MENGENAI SAYA

My photo
1988-1994 = SRK St Gabriel KL 1995 = SM Taman Maluri KL 1996-1999 = SM Pandan Jaya KL 2000-2004 = Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, KL (Sistem Pondok) 2005 = Madrasah Al-Attas Al-Arabiyyah Ulu Tiram, Johor 2006-2008 = Diploma Usuluddin, Kolej Pengajian Islam Johor MARSAH 2009- 2011 = Mansurah, Mesir Sekarang - Taman Daya, JB.

Saturday, September 25, 2010

Bahana Cinta Tidak Ikut Syariat - "Tetap Sayang Pembunuh Anak!"


Seorang 'ibu', Siti Nurhanim Aziz benar-benar mengejutkan seluruh rakyat Malaysia dengan pengakuannya yang masih mencintai kekasihnya Mohd Fazli Azri berumur 28 tahun walaupun kekasihnya ini adalah pembunuh kepada anaknya Syafiah Humaira, 3 tahun. Sukar untuk diklasifikasikan jenis ibu yang seperti ini.

Rasa cinta dan tidak pernah marah kepada pembunuh hatta dalam situasi yang seperti ini adalah sesuatu yang amat menyalahi fitrah manusiawi. Bukan sahaja manusia, bahkan haiwan yang tak berakal itu juga marah bila anaknya diganggu, apatah lagi dibunuh.


Kronologi Pembunuhan - sumber : myberita.com

‘Jangan pulaukan kami sekeluarga’ – (08-04-10)
KUALA KUBU BHARU: “Tolonglah jangan pulaukan kami sekeluarga,” rayu ibu Mohd Fazli Azri Jamil, yang menghadapi tuduhan membunuh adik Syafiah Humaira Sahari, mangsa yang didera sehingga mati, bulan lalu. Norhaziah Yusof, 52, dengan berlinangan air mata, meluahkan rasa kesal kerana mereka sekeluarga turut dipersalahkan dan dipulaukan penduduk kampung atas kejadian yang berlaku terhadap Syafiah, 3. “Tolonglah, anak saya (tertuduh) belum lagi disabitkan bersalah oleh mahkamah atas tuduhan membunuh Syafiah, jadi jangan jatuhkan hukuman kepadanya dan kami sekeluarga.

“Saya seorang ibu, saya yang mengandung, melahirkannya (tertuduh) dan saya lebih mengenali siapa sebenarnya anak saya. Dia baru dituduh di mahkamah, perbicaraan belum bermula dan kita sendiri masih belum tahu siapakah sebenarnya menyebabkan kematian Syafiah,” katanya. – Berita Harian

Pemandu teksi mengaku tidak bersalah tuduhan bunuh Humaira – (23-04-10)
SHAH ALAM: Pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini terhadap tuduhan membunuh anak teman wanitanya, Syafiah Humaira Sahari, 3, Februari lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Syafiah Humaira dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu selepas mengalami pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen. Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh, 27 Februari lalu.

Perbicaraan kes bunuh Syafiah Humaira bermula – (08-06-10)
SHAH ALAM: Perbicaraan kes pembunuhan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, bermula hari ini.

Ibu kanak-kanak malang itu, Siti Norhanim Aziz, 25, menjadi saksi kedua pendakwaan, memberi keterangan terhadap pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil, 28. Mohd Fazli sebelum ini mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh Syafiah Humaira di padang bola di sebuah kawasan perumahan kos rendah di Ulu Yam Lama, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 25 Februari lalu. Siti Norhanim memberitahu mahkamah beliau berkahwin dengan suaminya, Sahari Usul, seorang anggota polis yang kini ditahan di reman di Penjara Sungai Buloh, membabitkan satu kes bunuh.

Pelajar lihat tertuduh pijak perut kanak-kanak – (08-06-10)
SHAH ALAM: Saksi pendakwaan keenam kes pembunuhan kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau melihat tertuduh memijak perut seorang kanak-kanak

Pelajar tingkatan enam, Ahmad Fikrihalis Zakaria, memberi tahu mahkamah, beliau melihat tertuduh yang juga pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil, 28, menendang bahu kiri kanak-kanak itu sehingga mangsa terpelanting ke belakang. Katanya, ketika beliau sedang menghentikan motosikal yang dinaikinya, tertuduh yang dikenalinya sebagai Mat, berkata kepadanya: “Pernah nampak tak budak kena terajang?” Mohd Fazli dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh Syafiah Humaira di padang bola di sebuah kawasan perumahan kos rendah di Ulu Yam Lama, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 25 Februari lalu.

Pagi tadi, ibu kanak-kanak malang itu, Siti Norhanim Aziz, 25, yang juga saksi kedua pendakwaan, memberi keterangan.

‘Abang Mat pijak, tendang Umairah’ – (10-06-10)
SHAH ALAM: Tiga pelajar yang menjadi saksi kes bunuh kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Umairah Sahari, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mereka nampak tertuduh, Mohd Fazri Azri Jamil, 28, memijak, menendang dan menyeret serta menutup pintu teksinya sehingga terkena kanak-kanak itu. Ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor itu masing-masing berkata, mereka melihat kejadian itu berlaku di padang kawasan perumahan kos rendah Ulu Yam Lama, Batang Kali, jam 6.30 petang, 25 Februari lalu. Saksi ketujuh pendakwaan, Muhammad Faleeq Hakimi Zazali, 16, berkata pada hari kejadian, beliau singgah di padang berkenaan untuk menonton permainan bola sepak.

