MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Tuesday, May 31, 2011

Ujian Allah, Kuatkan Jiwa Kita Menghadapinya


Assalamualaikum wrt..

Segala puji hanya layak buat Allah, selawat serta salam buat junjungan besar Baginda Muhammad sollallahu alaihi wasallam (s.a.w) serta ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Tuan-tuan yang amat saya kasihi,

Hidup kita di dunia ini penuh dengan ujian. Saya pasti, kita semua mungkin pernah diuji dengan ujian yang sangat berat, sehingga menyebabkan kita jatuh terduduk dan termenung. Mungkin ujian itu berbentuk kehilangan insan tersayang, kehilangan harta yang paling berharga, atau sebagainya.

Pada masa itu, jiwa kita mungkin boleh menjadi lemah dan longlai, sekiranya tiada benteng ampuh yang menjadi perisai daripada kekecewaan. Orang sekarang kata, 'jiwa kacau'. Ada manusia yang terlalu lemah jiwanya, akhirnya berasa sangat tertekan dan kesudahannya berlakulah pelbagai peristiwa yang sangat tidak kita ingini, seperti bunuh diri. Semoga Allah memelihara kita daripada menjadi lemah sebegini.

Tuan-tuan yang dikasihi,

Persoalannya, kenapakah jiwa manusia boleh menjadi selemah ini bila ditimpa ujian dan musibah? Apakah sebenarnya benteng ampuh yang mampu menghalang jiwa mereka daripada terjatuh ke lembah kelemahan.

Jawapannya ada dalam sabda kekasih kita, Baginda Muhammad s.a.w :

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له . رواه مسلم


"Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya. HR Muslim.

Ya, jiwa manusia, jiwa kita, akan menjadi lemah apabila tiada benteng iman yang memelihara kita daripadanya. Seorang yang betul iman dan yakinnya kepada Allah, maka dia akan sangat insaf dan akur dengan apa sahaja ujian dan cubaan yang Allah timpakan kepadanya. Padanya, semua itu adalah kehendak Allah keatasnya dan pasti ada seribu hikmah yang tersirat disebaliknya.

Saya mengenali sepasang suami isteri, yang pernah diuji oleh Allah dengan kehilangan harta benda. Baki yang ada ditangan hanya beberapa ringgit sahaja. Namun si isteri dengan penuh rasa tenang dan yakin, meminta suaminya agar sedikit baki yang ada pada mereka itu disedekahkan kepada sesiapa sahaja yang layak.

Kata si isteri "Allah sedang menguji kita bang. Yakinlah dengan janji Allah, di balik kesusahan pasti ada kesenangan." Suaminya menerima baik cadangan isterinya dan melakukan seperti apa yang dipinta. Akhirnya hari itu juga Allah balas sepuluh kali ganda daripada apa yang mereka sedekahkan. Allahu akbar!


Tuan-tuan yang dikasihi...

Jangan lemah bila kita diuji. Segala ujian yang Allah berikan, sebenarnya bukanlah ujian yang kita tak mampu menghadapinya. Allah Maha Mengetahui tahap kemampuan kita, dan Dia hanya memberikan ujian yang memang sebenarnya mampu untuk kita hadapi. Pokok pangkalnya adalah iman kita. Sejauh mana keyakinan kepada Allah tertunjang ampuh ke dalam hati kita, sejauh itulah tebalnya benteng pertahanan jiwa kita.

Yakinlah tuan-tuan, bahawa Allah amat amat kasihkan kita. Allah berikan kita ujian dan musibah di dunia ini adalah sebagai kaffarah (penebus) kepada dosa-dosa kita di dunia ini. Maka beruntunglah mereka yang sabar, dan kerugianlah kepada mereka yang bertambah lemah jiwanya apabila diuji....

Semoga Allah pelihara kita daripada jiwa yang lemah...




Sunday, May 22, 2011

Marilah Menjadi Hamba Allah


Tuan-tuan yang dikasihi. Naluri insani, memang suka untuk berada di kedudukan yg tinggi. Sukakan pujian, dipandang hebat, disanjung, popular, disebut2 namanya. Tapi, ALLAH sangat suka kepada hambaNya yang tekan segala kehendak nalurinya ini, lalu bersifat dengan sifat merendah diri, tawadhok, ikhlas..

Oleh itu, marilah sama-sama merasakan bahawa kita ini adalah HAMBA ALLAH, yang tak ada apa-apa, lemah, kerdil.. Apa sahaja kelebihan yang ada, semuanya datang dari ALLAH.. makin kita bersyukur, makin Allah tambah nikmat dan kelebihan tadi...


Monday, May 2, 2011

Jadual Kuliah Al-Faqir Untuk Bulan Mei 2011

Assalamualaikum. Berikut adalah jadual pengajian al-faqir sepanjang bulan Mei 2011. Sebarang perubahan jadual akan diberitahu kemudian insyaAllah.

Setiap Isnin - Kuliah Maghrib - Fiqh Syafie (Kitab Anwar Al-Masalik) , Surau At-Taqwa Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang


Setiap Jumaat - Kuliah Sebelum Solat Jumaat - Sirah Rasulillah s.a.w - Masjid Jamek Kampung Felda Sungai Buaya.

Setiap Jumaat - Kuliah Maghrib - Tafsir Al-Quran - (Kitab Sofwah At-Tafasir) - Surau At-Taqwa Bandar Baru Sungai Buaya.

Setiap Sabtu (minggu pertama dan ketiga) - Kuliah Maghrib - Umum - Surau At-Taqwa Bndar Baru Sungai Buaya.