MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Saturday, September 22, 2012

Nasi Lemak Akhi Kini Di Taman Setia Indah, JB

Alhamdulillah. Syukur pada Allah atas segala nikmat dan kurnia. Jualan nasi lemak pada hari keempat habis seawal jam 8 pagi. Cuma hari ini berniaga lewat sikit kerana ada kuliah Subuh di surau.

 Hari pertama berniaga Rabu lalu, saya mulakan dengan 3 kg beras. Khamis 4 kg. Semalam 5 kg dan pagi tadi 6 kg. InsyaAllah esok nak try 8 kg. Kerusi lipat yang saya bawa untuk duduk sekali-sekala, hanya menjadi aksesori tambahan kerana langsung tak berkesempatan untuknya.

 Tujuan saya ceritakan disini adalah untuk berkongsi kegembiraan dengan sahabat-sahabat FB saya yang selama ini amat banyak memberi semangat dan sokongan atas apa yang saya usahakan. Tidak terlintas pun dihati untuk berasa bangga atas apa yang saya perolehi. Saya sangat senang berkongsi cerita dengan tuan-tuan, kalau di sana ada manfaat yang boleh diambil.

 Tuan-tuan yang saya kasihi..

 Setiap kita mungkin telah, sedang atau akan melalui fasa-fasa susah dan sempit dalam kehidupan. Tapi kita juga kena perhatikan, apakah kayu ukur susah dan sempit itu? Kerana pengalaman dan peristiwa-peristiwa sekeliling kita banyak yang mengisahkan betapa insan-insan berada juga ramai yang berasa sempit dan susah. Sedangkan zahirnya, mata manusiawi kita melihat rumah mereka yang tersergam, kenderaan yang mewah adalah gambaran kesenangan mereka.

 Bagi orang yang beriman, (semoga Allah berikan saya kekuatan untuk bersungguh-sungguh berusaha jadi orang beriman) susah dan senang pada mereka sama sahaja. Kalau susah, mereka sabar dan itu adalah yang terbaik baginya. Kalau senang, dia bersyukur dan itulah yang terlebih baik baginya.

 Cuma kita kena selalu ingat, bahawa kita sebagai manusia seringkali tertewas bila dimurahkan rezeki oleh Allah. Ingatlah, rezeki sekelumit yang diberi oleh Allah itu adalah ujian. Semoga saya dan tuan-tuan lulus dengan cemerlang dalam ujian ini :)

Tuesday, September 18, 2012

Agenda Filem Menghina Rasulullah s.a.w



Tuan-tuan yang dikasihi..

Kalau difikirkan, saya rasa tentu pengarah filem yang menghina Rasulullah s.a.w itu sudah tahu impak yang akan berlaku. Melukis karikatur Rasulullah s.a.w sahaja pun sudah menimbulkan kemarahan umat Islam, apatah lagi bila diadakan watak 'Rasulullah' dalam filem tersebut.

Tapi kenapa diteruskan juga pembikinan dan penayangannya? Kerana saya rasa ia adalah salah satu agenda besar mereka untuk mendatangkan provokasi terhadap sensitiviti umat Islam, seteruskan membangkitkan rasa marah yang meluap-luap.

Ketika kemarahan yang meluap-luap inilah, iblis dan syaitan turut memainkan peranan mereka. Maka mereka yang marahnya bukan berasaskan rasa cinta dan kasih yang sejati kepada Islam dan Rasulullah, akan melampau dalam meluahkan perasaan mereka.

Akhirnya timbul kembali isu terrorisme, bila ada antara penunjuk perasaan yang bertindak ganas. Sedangkan Islam adalah agama akhlak. Dalam marah pun, ada akhlaknya. Ya, kita sangat marah kerana Islam dan Rasulullah dihina, tapi di sana masih ada akhlak yang sangat wajib kita jaga.

Apapun, saya juga sangat yakin bahawa jika tindakan menyiarkan filem tersebut adalah bertujuan untuk mengundang kemarahan umat Islam, ia sebenarnya adalah tindakan yang bodoh dan memakan diri sendiri. Orang Barat bukannya bodoh. Ramai antara mereka yang boleh berfikir dengan baik dan matang. Mereka boleh menilai. Mereka akan bangkit mengkaji, adakah benar Nabi Muhammad s.a.w itu seperti yang digambarkan dalam filem tersebut. Dan, mereka akan dapat jawapannya nanti... Jawapan yang akhirnya, mungkin membuka mata dan hati mereka atas kebenaran Islam...

Sebagaiman 11 September 2001 menjadi punca ramai yang masuk Islam, begitu juga dengan penyiaran filem ini....

Semoga Allah hadirkan rasa kasih dan sayang kita umat Islam kepada Baginda s.a.w, sehingga apa sahaja akan sanggup kita korbankan untuk Baginda...

Saturday, September 15, 2012

Seekor Anjing Gila Berkurap- Sebuah Tamsilan



Tuan-tuan yang dikasihi..

Satu tamsilan.. Di hadapan tuan-tuan ada seekor anjing gila yang dah berkurap. Berdekatannya pula ada sebuah unggun api api yang besar dan sangat panas. Anjing itu pula berlari ke arah api tersebut, dan kelihatan seperti mahu masuk ke dalamnya.