Katanya, ketika berada di situ, beliau terlihat seorang budak perempuan tercampak selepas tertuduh menendang bola yang dipegang kanak-kanak itu.

Selepas tercampak, katanya, tertuduh yang dikenalinya sebagai Abang Mat, menyuruh kanak-kanak itu bangun tetapi mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan tertuduh menyeretnya dan mencampaknya keluar dari padang itu.

“Kemudian Abang Mat tarik tangan budak itu suruh bangun. Budak itu jatuh semula. Abang Mat suruh budak itu duduk dan budak itu duduk sebelum Abang Mat sepak (tendang) bahunya.
“Saya nampak Abang Mat memijak perut mangsa selepas menyepak bahunya,” katanya pada hari kedua perbicaraan kes terhadap Mohd Fazli Azri yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh Syafiah Humaira di padang bola kawasan perumahan kos rendah di Ulu Yam Lama, Batang Kali, Hulu Selangor, 25 Februari lalu.

Nenek nampak kesan cucuh api rokok di lutut cucu – (11-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, kesan calar dan kesan seperti dicucuh dengan api rokok pada badan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, mula ditemui neneknya sejak awal tahun ini, iaitu setiap kali selepas cucunya pulang dari rumah tertuduh kes itu.

Darah profil DNA mangsa tak sepadan – (12-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu kesan darah pada sarung bantal, baju T berwarna putih, baju kanak-kanak dan kasut bola sebelah kiri yang didakwa digunakan untuk memijak kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari tidak sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) kanak-kanak itu.

Mangsa sudah mati ketika diperiksa – (12-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari sudah meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Neminder Singh oleh seorang lelaki yang mendakwa kanak-kanak itu terjatuh daripada motosikal. Saksi ke-17 pendakwaan, Dr Neminder Singh, 35, berkata kanak-kanak itu diterimanya dalam keadaan tidak bergerak, tiada sebarang tindak balas dan tidak sedarkan diri. “Saya memeriksa nadinya tetapi tiada. Anak mata pesakit tidak bertindak balas. Jantung pesakit juga tidak berdegup,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Zureen Elina Mohd Dom.

‘Syafiah menyorok bila nampak Mat’ – (17-06-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu sikap kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari mula berubah menjadi pendiam berbanding sikap biasanya yang periang, selepas kanak-kanak itu tinggal di rumah tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil, selama dua minggu, sebelum cuti Tahun Baru Cina tahun ini. Datuk mangsa, saksi ke-29, Aziz Sahar, 51, ketika memberi keterangan terhadap pemandu teksi, Mohd Fazli Azri, 28, berkata Syafiah Humaira kelihatan takut dan kadang kala ingin menyorok di belakang beliau setiap kali ternampak tertuduh yang dipanggil ‘Mat’ itu. “Saya tidak berapa kenal Mat secara peribadi tetapi dia ada datang ke rumah untuk mengambil dan menghantar anak saya pulang kerja dengan teksi. Mat juga ada datang tiga atau empat kali mengambil anak saya dan Syafiah (Humaira) pergi ke rumahnya.

Nasib tertuduh kes bunuh Syafiah Humaira ditentukan 22 September – (07-09-10)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 22 September ini bagi memutuskan sama ada Mohd Fazli Azri Jamil, pemandu teksi yang didakwa membunuh anak teman wanitanya pada Februari lalu, akan dibebaskan atau dihukum mati.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan hari ini. Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 Jun lepas, mahkamah telah mendengar keterangan daripada 33 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan. Mohd Fazli, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira Sahari, tiga tahun, di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali pada 6.30 petang 25 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli dihukum gantung selepas didapati bersalah bunuh Syafiah Humaira – (22-09-10)
SHAH ALAM: Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun pada Februari lalu.

Semoga kes ini menjadi pengajaran kepada mereka diluar sana..

KEMASIKINI ! 23 September

Astagfirullahalazim…! ada juga manusia berhati begini. Mungkin ini yang dinamakan cinta sejati, tapi berpada-padalah. Kekasih kepada pemandu teksi tersebut menyebut -

“Saya tidak pernah marahkan dia (Mohd Fazli), sebab dia terlampau sayangkan anak saya, maka saya amat menyayanginya”

Malah, sebelum sempat Mohd Fazli digari semula, beliau dilihat mencium pipi Siti Nurhanim..


Bahana Cinta Yang Tidak Didasari Syariat

Keluar bersama tanpa ikatan pernikahan yang sah, duduk bersama dalam satu rumah, dan seumpamanya adalah perangkap yang dipasang oleh iblis laknatullah untuk menjerat anak Adam supaya terjerumus ke lembah dosa dan noda.

Apabila kegelapan dosa telah memenuhi segenap ruang hati, maka hilanglah cahaya dan matilah hati tersebut. Hati adalah ibarat raja kepada seluruh anggota badan. Dialah yang memberi arahan kepada tangan, kaki, bibir, dan anggota lain. Kalau baik sang raja, maka baiklah yang keluar daripada anggota badannya. Kalau buruk, buruklah yang keluar.

Membelasah anak kecil yang tidak tahu apa-apa, diterajang begitu sekali adalah tanda kepada matinya hati pelaku tersebut dan berjayanya tipudaya syaitan.

Membiarkan anak sendiri ditendang depan mata, dipijak atas perut tanpa rasa marah kepada pelaku perbuatan zalim tersebut juga adalah antara tanda hati yang mati. Hati yang sudah tidak mampu lagi untuk bangkit walau seinci mengatakan bahawa perbuatan ini adalah salah.

