MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Tuesday, July 27, 2010

Ramadhan : Rindukah Kita Kepadanya?



Ia adalah soalan yang sepatutnya bermain-main dalam fikiran kita sebagai seorang mukmin. Apatah lagi kita telah benar-benar hampir menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini. Kita tahu kelebihannya. Kita juga tahu pelbagai fadhilat yang tersirat di dalamnya. Kelebihan dan fadhilat yang hanya didapati di bulan Ramadhan. Ya Allah, terlalu banyak nikmat dan rahmat yang Allah limpahkan kepada kita, umat akhir zaman ini.


Oleh kerana itulah, jiwa-jiwa yang beriman akan sentiasa menantikan hadirnya Ramadhan. Mereka rindukan Lailatul Qadar. Mereka rindukan Tarawih. Mereka rindukan Tadarus al-Quran beramai-ramai di masjid. Dan banyak lagi kerinduan yang membuak-buak dihati mereka.


Persoalannya. Adakah kita sendiri (saya dan tuan-tuan) turut berasa rindu pada Ramadhan? Adakah ‘rindu’ yang terungkap ini hanya sekadar menari dibibir sahaja atau ia sebenarnya hadir penuh tulus dari lubuk hati kita? Apakah pula persediaan kita untuk menyambut ketibaan Ramadhan yang amat kita ‘rindui’?

Kita perlu rindukan Ramadhan kerana Ramadhan adalah bulan yang pintu rahmat Allah dibuka seluasnya. Kita akan melihat masjid dipenuhi dengan mereka yang berlumba-lumba melakukan amal soleh. Hati akan menjadi tenang melihat hamba-hamba Allah yang soleh sentiasa berlumba-lumba mencari redha Allah dan keampunan-Nya. Al-Quran menjadi teman mereka yang sangat akrab.

Kita juga perlu rindukan Ramadhan kerana Ramadhan adalah bulan terbelenggunya iblis dan syaitan. Rasulullah s.a.w bersabda,

إذا جاء رمضان فُتِّحت أبواب الجنة وغُلِّقت أبواب النار وصُفِّدت الشياطين

Bila tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan. Muttafaqun Alaih

Mereka tak dapat aktif menyesatkan manusia sepertimana mereka aktif pada bulan-bulan yang lain. Penguasannya ke atas kita adalam minima. Ini juga adalah faktor yang membawa kita untuk cergas beribadah didalam bulan ini. Namun, kalau kita masih lagi hanyut dan lalai dalam dosa dan maksiat, ini adalah petanda bahaya. Takut-takut diri kita telah sebati dengan dosa dan amat mudah melakukannya walaupun tanpa bisikan syaitan. Semoga Allah melindungi kita.

Kita juga perlu rindukan Ramadhan kerana ia adalah bulan maghfirah dan keampunan. Marilah kita sama-sama perhatikan betapa besar rahmat Allah kepada kita hamba-Nya, lalu dikurniakan kepada kita sebuah bulan yang padanya kita diberi ruang dan peluang yang seluasnya untuk bersungguh mencari redha dan keampunan-Nya. Bulan Ramadhan adalah hadiah Allah yang amat bermakna buat kita semua.

Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sohihnya, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر

“ Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat satu lagi, dan Ramadhan ke Ramadhan satu lagi adalah penghapus dosa-dosa antara masa tersebut selama mana dia meninggalkan dosa-dosa besar”

Rasulullah s.a.w bersabda juga,

من صام رمضان ايماناَ واحتسابا غفر له ماتقدم من ذنبه

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu” Sohih- Riwayat Imam Bukhari.

Tuan-tuan yang dikasihi, tak nampakkah kita dengan kelebihan yang Allah bagi ini? Tak terfikirkah kita betapa besar rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita??? Adakah kita tidak berharap supaya kita juga tidak terkecuali daripada memperoleh nikmat keampunan Allah?

Oleh itu, marilah kita semua sama-sama kejutkan hati kita. Bangunkan hati kita daripada kelalaian. Marilah kita cetus rasa rindu kepada Ramadhan. Andai rindu itu sudah ada, membara, maka marakkanlah ia. Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang penuh makna untuk kita… Amin Ya Rabb … :)


Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

oleh- Raihan

1 comment:

  1. Semoga tuan diberikan ketenangan dan ketakwaan dalam mencari cahaya ilahi..

    ReplyDelete