiap minggu dari sekarang. Sebab kesegeraan itu akan menentukan posisi duduk kita di dalam masjid, sekaligus tempat duduk kita di majelis perjumpaan dengan Allah di dalam Syurga.
Imam Ibn Khuzaimah dalam Kitab Al-Tauhid meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya: “Bersegeralah mendatangi solat Jumaat. Sesungguhnya Allah Swt menampakkan Zat-Nya kepada ahli syurga (yang berada) di atas gunung Kafur yang putih setiap hari Jumaat. Maka kedekatan mereka ditentukan oleh kesegeraan mereka mendatangi solat jumaat.”
Berkata Ibn Taymiah dalam Majmu’ Al-Fatawa: “Perkara yang disebutkan Ibn Mas’ud ini tidak ada yang mengetahuinya kecuali Nabi atau orang yang mendengarnya dari Nabi. Jadi, jelas sekali bahawa Ibn Mas’ud mendengar keterangan ini dari Nabi Saw.”
No comments:
Post a Comment