Semua gara-gara cinta yang bertuhankan nafsu. Diri menjadi ibarat kuda dan pemacunya adalah nafsu. Pandangan nafsu selalu sahaja melulu. Nafsu berbisik, 'kekasihmu itu lah cinta sejatimu, pelindungmu, heromu' sedangkan sebenarnya dialah racunmu, perosak imanmu, bahkan pembunuh anakmu!!

Jangan Bertasbihkan Cinta

Saya teringat sebuah artikel yang ditulis oleh Dr Pahrol Mohd Juoi mengenai cinta. Ia adalah sebuah artikel yang sangat menarik dan membuka hati. Antara lain beliau mengingatkan kita bahawa cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan dan ‘lesen’ seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.

Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.

Apabila seseorang mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari ini terutamanya di kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.

Semoga Allah bagi hidayah kepada kita semua, dan membuka pintu hidayah-Nya kepada Siti Nurhanim khususnya supaya sempat bertaubat dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Amin.

Tuesday, September 21, 2010

Nahu - Isim Tafdhil: Takrif dan Syarat Membuatnya

Assalamualaikum wrt. Ini adalah respon kepada soalan 'cahayamalam' mengenai isim tafdhil dan sifat musyabahah. Entri kali ni saya jawab mengenai Isim tafdhil dulu. InsyaAllah akan datang mengenai Sifat Musyabahah.


Isim Tafdhil

Takrif : Ia adalah isim yang musytaq (diterbitkan) daripada fe'el. Ia datang atas wazan أَفْعَلُ . Ia menunjukkan kepada dua benda yang sama dari segi sifat tertentu, namun salah satu antara dua benda itu lebih sifatnya daripada yang satu lagi.

Misalnya :

أَكْرَمُ – Lebih mulia

أَجْمَلُ – Lebih cantik

Allah berfirman :

إذ قالوا ليوسف وأخوه أحب إلى أبينا منا

"Ketika mereka (adik beradik Nabi Yusuf) berkata, benar-benar Yusuf dan adiknya itu lebih dikasihi oleh ayah kita (Nabi Ya'qub) daripada kita." Surah Yusuf ayat 8.

Syarat membuat Isim Tafdhil

1. Fe'el asalnya mestilah fe'el thulathi seperti كرم , فضل bukan ruba'i, khumasi atau sudasi.

2. Fe'el asalnya mestilah fe'el yang tam (sempurna) dan bukan naqis (kurang). Oleh itu af'al naqisah iaitu كان dan akhawatnya tak boleh dijadikan isim tafdhil.

3. Fe'el itu mestilah musbit (tiada huruf nafi). Sekiranya didahului dengan huruf nafi, maka tidak boleh dijadikan isim tafdhil. Misalnya ما سمع atau لا يسمع .

4. Fe'el itu mestilah fe'el ma'lum @ ma'ruf dan bukan majhul seperti سُمِعَatau يُسْمَعُ .

5. Fe'el itu boleh ditasrif secara sempurna. Maknanya bukan fe'el yang jamid. Misal fe'el jamid adalah عسى , نِعْمَ , بِئْسَ .

6. Fe'el itu boleh menerima makna tafawut. Tafawut bermaksud boleh dibanding. Misalnya kalimah أحسن – lebih baik. Sifat baik kan boleh dibandingkan. Yang tak boleh dibanding adalah seperti أمْوَتُ – lebih mati. Mana ada mati boleh dibanding-banding, ada yang lebih mati ada yang kurang mati.

Kalau dah cukup syarat, maka boleh lah terus dibentuk isim tafdhil daripada fe'el tersebut atas wazan أَفْعَلُ .

Apa yang dibuat kalau tak cukup syarat?

Kalau tak menepati syarat yang dinyatakan, maka isim tafdhil tak boleh dibuat secara terus atau mubasyarah. Kalau nak juga memberi makna tafdhil, caranya adalah begini,

i- Sebutkan masdar bagi fe'el tadi

ii- Masukkan kalimah isim tafdhil yang sesuai dengannya

Misalnya kalimah اسْتَغْفَرَ . Ia adalah fe'el sudasi (6 huruf). Sedangkan syarat pertama fe'el itu mestilah thulathi. Jadi macamana kita nak beri makna tafdhil pada kalimah ni. Contohnya kita nak kata, Muhammad lebih banyak beristighfar daripada Zaid. Jawapannya begini,

-Kita datangkan masdar bagi استغفر , iaitu استِغْفَار atas wazan استفعال .

- Kemudian datangkan pula kalimah tafdhil yang bersesuaian. Misalnya أكثر .

Maka ia akan jadi محمد أكثرُ استغفارا من زيدٍ .

Inilah serba ringkas penerangan mengenai isim tafdhil sekadar yang mampu saya berikan. Wallahu a'lam.

Monday, September 20, 2010

Tarbiyyah Iman dan Islam Kepada Anak-Anak


Yang dimaksudkan dengan tarbiyah iman kepada anak-anak adalah :

-mengukuhkan pemikiran anak-anak kita dengan usul-usul iman sejak awal tempoh mereka mula berfikir,

-membiasakan mereka dengan rukun-rukun Islam sejak mereka mula memahami,

-Mengajarkan mereka ilmu-ilmu syariah sebaik sahaja mereka mencapai umur mumayyiz.


Apakah itu usul-usul iman?