Apa perasaan tuan-tuan ketika itu? Ya, jika tuan-tuan seorang mukmin, yang tentunya ada sifat rahmah, tak akan sanggup biarkan anjing gila yang berkurap itu masuk ke dalam api. Ya, anjing gila lagi berkurap.

Nah, bagaimana pula dengan ahli keluarga kita? Ada antara mereka yang 'berlari-lari' menuju ke api neraka Allah kerana memandang enteng dengannya, sedangkan kita saban hari, saban waktu mengetahuinya. Soalannya, apakah terlintas di hati kita untuk berusaha selamatkan mereka. Mereka ahli keluarga kita. Sanggupkah kita biarkan mereka terjerumus ke dalam neraka Allah?

Tuan-tuan yang amat saya kasihi...

Sebagaimana kita sayangkan diri kita, tak mahu dicelup walau sesaat ke dalam neraka Allah, begitu jugalah sepatutnya perasaan kita kepada orang lain, khususnya keluarga kita.

Saya dan tuan-tuan mesti bertindak dari sekarang. Wawasan kita nun jauh disana, di negeri yang kita semua akan tinggal selamanya. Kalau bahagia, bahagia selamanya. Kalau celaka.... Allah... Nau'zu billah... :(

Friday, September 14, 2012

Tarbiyyah Yang Amat Berharga

Assalamualaikum wrt..

Semasa belajar di Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling dahulu, ada beberapa peristiwa yang sangat memberi bekas dalam hidup saya, dan sukar untuk saya lupakan. Ia adalah proses tarbiyyah secara tidak formal, namun penuh hikmah.

Antara peristiwa yang berlaku adalah mengenai seorang pakcik tua warga Indonesia, yang selalu berkhidmat sekitar masjid dan madrasah. Selalu sahaja kelihatan kelibatnya mencuci longkang dan tandas masid. Wajahnya sekali pandang, tiada apa yang istimewa. Pakaiannya pun tidaklah kemas, putih bersih. Biasa-biasa saja.

Namun kalau diteliti betul-betul, boleh jadi beliau adalah seorang yang sangat istimewa. Bahkan mungkin sangat hampir dengan Allah. Doanya mungkin sangat mustajab. Saya selalu mengamati beliau.

Sampailah pada satu hari, saya dan rakan-rakan yang lain berjalan ke kelas usai solat Asar sambil sibuk mengulang hafalan Matan Alfiyyah Ibnu Malik, tiba-tiba salah seorang daripada rakan saya terlupa sambungan matan tersebut. Apa yang mengejutkan, pakcik Indonesia tadi dengan lancar menyambung matan tersebut. Rupa-rupanya bila diselidik beliau adalah seorang yang alim. Namun sanggup berkhidmat di madrasah dan masjid atas alasan nak memuliakan para penuntut ilmu.

Allah... peristiwa itu benar-benar memberi pelajaran dan pengajaran kepada saya. Semoga Allah jadikan kita semua yang berada dalam jalan tolibul ilmi agar dikurniakan sifat tawadhuk dan merendah diri..

Tuesday, September 11, 2012

For The Rest Of My Life.....




-Status kali ini khas untuk yang menggemari muzik-

Tuan-tuan para peminat seni suara yang dikasihi...

Tuan-tuan pasti kenal dengan Maher Zain, kan? Saya mula mengenali beliau dalam bulan Februari 2010, di Mesir. Itupun isteri saya yang kenalkan.

Ketika itu saya sedang sibuk menulis, tiba-tiba isteri saya tegur saya, "Abang, cuba dengar lagu ni.."

Lalu dia tunjukkan saya video klip lagu For The Rest of My Life. Saya ni jenis tak berapa minat dengar lagu-lagu Inggeris, kecuali beberapa buah lagu yang hit daripada Michael Jackson (mudah-mudahan dia mati dalam islam) yang memberi motivasi.

Bila dengar, saya jadi terpesona dengan lirik, lagu dan suaranya. Sangat menyentuh jiwa seorang suami. Ceh ceh ceh.. :) Tapi, sungguh. Memang tersentuh..

Saya mula meminati insan bernama Maher Zain ni. Bila dengar semua lagu-lagu beliau, saya yakin beliau memang bersungguh-sungguh untuk berdakwah melalui nasyid. Dan bersungguh-sungguh pula mencipta lagu yang terbaik susunan muziknya. Jarang-jarang ada penyanyi yang berani memuatkan semua lagu-lagu terbaik dan hit dalam satu album. Kalau ada pun, hanya album kompilasi.

Semasa di Mesir, ketika dalam perjalanan tiap minggu dari Mansurah ke Kaherah, lagu-lagu Maher Zain inilah yang menjadi halwa telinga selain bacaan Syeikh Fahd Al-Kandari atau Syeikh Masyari. Ia membuatkan permusafiran saya jadi tidak bosan dan mengantuk.. :)

Saya masih ingat juga ketika berniaga Nasi Lemak Akhi di Mansurah, ada seorang pelajar perubatan lelaki yang rajin berbual dengan saya. Saya tanya, kenal tak Maher Zain. Dia tak kenal. Lalu saya dengarkan salah sebuah lagunya. Terus dia terpesona dan terkesan dengan lirik lagu tersebut. Saya pun dah lupa lagu yang mana.

