MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Thursday, December 27, 2012

Pemergian Almarhum Ustaz Rosni bin Ali Yang Sangat Dirasai

Saya baru dapat berita mengenai pemergian Almarhum Ustaz Rosni, salah seorang pegawai yang sangat rapat dengan pelajar di Mesir. 

Saya terkejut, dan hiba. Ajalnya sudah tiba. Almarhum adalah antara individu yang sangat memberi impak positif kepada saya sepanjang keberadaan di Mesir dua tiga tahun lepas. 

Saya rasa saya perlu berkongsi disini...

Saya pernah diuji dengan masalah kewangan di Mesir. Maklumlah, saya bukan pelajar Al-Azhar, jadi tiada zakat atau bantuan khas untuk saya. Masa tu saya ambil keputusan untuk berjumpa dengan Ustaz Rosni, atas cadangan beberapa orang kenalan. Tujuan saya adalah untuk meminta nasihat.

Saya bercadang pada ketika itu, untuk memulakan perniagaan burger di Mansurah. Modal? Tiada. Semangat? Berkobar-kobar. 

Ustaz Rosni menyambut saya dengan wajah penuh ceria. Kami berkongsi pandangan. Banyak pengalaman yang beliau kongsikan. 

Apa yang paling membuatkan hati saya berasa sangat sayu, adalah apabila beliau terpaksa memberitahu saya yang beliau sendiri sedang diuji oleh Allah dengan kewangan yang terhad. Ditunjukkan bekas makanannya, yang hanya ada nasi dan telur goreng. Itulah makanan hariannya di pejabat. Tiada lauk lain. Dengan penuh senyuman, beliau memberi kata2 semangat yang sangat positif. 

Setelah selesai berurusan, saya minta izin untuk kembali ke Mansurah dengan hati yang sangat gembira. Gembira kerana dipertemukan dengan insan semulia Ustaz Rosni. Sehingga saya pernah terfikir bahawa beliau adalah kekasih Allah yang Allah temukan dengan insan sekerdil saya. 

Selang beberapa langkah, beliau memanggil saya dan mengeluarkan 50 junaih (matawang Mesir) yang nilainya lebih kurang RM25 duit kita. Saya menolak. Tidak sampai hati membebankan beliau. Namun beliau sangat berharap saya mengambilnya dan jadikan modal berniaga. Saya amat menghargai pemberian beliau.

Dengan 50 junaih itu, saya memulakan perniagaan. Sehinggalah ia berkembang dan akhirnya saya bertukar kepada bisnes Nasi Lemak Akhi di Mansurah dengan hasil yang lumayan, alhamdulillah. BERKAT 50 JUNAIH sumbangan Ustaz Rosni... 

Sehingga saat saya menulis status ini, masih terbayang senyuman yang tak lekang. Ya, saya sebak. Siapa yang mengenalinya,insyaAllah akan terasa sangat kehilangan... 

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Almarhum Ustaz Rosni... ALFATIHAH.....