Usul iman adalah setiap apa yang datangnya daripada perkhabaran yang benar mengenai hakikat-hakikat iman, dan perkara-perkara yang ghaibiyyat atau ghaib. Misalnya beriman dengan Allah swt, beriman dengan para malaikat, beriman dengan kitab-kitab samawi baik al-Quran mahupun kitab-kitab sebelumnya, beriman dengan para Rasul alaihimussalam keseluruhannya, beriman dengan adanya soalan malaikat di kubur nanti, adanya azab kubur, kebangkitan di padang Mahsyar, perhitungan amalan, adanya syurga, neraka dan perkara-perkara ghaib lain yang disebutkan atau dikhabarkan dalam al-Quran dan hadis.

Apakah rukun Islam?

Rukun Islam adalah semua ibadah baik berbentuk badaniyyah (menggunakan tubuh badan) atau maliyyah (harta). Iaitu solat, puasa, zakat dan menunaikan haji bagi yang mampu. Adapun mengucap dua kalimah syahadah, ia adalah satu kewajiban yang mesti diucap oleh seorang Muslim. Bahkan tidak sah semua ibadah tadi sekiranya dilakukan tanpa didahului oleh ucapan syahadah oleh pelakunya.

Apakah mabadi' (dasar) syariah?

Ia adalah setiap yang berkait dengan kurikulum rabbani dan pendidikan Islam baik dari sudut aqidah, ibadah, akhlak, syariat, undang-undang dan hukum-hakam.

Justeru, adalah menjadi kewajipan kepada para ibubapa atau penjaga untuk membesarkan anaknya dengan memberi kefahaman mengenai pendidikan iman, dan pendidikan Islam secara asas, sehinggalah anak ini menjadi seorang yang berpegang teguh kepada Islam, baik dari segi akidah mahupun ibadah. Sehingga cara hidupnya sentiasa dilandaskan dengan ajaran Islam.

Sehinggalah apabila Islam di jiwa anak-anak ini telah kukuh, mereka tidak akan nampak lagi cara hidup yang lebih baik melainkan hanya cara Islam. Mereka hanya akan nampak Islam sahaja sebagai agama yang benar. Mereka tidak nampak lagi ada panduan selain Al-Quran. Mereka juga tidak lagi nampak ada suri tauladan dan kepimpinan yang lebih baik daripada Baginda Rasulullah s.a.w.

InsyaAllah, dalam entri akan datang akan dibawakan beberapa hadis yang menunjukkan betapa Nabi s.a.w amat menitikberatkan soal pengajaran usul-usul iman, rukun Islam dan hukum syariat kepada anak-anak.

Rujukan : Tarbiyatul Awlad oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan

Thursday, September 16, 2010

Kartun Islamik Santai : Syarat-syarat Taubat

Sumber : Kartun2 Islamik By Matahati

"Syarat bertaubat seorang hamba kepada Allah :

1) Berhenti melakukan maksiat,



2) Benar-benar menyesal



3) Berazam bersungguh-sungguh untuk tidak kembali melakukannya.

Sekiranya tiada salah satu antara tiga syarat tadi, maka tidak sah taubatnya.

Namun sekiranya perbuatan dosanya itu terhadap sesama manusia, maka ditambah satu syarat lagi, iaitu hendaklah dia meminta maaf kepada orang yang dianiayainya.





Semoga Allah jadikan kita hamba-Nya yang sering bertaubat dan menyesal di atas segala dosa yang kita lakukan...

Wednesday, September 15, 2010

UMAR MULA MENUTURKAN 'ALLAH,ALLAH'



Sekarang jam 1 pagi di bumi Mesir ini. Suasana sekitar kediaman saya di Syari' Zahari, berdekatan Masakin Mina di Mansurah ini semakin sunyi. Sayup-sayup kedengaran juga jiran selang tiga buah rumah barangkali yang masih memainkan radionya. Suhu tengah malam yang sedikit dingin ini seharusnya telah berjaya memujuk mata saya untuk melabuhkan kelopaknya.

Namun ada seperkara yang berlaku sebentar tadi, yang menyebabkan saya menjadi begitu gembira, ceria, dan amat bersyukur.

Saya bagai tak percaya apa yang saya dengar sendiri daripada bibir anak saya, Umar Abdullah yang baru berusia 68 hari. Bukan saya sahaja, bahkan isteri saya turut mendengar perkara yang sama. Ya, anak kami telah mula menyebut kalimah agung, kalimah jalalah, الله sebentar tadi berulang kali.

Pertama kali mendengar, saya menganggap ia sekadar ngomelan biasa seorang bayi seusia Umar. Ngomelan kosong yang bunyinya persis kalimah agung itu. Pun begitu, jauh di lubuk hati saya amat mengharapkan agar ia adalah benar-benar kalimah الله kerana saya yakin dengan sabdaan Baginda s.a.w,

افتحوا على صبيانكم أول كلمة بلا اله الا الله
"Bukalah kalimah mula-mula yang dibicarakan bayi-bayi kamu itu dengan لا اله الا الله " HR Al-Hakim daripada Ibn Abbas r.anhuma

Ya, pasti boleh, insyaAllah. Setiap bayi pasti boleh diajar untuk memulakan bicaranya dengan kalimah yang sangat suci ini. Ia adalah sabdaan Baginda, dan petah bicaranya bukan diluncur bersandar nafsu. Memang sejak hari pertama Umar hadir di alam dunia ini, kami bersilih ganti mendengarkan kalimah ini ditelinganya dengan harapan supaya ia menjadi kalimah pertama yang dilafazkan olehnya.