Kesimpulannya, saya ajak mereka yang minat seni suara, dengar dulu semua lagu-lagu Maher Zain dan hayati. InsyaAllah ia akan memberi kesan kepada jiwa. Tak banyak, sikit.

Tak payahlah kita dengar lagu-lagu yang liriknya entah apa-apa, muziknya caca merba, bahkan bimbang merosakkan jiwa.

Monday, September 10, 2012

Mengucapkan Salam

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wrt..

Dari Hadrat Abu Hurairah radiyallahu anhu, dari Rasulullah sollallahu alaihi wasallam, sabda Baginda :

" Apabila seseorang kamu bertemu dengan saudaranya sesama Muslim maka hendaklah dia mengucapkan salam kepadanya. Sekiranya terpisah antara keduanya oleh pokok atau dinding atau batu, kemudian mereka bertemu semula, maka berikanlah salam semula sekali lagi." Riwayat Abu Daud.

Tuan-tuan yang dika
sihi.. lihatlah betapa Rasulullah sollallahu alaihi wasallam amat mengambil berat perihal memberi salam. Masakan tidak, sedangkan memberi salam itu adalah amalan yang menimbulkan rasa kasih antara kita.

Namun apa yang menyedihkan adalah saya dan kita semua kadang-kadang sering berasa berat untuk memberi salam kepada orang lain. Ada pun, yang kita kenal sahaja.

Lebih sedih, berselisih sesama sendiri di pintu pagar masjid, walaupun ketika itu hanya berdua sahaja disitu, kadang-kadang masih berat hati nak bagi salam...

Tuan-tuan, mari sebarkan salam. Ia amalan Rasulullah. Allah sangat cinta dan kasih kepada tuan-tuan yang rajin beri salam.. :)

Sunday, September 9, 2012

Perjalanan Terindah Yang Hakikatnya Sementara






Tuan-tuan yang dikasihi...

Dalam perjalanan pulang kita ke kampung, atau pengembaraan kita ke satu-satu destinasi, saya percaya tentu mata kita sekali-sekala akan terpesona dengan keindahan alam yang kita lihat sepanjang perjalanan.

Langit yang membiru, gunung-ganang yang menghijau, sawah yang luas terbentang, rumah-rumah kampung tepi jalan, pekan-pekan lama yang kita lalui, dan pelbagai lagi. Semuanya menggamit seribu satu perasaan yang indah dan manis.

Kita akan mengenangnya, dan ia mungkin menjadi pengubat penat lelah kita yang jauh berjalan...

NAMUN, semua yang kita lihat tadi, semua keindahan tadi hanya berlaku sementara kita masih di dunia. Sangat sementara. Kerana kehidupan kita yang sebenarnya bukan disini tuan-tuan. Keindahan dunia, harus kita nikmati, kerana ia memang bukti kehebatan Allah. Namun di sana ada alam akhirat yang nikmatnya jauh lebih seronok, memukau dan sangat mendamaikan. Tak mampu untuk digambarkan. Tak mampu untuk difikirkan dek akal manusia..

Allah akan sediakan nikmat-nikmat istimewa ini kepada saya dan tuan-tuan. Bahkan memang dah tersedia. Cuma Allah sekarang sedang menguji kita semua, adakah kita sabar atau tidak dengan ujian-Nya....

Tuan-tuan.. dunia ini penjara kita.... penjara kita... penjara kita....

Monday, September 3, 2012

Muhasabah - Kolam Hati dan 7 Salirannya




Tuan-tuan yang dikasihi..

Ada sebuah kolam. Bersih, jernih airnya. Kolam itu pula ada 7 saliran air yang datang kepadanya. Apa pandangan tuan-tuan, jika hanya ada satu sahaja antara 7 saliran air itu membawa air lumpur. Ya, tetap akan mengeruhkan kolam tadi, walaupun 6 saliran yang lain membawa air jernih.

Begitulah yang diibaratkan dengan hati kita. Ia ibarat sebuah kolam yang bersih suci. Ada 7 saliran yang masuk padanya :

1)mata
2)telinga
3)lidah
4)perut
5)faraj
6)dua tangan
7)dua kaki

Maka jika salah satu anggota tadi buat maksiat, ia akan mengeruhkan hati kita. Bahkan bimbang-bimbang akan menggelapkan hati hingga hati kita penuh dengan zulumat (kegelapan) dan butalah mata hati kita..

Sama-samalah kita merayu pada Allah agar tetapkan iman kita. Kita semua umat akhir zaman, sangat mudah terpedaya. Namun, Allah Maha Penyayang. Maha Menerima taubat. Besar mana pun dosa-dosa kita, banyak mana pun salah kita pada Allah, tetap Allah akan ampunkan kalau SAYA dan tuan-tuan bersungguh kembali pada-Nya...

Tuan-tuan.. marilah bertaubat, selagi masih diberi peluang.. :_(