MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Friday, February 19, 2010

Rehlah Ke Sinai (2)

10 Februari (Rabu)

Lebih kurang jam 12.30 pagi, kami bertolak dari Fox Camp ke Gunung Sinai. Serasa saya, rombongan kami adalah yang terawal sampai untuk mendaki pada pagi ini.

Memilih Menunggang Unta




Pada saya, ini adalah kesempatan terbaik untuk saya menghayati dan merenung kembali firman Allah swt,

أفلا ينظرون إلى الإبل كيف خُلقتْ

"Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta, bagaimanakah ia dicipta"-
Surah al-Ghasyiah ayat 17

Saya menunggang unta ditemani Ustaz Amir Bukhari yang juga sama-sama baru pulang dari Jaulah Iskandariah. Masing-masing seekor unta. Ini adalah peluang untuk saya mengenali haiwan istimewa ini dengan lebih terperinci. Manakan sama antara bacaan dan praktikal. Sampainya saya di Sinai ini pun adalah atas iradah atau kehendak Allah. Tentu ada hikmah yang tersembunyi disini yang perlu saya dan sesiapa sahaja yang hadir disini untuk mencarinya.

Apa yang sedikit menakutkan saya ketika awal-awal menunggang unta adalah ketika ia mahu membelok. Sudahlah jalannya sempit, diambil pula bahagian yang betul-betul sebelah tebing gunung. Saya sempat mengintai ke bawah, sebelah kanan saya adalah jalan dan sebelah kiri gaung. Nasiblah perjalanan kami adalah pada waktu awal pagi. Gelap. Kalau nampak pun hanyalah dek kerana bantuan sinar bulan yang samar-samar. Alhamdulillah perasaan menjadi stabil setelah itu dan saya dapat membiasakan diri dengannya.

Imam Ibnu Kathir rahimahullah ketika mentafsir ayat 17 surah al-Ghasiyah di atas berkata,

Sesungguhnya ia adalah satu ciptaan Allah yang mengagumkan. Ia sungguh gagah dan kental. Dalam pada itu, ia amat mudah taat untuk membawa bebanan yang berat dan mengikut perintah tuannya yang lebih lemah daripadanya. Ia boleh dimakan. Bulu-bulunya boleh digunakan. Susunya boleh diminum.

Berkata Syuraih al-Qadi rahimahullah,

Marilah keluar besrsama denganku, lalu kita sama-sama membuat penelitian mengenai unta. Kita kaji bagaimanakah ia dicipta.

Bahkan fakta Sains pada hari ini telah menyokong kebenaran al-Quran. Seorang ilmuwan Islam terkenal, Adnan Oktar (semoga Allah memeliharanya) atau lebih dikenali sebagai Harun Yahya di dalam kajiannya mengenai keajaiban unta menyenaraikan beberapa keistimewaan unta. Antaranya,

1) Unta boleh hidup walaupun dalam suhu yang mencecah 55 darjah Celcius, dan ia adalah suhu yang boleh membakar.

2)Ia adalah sebuah 'jentera pengangkutan' yang kejituan ciptaannya jauh lebih hebat daripada mana-mana kenderaan padang pasir yang pernah dicipta manusia.

3)Ia dapat mengelakkan badannya daripada berpeluh, dengan cara meningkatkan suhu badannya kepada 41 darjah Celcius. Ini boleh menjimatkan pengeluaran air daripada tubuh melalui proses perpeluhan.

4)Ia boleh menahan lapar selama 8 hari walaupun suhu sekitar mencapai 50 darjah Celcius.

5) Sekali minum, ia boleh meneguk lebih kurang 130 liter air, yang juga satu pertiga daripada berat badannya.

Untuk melihat video mengenai keajaiban penciptaan unta, boleh klik di sini.