YA, IA ADALAH KALIMAH ALLAH

Setelah mendengar untuk kali yang pertama, saya dan isteri saling berpandangan. Wajah masing-masing tampak kehairanan. Mungkin hairan saya kelihatan lebih jelas, kalau kerut di dahi saya ini menjadi kayu ukurnya.

Kami terus melayan Umar yang telah mula inginkan perhatian. Umar sudah mula pandai tersengih bila diusik. Terkadang hadir juga tawa kecilnya. Yang paling membuatkannya 'gelihati' adalah ketika saya mencubit-cubit manja pipinya dan mengusik-ngusik hidungnya. 'Geram' rasanya melihat matanya yang sepet ketika tersengih.

Umar bersuara lagi. Kali ini kami benar-benar memasang telinga, mengamati betul-betul apa yang keluar daripada bibir comel Umar. ALLAH, ALLAH, ALLAH.... Kami mendengar kalimah ini berulang kali. Walaupun ia dilafazkan secara pelat sesuai dengan umurnya, namun kami amat yakin, itu adalah kalimah ALLAH.


AIR MATA KESYUKURAN

Tanpa sedar, mata saya mula berkaca. Saya tak pasti isteri saya perasan atau tidak, namun saya tidak fikir rasa gembira dan syukur saya ini dapat dibendung lagi.

Umar juga adalah hamba Allah. Dan Allah mahukan setiap hamba-Nya mengasihi-Nya melebihi apa pun di dunia ini. Saya mahu Umar kenal siapa kekasih nombor satunya. Saya mahu nama kekasihnya itu sentiasa membasahi bibirnya. Seawal usia ini? Ya, seawal usia ini.

Sehingga coretan ini ditulis, Umar telah pun tidur. Sesekali tersengih sendirian. Entah mimpi apalah agaknya yang datang dalam lenanya ya....

Ayah, 15 Sept 2010
1.56 pagi

Monday, September 13, 2010

BERFIKIR SEPERTI ULAMA

Oleh Al-Fadhil Ust Umar Muhammad Noor Al-Indonisi (pensyarah saya di MARSAH , juga salah seorang panel penulis untuk Majalah Solusi)

Saat ini saya tengah menikmati bacaan sebuah buku yang sangat menarik. Buku ini bertajuk five Minds for the Future, tulisan Howard Gardner. Beliau seorang penulis terkenal yang banyak menghasilkan buku-buku yang membahas tentang mekanisme pemikiran manusia. Dalam buku ini, beliau mengajukan lima mekanisme pemikiran yang wajib dikuasai oleh setiap orang yang ingin tetap bertahan di dunia yang terus berkembang dan membawa pelbagai cabaran baru. Lima pemikiran itu adalah pemikiran yang disiplin [discipline mind], pandai menghimpun [synthesizing mind], kreatif [creative mind], penuh hormat [respectful mind] dan etis [ethical mind].



Saya bukan hendak membahas tiap-tiap satu daripada lima cara pemikiran tersebut. Saya sadar itu berada di luar disiplin kajian saya. Akan tetapi, artikel saya kali ini akan mengulas sebuah ucapan Gardner yang saya temukan sangat mengena dalam hati dan kesadaran saya. Beliau menulis seperti ini: “My formal discipline is psychology, and it took me a decade to think like psychologist.”



Saya setuju dengan kata-kata ini. Memang sering kali terdapat jurang antara disiplin formal seseorang dengan cara pemikiran yang seharusnya ia miliki dan gunakan. Dengan kata-kata lebih sederhana, anda tidak otomotik menjadi seorang pakar psikologi hanya karena anda lulus dari fakulti psikologi. Akan tetapi diperlukan masa yang cukup lama untuk melatih diri sehingga berpikir seperti seorang pakar psikologi. Fenomena ini terjadi pada semua disiplin ilmu, samada ilmu sekular ataupun ilmu agama.



Fiqh



Jika kita terapkan kata-kata ini dalam ilmu-ilmu keislaman, saya berani berkata bahawa seseorang tidak otomatik menjadi seorang faqih, atau berfikir seperti faqih, hanya dengan belajar di jurusan di jurusan Syariah, di Universiti manapun.



Kemahiran fiqh [al-malakah al-fiqhiah] hanya diraih setelah lama bersabar melatih diri dalam menerapkan kaidah-kaidah usul, mengkaji semua hukum furu’ yang terdapat di dalam kitab-kitab fiqh, menyamakan dua hukum furu’ yang berbeza [al-asybah wan naza’ir] dan membezakan yang sama [al-furuq], mengembalikan furu’ kepada ushul, memahami berbagai hujah dan dalil, mengetahui masalah-masalah yang disepakati dan diperselisihkan [mawadi’ al-ijma’ wal ikhtilaf], mengkias dan mentakhrij masalah baru dengan masalah lama, memahami maqasid syariah, selain bermujahadah dengan sifat warak dan zuhud, dan selalu meminta petunjuk daripada Allah Swt.



Melatih diri dengan “fiqh praktikal” seperti ini akan membuat otaknya terbiasa berfikir dalam kerangka fiqh, lalu sedikit demi sedikit terbentuk jiwa seorang faqih di dalam diri. Pada saat itu, fatwa dan ucapannya tentang suatu hukum tidak akan melahirkan kontroversi. Berkata Imam Al-Syafii, sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi dalam kitab Al-Faqih wa Al-Mutafaqqih [1/59]:



لَا يَحِلُّ لِأَحَدٍ أَنْ يُفْتِيَ فِي دِينِ اللَّهِ إلَّا رَجُلًا عَارِفًا بِكِتَابِ اللَّهِ بِنَاسِخِهِ وَمَنْسُوخِهِ ، وَمُحْكَمِهِ وَمُتَشَابِهِهِ ، وَتَأْوِيلِهِ وَتَنْزِيلِهِ ، وَمَكِّيِّهِ وَمَدَنِيِّهِ ، وَمَا أُرِيدَ بِهِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ ذَلِكَ بَصِيرًا بِحَدِيثِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَبِالنَّاسِخِ وَالْمَنْسُوخِ ، وَيَعْرِفُ مِنْ الْحَدِيثِ مِثْلَ مَا عَرَفَ مِنْ الْقُرْآنِ ، وَيَكُونُ بَصِيرًا بِاللُّغَةِ ، بَصِيرًا بِالشِّعْرِ وَمَا يَحْتَاجُ إلَيْهِ لِلسُّنَّةِ وَالْقُرْآنِ ، وَيَسْتَعْمِلُ هَذَا مَعَ الْإِنْصَافِ ، وَيَكُونُ بَعْدَ هَذَا مُشْرِفًا عَلَى اخْتِلَافِ أَهْلِ الْأَمْصَارِ ، وَتَكُونُ لَهُ قَرِيحَةٌ بَعْدَ هَذَا ، فَإِذَا كَانَ هَكَذَا فَلَهُ أَنْ يَتَكَلَّمَ وَيُفْتِيَ فِي الْحَلَالِ وَالْحَرَامِ ، وَإِذَا لَمْ يَكُنْ هَكَذَا فَلَيْسَ لَهُ أَنْ يُفْتِيَ .



“Tidak halal bagi seseorang berfatwa di dalam agama Allah kecuali seseorang yang mengusai Kitab Allah; nasikh dan mansukhnya, muhkam dan mutasyabihnya, takwilnya dan tanzilnya, makki dan madaninya, dan apa yang dimaksudkan dengannya. Setelah itu, ia juga wajib menguasai hadis Rasulullah Saw, [hadis] nasikh dan mansukhnya, dan ia menguasai hadis sepertimana ia menguasai Al-Qurán. Ia juga mesti menguasai ilmu bahasa, menguasai syair-syair Arab yang diperlukan dalam [memahami Al-qurán dan sunnah], dan menggunakan ilmu ini dengan penuh keinsafan. Setelah itu, ia juga mesti mengetahui ikhtilaf para ulama dari berbagai negeri, ia juga harus memiliki tajam pemikiran. Apabila orang itu seperti ini, maka dipersilakan untuk berbicara dan berfatwa di dalam perkara halal dan haram. Jika tidak seperti itu, maka tidak boleh baginya berfatwa.”



Tanpa ini semua, anda mungkin boleh mendapat markah tinggi dalam mata pelajaran fiqh, bahkan meraih Doktor Falsafah dari Universiti Timur dan Barat, namun saya jamin anda tidak akan pernah menjadi seorang faqih. Dan gelaran mujtahid tentu lebih jauh lagi.



Hadis



Dalam bidang hadis pun seperti itu. Anda mungkin telah meraih gelar master atau doktor dalam bidang hadis, namun itu belum membuat anda menjadi seorang muhaddis apalagi hafiz. Untuk mencapai darjat ini, anda harus menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menghafal nama-nama perawi, menimbang hafalan setiap daripada mereka, mengumpulkan sanad, mentakhrij hadis, menyingkap dan memahami ‘illat-‘illat yang sangat halus, mengkaji kometar ahli hadis dalam menilai status hadis, memeriksa kontradiksi matan hadis dengan nas-nas syarak yang lain [ikhtilaf dan musykil hadits], dan berbagai “ilmu hadis praktikal” lainnya.



Semua ini memerlukan ketelitian dan latihan yang panjang. Tanpa ini semua, anda mungkin boleh menguasai mustolah hadis [yakni menghafal istilah-istilah dan takrif-takrif] tapi bukan ilmu hadis. Anda mungkin menjadi sarjana dalam bidang hadis, namun bukan ahli hadis. Imam Husyaim bin Basyir berkata:



من لم يحفظ الحديث فليس هو من أصحاب الحديث



“Orang yang tidak menghafal hadis, maka bukanlah ia termasuk daripada ahli hadis.” [Al-Kifayah fi ‘Ilm Al-Riwayah hal. 228].



Berkenaan dengan ini, Al-Hafiz al-Suyuthi menukil ucapan Tajuddin Al-Subki dalam pembukaan kitabnya “Tadrib Al-Rawi” [hal. 9] sebagai berikut:



من النَّاس فرقة ادَّعت الحديث, فكان قصارى أمرها النَّظر في «مشارق الأنوار» للصَّاغانى, فإن تَرَفَّعَت ارتقت إلى «مصابيح» البغوي, وظنَّت أنَّها بهذا القدر تصل إلى درجة المُحدِّثين, وما ذلك إلاَّ بجهلها بالحديث, فلو حفظ من ذكرناه هذين الكتابين عن ظهر قلب, وضمَّ إليهما من المُتون مثليهما لم يكن مُحدِّثًا, ولا يصير بذلك مُحدِّثًا حتَّى يَلج الجَمَلُ في سَمِّ الخياط, فإن رامت بُلوغ الغاية في الحديث على زعمها, اشتغلت «بجامع الأصول» لابن الأثير, فإن ضمت إليه «علوم الحديث» لابن الصَّلاح, أو مُختصره المُسمَّى «بالتقريب والتيسير» للنووى, ونحو ذلك, وحينئذ يُنادى من انتهى إلى هذا المقام: بمحدِّث المُحدِّثين, وبُخاري العصر, وما ناسب هذه الألفاظ الكاذبة, فإنَّ من ذكرناهُ لا يُعَدُّ مُحدثًا بهذا القدر, وإنَّما المُحدِّث من عرف الأسانيد, والعلل, وأسماء الرِّجال, والعالي والنازل, وحفظ مع ذلك جُملة مُستكثرة من المُتون, وسع الكتب السِّتة, و«مسند» أحمد بن حنبل, و«سنن» البَيْهقى, و«معجم» الطَّبراني, وضمَّ إلى هذا القدر ألف جُزء من الأجزاء الحديثية, هذا أقل درجاته, فإذا سمع ما ذكزناهُ, وكتب الطِّباق, ودار على الشِّيوخ, وتكلَّم في العلل, والوفيات, والمَسَانيد, كان في أوَّل درجات المُحدِّثين, ثمَّ يزيد الله من يشاء ما شاء.



“Sekelompok manusia mendakwa dirinya sebagai ahli hadis, padahal maksimal yang mereka lakukan hanyalah memandang kitab Masyariq Al-Anwar karangan Al-Saghani, paling tinggipun hanya sampai kepada kitab Masabih karya Al-Baghawi. Ia mengira dengan seperti ini telah mencapai darjat muhaddits.



Ini tidaklah hanyalah karena kejahilan mereka tentang hadis. Andai mereka menghafal kitab-kitab yang saya sebutkan tadi, ditambah dua kali lipat daripada itu, ia tetap belum menjadi seorang muhaddis hingga unta masuk ke lubang jarum! Jika ia ingin mencapai darjat tertinggi, ia menyibukkan diri dengan kitab Jami Al-Ushul karya Ibn Al-Atsir. Jika ia membaca bersamanya kitab Ulumul Hadits karya Ibn Al-Solah, atau ringkasannya yang bertajuk Al-Taqrib wa Al-Taysir karangan Al-Nawawi, pada saat itu ia segera digelari muhadits al-muhadditsin, atau “Bukhari zaman ini.”



Gelaran-gelaran dusta ini sangat tidak patut sama sekali. Sesungguhnya seseorang tidak dianggap sebagai muhaddits hanya dengan kadar seperti itu. Muhaddits ialah orang yang menguasai sanad, ‘ilal, nama-nama perawi, juga al-‘ali wan nazil [riwayat yang tinggi dan rendah], lalu menghafal jumlah yang banyak daripada matan-matan hadis. Ia mendengar dari gurunya enam kitab hadis [al-kutub al-sittah], Musnad Ahmad, Sunan Al-Baihaqi, Mu’jam Al-Thabarani, ditambah lagi seribu risalah daripada risalah-risalah hadis [al-ajza al-haditsiah]. Ini tingkatan terendah dalam darjat ahli hadis. Apabila bersama semua ini, ia mendengar juga kitab-kitab thibaq, lalu mendatangi berbagai ulama, dan berbicara tentang ‘ilal, wafat perawi dan berbagai sanad, maka ia telah mencapai darjat muhaddits. Lalu Allah akan menambahkan apa yang dikehendaki bagi orang yang dikehendaki-Nya.”



Dari praktek ke teori



Saya bukanlah ahli hadis, dan saya berlindung kepada Allah daripada mendakwa diri saya sebagai pakar hadis. (akhi- sifat tawadhok seperti ini wajar ada pada sesiapa sahaja yang berkecimpung dalam bidang hadis) Namun begitu, saya berminat dengan ilmu ini dan ingin berkongsi sedikit pengalaman kepada para pembaca sekalian. Mudah-mudahan memberi manfaat bagi sesiapa yang hendak mempelajari ilmu hadis dengan lebih efektif.



Apabila pertama kali menjejakkan kaki di Damsyik Syiria pada akhir tahun 2002 yang lalu, saya telah mempelajari “mustolah hadis” selama kurang lebih sepuluh tahun di Indonesia. Enam tahun di pesantren, dan empat tahun di universiti. Sebahagian besar istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu ini beserta takrifnya telah saya hafal. Puluhan buku mustolahpun pernah saya baca. Namun di negeri baru ini, saya seolah belum tahu sedikitpun tentang ilmu hadis. Ilmu hadis yang diajarkan Syeikh Riyad Al-Khiraqi [semoga Allah memanjangkan usia beliau] benar-benar berbeza dengan ilmu hadis yang sebelumnya saya pelajari di Indonesia. Saya menjadi sadar bahawa selama ini saya hanya “menghafal istilah” hadis, bukan mempelajari “ilmu hadis”, apalagi menyelami dan menggunakan “pemikiran” ahli hadis.



Pada hari pertama pertemuan saya dengan Syeikh Riyad, saya mengungkapkan keinginan saya untuk belajar ilmu hadis daripadanya. Syeikh Riyad tidak segera menentukan satu buku mustolah yang akan kita baca bersama, akan tetapi beliau segera memerintahkan saya untuk menghafal nama-nama perawi yang terdapat di dalam Sahih Al-Bukhari dengan merujuk kepada kitab “Taqrib Al-Tahzib”. Setiap perawi harus saya hafal namanya, kuniahnya, gelarannya, status hafalannya, dan thabaqat-nya. Saya juga dilatih untuk membezakan dua perawi yang memiliki nama yang sama, agar tidak keliru antara keduanya. Saya diwajibkan menghafal minimal 500 sanad [setiap sanad terdiri dari paling kurang tiga nama perawi, paling banyak tujuh nama] sebelum memulai kajian kitab mustolah hadis yang paling asas, iaitu Matan Nukhbatul Fikar karya Ibn Hajar !



