MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Saturday, February 20, 2010

Cerpen : Semurni Kasih Ibu Episod 1


9.30 pagi 28 Ramadhan 1430 Hospital Sultanah Aminah, Johor

“Mak, ikut Jali ye mak. Laaaa ilaha illallah”, kuhampirkan bibirku di telinga mak. Kugenggam jemari lembutnya. Sejuk.
” Laaaa ilaaaaha..... illallaaaaaah”. Lemah longlai.


******************************

1.30 tengahari 27 Ramadhan 1430 Kampung Dato Onn, Larkin

Usai menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek Tun Hussein Onn Larkin, aku melangkah pulang ke rumah dengan perasaan yang gundah. Entah aku sendiri tidak tahu, kenapa aku rasa lain hari ini. Waktu sahur pagi tadi, mak yang biasanya ramah tiba-tiba diam seribu bahasa. Aku jemput makan pun, mak sekadar memandang, senyum dan makan. Bahkan Amir, adik bongsuku yang sedekad lebih muda pun turut merasa hairan dengan tingkahlaku mak. Antara kami berdua ada dua lagi adikku yang lain, Hafizuddin dan Izzati.Masing-masing berusia 23 dan 22 tahun , dan sama-sama pelajar Universiti Islam Antarabangsa. InsyaAllah pulang esok. Basnya dijadual bertolak jam 12.00 malam ini.

Selalunya mak lah yang paling ’ramah’ bila kami berkumpul sekeluarga. Mak dan abah keduanya orang Perak. Mak dari Teluk Intan. Abah pula asalnya dari Hutan Melintang. Aku lihat keluarga di Perak memang ramah-ramah belaka. Jadi tidak hairanlah dengan keramahan mak dengan jiran-jiran di sini. Sejak 10 tahun berpindah di Johor ni, aku lihat muamalah mak dengan tetangga amat baik. Namun hari ini, mak memang lain. Nak kata mak berselisih faham dengan abah, tidak juga. Semasa kami berjemaah ketika solat tahajjud tadi, baik saja kami bersalaman dan berpelukan.

Sampai di halaman rumah, aku lihat mak sedang menjemur pakaian.

"Assalamualaikum”.

"Wa’alaikumussalam nak”. Manisnya senyum mak menyambut aku pulang dari masjid. Mak meneruskan kerjanya.

"Mak, biar Jali jemur kain ye. Panas terik ni. Mak masuklah ye”, aku memujuk mak.

Ya memang panas benar keadaan cuaca sejak tiga bulan kebelakangan ni. Sejenak aku mengomel dalam hati mengutuk kerosakan yang dibuat oleh tangan-tangan manusia sendiri yang seakan tidak mahu ’berdamai’ dengan bumi sehingga berlaku fenomena pemanasan global. Ah, mungkin aku juga salah seorang daripada mereka tanpa aku sedari. Mak senyum sambil mengangguk, kemudian masuk ke dalam.

Terik matahari tak berapa aku pedulikan. Aku terus menyambung sidaian. Fikiran aku masih ligat memikir kenapa mak agak lain hari ni. Aku ada buat mak berkecil hati kah? Atau mak tak sehat? Biasanya kalau mak demam sekalipun, keramahan mak masih seperti biasa.

Dalam khusyuk melayan telahan, rupanya jubah putih yang kupegang ini adalah yang terakhir untuk disidai. Jubah putih ini adalah hadiah dari al-Fadhil Ustaz Ismail Abbas, guruku semasa belajar di Madrasah Pondok Tahzibun Nufus dulu. Beliau mengajar kitab hadis Riyadus Solihin oleh al-Imam an-Nawawi rahimahullah semasa aku di tahun lima. Di tahun akhir, beliau mengajar Sohih Bukhari. Aku melayan kenangan sambil melangkah masuk ke rumah usai ’khatam’ menyidai. Kelibat mak tak kelihatan di ruang tamu. Mungkin mak sedang berehat di biliknya. Maklumlah, bulan puasa.

Aku masih ingat nasihat Ustaz Ismail di hari terakhir pengajianku di madrasah. Nasihat yang menjadi azimat amat berharga bagiku sebagai bekalan meniti kehidupan yang mendatang.

"Razali, jadilah anak yang soleh. Bermanis mukalah dengan kedua orang tuamu. Janganlah sama sekali kamu meninggi suara kepada mereka. Berakhlaklah dengan akhlak kekasih kita, Rasulullah s.a.w. Lebih-lebih lagi kepada mereka berdua. Bersegeralah kepada mereka bila dipanggil. Ingat wahai anakku Razali, sesungguhnya syurga di bawah telapak kaki ibumu”.

Aku mengangguk. Hatiku mula sebak.

"Razali......”. Ustaz diam seketika.

"Maa ridhallahu... illa ......bi ridho-il.... walidaini.. maa baqaa-ul kauni...... illa .......bihananil abawaini.... bihananil aabawaini...” Ustaz menyanyikan lagu ini dengan rentak yang perlahan dan sayu sambil tangan kanannya memegang bahuku dan matanya tepat memandang ke arahku. Pandangan yang dalam. Pandangan seorang murabbi. Merdu sekali suaranya. Memang selalu sahaja beliau menyelitkan nyanyian atau bersyair ketika berbicara.

Banyak lagi nasihat yang Ustaz Ismail berikan. Antaranya supaya aku menjadi pembela agama Allah, khadim yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk kepentingan Islam dan beberapa perkara lagi. Semoga Allah merahmati hidupmu wahai guruku.

"Ai Jali, jauh termenung nampak”, abah menyedarkanku yang sedang melayang dalam kenangan.

"Eh abah. Hehe. Tak ada apa pun. Teringat masa ngaji dulu je” jawabku dalam keadaan sedikit terpinga.

"Mak mana bah? Tak nampak pun” .

"Ada dalam bilik tu ha. Tengah melipat kain baju yang dah kering semalam. Tak sempat lipat agaknya”.

"Oo. Jali pergi tolong mak kejap ye abah”. Aku bangun dari kerusi malas dan menuju bilik mak. Ada perkara yang ingin kutanyakan pada mak. Moga-moga terungkai gelisahku sejak pagi tadi.

"Mak, banyak kain ni. Meh Jali tolong”. Aku terus capai seluar sekolah adikku yang belum berlipat diantara longgokan kain itu. Hari ini hari persekolahan terakhirnya sebelum bercuti untuk Aidilfitri. Seperti ’biasa’, mak hanya senyum dan mengangguk.

"Mak..”. Aku memulakan bicara. Serba salah. Aku bimbang kalau memang betul mak ada berkecil hati dengan aku. Kalau ya, aku mahu segera meminta ampun dan maaf.

"Ye nak. Cakaplah”, lembut sekali tutur kata mak.

"Mak....”. Ah, berat sekali untuk aku menanyakan soalan ini.

"Mak... Mak redha tak dapat anak macam Jali? Mak, kalau Jali ada buat salah silap pada mak, Jali minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki ye mak. Jali tak sedap hati bila mak tak banyak cakap hari ni. Maafkan Jali ye mak”. Aku menghulur kedua tanganku dan menggenggam erat tangannya. Kukucup semahunya.

Mak diam membisu. Aku dongakkan semula kepalaku. Mata mak berkaca. Kami bertentangan mata. Aku rasa tak sedap hati. Kenapa mak menangis? Makin kuat telahanku bahawa pasti aku ada terbuat salah pada mak.

"Mak, bagitau ye mak kalau Jali ada buat salah. Jali sayang mak” pintaku lembut namun sedikit mendesak.

"Jali..” Mak mula bersuara.

" Mak sentiasa redha dengan semua anak mak. Semua mak sayang, nak. Jali mak sayang, adik-adik Jali pun mak sayang. Mak tak pernah lupa mendoakan kebahagiaan anak-anak mak. Walau apa pun kesilapan dan kesalahan yang anak-anak mak lakukan, mak sentiasa maafkan” aku mendengar tiap patah perkataan mak dengan penuh rasa sayu. Di balik senyuman mak, gugur satu persatu air mata kasih sayangnya memandang anak sulungnya ini. Sebelum ditarbiyyah di madrasah, aku rasa akulah anak yang paling kerap menyakitkan hati mak. Namun mak sentiasa sabar. Entah berapa kali mak menangis kerana aku.

"Jali, mak redha dapat anak macam Jali”.

"Terima kasih mak. Terima kasih”.

Akhirnya airmataku juga tidak dapat kusekat. Aku memeluk mak erat-erat. Kucium lagi kedua tangannya. Lama. Kemudian aku duduk semula dan kupegang kedua bahu mak.

"Mak, raya kali ni walaupun sederhana, tapi kita sambut lebih meriah daripada yang lepas-lepas ye mak. Jali nak bawak mak dengan abah balik kampung jumpa Pak Ngah, Pak Andak, Mak Teh. Ha, kan dah lama kita tak jumpa Mak Teh. Kamal pun dengar ceritanya dah balik dari Mesir. Teringin juga Jali nak jumpa dia. Kita pergi sama-sama ye mak”, ngomelku mengambil hati mak. Pak Ngah, Pak Andak dan Mak Teh semua adik-beradik mak. Pak Long sudah 10 tahun meninggal kerana kemalangan. Kamal adalah sepupuku yang paling rapat. Anak Mak Teh. Graduan Universiti Al-Azhar.

Mak tidak menjawab. Direnungnya mataku lama-lama. Pandangan penuh kasih sayang yang disulam seribu rahsia. Senyuman tulus yang terukir di bibir mak, benar-benar membuatkan anak sulungnya ini menghargai segala jasa dan pengorbanan yang dia berikan sepanjang hayatku.

Kemudian mak mengangguk. Lalu dipegang , dan diciumnya dahiku lama-lama. Ciuman kasih seorang ibu kepada anaknya. Kehangatan airmatanya membasahi dahiku.

"Terima kasih mak” bisik hati kecilku.



Bersambung, insyaAllah....

4 comments:

  1. sedihnya cerita nie...rindu kat ibu saya...mudah-mudahan cinta kita kepad ibu dan abah bertambah rindu dan kasih kita Allah dan Rasul...bagus cerpen ni...leh join program PASAK

    ReplyDelete
  2. salam tuan guru..wah2..ada bakat dlm menulis cerpen rupanya..bleh berguru ni..teruskan cita...cumanya nak tanya..camna pondok tahzibunnufus bleh masuk skali tuu..heheheheh..tahniah syaikhuna..

    ReplyDelete