MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Monday, September 20, 2010

Tarbiyyah Iman dan Islam Kepada Anak-Anak


Yang dimaksudkan dengan tarbiyah iman kepada anak-anak adalah :

-mengukuhkan pemikiran anak-anak kita dengan usul-usul iman sejak awal tempoh mereka mula berfikir,

-membiasakan mereka dengan rukun-rukun Islam sejak mereka mula memahami,

-Mengajarkan mereka ilmu-ilmu syariah sebaik sahaja mereka mencapai umur mumayyiz.


Apakah itu usul-usul iman?

Usul iman adalah setiap apa yang datangnya daripada perkhabaran yang benar mengenai hakikat-hakikat iman, dan perkara-perkara yang ghaibiyyat atau ghaib. Misalnya beriman dengan Allah swt, beriman dengan para malaikat, beriman dengan kitab-kitab samawi baik al-Quran mahupun kitab-kitab sebelumnya, beriman dengan para Rasul alaihimussalam keseluruhannya, beriman dengan adanya soalan malaikat di kubur nanti, adanya azab kubur, kebangkitan di padang Mahsyar, perhitungan amalan, adanya syurga, neraka dan perkara-perkara ghaib lain yang disebutkan atau dikhabarkan dalam al-Quran dan hadis.

Apakah rukun Islam?

Rukun Islam adalah semua ibadah baik berbentuk badaniyyah (menggunakan tubuh badan) atau maliyyah (harta). Iaitu solat, puasa, zakat dan menunaikan haji bagi yang mampu. Adapun mengucap dua kalimah syahadah, ia adalah satu kewajiban yang mesti diucap oleh seorang Muslim. Bahkan tidak sah semua ibadah tadi sekiranya dilakukan tanpa didahului oleh ucapan syahadah oleh pelakunya.

Apakah mabadi' (dasar) syariah?

Ia adalah setiap yang berkait dengan kurikulum rabbani dan pendidikan Islam baik dari sudut aqidah, ibadah, akhlak, syariat, undang-undang dan hukum-hakam.

Justeru, adalah menjadi kewajipan kepada para ibubapa atau penjaga untuk membesarkan anaknya dengan memberi kefahaman mengenai pendidikan iman, dan pendidikan Islam secara asas, sehinggalah anak ini menjadi seorang yang berpegang teguh kepada Islam, baik dari segi akidah mahupun ibadah. Sehingga cara hidupnya sentiasa dilandaskan dengan ajaran Islam.

Sehinggalah apabila Islam di jiwa anak-anak ini telah kukuh, mereka tidak akan nampak lagi cara hidup yang lebih baik melainkan hanya cara Islam. Mereka hanya akan nampak Islam sahaja sebagai agama yang benar. Mereka tidak nampak lagi ada panduan selain Al-Quran. Mereka juga tidak lagi nampak ada suri tauladan dan kepimpinan yang lebih baik daripada Baginda Rasulullah s.a.w.

InsyaAllah, dalam entri akan datang akan dibawakan beberapa hadis yang menunjukkan betapa Nabi s.a.w amat menitikberatkan soal pengajaran usul-usul iman, rukun Islam dan hukum syariat kepada anak-anak.

Rujukan : Tarbiyatul Awlad oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan

No comments:

Post a Comment