Dengan kata lain, Syeikh Riyad tidak ingin memulai pengajaran ilmu hadis dengan teori, namun dengan praktek. Sebab latihan praktikal itu yang akan membentuk kemahiran dalam jiwa seorang pelajar.



Pada hari itu juga, Syeikh Riyad mengucapkan kata-kata yang sangat berkesan ke dalam jiwa saya. Beliau berkata, “Ilmu hadis seperti ilmu Nahwu. Andai engkau menghafal seluruh isi kitab “Alfiah Ibn Malik” sekalipun, namun jika tidak pernah mempraktikkan bahasa Arab dan I’rab, maka engkau tidak akan tahu apa-apa tentang Nahwu. Begitu juga ilmu hadis, andai engkau menghafal kitab “Muqaddimah Ibn Solah” sekalipun, namun jika tidak pernah menghafal perawi dan mengkaji sanad, maka engkau tidak tahu apa-apa tentang ilmu hadis!



Metod pengajaran ini memang sangat berat, terbukti banyak murid beliau yang gugur di tengah jalan. Namun bagi saya, metod ini terbukti sangat efektif dalam membantu memahami cara pikir ahli hadis dengan lebih mendalam dan tepat. Siapa yang cukup kuat untuk melaksanakannya akan dapat menilai karya tulis dan takhrij tokoh kontemporari yang menulis dalam bidang hadis, siapakah yang lebih dekat dengan dengan logika ahli hadis dan siapakah yang jauh daripadanya? Wallahu a’lam.

Sumber : Note Ust Umar Muhammaad Noor di Facebook

Thursday, September 2, 2010

Nahu : Tanwin dan Pembahagiannya




Tanwin adalah salah satu alamat Isim. Apakah dia tanwin? Apakah pula bahagiannya?

Tanwin pada asalnya adalah nun mati tambahan yang datang di akhir satu-satu isim dalam bentuk lafaz sahaja. Ianya tidak ditulis.

Tanwin ada 4 bahagian :

Tanwin Tamkin– Ia adalah tanwin yang datang dihujung isim-isim yang mu'rab. Misalnya رجلٌ, رجلاً, رجلٍ

Tanwin Tankir – Ia masuk pada isim-isim yang mabni seperti kalimah سبويه . Kalimah ini menunjukkan seseorang yang bernama Sibawaih. Seperti yang kita maklum, terdapat seorang ulama nahu yang terkenal bernama Sibawaih. Namun bila dimasukkan tanwin, misalnya سبويهٍ maka pada ketika ini maknanya akan menjadi, 'siapa-siapa sahaja yang bernama Sibawaih'.

Tanwin Muqabalah – Muqabalah maknanya perbandingan. Ia digunakan untuk membandingkan tanwin pada jamak muannas seperti مسلماتٌ dengan nun pada jamak muzakkar salim seperti مسلمون .

Tanwin 'Iwadh – Iwadh maknanya ganti. Yang digantikan itu sama ada asalnya adalah berbentuk jumlah (ayat), seperti
و أنتم حينئذٍ تنظرون . Yang dimaksudkan dengan حينئذ itu adalah
إذ بلغتْ الوحُ الحلقومَ . Kesemua perkataan dalam jumlah itu digantikan dengan tanwin.

Ia juga boleh jadi ganti kepada isim yang mufrad. Misalnya
كلٌّ قائمٌ بعمله . Semua insan akan bangkit di padang mahsyar bersama amalannya. Mana kalimah insan pada ayat tadi? Tidak ada pasal ia telah diganti dengan tanwin pada perkataan kullun.











Nahu : Isim dan Alamatnya



Apakah Isim dan apakah alamat atau tanda-tanda mengenalinya?

Isim adalah kalimah yang dirinya sendiri menunjukkan sesuatu perkara atau benda. Baik perkara itu bersifat mahsus (boleh dirasai oleh pancaindera) seperti جبلٌ (bukit), كُرْسِيٌّ (kerusi),

ataupun perkara itu bersifat ghoir mahsus (tak boleh dirasai) seperti عِلْمٌ dan صَبْرٌ . a

Antara alamat Isim adalah :

1- Menerima i’rab jar (majrur) misalnya,

في المَنْزِلِ - Kalimah almanzil adalah isim kerana ia menerima I’rab jar, iaitu setelah kemasukan harf jar.

2- Menerima tanwin. Misalnya, محمدٌ , محمداً , محمدٍ

3- Masuk huruf nidak (seruan). Misalnya يا رجل . Kalimah rajul adalah isim kerana menerima huruf nidak sebelumnya.

4- Kalimah itu dimulakan dengan ال seperti الكتاب , القرآن .

5- Musnad ilaih. Satu-satu kalimah akan menjadi musnad ilaih ketika ia datang sebagai mubtadak dalam jumlah ismiah atau fa’il dalam jumlah fi’liah . Sesuatu perkhabaran atau perbuatan akan disandarkan kepadanya.

Misal mubtadak – محمدٌ قائمٌ = Muhammad berdiri. Perbuatan berdiri itu disandarkan kepada Muhammad.

Misal fa’il – قام محمدٌ = Muhammad telah berdiri. Juga perbuatan berdiri disandarkan kepada Muhammad.