MENGENAI SAYA

My Photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Sunday, April 15, 2012

Status FB : Muslimah, Pulang Dari Tanah Suci..

Khusus untuk para muslimah yang saya hormati,

Alhamdulillah, tentu ramai antara puan-puan, cik-cik, makcik-makcik, adik-adik (izinkan saya gunakan ganti nama 'kalian' lepas ni ye) yang telah selamat ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji atau umrah. Tahniah dan semoga Allah kurniakan ibadah haji atau umrah yang mabrur kepada kalian.

Namun apa yang menyedihkan, ada segolongan antara kalian yang bila ditanya mengenai adakah dia akan berubah selepas pulang, lalu dijawab bahawa dia tidak mahu hipokrit dan mahu kekal dengan keadaannya sekarang. Katanya belum sampai seru. Sedangkan Allah dan Rasul sudah lama menyeru kita untuk segera kembali ke jalan kebenaran.

Para muslimah yang saya hormati sekalian,

Sekiranya kalian adalah salah seorang daripada golongan tadi, yakinlah bahawa sesungguhnya kalian telah ditipu oleh musuh utama kalian; iaitu syaitan.

Kembalilah kepada jalan ketaatan semula. Mungkin ada 'sahabat' yang akan tinggalkan kalian. Namun yakinlah, Allah sama sekali tak akan biarkan hambaNya yang berusaha kembali kepadaNya dalam keadaan dukacita....

Wednesday, April 11, 2012

Hari Kebangkitan Yang Sering Kita Lupakan

Tuan-tuan yang dikasihi..

Tanpa atau dengan kita sedari, kita memang sering sahaja lupa dan lalai dalam mengingati hari dimana kita bakal dibangkitkan kelak. Kita terlalu mementingkan hal-hal dunia sehingga sering sahaja mengabaikan perintah Allah. Lebih malang lagi, ada antara kita yang sanggup tinggalkan solat, sanggup terima rasuah, sanggup dedahkan aurat, demi mencari keuntungan dunia yang pada hakikatnya tidak lebih daripada nilai sebelah sayap nyamuk.

Salahkah mencari rezeki? Salahkah menjadi kaya? Tidak salah, tuan-tuan. Silakan jadi kaya. Silakan jadi hartawan. Bahkan memang dituntut supaya adanya hartawan mukmin yang akan menginfakkan hartanya ke jalan Allah.

Cuma yang salahnya adalah apabila harta yang kita usahakan menyebabkan kita lalai, ingkar bahkan sombong untuk tunduk patuh kepada Allah.

Tuan-tuan, marilah kita sama-sama renungkan firman Allah :

"(lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan Yang demikian) rasalah azab Yang kekal Dengan sebab apa Yang kamu telah kerjakan". Surah as-Sajdah ayat 14.

Semoga kita semua sentiasa sedar, insaf dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mencari redha Allah.

Tuesday, April 10, 2012

Status FB : Anak-anak Kita dan Adiwira

Tuan-tuan yang dikasihi..

Pada hari ini, ramai dikalangan anak-anak kita yang terkesan dengan watak-watak adiwira ciptaan Barat dan Jepun. Dalam usia yang sepatutnya mereka diberikan input-input positif, secara diam-diam rupanya pemikiran mereka dijajah dengan 'kuasa' tahyul ini.

Mereka suka dan kagum dengan watak-watak gagah yang kononnya mampu mengalahkan semua musuh. Sedangkan di sana ada seorang wira dunia yang paling gagah, yang bukan sahaja boleh mengalahkan musuh, bahkan mengubah musuh yang jahat menjadi baik. Bahkan sangat baik. Dan wira itu adalah Baginda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.

Maka sayugialah kita bersungguh-sungguh menanam rasa kagum dan ingin mengikut jejak langkah Baginda ke dalam fikiran anak-anak kita.

Monday, April 9, 2012

4 Permasalahan Orang Muda

Tuan-tuan yang dikasihi,

Dr Aidh Al-Qarni (pengarang kitab La Tahzan) di dalam kitabnya bertajuk Al-Misk wa Al-Anbar fi Khutob Al-Minbar berkata bahawa sesungguhnya kemusykilan dan permasalahan yang berlaku dikalangan muda mudi pada hari ini boleh disimpulkan dalam EMPAT perkara :

1) Tidak ambil peduli perihal solat fardhu secara berjemaah,
2) Sering bersama rakan-rakan yang tidak soleh,
3) Banyak mensia-siakan waktu,
4) Tidak ambil kisah mengenai ILMU SYARAK dan tidak bersungguh-sungguh pula mempelajarinya.

Sekiranya kita tergolong dalam salah satu kategori ini, maka sayugialah kita segera memperbaiki diri kita...

Status FB : Buat Muslimah Berpurdah

Kepada para muslimah yang berpurdah, alhamdulillah dan tahniah kerana kalian kelihatan sangat bersungguh-sungguh memelihara diri kalian daripada pandangan ajnabi. (Yang tidak berpurdah juga sangat ramai yang sebenarnya bersungguh-sungguh memelihara diri).

NAMUN, jika kalian ambil gambar berpurdah yang cantik-cantik, dengan lirikan mata yang memikat, atau dengan gaya posing yang seakan-akan mahu orang lain tertanya-tanya akan keindahan rupa paras kalian, maka nasihat saya, buanglah gambar yang begitu ye.

Keindahan kalian bukan pada purdah semata-mata, namun pada sifat malu dan segan terhadap para ajnabi kalian. :)

Sunday, April 8, 2012

Semoga Tidak Terhalang Dari Nikmat Itu...

Tuan-tuan yang amat saya kasihi,

Melihat wajah para ulama yang amat mencintai Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sahaja sudah membuat hati jadi begitu tenang dan sebak, apatah lagi jika kita diberi nikmat melihat wajah Baginda sollallahu alaihi wasallam sendiri....

Ya Allah, ampunkanlah segala dosa kami. Janganlah dosa-dosa kami itu menyebabkan kami dimahrumkan daripada bersama Baginda kelak ya Allah... :_(