Memerhati Langit Sahar




Sahar (jamaknya ashar أسحار) atau lebih kita kenali dengan Sahur adalah waktu akhir-akhir malam, iaitu sebelum Subuh. Kerana itulah amalan makan sebelum Subuh untuk berpuasa dinamakan Sahur, meraikan waktu sunnah untuk makan sebelum berpuasa. Andai kita bahagikan malam kepada 3 bahagian, waktu sepertiga akhir itu adalah waktu sahar mengikut sebahagian ulama. Ada juga yang membahagikannya kepada 6 bahagian, dan waktunya adalah yang seperenam akhir.

Al-Quran menggalakkan kita untuk memperbanyakkan beristighfar kepada Allah khususnya pada waktu Sahar ini. Firman Allah,

Mereka (orang-orang yang bertaqwa) sedikit sahaja tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka beristighfar (kepada Allah) - Surah az-Zariyat ayat 16 dan 17.

Firman-Nya lagi (menyatakan sifat-sifat orang bertaqwa),

"..Dan orang-orang yang beristighfar pada waktu akhir malam" Surah Ali Imran ayat 17

Kenapa kita digalakkan beristighfar dan bermunajat pada waktu ini? Kerana pada waktu ini, suasananya aman dan tenang. Tiada hiruk pikuk yang mengganggu tumpuan. Ia adalah waktu khusus untuk seorang hamba melepaskan kerinduan dan kecintaan kepada Kekasih Agungnya setelah seharian disibukkan oleh perkara lain.

Kita disunatkan ketika bangun daripada tidur di awal pagi setelah membaca doa tidur, untuk mendongak kelangit, merenung dan memerhatikannya. Kemudian disunatkan mentadabbur firman Allah,

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih pergantian malam dan siang benar-benar mempunyai tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang cerdik. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan dalam keadaan berbaring, dan mereka itu berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berdoa) Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, selamatkanlah kami daripada azab neraka." Surah Ali Imran ayat 190-191. Disunatkan juga untuk sambung hingga ayat 194.

Pendakian ke Sinai dengan menunggang unta yang menjimatkan tenaga benar-benar memberi ruang kepada saya untuk berfikir, memerhati dan merenung ke langit. Langit yang turut menjadi saksi perjuangan dan pengorbanan Baginda Musa a.s. Tiada yang saya nampak melainkan gugusan bintang-bintang indah yang membentuk pelbagai buruj. Saya bukanlah ahli nujum atau astronomi yang mahir mengenai buruj dan hal seumpamanya. Yang saya tahu pun hanya tiga bintang selari yang menjadi tanda untuk mengetahui arah kiblat.

perbezaan antara matahari (bintang paling kecil dan terdekat dengan bumi dan beberapa bintang selepasnya mengikut jarak terhampir ke bumi.

Merenung langit dan bintang dengan matahati, akan membuat kita terfikir betapa hebatnya Sang Pencipta yang menjadikan langit tidak bertiang dan menggantung bintang-bintang tanpa tali.Bintang-bintang itu pula hakikatnya jauh lebih besar daripada matahari dan matahari adalah bintang terkecil dalam sistem suria. Dalam galaksi Bima Sakti sendiri, mungkin masih terlalu banyak bintang-bintang lain di sana yang cahayanya masih belum sampai ke bumi. Apa yang pasti, dengan merenung dan memerhati kehebatan ciptaan-ciptaan ini akan mendatangkan perasaan takut dan akur kepada betapa hebat dan berkuasanya Allah. Dan perasaan inilah yang akhirnya akan membawa kita sebagai hamba-Nya berasa khauf (takut) dan rajak (berharap) kepada Allah dan berdoa supaya Dia melindungi kita daripada azab-Nya. Wallahu a'lam.

Unta bernama Abduh itu berhenti di Checkpoint ke 7. Ia adalah perhentian kepada perjalanan menaiki unta. Untuk ke puncak, kami perlu mendaki. Alhamdulillah sejam sebelum Subuh berjaya juga sampai.



Bersama pelajar perubatan Universiti Mansurah


Memerhati mentari terbit dari ufuk timur






Ustaz-ustaz Mansurah




**************


.









1 comment: